Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Suami isteri cedera kemalangan

$
0
0

Oleh Jeremy Lanson//

 

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia kehilangan satu daripada biji testisnya selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lundu, dekat sini semalam.

Mangsa,46, bersama isterinya merupakan warga tempatan menunggang motosikal dari rumah di Sematan semasa kejadian tersebut berlaku berdekatan kampung di Lundu pada jam 7.30 pagi.

Ekoran insiden tersebut, mangsa mengalami keretakan pinggul, sementara isterinya patah kaki dan retak rusuk.

“Pasangan berkenaan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan dan pemeriksaan lanjut suami mendapati satu daripada testisnya cedera parah,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis, pasangan berkenaan dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.

Sementara itu dalam satu kejadian berasingan, dua sahabat dikejar ke HUS selepas motosikal mereka merempuh belakang sebuah kereta di Jalan Kereta Api, Kuching kelmarin.

Menurut sumber, mangsa semasa kejadian dari arah pusat bandar raya ke Batu 3 apabila dikatakan sebuah Toyota Vellfire tiba-tiba membelok masuk ke satu simpang iaitu sekitar jam 11.30 malam.

Mangsa gagal mengawal motosikalnya itu lalu merempuh belakang Vellfire tersebut sehingga menyebabkan kedua-kedua mereka tercampak dari atas motosikal.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut segera membantu mangsa sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.

Kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.

 


Bunuh rakan, lelaki diarah jalani rawatan mental

$
0
0

SIBU: Mahkamah Sesyen kelmarin memerintahkan seorang lelaki berusia 41 tahun dihantar ke Hospital Sentosa Kuching bagi menjalani pemantauan mental selama sebulan.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah tertuduh, Sio Kah Syn, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian rakannya, So Ping Yin, 33 tahun.

Sio turut diperintah untuk dihadapkan di mahkamah pada 16 Oktober bagi sebutan lanjut kes.

Mengikut pertuduhan tentatif, Sio didakwa menyebabkan kematian So di pekarangan rumah sewa di Jalan Foochow pada 2 September, 2015, antara jam 9 dan 10 malam.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit dengan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu So Pik Yau menyatakan anaknya, So Ping Yin telah muncul di rumah mereka di Jalan Maludam dalam keadaan cedera.

Mangsa memberitahu telah dipukul dengan menggunakan objek di bahagian kepala menyebabkannya berasa sakit sebelum muntah darah dan dikejark ke Hospital Sibu mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun pada 4 September, kira-kira jam 12.48 tengah malam, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Sehubungan itu, pihak polis telah menahan seorang suspek dikenali sebagai tertuduh bagi membantu siasatan.

 

Mahkamah tangguh sebutan lanjut pasangan kekasih miliki syabu

$
0
0

MIRI: Mahkamah Majistret kelmarin menangguhkan sehingga 13 Oktober depan untuk sebutan lanjut kes sepasang kekasih dituduh memiliki dadah berbahaya jenis syabu.

Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Norliza Abdullah .

Dalam permohonannya, Norliza memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes ini memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Sim Tze Yoong, 38, dari Siang Siang Garden, Jalan Armeria di sini dan Miss Nantaya Jokchaiphum, 24, dari Chaiphum, Thailand telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh ada memiliki dadah berbahaya jenis syabu dengan berat kasar 13.23 gram yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234).

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 pagi, 21 Ogos lalu di Lot 6013 Siang Siang Garden di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa memohon ditetap satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes ini memandangkan kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Selain itu, Sim dan Miss turut didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 kerana kesalahan memasukkan dadah berbahaya jenis Amphetamine ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka masing-masing pada jam 12.15 dan 12.20 tengah hari, 21 Ogos lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Mahkamah turut menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan lanjut kes ini.

 

Pemaju diarah bayar ganti rugi kepada pembeli rumah

$
0
0

KUCHING: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) kelmarin mengarahkan sebuah syarikat pemaju membayar RM12,000 untuk semua ‘kecacatan’ mutu kerja ke atas hartanah milik Lee Kuet Long di Muara Tuang, dalam masa 45 hari bermula kelmarin.

Sebagai tambahan, pemaju juga diarah membayar RM6,400 kerana kelewatan penyerahan hartanah tersebut kepada Lee.

Sesi perdengaran kes itu yang berlangsung di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama dipengerusikan Peter Lim Thiam Seng dan dibantu ahli jawatankuasa panel Morni Wahie dan Mike Boon Chee Khian.

Menurut fakta kes, Lee tidak berpuas hati dengan mutu kerja yang teruk rumah berkembar satu tingkat yang dibelinya pada harga RM256,300.

Semasa sesi perdengaran itu, Lee memaklumkan tribunal bahawa ‘kecacatan’ utama dikesan ialah permukaan tidak rata dan keretakan permukaan lantai tempat letak kereta, takungan parit perimeter, pintu pagar dan bingkai tingkap.

Katanya walaupun banyak laporan dibuat, malah kerja-kerja pembetulan dilakukan, hasil kerja membaik pulih dilakukan pemaju masih tidak memuaskan.

Pengadu telah mendiami rumahnya itu sejak Mei tahun ini.

Sementara itu, Thiam berkata tribunal membuat keputusan tersebut selepas mendengar serta mempertimbangkan bukti-bukti dan kenyataan diberikan kedua-dua pihak.

“Jumlah bayaran ganti rugi bagi ‘kecacatan’ ini adalah berdasarkan saiz kerosakan di tempat letak kereta iaitu 81 meter persegi.

