Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Pendidikan penjana masa depan gemilang

$
0
0

Oleh Saleman Senin //

KABONG: Pendidikan adalah aspek utama dalam memastikan masa depan cemerlang dan gemilang, kata Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz.

Katanya ibu bapa harus memastikan anak diberi pendidikan terbaik dalam kontek kehidupan hari ini sebagai usaha menjadikan mereka insan cemerlang dalam menyumbang kepada kejayaan negara.

“Harus diingat pendidikan terbaik harus bermula dari rumah. Oleh itu,  anak perlu dididik sebaiknya supaya kesempurnaan sifat dan keperibadian dizahirkan tidak melewati batas kehidupan apabila dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi dan Apresiasi 2014 SMK Kabong  dekat sini, baru-baru ini.

Wahab menjelaskan, pada masa yang sama, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak dan mengetahui dengan siapa mereka bergaul.

Pada majlis itu, Wahab turut menyampai anugerah kepada Nazli Talip dan Nursyarnisa Masmos yang dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Pelajar SMK Kabong.

Beliau turut menyampai sijil kepada 34 pelajar tingkatan enam sekali gus mengumumkan geran peruntukan sebanyak RM25,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kabong.

Terdahulu Anugerah Tokoh Pelajar Putera dinobat kepada Nazli Talip atas keaktifannya dalam bidang kokurikulum.

Nazli aktif mengikuti pertandingan menulis karangan bahasa Melayu dan Inggeris, bahas bahasa Inggeris ala Parlimen serta bahas Piala Ketua Menteri Sarawak.

Sementara itu, dalam bidang akademik Nazli turut menunjukkan kecemerlangan.

Manakala Anugerah Tokoh Pelajar Puteri diberi kepada Siti Nursyarnisa,  ketua pengawas aktif melibatkan diri dalam pertandingan perbahasan sehingga ke peringkat negeri malah pernah dianugerah pembahas terbaik peringkat negeri Sarawak.

Beliau juga aktif dalam pertandingan puisi, sketsa serta mempunyai pencapaian sangat baik dalam bidang akademik.

Kedua-dua tokoh itu merupakan ahli Kelab 1Malaysia di bawah kendalian Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Saratok.

Terdahulu, Wahab turut memberitahu bahawa Kabong pada masa inidalam proses untuk dinaik taraf sebagai satu daerah.

“Justeru, berilah sokongan kepada sesiapa sahaja wakil rakyat yang mewakili Barisan Nasional (BN)  pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” jelasnya.


Tujuh penghulu, seorang pemanca Penan dilantik untuk berkhidmat di Hulu Baram

$
0
0

BARAM: Seramai tujuh penghulu dan seorang pemanca daripada komuniti Penan dilantik untuk berkhidmat di Hulu Baram.

Penghulu baharu dilantik ialah Juwin Lihan dari Long Win, Ajang Kiew dan Long Sayan, Tebaran Siden dari Long Balau, Dauk Suok dari Long Jekitan, Kaleng Lenap dari Long Lobang, John Bong dari Long Main dan diteruskan perkhidmatan Apek Bala dari Long Beruang serta Pemanca Henneser Uning Bong dari Long Lamei.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata pelantikan penghulu dan pemanca ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana etnik minoriti di negara ini khususnya kaum Penan.

“Sebelum ini, hanya terdapat dua penghulu daripada kaum Penan dan sekarang kerajaan menambah keseluruhan berjumlah tujuh orang serta satu jawatan pemanca.

“Pelantikan sebagai penghulu dan pemanca merupakan jawatankuasa tertinggi dalam komuniti yang menunjukkan kaum Penan setanding dengan kaum lain khususnya kaum Penan berkebolehan memimpin masyarakat,” katanya pada sesi bertemu rakyat di Long Jekitan, Sungai Silat, Baram semalam.

Kira-kira 200 penduduk dari beberapa kampung dan penempatan semula Penan termasuk Long Bee, Ba Purau dan Long Tikan hadir pada pertemuan tersebut.

Long Jekitan yang mempunyai kira-kira 400 populasi merupakan salah satu penempatan semula Penan terletak kira-kira lapan jam perjalanan melalui jalan darat atau setengah jam menggunakan pengangkutan udara dari Miri.

“Pelantikan ini merupakan satu lagi kejayaan komuniti Penan. Justeru, saya berharap mereka lebih bersikap terbuka dalam menerima perubahan bukan hanya dalam kepimpinan malah dapat menerima pembangunan infrastruktur,” katanya.

Ujar beliau, kaum Penan perlu menerima pembangunan dengan hati yang terbuka jika mereka mahu maju seiring dengan kaum lain di negara ini.

Pada masa yang sama, mereka tidak perlu menjauhkan diri daripada kerajaan dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang berjalan lancar.

Hadir sama Penghulu Dauk Suok, Penghulu Ajang Wan dari Akah Patah dan Kaunselor Joseph Jarius Lado.

