Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Persatuan Veteran ATM Cawangan Serian terus dibantu

$
0
0

SERIAN: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Serian terus dibantu untuk mengadakan aktiviti pada masa akan datang apabila menerima sebanyak RM20,000 daripada Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan yang juga ADUN Tebedu Dato Sri Michael Manyin.

Bantuan dana tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri John David Nyauh ketika mewakili Manyin yang tidak dapat hadir bagi merasmikan Majlis Makan Malam Persatuan Veteran ATM Cawangan Serian di dewan SJK Chung Hua di sini, kelmarin.

Justeru, pengumuman jumlah bantuan tersebut amat menggembirakan ahli-ahli persatuan di mana pada ucapan aluan sempena majlis, Presiden Persatuan Veteran ATM Serian Sadoi Jangga telah menyuarakan permohonan untuk bantuan kewangan tersebut.

Sementara, majlis turut menyaksikan penyampaian pingat kepada 20 ahli veteran ATM yang berdaftar dengan cawangan Serian.

Penyampaian pingat kepada para penerima disempurnakan oleh Pengarah Kebajikan Veteran ATM Cawangan Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid.


Tabung Pahlawan sasar RM200,000

$
0
0

KUCHING: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Sarawak telah melancarkan Tabung Pahlawan peringkat negeri dengan menyasarkan mengumpul RM200,000 dalam tempoh tiga bulan.

Justeru, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil semasa menyempurnakan pelancarannya semalam berkata beliau yakin bahawa persatuan akan dapat mencapai sasaran tersebut dengan mendapat sokongan daripada masyarakat negeri ini.

“Saya yakin terdapat ramai dermawan di kalangan masyarakat kita akan menyumbang kepada tabung ini,” katanya pada majlis pelancaran yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Dr Jerip yang juga penaung bagi pusat khidmat persatuan tersebut menambah, pengorbanan serta sumbangan para pahlawan negara amat tinggi dan wajar diberi penghargaan.

“Tanpa jasa pahlawan-pahlawan ini, kita di Malaysia tidak akan dapat mencapai apa yang dinikmati sekarang,” katanya.

Sementara, majlis turut menyaksikan upacara penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 21 penerima dengan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Kapten Sharuddin Omar dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Sarawak Thomas Ling.

Pesara tentera sangat memerlukan rumah

$
0
0

Oleh Nick Fletcher //

Lebih setengah daripada kira-kira 2,000 ahli sangat memerlukan rumah mampu milik di bandar: Ling

KUCHING: Lebih setengah daripada kira-kira 2,000 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Sarawak adalah sangat memerlukan rumah mampu milik di bandar, kata Presidennya Thomas Ling.

“Saya percaya lebih setengah daripada ahli adalah tinggal di luar bandar dan adalah menjadi harapan persatuan untuk membantu mereka mendapatkan rumah.

“Kami akan mencuba untuk memberikan apa yang terbaik kepada ahli,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Pahlawan Peringkat Negeri di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut Ling, persatuan juga telah mengenal pasti beberapa tanah di Batu Kawa dan Siburan sebagai tapak berpotensi untuk membina rumah bagi ahli-ahlinya.

Pada masa sama, beliau juga berharap agar kerajaan negeri turut memberi tanah sesuai untuk persatuan membina rumah mampu milik.

“Kami sudah berbincang dengan penaung persatuan (Datuk Dr Jerip Susil) dan sekarang kami sedang merancang serta berusaha untuk mendapatkan tapak yang paling sesuai,” katanya.

Sementara, Dr Jerip yang juga hadir bagi menyempurnakan pelancaran Tabung Pahlawan tersebut berkata adalah agak sukar untuk mmeminta tanah negeri di kawasan bandar.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam menambah bahawa kawasan pinggir bandar seperti Serian dan Bau atau Kota Samarahan mungkin mempunyai tanah sesuai untuk persatuan membina rumah yang dicadangkan.

“Kami belum lagi menyerahkan sebarang permohonan berhubung perkara ini tetapi tugas yang paling penting sekarang adalah mengenal pasti tanah untuk skim perumahan bagi veteran,” katanya.

JTM komited lahir ramai pekerja mahir

$
0
0

MIRI: Jabatan Tenaga Manusia (JTM) komited melahir lebih ramai tenaga kerja berkemahiran bagi menjamin pengeluaran produktif.

Ketua Pengarahnya Chin Phaik Yoong berkata, ia termasuk menjalin kerjasama erat dengan pelbagai industri bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja berkemahiran.

“JTM melalui Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di Sarawak menjalin kerjasama dengan Petronas Management Training Sdn Bhd dalam program latihan pemasangan paip gas,” katanya pada Majlis Konvonkesyen ILJTM Wilayah Timur barubaru ini.

Beliau berkata kerjasama itu dapat meningkatkan tahap tenaga kerja bagi memenuhi keperluan terutama industri minyak dan gas di Sarawak.

Di samping itu, ILP Kota Samarahan dan Miri turut bekerjasama dengan pengamal industri lain iaitu 17,676 pekerja sedia ada telah dilatih kursus jangka pendek dari 2007 hingga 2014.

Antara syarikat yang terlibat ialah Shamelin Group of Companies, Bakun Hydro Electric, Sarawak Energy Berhad, Sapura Kencana, Petroleum Sdn Bhd, Petra Energy Resources dan sebagainya.

“Kami berharap lebih ramai belia lepasan sekolah di Sarawak mengikuti program latihan berasaskan kemahiran bagi menjamin Malaysia mempunyai bekalan tenaga kerja berterusan,” jelasnya.

Sementara itu, antara program latihan kemahiran ditawarkan di ILP Miri dan Kota Samarahan ialah Teknologi Kimpalan, Automotif, Pemesinan, Instrumen, Elektrik dan Mekatronik.

