Penambahan bilangan motosikal URB diharap beri impak lebih baik capai matlamat NKRA: Masir
Oleh Watt Zacchaeus //
SIBU: Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah bilangan motosikal untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) daripada 818 kepada 2,000 buah tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat berkata penambahan itu diharap mampu memberi impak lebih baik kepada unit tersebut melaksanakan tugas pencegahan jenayah.
“Saya melihat PDRM melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah NKRA di samping program-program mengurangkan jenayah serta inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
“Hasilnya, ia bukan sahaja melakarkan banyak kejayaan tetapi turut membuahkan hasil positif.
“Antara inisiatif NKRA ketara ialah penggantian kenderaan peronda MPV yang usang kepada model lebih baharu,” katanya pada Program Karnival 1 Aman Week 2015 di Dataran Bandar Sibu Fasa II di sini semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Acryl Sani Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Adenan Abdul Rahman, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee dan Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi.
Katanya, sejumlah 31 aktiviti di bawah NBOS diwujudkan namun setakat ini terdapat 11 aktiviti dilaksanakan mewujudkan unit AMANITA dalam kalangan polis wanita, mengadakan ‘Go-To-Safety-Points’ di semua kawasan ‘hot-spot’ dan memperluas pelantikan Polis Bantuan dalam sektor swasta.
Selain itu, menggalakkan bekas polis bertindak sebagai ketua keselamatan di kawasan kejiranan, menganjurkan ‘1 Aman Week’ meningkatkan kesedaran berhubung inisiatif baharu memerangi jenayah dan melancarkan beberapa siri aktiviti pencegahan jenayah oleh Skuad Muda bersama sukarelawan iM4U lain.
“NBOS turut menganjurkan aktiviti pembentukan salsiah selepas waktu sekolah pemimpin masa hadapan atau dikenali sebagai Remaja Berwawasan, rondaan bersama anggota polis dan tentera, bekerjasama antara PDRM dan sektor swasta dalam mempromosikan iniasitif pencegahan jenayah baharu.
“Di samping itu, menugaskan semula anggota polis beruniform dengan tugas sebenar kepolisan daripada tugasan perkeranian dilakukan sebelum ini dan projek pengiktirafan pengawal keselamatan (CSG),” jelasnya.
Ahli Parlimen Sri Aman itu yakin dengan terlaksananya program tersebut dapat mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.
“Dengan syarat semua pihak memainkan peranan dengan menerapkan nilai dan budaya bekerjasama sebagai satu komuniti tanpa mengira perbezaan pekerjaan, bangsa dan juga agama dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara.
“Saya berharap agar sinergi ini menjadi satu kuasa bersekutu ‘United Force’ kuat menjana semangat komuniti membentuk negara majmuk maju dan berjaya seterusnya menggerunkan penjenayah,” tambahnya.
Masir berkata program itu manifestasi kesedaran masyarakat pentingnya pencegahan jenayah tidak hanya semata-mata disandarkan kepada polis tetapi memerlukan penglibatan semua pihak seperti agensi-agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat,” jelasnya.
Melalui program itu, secara tidak langsung dapat mewujudkan jaringan hubungan lebih akrab dengan masyarakat dan polis.
Terdahulu, Acryl berkata PDRM sentiasa mendekatkan diri dengan komuniti dalam usaha membanteras jenayah.
Beliau berkata, PDRM tidak dapat bergerak sendiri tanpa bantuan komuniti dalam menyalurkan maklumat kepada mereka dalam menangani masalah-masalah jenayah.
“Mengikut tema ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ adalah satu landasan PDRM mengeratkan silaturahim dengan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti dalam memperkasa perkhidmatan menjaga keselamatan negara,” katanya.