“Bagi penyerahan lewat pula, iaitu sehingga 16 bulan, denda yang ditetapkan untuk sebuah rumah berkembar setingkat ialah RM400 sebulan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, TTPRS telah menyelesaikan 12 kes berkaitan setakat ini, iaitu empat di Kuching dan tiga di Sibu manakala lima kes ditarik balik.

Enam kes telah dibicarakan, kebanyakan berkaitan ‘kecacatan’ pembinaan rumah, penyerahan lewat dan rumah dibina tidak mengikut spesifikasi ditetapkan melibatkan jumlah keseluruhan tuntutan RM46,040.

 

Sarawak enggan dianak tiri isi jawatan pegawai ATM

$
0
0

Oleh Reno Benjamin//

SIBU: Persatuan veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) mahu Kementerian Pertahanan memberi layanan lebih adil kepada anak watan Sarawak bagi pengambilan jawatan pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden PVTMS Thomas Ling menggesa supaya lebih banyak peluang diberi kepada anak Sarawak untuk mengisi jawatan sama ada dalam Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Selama ini kita lihat pengambilan untuk jawatan pegawai dalam ATM ini dilakukan secara tidak adil. Sarawak mempunyai keluasan besar dan wajar lebih banyak anak Sarawak diambil.

“Kita mahu pengambilan dibuat berdasar bahagian terdapat di Sarawak iaitu 13 bahagian, bukannya berdasarkan negeri. Jika pemilihan dibuat berdasar negeri, ini tidak adil untuk Sarawak,” katanya pada satu sidang media, semalam.

Thomas yang juga Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia Negeri Sarawak (PBTLDM) berkata, persatuan terus memperjuang perkara tersebut agar lebih peluang diberi kepada anak watan di negeri ini.

“Kita tidak mahu dianak tiri dalam soal ini dan mahu layanan sama diberikan,” katanya yang juga mahu peluang sama diberikan kepada semua kaum termasuk kaum Cina.

Sementara itu menurut Thomas, pengambilan calon lepasan ijazah sebagai Pegawai Kadet Graduan di dalam Skim Perkhidmatan Pegawai ATM 2016 untuk berkhidmat sebagai pegawai dalam TDM, TUDM dan TLDM kini sedang dibuka.

Beliau memberitahu, calon terpilih akan menjalani latihan selama sembilan bulan dan selepas tamat latihan akan ditauliah pangkat Leftenan Muda.

Bagi TDM, latihan akan dijalan di Port Dickson Negeri Sembilan, TLDM di Lumut Perak dan TUDM di Alor Setar Kedah.

“Persatuan menggesa dan menggalak anak watan Sarawak memiliki kelayakan untuk menyertai ATM bagi bersama-sama menjaga kedaulatan negara,” tegasnya.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 24 September ini. Permohonan boleh dibuat secara atas talian dengan melayari laman sesawang www.mafhg.mil.my/JOMMASUKTENTERA.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Cawangan Tenaga Kerja Perkhidmatan Anggota melalui talian 03-20712387/4524/5120/4528/2391 atau faks 03-26985340.

Orang ramai juga boleh menghubungi PVTMS ditalian 084-348872/349755 atau Thomas (013-8017056).

 

Adenan layak untuk terus terajui Sarawak

$
0
0

SIBU: Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem melakukan banyak perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri sejak menyandang jawatan Ketua Menteri kira-kira 18 bulan lalu, kata pengarang Dr Gregory Hii Sui Cheng.

Beliau yang juga peminat bidang sukan berkata, adalah wajar bagi pemimpin tertinggi kerajaan Sarawak itu dikekal sebagai peneraju kerajaan negeri ini bagi tempoh penggal akan datang.

Adenan juga kata Hii, semakin disenangi rakyat negeri ini selepas melancar beberapa inisiatif penambahbaikan dalam urus tadbir kerajaan serta penguatkuasaan.

“Ini termasuk menangani kegiatan pembalakan haram, memberi bantuan kewangan kepada sekolah persendirian Cina, menghapus bayaran tol, memperhebat pembangunan luar bandar dan bertegas dalam perkara berkaitan hak rakyat negeri ini.

“Adenan sentiasa berhubung dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan semula hak rakyat sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Menurut Hii, Adenan berjaya mendapatkan peruntukan bagi menaik taraf jalan Pan Borneo yang sudah lama tertangguh.

“Dalam masa singkat ini, beberapa tuntutan pernah disuara rakyat telah berjaya diselesai dan di sini saya melihat tidak ada sebab mengapa kita tidak bersetuju beliau diberi peluang menjadi Ketua Menteri bagi penggal seterusnya,” ujar beliau.

Hii berkata Adenan dalam tempoh tersebut juga telah membuktikan dirinya seorang pemimpin yang memiliki ciri-ciri kepimpinan berkesan.

“Tidak banyak menteri sama ada di peringkat negeri atau persekutuan seperti Adenan. Apatah lagi beliau sering menyuarakan perkara yang sering menjadi kebimbangan rakyat dengan tegas dan berkesan,” katanya.

Bercakap lanjut, Hii bagaimanapun tetap mengakui bahawa masih terdapat sesetengah perkara yang memerlukan inisiatif lebih agresif daripada kerajaan pimpinan Adenan.

Jelas Hii, ia adalah keberkesanan perkhidmatan awam yang didambakan rakyat negeri ini.

Mengambil contoh rakyat di kawasan bandar, Hii menjelaskan majoritinya kaum Cina dan kelangsungan hidup mereka bergantung kepada perniagaan.

“Seandainya kedua-dua pihak (kakitangan awam dan peniaga) tidak dapat bekerjasama dengan baik ia akan memberi kesan terhadap sokongan masyarakat Cina kepada Adenan,” jelas beliau.

