Pembenihan awan terbantut akibat tidak kondusif; 463 sekolah di Kuching dan Samarahan ditutup semalam
![ARAH ANGIN: Jabu menunjukkan risalah hala tuju angin dan titik panas dari negara jiran kepada wartawan pada sidang media, semalam.]()
ARAH ANGIN: Jabu menunjukkan risalah hala tuju angin dan titik panas dari negara jiran kepada wartawan pada sidang media, semalam.
// Oleh Jessica Jawing dan Patricia Gari //
KUCHING: Hanya satu operasi pembenihan awan berjaya dilakukan di negeri ini sejak ia dimulakan pada 15 September lalu disebabkan keadaan cuaca tidak kondusif untuk berbuat demikian.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, operasi pembenihan awan yang sepatutnya turut dibuat semalam terpaksa ditangguh ekoran jarak penglihatan di lapangan terbang yang terhad, sekali gus tidak mengizinkan pelepasan pesawat.
“Pembenihan awan semestinya melibatkan keselamatan pesawat, kapten dan pergerakan di udara yang tertakluk kepada menara Kawalan Trafik Udara (ATC).
“Hari ini (semalam) sepatutnya pembenihan awan dilakukan, namun disebabkan faktor jarak penglihatan, ia tidak sesuai untuk pesawat dan kita menerima arahan daripada menara ATC di Kuching (untuk tidak berbuat demikian),” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Jabu berkata, selain jarak penglihatan, kekurangan awan sesuai juga menyumbang kepada tertangguhnya pembenihan awan kerana ia tidak kondusif untuk berbuat demikian.
“Jika ia boleh dilakukan, kita akan laksanakan secepat mungkin dan sekiranya cuaca bertambah baik dan ada kehadiran awan, maka malam nanti (17 September) kita boleh melakukan pembenihan awan.
“Namun, setakat ini jarak penglihatan menyebabkan ia perlu ditangguh kerana ATC mempunyai Prosedur Standard Operasi (SOP) yang menetapkan jarak tertentu untuk sesebuah pesawat diterbangkan,” tegasnya.
Bagaimanapun, Jabu memberitahu pasukan terlibat sentiasa bersiap sedia untuk melakukan pembenihan awan selain menunggu arahan daripada ATC.
463 sekolah ditutup
Mengulas mengenai keadaan jerebu yang semakin buruk di Sarawak, beliau memberitahu keadaan berjerebu akan kekal dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Jelasnya, ini berikutan perubahan atau corak angin yang tidak mungkin akan berubah secara drastik yang dibawa dari Kalimantan, Indonesia yang mempunyai banyak titik panas.
“Hala tuju angin dari selatan ke barat (dari Kalimantan) pastinya dibawa ke Kuching, Samarahan dan Serian khasnya dan buat masa ini, ia tidak akan berubah secara drastik menyebabkan cuaca jerebu berterusan di Sarawak,” ujar beliau sambil memberitahu jawatankuasa akan terus memantau perubahan angin.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 463 sekolah rendah dan menengah di bahagian Kuching dan Samarahan ditutup semalam ekoran keadaan jerebu di kedua-dua bahagian itu bertambah buruk.
Menurut statistik Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), jumlah itu melibatkan 265 sekolah di Bahagian Kuching, manakala 198 lagi sekolah di Bahagian Samarahan membabitkan 184,808 pelajar.
Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan JPNS berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bahagian Kuching dan Samarahan pada sebelah pagi melebihi 200 iaitu dikategorikan sangat tidak sihat.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah yang diminta mengulas mengenai situasi itu berkata, arahan penutupan sekolah adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Alam Sekitar.
“SOP yang Kementerian Pendidikan Malaysia ikut ialah arahan menutup sekolah dikeluarkan apabila bacaan IPU mencecah 200.
“Apabila bacaan IPU mencecah 200, guru besar atau pengetua perlu menutup sesi persekolahan tetapi dengan syarat perlu terlebih dahulu memaklumkan kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), kemudian ibu bapa. Itu juga terangkum dalam SOP,” katanya.
Fatimah selaku menteri bertanggungjawab terhadap pendidikan Sarawak berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sidang media mengenai sambutan Hari Wanita 2015 di sini, semalam.
Menurut beliau, JPNS sudah mengambil langkah berjaga-jaga sejak jerebu melanda negeri ini dengan mengeluarkan pekeliling memaklumkan aktiviti-aktiviti di luar kelas perlu dihentikan sekiranya bacaan IPU direkod ialah 150.
Bagaimanapun, Fatimah berkata elemen budi bicara digunakan oleh guru besar atau pengetua untuk menutup sekolah jika keadaan tidak selesa dan berbahaya tetapi perlu memaklumkan PPD.
“Sekarang persoalannya ialah, adakah kita akan menggunakan bacaan IPU 200 sebagai SOP? Ini kerana 150 dikategorikan tidak sihat, kalau 201 itu sangat tidak sihat. Saya rasa perkara ini perlu dikaji dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Ditanya sama ada sekolah gantian perlu, Fatimah berkata perkara itu akan ditentukan oleh kementerian nanti.
“Peraturannya ialah sekolah mesti mematuhi jumlah hari sekolah ditetapkan. Kalau banjir misalnya, sesi persekolahan perlu diganti, tetapi dalam hal ini, Menteri Pendidikan (Datuk Seri Mahdzir Khalid) mengatakan perkara itu akan ditentukan nanti.
“Kami akan mengadakan mesyuarat exco pendidikan peringkat kebangsaan pada 6 Oktober nanti, mungkin perkara ini akan dibincangkan,” jelasnya.
Fatimah juga memberitahu sekolah-sekolah yang terjejas akan dibuka semula jika bacaan IPU turun di bawah 150.
Portal Jabatan Alam Sekitar merekodkan bacaan IPU setakat jam 5 petang semalam menunjukkan sedikit penurunan iaitu Samarahan 196, diikuti Kuching (189), Sri Aman (143), Kapit (131) dan Sarikei (111).