Selain itu turut ditawarkan ialah Teknologi Reka Bentuk Produk Industri, Teknologi Penyejubekuan dan Penyamanan Udara dan Teknologi Pemasangan Paip Minyak dan Gas.

Semua program latihan itu boleh diikuti belia lepasan sekolah dan ia bergantung kepada minat mereka dalam industri yang kini sedang berkembang pesat.

Kedua-dua ILJTM Miri dan Kota Samarahan telah mengeluarkan sejumlah 5,387 graduan yang telah memiliki sijil kemahiran dalam bidang masing-masing.

SUPP bersiap sedia menuju transformasi: Dr Sim

$
0
0

Oleh Watt Zacchaeus //

Parti telah berwajah baharu dengan kepimpinan baharu hadapi masa depan mencabar

BERSATU: Dr Sim mengetuai ahli-ahli parti melaung slogan Sa’ati pada Mesyuarat Agung Pertama dan Pemilihan Jawatankuasa SUPP Cawangan Pelawan di Sibu, petang kelmarin.

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bersiap sedia menuju transformasi seiring dengan keperluan dan perubahan semasa.

Presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian berkata parti itu telah berwajah baharu dengan kepimpinan baharu untuk menghadapi masa depan yang mencabar.

“Kita komited memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat dengan mendengar masalah mereka seterusnya menyelesaikannya mengikut kemampuan kita,” katanya pada Mesyuarat Agung Pertama dan Pemilihan Jawatankuasa SUPP Cawangan Pelawan di sini, kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting.

Pada mesyuarat itu, Clarence Ting sebulat suara dipilih sebagai pengerusi SUPP Cawangan Pelawan untuk sesi 2014-2017.

Dr Sim berkata, SUPP akan terus turun padang bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat serta memfokuskan keperluan rakyat.

“Selain itu, kita memfokuskan golongan belia dengan membuka keahlian kepada mereka.

“Ini kerana masa depan parti bergantung kepada golongan belia sebagai pemimpin masa depan.

“Dengan dianggotai anakanak muda dalam parti, akan mewujudkan keyakinan kita untuk memberi kepercayaan kepada mereka meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Menurutnya, SUPP memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang dengan kepimpinannya.

Terdahulu, Clarence berkata cawangan itu ditubuhkan mengikut prinsip-prinsip parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan setiap parti komponen BN perlu menubuhkan cawangan di setiap bahagian pilihan raya negeri bagi berkhidmat kepada rakyat.

Jelasnya, selepas penubuhan cawangan itu, bahagian sayap belia dan wanita cawangan akan ditubuhkan termasuk satu unit Bumiputera turut diwujudkan.

“Kami juga akan menubuhkan sebuah Unit Bumiputera untuk berhubung dengan penduduk di kawasan Pelawan secara keseluruhannya agar mempunyai pemahaman mendalam tentang isu-isu kehidupan yang dihadapi dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Penubuhan cawangan ini adalah memberi pemahaman jelas dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap sudut dan kami merancang cara-cara berkesan bagi mendekati rakyat,” katanya.

Sementara itu, pada pemilihan jawatankuasa cawangan tersebut, jawatan timbalan pengerusi disandang Ting Tien Huat.

Tiga naib pengerusi ialah Song Ik Swee, Kong Leh En dan Nee Lian Chin.

Michael Tiang Ming Tee dipilih sebagai setiausaha dan dibantu oleh Kho Siew Hie.

Jawatan bendahari pula disandang Kung Sie Chai.

Ling Hua Wee dipilih sebagai ketua bahagian pemuda manakala Kho Chu Ing dipilih sebagai ketua bahagian wanitanya.

Jawatan-jawatan lain dipangku Lovetta Tiong Leh Eng sebagai setiausaha penganjur, Wong Eng Siong (penolong setiausaha penganjur), Andy Ting King Dieng (publisiti dan informasi setiausaha), Low Muong Ing (setiausaha kebajikan), Yiing Sy Huat (penolong setiausaha kebajikan), Albert Taing Ming Ing (setiausaha hal ehwal), Joseph Yong (penolong setiausaha hal ehwal), Chiew Hung Ngiik (ketua bahagian rekreasi) dan Ting Hua Soong (ketua hubungan awam).

Guru perlu sedia hadapi aplikasi PIPPN

$
0
0

SIBU: Warga pendidik perlu berusaha gigih untuk menghadapi cabaran yang diletak di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara (PIPPN), kata Pengetua Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Lanang Sin Yet Ngo.

Bercakap pada satu majlis makan malam sekolah tersebut di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin, Sin berkata guru mesti bersedia memberi komitmen sepenuhnya mendidik pelajar sebagai pewaris masa depan negara.

Katanya beliau menghadiri satu forum melibatkan pengetua sekolah baru-baru ini dan ini telah mendedahkannya dengan institusi pendidikan kini sedang mengubah ke arah misi pendidikan negara menerusi pelan tersebut.

“Persiapan kita bagi pelan pendidikan harus rapi. Ia adalah cabaran globalisasi kita pada masa kini,” katanya.

Beliau turut menggesa pelajarnya supaya berkorban masa untuk pelajaran demi kepentingan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Beliau berkata selain daripada persiapan akademik, pelajar juga harus belajar untuk menghadapi kehidupan di luar sekolah.

Beliau berharap guru membantu membentuk pasukan yang dapat membawa pelajar ke arah prestasi baik dan cemerlang.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lanang Wan Redzuan Wan Mohsen menggesa guru bersedia memimpin pelajar dalam mengambil peperiksaan awam PT3 yang baharu diperkenalkan.

“Guru harus bersikap adil dan mereka juga harus menjaga hubungan baik dengan pelajar,”katanya.