Adenan juga katanya, perlu membuat keputusan terbaik dalam menyelesaikan krisis dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) sekali gus menyekat kemaraan parti pembangkang daripada menguasai kepimpinan kerajaan negeri.

 

Belia harus pertahan kestabilan negara dalam pelbagai aspek

$
0
0

MIRI: Belia harus bersedia memikul tanggungjawab penuh ke atas kestabilan negara dalam segala aspek, kata Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus.

Jelasnya, golongan ini mesti berkeupayaan membalas balik kenyataan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang cuba mengganggu keharmonian negara.

“Belia harus berdepan dan membalas kenyataan pihak tertentu yang cuba memporak-peranda keamanan berlainan bangsa dan agama,” katanya dalam satu majlis konvoi dari Miri ke Bekenu pada Rabu.

Lebih 150 kereta mengambil bahagian daripada pihak Skuad Muda JPJ 1, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu dengan kerjasama SABERKAS Sibuti dan Bekenu K-Car bersempena Konvoi Merdeka.

Menurut Rosey, aktiviti berkonvoi seperti itu sesuatu yang sihat supaya belia bersatu tanpa mengira latar belakang mereka.

Melalui kelab motor, badan bukan kerajaan belia seperti Skuad JPJ 2 menjadi wadah golongan itu tampil dengan pendapat serta pandangan sekali gus menunai tanggungjawab sebagai warganegara.

“Belia mempunyai pelbagai hobi dan idea boleh mereka tampil melalui platform seperti ini,” kata Rosey lagi.

Rosey merupakan ADUN Bekenu menggesa lebih banyak kelab serta NGO belia bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa depan.

Sementara itu, jurucakap Skuad Muda JPJ 1 Abu Bakar Kalong memberitahu tujuan konvoi itu untuk membentuk semangat patriotik peserta di samping mengerat hubungan sesama mereka.

Katanya, bagaimanapun lebih banyak program seumpama itu dilakukan pada masa depan melibatkan NGO belia lain di Miri serta Sibuti.

Abu juga mengatakan pihaknya turut menyertai Konvoi Merdeka dari Lawas ke Miri dan kemudiannya ke Bintulu.

 

Agensi kerajaan bertanggungjawab pastikan perancangan dilaksana dengan berkesan

$
0
0

LIMBANG: Agensi kerajaan mempunyai tanggungjawab cukup besar dalam memastikan segala perancangan kerajaan dapat dilaksana dengan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata agensi kerajaan yang menyeleweng atau terlibat dengan rasuah dan gejala tidak sihat hanya akan menyebabkan segala perancangan kerajaan terjejas dan tergendala.

Selain itu beliau berkata ia juga akan memberi pandangan serong masyarakat terhadap kerajaan sedia ada.

“Kerajaan mempunyai perancangan begitu baik untuk rakyat tetapi ia bergantung kepada agensi melaksanakannya.

“Jika agensi tidak berjaya, menyeleweng atau terlibat rasuah, perancangan kerajaan akan tergendala dan terjejas serta memberi pandangan serong terhadap kerajaan sedia ada,” katanya pada Dialog Komuniti Cina Limbang bersama agensi kerajaan anjuran Pejabat Residen dan Jawatankuasa Komuniti Cina kelmarin.

Turut sama Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Temenggung Ang Kheng Su dan Pemanca Leong Boon Ming.

Dr Rahman berkata, rakyat memberi kepercayaan kepada kerajaan BN sejak merdeka lagi dan kerajaan bertanggungjawab memenuhi aspirasi rakyat bagi menentukan kerajaan dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau juga mahu ketua masyarakat Cina berfikiran terbuka terhadap segala polisi kerajaan.

Menurutnya segala masalah timbul bukan disebabkan polisi sedia ada tetapi disebabkan masalah komunikasi serta tiada penjelasan antara kedua-dua pihak.

“Oleh itu mereka perlu menghadapi masalah dengan mengadakan perbincangan secara terbuka, bukannya menyalak di luar,”tambahnya.

Pada masa sama Jawatankuasa Komuniti Cina juga perlu menjadikan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai indikator terutama ketegasan dalam kepimpinannya.

“Adenan memang tegas, teliti dan berani meminta autonomi dan ia bukan perkara yang baharu.

“Ketegasan ini disokong agensi kerajaan berkepentingan.

“Jawatankuasa Komuniti Cina perlu menyokong ketegasan Adenan dan menjalankan tugas dengan sepenuhnya, supaya hasrat membangunkan Sarawak akan dapat dijalankan,” katanya.

 


Buku teks Sejarah wajar tumpu sumbangan tokoh semua kaum

$
0
0

KUCHING: Buku teks Sejarah dipelajari di sekolah wajar memberi tumpuan terhadap sumbangan tokoh-tokoh semua kaum di Malaysia dan bukan cuma tokoh Melayu, syor Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Menurutnya, sumbangan tokoh daripada kaum lain juga tidak wajar diketepikan terutama agar buku pelajaran mencerminkan fakta sebenar terhadap peristiwa-peristiwa lampau.

“Dari segi sejarah kebanyakannya sejarah Malaysia lebih kepada sejarah Semenanjung (Malaysia) sahaja.

“Janganlah fokus dengan sejarah Melayu sahaja bagaimana sejarah orang lain termasuk sumbangan diberikan oleh tokoh dari Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi program Soal Jawab disiarkan menerusi TV3 pada jam 11 malam kelmarin.

Katanya jasa tokoh seperti bekas Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya’kub, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan (bekas Ketua Menteri Sarawak), Tun Jugah Barieng (terbabit dalam penubuhan Malaysia), Tun Mustapha Harun (pejuang kemerdekaan Sabah) dan Tun Fuad Stephen (terbabit penubuhan Malaysia) wajar diberi penekanan lebih mendalam.