Redzuan bagaimanapun melahirkan rasa kecewanya bahawa terdapat ramai pelajar dan guru terus berjauhan dan tidak menghubungi satu sama lain selepas tamat sekolah.

Mengenai prestasi pelajar, beliau berharap pelajar dapat memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan awam bagi mengharumkan nama sekolah, guru dan ibu bapa. Turut hadir pada majlis tersebutpara guru serta ahli-ahli jawatankuasa PIBG sekolah.

Empat sekolah bersaing rebut Anugerah Beyond Borders Zon Timur

$
0
0

SIBU: Sebanyak empat sekolah bersaing untuk merebut Anugerah Beyond Borders Zon Timur dianjurkan di SK Sibu Jaya semalam.

Keempat-empat sekolah berkenaan terdiri daripada SK Sibu Jaya, SK Kampung Jepak, Bintulu, SK Merpati, Sandakan dan SK Patau-Patau, Wilayah Persekutuan Labuan.

Program tersebut disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Datuk Abdul Hamid Mohamad Ali.

Abdul Hamid memberitahu, program itu memberi penekanan terhadap penguasaan mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan di samping kefahaman, keupayaan bertutur dan menulis dengan baik.

Beyond Borders bertemakan ‘berikan mereka sayap dan biarkan mereka terbang’, bertujuan menyokong usaha membantu murid-murid dalam kategori kurang mampu atau tidak bernasib baik untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pembangunan sahsiah.

Antara program dianjurkan termasuk bengkel guru-guru dengan pendedahan modul pengurusan projek, pengajaran kreatif dan kemahiran komunikasi serta bengkel penulisan kreatif bagi murid-murid tahun empat terhadap karangan Bahasa Inggeris di samping menguasai pemikiran kreatif.

“Paling penting, kami mahu menggalakkan semua guru dan pelajar terus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan menyanjungi kepentingan pendidikan sebagai satu budaya.

“Kami percaya pemberian ganjaran adalah kaedah terbaik untuk memotivasikan mereka, justeru, anugerah ini dianjurkan,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, sejak diperkenalkan sebanyak 29 sekolah di seluruh negara dan lebih 4,200 pelajar terlibat dalam program berkenaan.

Bagi edisi ketiga penganjurannya, tujuh sekolah angkat dari enam negeri mengambil bahagian.

Edisi pertama program itu berlangsung dari 2007 hingga 2009, manakala edisi kedua berlangsung pada 2010.

Sementara itu edisi ketiga yang bermula tahun lalu akan berakhir pada 2016.

Rakyat luar bandar harus sedia terima perubahan

$
0
0

MIRING: Ketibaan Mawan dan rombongan disambut dengan adat masyarakat Iban.

SARATOK: Masyarakat luar bandar harus bersedia dengan perubahan yang dibawa Bajet 2015 yang memberi fokus kepada pembangunan dan kemajuan kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, secara dasarnya perancangan dan peruntukan Bajet 2015 memberi tumpuan terhadap keperluan masyarakat luar bandar.

“Jika kita lihat peruntukan pada bajet tahun depan, sebanyak 80 peratus adalah untuk membangunkan kawasan luar bandar. Justeru, masyarakat harus membuat perancangan awal tentang perkara yang bakal dimanfaatkan daripada bajet berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (PBR) di Rumah Ujang Bing, Sungai Raba, Ulu Budu, dekat sini, semalam.

Katanya masyarakat harus memikirkan bagaimana peruntukan itu dapat dimanfaat khususnya bagi perkara penting dan wajib.

Pada majlis sama, Mawan berkata masyarakat harus mengadakan perbincangan dan mesyuarat bersama ketua masyarakat atau ketua kaum bagi membincangkan isu sedia ada.

“Masyarakat luar bandar perlu bersedia bersaing dalam merebut peluang serta tidak mempersia kemudahan yang disedia kerajaan.

“Ini bukan masa untuk kita bertelagah berkaitan isu politik yang tidak pernah berkesudahan. Lupakan semua itu, tetapi berusaha supaya bangkit dan membangun bersama,” katanya.

Mawan menjelaskan, rakyat perlu merebut peluang untuk bersaing dalam pembangunan dan kemajuan yang sedang giat digerak oleh kerajaan BN.

“Dewasa ini, semua perkara memerlukan kepantasan dan kebijaksanaan dalam merebut peluang yang ada kerana lambat atau leka sudah pasti akan ketinggalan,” kata Mawan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok turut menggalak masyarakat rumah panjang dan kampung supaya kerap mengadakan forum dan mesyuarat secara bersama.

Jelasnya, langkah ini amat penting untuk mendapatkan informasi daripada peringkat akar umbi tentang masalah yang membelenggu mereka.

“Pada masa yang sama, organisasi ini harus bertindak mengemuka hasil perbincangan bersama ini di peringkat kepimpinan untuk mencari jalan penyelesaian,” kata Mawan.

Sementara itu, Kaunselor Jemat Unding dalam ucapan alu-aluannya berkata,  melalui kepimpinan Barisan Nasional (BN) selama ini banyak pembangunan telah disalur kerajaan untuk rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Keadaan ini menggambarkan kepimpinan dan kerajaan BN tidak pernah mengabai rakyat, tidak kira di mana mereka berada serta fahaman politik yang diamalkan.

“Jika kita melihat pada hari ini banyak pembangunan dan kemajuan telah disalur di kawasan luar bandar, ia merangkumi beberapa kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, sekolah dan sebagainya,” katanya.

Katanya situasi itu sedikit sebanyak telah memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya dalam meningkat taraf sosioekonomi penduduk setempat.

Pada majlis itu, Mawan turut mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ujang.