Beliau yang ditanya mengenai jenis autonomi yang dituntut Sarawak daripada kerajaan persekutuan membayangkan, oleh kerana kelemahan sedemikian kerajaan negeri mahu urusan autonomi turut membabitkan bidang pendidikan.

Menurutnya, bidang pendidikan dilihat banyak kali telah mengalami perubahan terutama membabitkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek Matematik dan Sains.

Justeru, ia dikhuatiri menjejaskan mutu akademik para pelajar dan murid jika tidak ditangani segera.

Jelasnya, bahasa Inggeris merupakan medium pengantaraan penting di dunia dan ia amat mustahak untuk dikuasai jika hendak berjaya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha itu bukan bermakna beliau mahu mengetepikan kepentingan bahasa Melayu, tetapi ia perlu seimbang.

Menjelaskan lanjut mengenai tuntutan autonomi, beliau sekali lagi menegaskan bahawa ia bukan bermakna usaha untuk membawa Sarawak keluar daripada Malaysia.

“Kita hanya menuntut apa yang terkandung dalam Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963,” katanya.

Autonomi itu turut merangkumi untuk menguruskan peruntukan bagi pelaksanaan projek-projek di Sarawak.

Ujarnya, adalah lebih mudah dan praktikal peruntukan dan pelaksanaan sesuatu projek dikendalikan sepenuhnya di peringkat negeri.

Malah kerajaan negeri lebih arif tentang dasar yang sesuai untuk dilaksanakan di Sarawak.

“Kerajaan persekutuan ketika membuat dasar mungkin menyentuh tentang Melayu sahaja tetapi di Sarawak ada Bumiputera bukan Melayu dan mereka rasa tersisih,” katanya.

Mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, beliau berkata ia merupakan pemangkin pembangunan ekonomi di Sarawak sama seperti pelaksanaan lebuh raya utara-selatan di Semenanjung Malaysia.

“Kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kerana menunaikan janji dan ini menjadi pembuka mata kepada rakyat Sarawak walaupun memakan masa yang panjang,” katanya.

 

Gerak aktiviti masyarakat di peringkat akar umbi

$
0
0

Oleh Jessica Jawing//

 

BANTUAN: Abang Johari (kiri) menyampaikan cek MRP kepada wakil persatuan yang menerima bantuan semalam.

BANTUAN: Abang Johari (kiri) menyampaikan cek MRP kepada wakil persatuan yang menerima bantuan semalam.

KUCHING: Organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan diminta membantu menggerakkan aktiviti bersama masyarakat di peringkat akar umbi sebagai persediaan menghadapi perubahan pembangunan yang dilaksanakan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, perkara ini melibatkan komuniti khasnya di pinggir bandar di mana kerajaan sedang giat melaksanakan pembangunan semula di kawasan berkaitan.

“Kerajaan membangunkan kawasan-kawasan di pinggir bandar untuk menjadi bandar. Mahu atau tidak kita harus menyediakan masyarakat supaya tradisi dipertahankan di samping memodenkan cara hidup.

“Maka, saya berasa organisasi dan pertubuhan sukarelawan perlu membantu menjalankan tugas masing-masing untuk kita berinteraksi serta menyediakan idea baharu tertentu dalam pembangunan yang berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Peruntukan bagi Pelaksanaan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada badan kebajikan, keagamaan dan persatuan di pejabatnya di sini, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 13 pertubuhan menerima bantuan masing-masing dengan nilai keseluruhan MRP diagihkan RM515,000.

Abang Johari berkata, kerajaan berusaha menyediakan kemudahan seperti tempat riadah di kawasan perkampungan pinggir bandar yang mempunyai kaitan peranan antara pembangunan dan organisasi.

Beliau berkata, amalan pembangunan semula oleh kerajaan amat memerlukan masyarakat faham dengan apa dilaksanakan selain kerjasama daripada persatuan atau pertubuhan untuk memberi penjelasan.

“Persatuan atau organisasi ini harus bersama masyarakat untuk mengenal pasti pendekatan pembangunan sedang dilakukan kerana kita tidak mahu masyarakat kita mengalami ‘kejutan budaya.’

“Kita tidak boleh mengelak daripada membangunkan kawasan pinggir bandar agar selari dengan pembangunan di bandar yang kita juga giat laksanakan,” tegasnya.

Di Kuching, kata beliau, Pelan Induk Pembangunan Kuching sedang dilaksanakan dalam usaha membangunkan kawasan bandar dan kawasan sekitarnya termasuk hingga ke Padawan iaitu dengan membina banyak kawasan perumahan.

Malah, katanya, beliau telah mencadangkan kepada Ketua Menteri untuk Pelan Induk Pembangunan Sibu bagi membangunkan kawasan di Sibu termasuk Kemuyang dan Batu 11 dengan membina lebih banyak perumahan.

Abang Johari turut memberitahu, kerajaan negeri kini dalam kajian untuk mewujudkan pengangkutan awam LRT di Kuching yang akan menghubungkan semua tempat sehingga ke Serian.

“Bagaimanapun, semua ini masih dalam kajian dan ia sebagai satu pendekatan baharu dalam pengangkutan awam di negeri kita,” katanya.

 

Keluarga dua beradik terbunuh dalam insiden tembak mohon buka semula kes

$
0
0

SIBU: Keluarga dua beradik terbunuh dalam satu insiden tembak di Kapit akhir tahun lalu menuntut supaya kertas siasatan dibuka semula selepas tidak berpuas hati keputusan pembebasan kesemua suspek akibat kekurangan bukti.