Turut hadir sama pada majlis ini ialah Pegawai Daerah Saratok Mohd Ikmal Abdullah, ketua-ketua masyarakat serta sekitar 250 orang penduduk setempat.


Pewaris muda perlu lebih matang dalam menerima, menyebar maklumat

$
0
0

PADAWAN: Pewaris muda yang menjadi pencorak masa depan negara perlu lebih matang dalam menerima serta menyebar maklumat yang boleh memberi impak negatif terhadap perpaduan negara.

Pemangku Pengarah Penerangan Negeri Zaidi Mohamad berkata, pewaris muda banyak terdedah dengan lambakan maklumat, pelbagai rintangan dan cabaran.

Namun, penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

“Contohnya, lambakan khabar angin menerusi media baharu berhubung isu Sabah dan Sarawak keluar Malaysia telah menimbulkan suasana panik dan kelam-kabut rakyat.

“Jangan jadikan ia mainan politik kerana bukan sahaja melibatkan perkauman dan perpaduan malah boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pewaris Muda 1Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2014 di Kampung Darul Islam Belimbing semalam.

Program tersebut berlangsung pada 1 dan 2 November melibatkan 63 penuntut IPG Batu Lintang pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang, bangsa, fahaman politik dan agama.

Ujarnya, program tersebut dapat meningkatkan penghayatan silaturahim mahasiswa selain membentuk jaringan komunikasi antara jabatan dan komuniti setempat melalui perkongsian ilmu, sesuai dengan agenda nasional untuk melahirkan rakyat, jati diri, cintakan negara, bersemangat kekitaan 1Malaysia dan bermentaliti kelas pertama.

Penduduk kampung dan pewaris muda berganding bahu untuk menjayakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, kenduri serta menjaga dan mengindahkan persekitaran kediaman secara sukarela.

Beliau juga menuntut pewaris muda untuk lebih kreatif dan inovatif dengan minda yang berdaya saing, bijaksana, sentiasa mencari idea-idea baharu untuk menjadi yang terbaik dan berupaya memberi idea yang bermutu dan bertaraf dunia dalam melahirkan pemimpin yang berkualiti demi mendukung aspirasi kerajaan.

Pada majlis itu juga diserahkan bantuan berupa barang keperluan asas dan wang tunai daripada pihak jabatan kepada pesakit lumpuh Bohari Affandi, 55,yang telah menderita selama empat tahun.

Turut hadir Ketua Kaum Kampung Darul Islam Belimbing Hussein Banyak, Pengarah IPG Batu Lintang Ipod Angki, Timbalan Pengerusi MPP Dr Zaiedi Suhaili dan Pengurus FELCRA Kawasan Belimbing Mohd Yusuf Manshor.

Pencegahan jenayah jadi keutamaan NKRA

$
0
0

Oleh Mastura Ismail //

Undang-undang, pelaksanaan serta kaedah terbaik dilaksana agar indeks jenayah dapat dikurangkan

PERANGI BERSAMA: Henry (tiga kiri),Naroden, Awang Tengah, Dr Yusuf, Hussaini (kiri) bersama pelajar sekolah di Stadium Tertutup Lawas kelmarin.

LAWAS: Pengurangan dan pencegahan jenayah dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) terus menjadi keutamaan kerajaan untuk dilaksana secara menyeluruh di seluruh negara.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, melalui NKRA, undang-undang dan pelaksanaan serta kaedah terbaik dilaksana agar indeks jenayah dapat dikurangkan melalui tanggungjawab bersama masyarakat.

Menurutnya,walaupun pelaksanaan undang-undang diperkasa namun masih wujud jenayah dalam masayarakat dan ia memerlukan penglibatan menyeluruh masyarakat, bukan bergantung sepenuhnya kepada pasukan keselamatan.

“Aspek pencegahan jenayah menjadi keutamaan kerajaan dalam NKRA. Ia harus ditangani bersama kerana jenayah boleh menimbulkan ketakutan dan huru-hara dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pendidikan Pecegahan Jenayah Peringkat Pelajar Sekolah Daerah Lawas anjuran Yayasan Yayasan Pencedahan Jenayah Malaysia Sarawak (MCPF) di sini kelmarin.

Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Pengarah Unit Keselamatan Negeri yang juga Setiausaha dan Exco MCPF Datu Dr Yusuf Nook dan Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim.

Awang Tengah berkata masyarakat perlu berani tampil ke depan untuk mencegah jenayah termasuk tidak takut dan gentar kepada penjenayah.

Jelasnya, harus diingat bahawa kesan buruk ancaman jenayah boleh menjejas kemasukan pelabur ke negara ini kerana sudah pasti tiada negara yang mahu melabur di lokasi panas jenayah.

Pada masa yang sama, beliau mahu kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar diperangi habis-habisan selaras dengan era globalisasi yang diancam kemasukan pengaruh sosial negatif.

“Jenayah membabitkan golongan muda ini perlu diperangi di peringkat awal termasuk peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah.

“Di sini, peranan institusi keluarga diperlukan untuk memantau perkembangan anak masing-masing,” katanya.

Awang Tengah menjelaskan, golongan muda merupakan peringkat mencabar kerana sikap ingin mencuba tanpa memikir kesan buruk kemudian hari.

“Oleh itu, peranan semua komuniti amat diperlukan. Ia bermula daripada institusi keluarga harmoni, masyarakat yang prihatin dan bekerjasama dengan pasukan keselamatan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi MCPF Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais berketa

setakat ini Sarawak hanya mempunyai 116 kelab pencegahan jenayah berbanding 6,000 kelab sama di Malaysia yang mencecah lebih 400,000 ahli berdaftar di negara ini.

Henneser Uning pemanca Penan yang pertama

$
0
0

MARUDI: Bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lamai, Henneser Uning Bong dilantik menjadi pemanca pertama bagi suku kaum Penan di daerah Baram dan bahagian Miri.