Mereka menuntut supaya inkues ditubuh bagi menentu siapa sebenar bertanggungjawab atas kematian kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai mendiang Apang Jalak ,60, dan Ningkan Jalak berusia 52 tahun.

Mangsa dipercayai mati akibat luka tembakan senapang patah ketika dalam perjalanan ke sebuah kem pembalakan pada 17 Disember tahun lalu selepas mereka tiba-tiba diserang hendap.

Dalam kejadian itu, laporan polis dibuat oleh adik mereka, Kilau Jalak,50 pada keesokan harinya sebelum mayat kedua-dua mangsa dipenuhi dengan kesan tembakan ditemui pada 20 Disember.

Polis kemudian menahan empat suspek selain termasuk merampas sepucuk senapang patah dan telefon bimbit dan 26 saksi telah dipanggil untuk diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan (SFC) membebaskan kesemua mereka kerana kekurangan bukti dan kes tersebut kemudian ditutup.

Kilau bagaimanapun tidak berpuas hati dengan mendakwa ia tidak adil memandangkan kes tersebut ditutup sebelum laporan kimia dikeluar.

Beliau kemudian meminta bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Yap Hoi Liong supaya meneliti kes itu semula.

Bercakap pada sidang media pagi semalam, Yap menggesa Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Polis Bukit Aman supaya menubuhkan inkues untuk kes tersebut.

“Kami diberitahu bahawa mereka (ahli keluarga) tidak berpuas hati dengan hasil siasatan tersebut dan menuntut inkues ditubuhkan,” katanya ketika mengadakan sidang media semalam.

Yap turut mendakwa kes tersebut ditutup secara mendadak dan tambahan pula kedua-dua mangsa pernah membuat laporan polis pada bulan Jun 2014 kerana diugut.

Semasa laporan polis dibuat seorang lagi adik mereka dikenali sebagai Rambo turut bersama.

Pada bulan November lalu, satu lagi laporan polis turut dibuat berhubung dakwaan diugutan.

Namun pada 17 Disember Apang dan Ningkan, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

 

Kelewatan projek BELB Ulu Paku Undop kerana masalah kontraktor

$
0
0

SRI AMAN: Kelewatan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) ke beberapa rumah panjang di kawasan Ulu Paku Undop bukan disebab kerajaan Barisan Nasional (BN) sebaliknya berpunca daripada masalah yang timbul peringkat kontraktor dilantik.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek itu dijadual siap sepenuhnya pada penghujung 2013 sebaliknya berlaku kelewatan disebab pelbagai masalah kontraktor yang bertanggungjawab.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat di kawasan ini, beliau harap projek itu dapat disiapkan segera oleh kerana penduduk di situ sudah lama menunggu untuk menikmati kemudahan seperti di kawasan lain.

“Saya berharap perkara ini tidak dijadi isu pihak tidak bertanggungjawab oleh kerana kelewatannya bukan berpunca masalah BN, sebaliknya kontraktor dilantik gagal mengikut jadual,” ujarnya.

Harden juga Menteri Muda Perumahan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Pemimpin Rakyat serta Majlis Perasmian Projek Pembinaan Parit Belakang dan Jelatong, Rumah Edward Jantung, Sebujok Ulu Paku Undop anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Sri Aman dekat sini semalam.

Katanya lagi, projek bekalan elektrik di kawasan Ulu Paku Undop menelan kos RM12 juta itu bakal memberi wajah baru kepada lebih 10 buah rumah panjang di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Harden turut menggesa agar semua JKKK di negeri ini bergerak aktif dan mentransformasi diri mengikut peredaran semasa.

“Semua JKKK perlu bergerak aktif dan jangan ‘tidur’ atas nama persatuan sahaja. Kalau JKKK tidak aktif maka anda akan ketinggalan dalam semua arus pembangunan semasa,” tegasnya.

Justeru katanya, mahu tidak mahu, JKKK itu perlu bergerak dan bangunlah dari tidur agar tidak ketinggalan dari apa juga program kerajaan.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pegawai Kebajikan Masyarakat Persekutuan Bahagian Sri Aman, Borniface Julai, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Sri Aman, Geofery Baja, Pegawai Bomba Bahagian Sri Aman, Jilin Itar, Penolong Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Tommy Laman, Wakil Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman, Chana Langkan, Penyelia Kanan KEMAS Daerah Sri Aman, Fatimah Tahir serta Pemanca Michael John Sanggop.

Pada majlis berkenaan, Harden turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada JKKK manakala RM3,000 kepada Biro Wanita, Rumah Edward Jantung, Sebujuk untuk tujuan melaksana aktiviti sepanjang tahun mereka.

Dalam pada itu juga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman juga turut menyumbangkan sebanyak lima buah alat pemadam api kepada rumah panjang ini.

 

48 menerima geran MRP DUN Baleh

$
0
0

KAPIT: Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing kelmarin telah menyampai geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada 48 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK), kelab dan persatuan di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.

Majlis penyampaian geran MRP diadakan selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan Kapit District Iban Community Leaders Association (KADICLA) di Dewan Suarah Kapit.