Pelantikan Uning sebagai pemanca untuk kaum tersebut diumumkan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Perkhidmatan (RSC) di Ba Muboi, Selaan, baru-baru ini.

Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian memberitahu, pelantikan Uning itu adalah tepat, memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran dan mempunyai pendidikan tinggi untuk mentadbir suku kaumnya sendiri.

Beliau merupakan anak Penan yang berasal dari Long Lamai, Ulu Baram dan sebelum bersara daripada bidang pendidikan, beliau telah memutuskan untuk berkhidmat di kampung halamannya sendiri, SK Long Lamai, sejajar dengan usaha beliau mahu meningkatkan taraf pendidikan di kalangan anak-anak Penan di Ulu Baram.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan melalui Pejabat Residen dan Pejabat Daerah turut melantik seramai enam penghulu bagi menjaga kawasan masing-masing iaitu terdiri daripada Penghulu Juing Lihan yang menjaga kawasan Patah.

Beliau pernah membantu beberapa NGO selama 22 tahun dan diamanahkan menyandang jawatan penghulu bagi membantu kerajaan.

Turut dilantik Tebaran Siding (penghulu bagi kawasan Tutoh-Apoh), Ajang Kiew (penghulu kawasan Akah/Patah) yang juga merupakan bekas pengerusi Persatuan Penan Sarawak dan pernah menjadi orang kuat Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Keempat ialah John Bong (penghulu kawasan Akah) serta Daud Suk yang berusia 39 tahun, penghulu termuda yang pernah dilantik dan beliau ialah penghulu bagi kawasan Jekitan.

Terakhir ialah Penghulu Apek Bala yang dilantik semula untuk kawasan Long Lamai, Long Beruang dan Long Banga.

Dalam pada itu, Jabu mengingatkan masyarakat Penan supaya jangan sesekali menyokong parti pembangkang yang hanya memperalatkan mereka dan pada masa yang sama tidak melakukan sesuatu pun untuk masyarakat Penan.

“Mereka, pihak NGO dan pembangkang ini hanya pandai membohongi masyarakat Penan, lebih-lebih lagi untuk menentang kerajaan dan menolak pembangunan yang hendak dibawa oleh kerajaan.

“Sebaliknya kaum Penan perlu memberi sokongan padu kepada wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat sendiri dan kerajaan Barisan Nasional yang benar-benar ikhlas membela masyarakat pelbagai kaum termasuk kaum Penan,” jelas beliau.

Sehubungan itu Jabu menasihati masyarakat Penan yang lain termasuk di kawasan Selunggo seperti Long Sait, Long Kerong dan Long Sepigen supaya belajar daripada masyarakat Penan yang sudah mulai maju dan menikmati pembangunan kerana menyokong kerajaan BN.

“Saya tahu masyarakat Penan di kawasan Selunggo masih kuat menyokong PKR dan NGO,” katanya sambil berharap golongan itu akan sedar juga suatu hari kelak, betapa mereka telah diperguna dan diperalatkan oleh pihak tersebut.

Hadir sama ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Adat Bumiputera/Hal Ehwal Penan) Datuk John Sikie Tayai, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Pengarah Unit Perancangan Negeri (SPU) Ismawie Ismuni serta lain-lain.

Graduan harus menguasai bahasa Inggeris

$
0
0

Oleh Rusnan Mustafa //

Hanya 30 peratus graduan kuasainya, berjaya tempatkan diri dalam peluang pekerjaan

TAHNIAH: Jabu menyampaikan ijazah kepada graduan UNIMAS.

KOTA SAMARAHAN: Graduan institusi pengajian tinggi (IPT) digesa memperkasa penguasaan bahasa Inggeris untuk bersaing menempatkan diri dalam dunia pekerjaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang mendedahkan, hanya 30 peratus graduan IPT menguasai sepenuhnya bahasa itu sekali gus berjaya menempatkan diri dalam peluang pekerjaan.

Beliau menegaskan bahawa penguasaan bahasa antarabangsa itu penting bagi memperluas jaringan kerjasama dengan negara luar dalam usaha kerajaan untuk mencapai status negara maju.

“Justeru, saya berharap Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dapat terus memainkan peranan dalam melahirkan graduan berkebolehan kerana saya percaya pencapaian yang dikecapi UNIMAS pada masa kini adalah sangat membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UNIMAS di Dewan DeTAR Putra, di sini semalam.

Jabu yang juga Pro Canselor UNIMAS berkata, adalah penting untuk menyelaraskan kepentingan dalam memfokus ke arah bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Pada masa sama, beliau menyarankan agar ibu bapa tidak lokek untuk membiayai anak mereka melanjutkan pengajian ke  peringkat lebih tinggi.

“Biar kita ‘berkikis bulu betis’ untuk membolehkan anak-anak mendapat pendidikan hingga ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan mereka yang lebih baik,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut menggesa agar graduan tidak berhenti untuk menimba ilmu sebagai bekalan menghadapi cabaran luar.

“Ia selari dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan budaya mencintai ilmu perlu diteruskan dan diperkasakan dalam kalangan graduan sebagai bekalan mengharungi dunia terbuka di luar sana,” ujarnya.

Pada hari kedua konvokesyen itu, seramai 643 graduan daripada Fakulti Ekonomi dan Perniagaan serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan menerima ijazah masing-masing.

Hadir sama Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan tetamu kehormat lain.

Hanya 30 peratus graduan yang menguasai bahasa Inggeris berjaya menempatkan diri dalam peluang pekerjaan.

Bapa bangga tiga anak bergelar graduan

$
0
0

HADIAH PALING BERNILAI: Cherrysca ditemani bapanya (kanan) dan keluarga melihat ijazah yang diterimanya.

KOTA SAMARAHAN: “Hati bapa mana yang tidak gembira melihat anak mereka berjaya hingga ke universiti,” kata Alexander Anthony Banyan, bapa kepada graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-18 semalam.

Anthony memberitahu, lebih menggembirakan apabila tiga daripada lima anaknya itu berjaya bergelar graduan universiti pada bulan yang sama.

“Bulan ini merupakan bulan bertuah saya dan isteri kerana kami menerima tiga jemputan untuk majlis konvokesyen ketiga-tiga anak kami.

“Saya amat bangga kerana anak-anak dapat berjaya melangkah ke universiti dan menamatkan pengajian masing-masing,” katanya ketika ditemui semalam.

Anaknya Cherrysca Dante berusia 24 tahun kini bergelar doktor selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan UNIMAS.

Ngeri, kemaluan wanita tertusuk kayu

$
0
0

KUCHING: Seorang suri rumah mengharungi detik cemas apabila sebatang kayu patah tertusuk di celah pahanya selepas tergelincir di kediamannya di Penempatan Semula Sungai Apong di sini, semalam.

Insiden sekitar jam 10 pagi itu berlaku ketika mangsa, ibu kepada empat  anak itu sedang menjemur pakaian di luar kediaman mereka.

Mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan gagal mengawal imbangan badan akibat permukaan lantai yang licin lalu tergelincir apabila kayu itu dikatakan tertusuk di bahagian kemaluannya.

Dia yang kemudian kelihatan berlumuran darah di kain, menjerit kesakitan dan hanya terbaring sehingga suaminya datang memberi pertolongan.

Suami mangsa sempat menarik kayu itu keluar sebelum membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan.

Keadaan mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil.

REMUK: Kakitangan HUS dan orang ramai memberi bantuan kepada doktor dan rakannya.

Dalam kes berasingan, seorang doktor bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan apabila Perodua Viva yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan yang berlaku awal pagi semalam.

Dalam insiden sekitar jam 2.43 pagi itu, dia bersama seorang rakan dikatakan menuju ke Jalan Green apabila berlanggar dengan sebuah Toyota Camry di kawasan lampu isyarat.

Camry itu dikatakan menuju ke arah Batu Tiga dari Satok, melalui Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.

Punca kemalangan belum dapat dipastikan dan polis sedang menyiasat.

Gaduh Piala Malaysia

$
0
0

Oleh Watt Zacchaeus //

Empat orang termasuk tiga beranak bergaduh gara-gara bertaruh keputusan perlawanan akhir Piala Malaysia, JDT-Pahang, malam kelmarin

PADAH: Rakan si ayah terbabit dibawa keluar dari balai polis bagi dikenakan tahanan reman selama tiga hari bermula semalam.

SIBU: Empat orang termasuk tiga beranak bergaduh gara-gara bertaruh keputusan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang, malam kelmarin.

Pergaduhan dipercayai tercetus membabitkan wang pertaruhan sebanyak RM20.

Sebelum kejadian itu, pasangan suami isteri bersama tiga anaknya termasuk seorang rakan suami sedang menonton siaran langsung perlawanan bola sepak sekitar jam 11 malam di rumah sewa mereka di Jalan Lanang di sini.

Salah seorang anak berusia 16 tahun dikatakan bertaruh keputusan perlawanan tersebut dengan bapanya dan rakan bapanya.

Semasa pertaruhan itu, keputusan perlawanan dikatakan memihak kepada anaknya dan dia dikatakan meminta RM20 daripada mereka (ayah dan rakan ayahnya) setelah kalah pertaruhan terbabit.

Apabila permintaannya tidak dipenuhi, si anak itu dikatakan telah bertindak kasar dengan mencederakan bapanya dan rakan bapanya.

Ayahnya difahamkan cedera di bahagian kening manakala rakan bapanya cedera di mata.

Si bapa dan seorang lagi anak lelakinya berusia 24 tahun yang berang dengan tindakan anaknya itu, difahamkan bertindak membalas perbuatan anaknya.

Bapanya yang marah dengan perbuatan anaknya itu dikatakan mengambil pisau dari dapur lalu menikam anaknya sehingga cedera di bahagian perut.

Polis kemudian bergegas ke tempat kejadian setelah menerima laporan dan menahan keempat-empat suspek bagi membantu siasatan.

Menurut polis, empat suspek kini diletakkan di bawah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam.


700 orang berdaftar sebagai pengundi baharu Marudi

$
0
0

SOKONGAN MORAL: Entri (enam kiri) hadir sama bagi mengalu-alukan kehadiran orang ramai di pusat pendaftaran SPR yang dibuka di Pusat Khidmat Masyarakat di Beluru.

MIRI: Sesi pendaftaran bagi pengundi baharu yang diadakan di pekan kecil Beluru di sini, anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), baru-baru ini, mendapat sambutan hangat daripada penduduk, daripada golongan muda hingga dewasa yang belum berdaftar.

Seramai 700 orang telah mendaftar untuk menggunakan hak demokratik mereka memilih wakil pada pilihan raya akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Sylvester Entri Muran yang juga Menteri Muda Perladangan dan Menteri Muda Bekalan Air, turut hadir di kaunter pendaftaran tersebut bagi ‘menyambut’ kehadiran yang ramai dan tidak dijangka daripada penyokong pro-BN (Barisan Nasional) di kawasan Marudi itu.

“Kehadiran ini memperlihatkan sokongan yang kuat kepada kerajaan BN di Marudi dan bukti bahawa penduduk di sini mahu terlibat dalam politik pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.

Entri berkata BN sentiasa mengalu-alukan pendaftaran pengundi baharu ini dan menganggap ia amat penting dalam usaha mempertahankan kerusi Marudi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan meneruskan trend pembangunan tanpa ‘gangguan’ di kawasan ini.