Para penerima geran ialah JKKK Kerangan Besai Baleh (Rh Bully), JKKK Ng Semabawang Entuluh (Rh Jack Bidai), JKKK Sg Teliai (Rh Langut), JKKK Ulak Tapang Baleh (Rh Jimbun Sandin), JKKK Ng Majau (Rh Along), JKKK Sg Pulang Baleh (Rh Itu), JKKK Ng Entelangau Baleh (Rh Jantai), JKKK Sebiro Ulu Gaat (Rh Tungku), JKKK Ng Selentang Gaat (Rh Nading), JKKK Lubok Mawang Majau (Rh Robin Ungkung), JKKK Pulau Won (Rh Wong), JKKK Ng Entuloh Merirai (Rh Unyat), JKKK Ng Miyut Bebangan (Rh Narok), JKKK Ng Banyau Baleh (Rh Sipang), JKKK Ng Sembawang Bebangan (Rh Gesang), JKKK Ng Tiau Mujong (Rh James Saka), JKKK Ng Tiau Ulu (Rh Ambu), JKKK Ng Sekeroh Ulu Oyan (Rh Unting), JKKK Gelong Kanan Sekeroh (Rh Jana), JKKK Ng Sekeroh Ili Oyang (Rh Umbang) dan JKKK Kerangan Sega Oyan (Rh Minggat).

Turut menerima geran yang sama ialah JKKK Sg Tiau Ili (Rh Umbar), JKKK Panchor Gegurong Tunoh (Rh Agam), JKKK Batu Keli Tunoh (Rh Seman), JKKK Ng Mabong Tunoh (Rh Tani), JKKK Ng Melinau (Rh Jala), JKKK Ng Antaroh Sut (Rh Emak), JKKK Tembawai Sandong Atas Sut (Rh William Ubu), JKKK Ng Elik Sut (Rh Juntan), JKKK Ng Luba Sut (Rh Kaya), JKKK Ng Lun Ili Bena (Rh Nyawai), JKKK Semerah Bena (Rh Seli), JKKK Entawau Ili Bena (Rh Mamut), JKKK Entawau Ulu Bena (Rh Ai), JKKK Ng Aun Sut (Rh Johnny), JKKK Ng Bena Sut (Rh Tang), JKKK Ng Lun Ulu Bena (Rh Ngindang), JKKK Ng Plak Bena (Rh Undi), JKKK Emperan Limau Sut (Rh Jugah), JKKK Ng Setuai Sut (Rh Ibin), JKKK Ng Kebiaw Sut (Rh Kanang), JKKK Lubok Nimoh Sut (Rh Mikai) and JKKK Ng SekeranganSut (Rh Belikau).

Lembaga Pelawat Hospital Kapit, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Oyan Tengah dan PIBG SK Lepong Baleh juga menerima geran berkenaan.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Politik Ketua Menteri Wilson Nyabong Ijang dan Jefferson Jamit Unyat, Residen Kapit Fedrick John George, Pegawai Daerah Kapit Elvis Didit, Pengerusi KADICLA Steward Sawing, ahli jawatankuasa KADICLA dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

 

Sedia khidmat kepada masyarakat

$
0
0

KUCHING: Sayap Pemuda dan Wanita Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Padungan sudah bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat di dalam dan luar kawasan Padungan.

Bagi tujuan itu, kedua-dua sayap dijangka melancarkan projek komuniti sulung mereka pada majlis pertabalan yang akan diadakan pada malam 29 September ini.

“Malam pertabalan itu akan dianjurkan bersama oleh Pemuda dan Wanita UPP Cawangan Padungan di Thian Court, Aras 3, Crown Square di Jalan Pending di sini pada tarikh dinyatakan.

“Pada malam itu, kami akan memperkenalkan ahli jawatankuasa Pemuda dan Wanita kami kepada masyarakat setempat.

“Selain itu, kami juga akan mengumumkan program komuniti pertama kami iaitu pertandingan karaoke bagi mengeratkan hubungan antara parti dan masyarakat,” kata Ketua Pemuda UPP Cawangan Padungan, Yap Min Su.

Pada sidang media di Restoran Lok Thian itu kelmarin, Yap yang juga Setiausaha Pemuda Pusat UPP menjelaskan pertandingan nyanyian itu bertujuan memahami kehendak masyarakat.

Pusingan pertama pertandingan, katanya, akan berlangsung pada November depan manakala pusingan terakhir akan diadakan pada bulan berikutnya.

Sementara itu, Ketua Wanita UPP Cawangan Padungan Annie Ho menggesa rakyat supaya memanfaatkan ‘Multi-Million Education Fund’ parti yang dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud baru-baru ini.

“Kami mempelawa masyarakat umum mendapatkan borang permohonan sama ada daripada pejabat cawangan atau Ibu Pejabat UPP.

“Dana pendidikan ini adalah untuk semua yang memerlukan bantuan kewangan dari peringkat rendah hingga pendidikan tinggi,” ujarnya menambah penerima pertama akan diumumkan Oktober ini.

Dalam pada itu, Presiden UPP yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, Dato Sri Wong Soon Koh dijangka merasmikan malam pertabalan itu nanti.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan karaoke, sila hubungi UPP Cawangan Padungan menerusi talian 082-348633 atau kunjungi Aras Satu, Lot 7686, Jalan Pending di sini.

 

Kerjasama perlu kesan golongan asnaf

$
0
0

Oleh Borhaniza Ali Basah//

 

SARIKEI: Kerjasama penduduk tempatan di sini amat diperlu dalam membantu Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Sarikei mengesan golongan asnaf serta memaklum kepada TBS supaya tindakan susulan dapat diambil.

Ketua Cawangan TBS Sarikei Ali Mat berkata kawasan di bawah bidang kuasa TBS Cawangan Sarikei amat luas iaitu meliputi kawasan bermula dari Pusa (Bahagian Betong) hingga ke Tanjung Manis (Bahagian Mukah).

Menurutnya, jumlah kakitangan terhad dan kawasan bidang kuasa agak luas adalah sukar bagi pihaknya pergi ke semua kawasan itu dalam masa singkat.