Beliau berkata jumlah yang tinggi datang untuk pendaftaran tersebut menunjukkan bahawa penduduk Marudi mengetahui peranan mereka dan menjalankan hak-hak sebagai pengundi, mengingatkan pemimpin aspirasi mereka untuk pembangunan dan kemajuan yang lebih besar dan menguntungkan mereka melalui proses pilihan raya.

Entri yang baharu dilantik sebagai setiausaha agung TERAS merangkap pengerusi TERAS Marudi, berkata ia juga merupakan petunjuk kepada sokongan yang semakin meningkat kepada TERAS, yang turut menyokong usaha oleh SPR itu.

Katanya TERAS Marudi bekerjasama rapat dengan SPR untuk menjalankan sesi pendaftaran bagi kawasan N66 Marudi di pusat khidmat masyarakatnya di pekan kecil Beluru, Bakong dekat sini.

Sesi pendaftaran tersebut bermula pada jam 11 pagi dengan dua pegawai SPR bertugas untuk mendaftarkan orang ramai yang berjumlah 700 orang membanjiri pusat berkenaan di Beluru dan berakhir pada jam 2.30 petang kerana kehabisan borang pendaftaran.

Kawasan N.66 Marudi merupakan kawasan DUN yang mempunyai 13,093 pengundi berdaftar ketika PRN 2011 yang dimenangi oleh Entri selepas pertarungan empat penjuru.

Entri berjaya mendapat 5,466 undi dan mencatatkan majoriti 3,898 undi mengalahkan calon PKR dan dua lagi calon Bebas dalam pertandingan itu yang turut menyaksikan 58.03 peratus orang keluar mengundi.

Jabu sokong program pembangunan Adenan

$
0
0

Oleh W. Bolly Ongie //

Visi Adenan sama dengan bekas Ketua Menteri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, kata Jabu

RASMI: Jabu menyempurnakan perasmian bangunan RSC di Ba Muboi sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

MARUDI: Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang memberi sokongan kepada semua program pembangunan oleh Ketua Menteri yang baharu Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, yang mana visinya sama dengan bekas Ketua Menteri yang juga Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmmud.

Katanya kedua-dua pemimpin itu tidak mudah melupakan masyarakat di luar bandar termasuk masyarakat Orang Ulu dan kaum Penan khasnya.

Katanya masyarakat Penan tidak akan ditinggalkan dengan pelbagai pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), sebaliknya apa yang ‘merosakkan’ kaum minoriti ini adalah mereka yang menggelarkan diri sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang mengaitkan diri dengan parti pembangkang seperti PKR yang mengajar kaum Penan menentang kerajaan.

Katanya golongan tersebut yang mengajar masyarakat Penan untuk mengadakan pelbagai halangan bagi menuntut pampasan daripada syarikat pembalakan dan menjadikan kaum Penan malas bekerja kerana mengharapkan pampasan yang diberi oleh syarikat pembalakan.

Justeru Jabu menasihati kaum Penan agar sentiasa bersyukur dan mengingat jasa orang yang pernah membantu mereka, seperti Datuk Temenggong Hassan Sui, serta jangan menjadi seperti kacang lupakan kulit.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Perkhidmatan (RSC) di Ba Muboi, Selaan, baru-baru ini.

RSC Ba Muboi terletak kira-kira lapan jam pejalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Miri.

Menurut Jabu, kerajaan berhasrat memberi bantuan kepada masyarakat Penan sama ada di Ulu Baram, Limbang, Layun, Selaan dan di mana sahaja di negeri ini.

Bagaimanapun beliau kesal dengan sikap Penan dari kawasan Selunggo seperti Long Sait, Long Kerong, Long Sepigen yang masih lagi membantu NGO meskipun mereka digunakan sebagai alat oleh golongan tersebut untuk menentang pembangunan kerajaan dan lebih mengecewakan apabila mereka menolak beliau (Jabu), ketika mahu datang melawat kawasan tersebut.

“Kalau mereka mahu menyokong parti pembangkang atau NGO, maka kita (kerajaan) tidak dapat berbuat apa-apa terhadap mereka kerana golongan ini hanya mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Jabu juga bercadang untuk membawa Penan di kawasan Selaan menanam getah yang berkualiti tinggi seperti di Long Beruang dan Long Peluan, Long Banga dan bercadang membina Sekolah Menengah K9 seperti SMK K.9 di Long Bedian yang mempunyai 450 orang pelajar dan 78 peratusnya adalah pelajar Penan dari Ba Muboi.

Pada majlis tersebut Jabu turut mengumumkan peruntukan RM30,000 bagi Persatuan Penan (PETIPUN) untuk menjalankan aktiviti kraf tangan dan juga dua mesin pemotong ubi dan pisang untuk membuat kuih.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Adat Bumiputera/Hal Ehwal Penan) Datuk John Sikie Tayai serta ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan ramai lagi.

FORUM anjur Pesta Sukan Tradisional Orang Ulu di Miri

$
0
0

MIRI: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) dan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) menganjurkan pesta sukan tradisional Orang Ulu pada 8 November ini di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) bermula jam 7 pagi.

Pesta yang dinamakan Sukan Rakyat FORUM & KPS bakal mengetengahkan permainan tradisi sembilan etnik utama Orang Ulu di Sarawak.

Penasihat pesta sukan berkenaan, Dennis Ngau Jok berkata pesta itu adalah pertama kali diadakan di Sarawak dan dianggarkan lebih 1,000 orang bakal hadir.

“Kita anggarkan 1,000 hadirin manakala seramai 600 lagi adalah terdiri daripada peserta yang menjayakan sukan dan permainan,” katanya pada sidang media bersama ahli jawatankuasa penganjuran di sini baru-baru ini.