“Hari ini, banyak sangkaan buruk di dalam media sosial mengenai TBS yang tidak turun padang untuk mencari asnaf-asnaf yang layak mendapat bantuan daripada wang zakat.

“Ini adalah tidak benar. Kita menjalankan tanggungjawab dan kerja mencari serta mengenal pasti golongan ini kerana ia memang tugas kami. Namun kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam membantu kami mengesan golongan asnaf ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada taklimat mengenai Sumbangan Zakat Pendapatan Melalui Potongan Gaji kepada anggota-anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei baru-baru ini.

Ali berkata, sebelum sesuatu bantuan diberikan kepada seseorang pemohon, TBS akan menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu untuk memastikan mereka adalah benar-benar layak.

Ini kerana TBS merupakan agensi yang dipertanggungjawab oleh kerajaan untuk mengutip dan mengagih wang zakat di Sarawak.

“Oleh itu kami perlu mengurus sumber kewangan yang diperolehi dengan baik dan mematuhi peraturan ditetapkan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata semua pekerja Islam termasuk dari sememanjung yang bekerja di Sarawak adalah diwajibkan untuk memberi sumbangan Sadaqatul Jariah kepada TBS seperti mana yang termaktub di bawah Seksyen 99(1) Ordinan Majlis Islam Sarawak (Pemerbadanan)(Pindaan 1984).

“Kadar ditetapkan sangat minimum antara RM1 hingga RM4 sebulan bergantung kepada gaji kakitangan berkenaan. Kaedah bayaran melalui potongan gaji dan kita ada formula kiraan dan ini adalah untuk memudahkan pembayar,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama daripada para majikan untuk memastikan setiap kakitangan yang beragama Islam di tempat masing-masing membuat potongan gaji bagi sumbangan Sadaqatul Jariah.

Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut berhubung perkata tersebut, boleh datang terus ke mana-mana pejabat TBS berhampiran, tambahnya.

 


Keprihatinan Wong bantu penduduk Rumah Merikan

$
0
0

SIBU: Penduduk Rumah Merikan Bual di Lubok Pelaie, Passai harus berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), khususnya wakil rakyat kerana berusaha menyedia kemudahan infrastruktur baik kepada mereka.

Rumah panjang 24 pintu dihuni 150 penduduk itu kini telah dihubung dengan sebatang jalan berbatu dari jalan utama iaitu Jalan Teku Passai.

Berbanding jalan tanah sebelum ini, kerja menurap permukaan jalan itu dengan batu telah memudahkan penduduk untuk bergerak, terutama untuk pergi ke bandar Sibu.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit berkata, projek melibat jalan sepanjang enam kilometer itu siap dilaksanakan baru-baru ini.

“Projek ini dilaksana dengan kos RM600,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP),” katanya kepada pemberita selepas melawat projek tersebut mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, semalam.

Turut sama meninjau projek ialah Juruteknik Awam Jabatan Kerja Raya, Yong Sin Ho, Penghulu Richard Ampi, Tuai Rumah Dawi Ringgil serta yang lain.

Di samping itu menurut Andrew, jalan di hadapan Rumah Merikan juga akan disimen dengan kos RM150,000.

Projek tersebut, katanya, dilaksanakan di bawah Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan akan siap dalam masa terdekat.

“Semua projek ini menunjukkan keprihatinan wakil rakyat bagi kawasan ini terhadap keperluan penduduk di sini.

“Oleh sebab itu, tiada sebab untuk penduduk tidak dapat membalas jasa baik kerajaan BN dan juga wakil rakyat bagi kawasan ini,” jelasnya.

 

Koko jana pendapatan sampingan

$
0
0

Oleh Andy Sabang//

 

KANOWIT: Penduduk di sini dinasihat menanam koko sebagai tanaman alternatif bagi menjana pendapatan sampingan, kata Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh.

Jelasnya, penanaman koko lebih mudah berbanding tanaman lain selain memberikan pulangan lumayan dan beliau berharap lebih ramai terlibat mengusahakan tanaman berkenaan.

Marcus berkata demikian ketika menghadiri sesi taklimat mengenai potensi tanaman koko yang dianjurkan oleh LKM di Dewan Komuniti Penghulu Seribu di Skim Penempatan Semula Nanga Tada, di sini semalam.

Program itu telah dihadiri oleh Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri Ngemah Alexander Vincent, Pegawai Daerah Katis Noel Nyambong dan Penghulu Ugap Seribu.

Dr Marcus berkata, objektif utama taklimat tersebut adalah untuk menggalak penanaman koko khususnya di negeri Sarawak.

“Selain mudah ditanam, tanaman tersebut juga merupakan salah satu bidang pertanian yang sesuai diceburi penduduk luar bandar khasnya,” ujarnya.

Bercakap lanjut, beliau menjelaskan program tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

“Ini adalah satu agenda yang diutamakan sebelum mencapai wawasan 2020,” katanya.

Antara lain yang turut hadir pada program berkenaan ialah tuai-tuai rumah dari kawasan Jih, Pidai, Tuah, Bawan, Bejait, Mapai, Tada dan Kabah.

 

Biarpun jerebu, industri pelancongan masih menerima ketibaan warga luar

$
0
0

KUCHING: Meskipun jerebu melanda negeri ini, industri pelancongan masih menerima ketibaan warga luar khasnya yang menyertai Perlumbaan Bot Naga sempena Regata Sarawak 2015.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, beliau tidak menafikan jerebu memberi sedikit kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung bukan sahaja kepada pelanco-ngan, tetapi juga industri lain.

“Dari aspek pelancongan, ia sudah pasti memberi sedikit kesan walaupun saya tidak ada angka mengenai perkara berkenaan buat masa ini.

“Namun, kita masih me-nerima seramai lebih 500 peserta (pendayung) luar negara yang mengikuti Perlumbaan Perahu Naga (Dragon Boat Race) sempena regata di Kuching yang sedang berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan per-untukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di pejabatnya di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, hasil daripada mesyuarat jawatankuasa diadakan majoriti peserta perlumbaan bot naga berpendirian untuk meneruskan acara seperti yang dijadualkan.

“Apa yang kita lakukan kini adalah memantau dari segi kesan jerebu khasnya kepada mereka yang mengalami sakit seperti asma dan komplikasi pernafasan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik.

“Bagi regata dan perlumbaan bot ini, kita dimaklumkan pakar bahawa jika bacaan IPU di bawah 300 dan jarak penglihatan masih baik ia boleh diteruskan,” katanya.

Beliau menjelaskan tambahan perlumbaan bot naga hanya memerlukan jarak perlumbaan yang pendek sahaja.

“Maka, acara regata mahupun perlumbaan bot ini akan diteruskan buat masa ini,” ujar Abang Johari.

 

Sarawak enggan terlibat aktiviti gugat perpaduan

$
0
0

KUCHING: Sarawak tidak mahu terlibat dengan apa jua aktiviti yang dijalankan di Semanjung Malaysia yang boleh menggugat perpaduan serta keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Berpegang atas prinsip itu jugalah Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri tidak mahu terlibat dalam Perhimpunan Rakyat Bersatu atau Perhimpunan Baju Merah, 16 September lalu.

Ini kerana, menurut Ke-tua Pemuda BN Negeri, Datuk Seri Fadillah Yusof perhimpunan tersebut ber-tentangan dengan nilai-nilai yang amalan serta budaya rakyat di negeri ini.

“Seperti yang dikatakan oleh Ketua Menteri, kita BN di Sarawak ini berjuang untuk semua tanpa me-ngira latar belakang kaum, bangsa atau agama.

“Sebab itu, kita tidak mahu terlibat dengan apa-apa yang berlaku di ne-geri-negeri lain yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian termasuk Perhimpunan Baju Merah di Kuala Lumpur, Rabu lepas,” tegasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini semalam.

Terdahulu, Fadillah mempengerusikan me-syuarat jawatankuasa kerja Pemuda BN negeri mengenai Program Pemuda BN Untuk Masyarakat yang akan diadakan di Long Busang, Belaga pada 24 hingga 26 September ini.

Jelas Fadillah lagi yang juga Menteri Kerja Raya, sejarah latar belakang negeri ini dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia serta Sabah adalah berlainan.

Justeru, katanya, adalah perlu untuk semua barisan pemimpin dan rakyat me-mahami latar belakang sejarah negeri yang sentiasa berjuang atas kepentingan bersama tanpa mengira latar belakang.

“Kita di Sarawak merupakan satu-satunya kumpulan masyarakat dalam Malaysia yang benar-benar menghayati semangat 1Malaysia.

“Sebab itu, kita tidak mahu terlibat dengan apa yang berlaku di sebelah sana sebaliknya cuba membawa nilai-nilai murni di negeri ini untuk diikuti oleh negeri lain.

“Bukan bermakna kita sombong, tetapi ini yang ingin kita bawa bersama ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya menambah rakyat harus mengekalkan nilai-nilai ini sehingga ke generasi akan datang agar Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman dan damai.

 

Inisiatif rapat bandar, luar bandar

$
0
0

Oleh Agnes Tugong//

 

KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri dan nasional bergabung buat pertama kalinya bagi menjayakan Program Pemuda BN Untuk Masyarakat di Long Busang, Belaga dari 24 hingga 26 September ini.

Pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini semalam, Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program ini melibatkan seramai 73 pemuda dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan luar Belaga.

Tujuannya adalah bagi menyahut saranan Perdana Menteri dan Ketua Menteri yang menekankan pembangunan luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar.

“Salah satu inisiatif untuk merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar adalah dengan membawa pemimpin-pemimpin muda ke luar bandar untuk menyelami dan memahami masalah serta kehidupan masyarakat di luar bandar.

“Sebab itu, program ini yang asalnya merupakan idea pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diketuai Liwan Lagang diangkat sebagai program Pemuda BN nasional disokong oleh Pemuda BN negeri,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai program itu, menurut Fadillah, ia akan di-pengerusikan Liwan dan antara aktiviti yang akan diadakan ialah gotong-royong membina klinik serta membaik pulih sekolah.

Selain gotong-royong, turut akan diadakan aktiviti sukan antara gabungan Pemuda BN nasional, negeri dan pemuda dari Bahagian Belaga serta sesi dialog bersama Ketua Pemuda BN Malaysia Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, kesemua 73 pemuda yang menyertai program itu bakal menem-puh perjalanan sukar menggunakan bot dan perahu panjang selama lapan hingga sembilan jam dari Bakun sebelum tiba di Long Busang.

Menerusi pendedahan ini, para peserta yang terdiri dari kalangan Pemuda BN serta merupakan pemimpin masa depan akan dapat memahami, menghayati serta menyelami dengan lebih mendalam mengenai kehidupan sukar yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar.

Selain program itu, Pemuda BN menurut Fadillah turut bergerak aktif dengan pelbagai cara di peringkat nasional, negeri dan juga komponen BN.

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar, katanya, Pemuda BN juga memberi fokus kepada bidang kerjaya di mana satu program akan di-laksanakan pada masa akan datang di kawasan separa bandar.

 

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live