Menurutnya, objektif penganjurannya untuk mengekalkan sukan serta permainan tradisional Orang Ulu terutama kalangan belia di samping mempertemu semua kesembilan etnik utama Orang Ulu Sarawak antara satu sama lain.

Antara sukan yang bakal dipertandingkan ialah tarik tali, menyumpit, lari dalam guni, gasing tradisi Orang Ulu, menebar jala, mencucuk manik dan menarik pelepah pinang.

Pada masa sama, Dennis menyeru semua etnik Orang Ulu datang dan memeriahkan pesta sukan itu.

Sementara itu, pada sebelah malamnya diadakan penyampaian hadiah pemenang di Eastwood Valley Golf & Country Club dan bakal dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi Laing Uvang di talian (019-885154-Kayan), Anthony Kule Lalo (019-8340384-Kenyah), Johnny Yahya (019-8242181-Lun Bawang), Leonard Lucas (010-7707056-Lakiput), Henry Madai (013-8417457-Bisaya), Ferdinand Riuh Lagoi (019-4877855-Penan), Willie Tingai (019-8745297-Saban), Christini Bala (013-8092901-Kelabit) dan Francis Tangah (019-4591624-Berawan).

AYCLIVE@WAYANG STREET gegar Kuching, 8-9 November ini

$
0
0

KUCHING: Program anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM), AYCLIVE@WAYANG STREET kali kelima yang juga acara kemuncak untuk #AYClive 2014 akan kembali menggegarkan bandar raya ini pada 8 dan 9 November ini.

Program itu antara lain akan menyaksikan AZAM Young Souls dengan kerjasama komuniti muzik Indie tempatan, Midtown Indie Spiral, akan mengumpulkan beberapa kumpulan bebas utama di seluruh Kuching, termasuk dari luar seperti dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu untuk beraksi pada konsert mini sepanjang hari itu kelak.

Program AYCLive diadakan sekali dalam beberapa bulan oleh Pusat Belia AZAM, di bawah program pembangunan belia untuk menyediakan landasan bagi belia-belia terlibat aktif dalam aktiviti-aktiviti membangunkan diri sambil menyumbang kepada masyarakat tempatan.

Selain mempromosikan gaya hidup sihat dan interaksi sosial positif di kalangan belia, acara itu turut membolehkan belia mengambil peranan aktif dalam pembangunan bandar raya dan masyarakat dengan menjadikannya lebih bertenaga dari segi sosial dan budaya.

Antara aktiviti lain yang akan ditampilkan adalah pasar lambak mini yang telah menarik kira-kira 30 perusahaan tempatan termasuk usahawan muda dan pengusaha barangan hobi seperti kereta lumba kecil (TAMIYA) dan motosikal.

Bagi memeriahkan lagi acara tersebut, busking akan turut diadakan, selain pertandingan papan selaju, pameran fotografi, lukisan dan seni visual lain.

Kali ini AYCLive akan diadakan pada Sabtu dan Ahad, berbanding sehari sahaja hasil permintaan para peserta.

AYCLive@Wayang Street mula diperkenalkan pada Januari lalu.

Antara rakan usaha sama pada masa lalu adalah rangkaian band indie yang berpangkalan di Kuala Lumpur diketuai oleh Dirgahayu, stesen radio popular ERA.fm dan Gendai Bu, ICATS (Cosplay).

Penyertaan masih terbuka kepada belia tempatan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai AZAM Sarawak atau Pusat Belia AZAM, sila hubungi Kerry, Razali atau Giacherie di talian 082-411799.

Pendaftaran penyertaan Loving Charity Night Run selewat-lewatnya 8 November

$
0
0

KUCHING: Warga kota yang mahu menyertai larian amal Loving Charity Night Run pada 22 November kelak dinasihati untuk mendaftar nama selewat-lewatnya 8 November ini.

Dianjurkan oleh Loving Society Kuching, acara larian amal itu akan bermula di bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi mengutip dana untuk Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS).

Larian tersebut dibahagi kepada dua kategori antara lelaki dan wanita yang melibatkan jarak larian sejauh tujuh kilometer (km).

Peserta di bawah umur 18 tahun digalakkan menyertai larian amal itu dan sebarang keselamatan peserta di bawah tanggungan pihak penganjur.

Bagi yang berminat, yuran pendaftaran adalah sebanyak RM35 bagi kedua-dua kategori dan peserta yang mendaftar akan diberi kemeja-T larian amal dan beg berisi sampel daripada pihak penaja.

Setakat ini, pihak penganjur telah menerima penyertaan dari seluruh negara termasuk Semenanjung Malaysia, Thailand dan Filipina.

Peserta yang berjaya menamatkan larian dalam masa dua jam berpeluang membawa pulang sijil penyertaan dan pingat manakala 10 peserta pertama yang menamatkan larian bagi setiap kategori akan membawa pulang trofi setiap seorang.

Larian amal  Loving Charity Night Run ditaja oleh MBKS, CityONE Megamall, KEK Trading (Kuching) Co Sdn Bhd, Red Earth Restaurant, M Tech Forwarding and Logistis Sdn Bhd, The Learning Centre, Home Village Kitchen, Hock Peng Realty Sdn Bhd, Maestro Swiss Trading (Vico), Beverages Marketing (S) Sdn Bhd (Sundrop), A. Clouet and Co (KL) Sdn Bhd (Ayam Brand) dan Chenson Health Products Sdn Bhd.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta memuat turun borang penyertaan secara atas talian di http://www.facebook.com/thelovingsocietykuching atau mengambil borang itu di The Loving Society di No.9A, First Floor, Jalan Badruddin, 93000 Kuching.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sim di talian 016-8881788 atau Voon (013-8189896).

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live