Kampung Salak dilanda masalah sampah yang serius

$
0
0

KUCHING: Sampah merupakan masalah dunia moden dan kini sedang melanda sebuah perkampungan di Batang Salak apatah lagi ia kini menjadi semakin buruk apabila air pasang.

Sewaktu lawatan ke Kampung Salak semalam, wartawan dimaklumkan oleh Penghulu Wahid Mat bahawa sisa sampah termasuk kertas dan plastik.

“Kami tidak mempunyai cara untuk melupuskan sampah kami, walaupun ada antara penduduk yang membakar sampah mereka, tetapi ada juga sebilangan yang membuang sampah ke dalam air,” kata Wahid.

Wahid mengetuai lawatan khas pegawai Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) untuk mencari jawapan kepada masalah sampah-sarap di kampung tersebut.

Delegasi Jepun diketuai Koordinator Projek JICA Yanazume Yuki bersama Pengarah Projek Tochigi International Association Uyama Yuichi dan Ketua Bahagian Persekitaran Bandar Motegi Nagashima Yasushi.

Rombongan ditemani Pegawai Kesihatan Persekitaran DBKU Henable Hendry Nessan dan pegawai Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB).

Menurut Henable, pihaknya menyertai lawatan tersebut dalam usaha melaksanakan program DBKU iaitu Bersih, Cantik dan Selamat (CBS).

“Objektif kami pada hari ini bersama JICA dan NREB adalah untuk menjalankan kajian, terutama berkaitan kebersihan, pembuangan sisa dan persekitaran, memandangkan pakar JICA juga berada di sini,” tambahnya.

Pihaknya masih dalam peringkat merancang pelan tindakan iaitu untuk melatih penduduk kampung mengenai EM (Microorganisma Efektif), Bokashi.

Kaedah kompos ini akan menukar sisa daripada dapur untuk dijadikan baja organik yang boleh digunakan sebagai baja tambahan untuk menyuburkan tanaman.

Menurut sumber laman rasmi, EM mempunyai mikroorganisma patogenik yang membolehkan pereputan secara semula jadi dan tidak memerlukan proses sintetik yang dilakukan oleh jurutera.

Pengurus Projek Persatuan Antarabangsa Tochigi Uyama Yuichi berkata projek tersebut telah dilaksanakan di Kampung Bako yang turut mempunyai masalah yang sama.

“Perkara paling penting adalah untuk mendidik generasi seterusnya tentang pentingnya menjaga persekitaran. Saya mahu mereka bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran,” jelasnya.

Kampung Salak berusia 300 tahun merupakan sebuah pulau tanpa akses jalan raya dan tidak dikenakan kutipan taksiran, menjadi sebab utama untuk mereka mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut segera.

Setakat ini, terdapat seramai 704 orang mendiami kampung tersebut dengan 108 isi rumah yang menghasilkan sekurang-kurangnya 15 kilogram sampah setiap hari.

Bagaimanapun, menurut Wahid penduduk kampung tersebut menyokong usaha yang diperkenalkan DBKU untuk menyelamatkan keadaan daripada hidup di dalam timbunan sampah.

Manfaat tanah dengan baik: Dr Rundi

$
0
0

BINTULU: Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sudah menerima surat pemilikan tanah daripada kerajaan negeri disaran memanfaatkan tanah mereka dengan sebaik-baiknya.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata setiap pemilik harus mengusahakan tanah milik mereka itu dengan pelbagai tujuan komersil dan perladangan supaya mampu memberi pulangan lumayan.

“Usahakan tanah dengan sewajarnya sama ada menyertai projek usaha sama pembangunan tanah, pertanian dan penternakan secara kecil-kecilan dan sebagainya yang boleh mendatangkan keuntungan,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 dan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di Balai Raya Sebauh, pagi semalam.

Dr Rundi menyerahkan surat pemilikan tanah penduduk kawasan Pandan merangkumi Rumah Iba Abas dan Kampung Pandan, Kampung Maskat dan penduduk Rumah Aying Mula, Sungai Jelalong Tubau.

Beliau berkata, inisiatif yang dijalankan kerajaan sebagai bukti mereka diiktiraf sebagai pemilik tanah yang sah serta memajukan tanah berkenaan mengikut rancangan masing-masing.

“Sekiranya pemilik tanah NCR dapat memajukan tanah secara bijak dan teratur sudah pasti memberi manfaat besar kepada mereka,” ujarnya.

Jelasnya, cara terbaik pemilik tanah NCR memajukan tanah mereka itu dengan menyertai projek usaha sama pembangunan tanah berskala besar.

“Program pembangunan tanah secara usaha sama banyak membantu pemiliknya meningkatkan taraf hidup masing-masing melalui agihan dividen diberikan pemaju mengikut peratus keuntungan dipersetujui dalam surat perjanjian,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni, Temenggung Utong Sigan dan Penghulu Michael Lanyau Ruma.

Pergiatkan terjemah buku ilmiah bahasa asing

$
0
0

Oleh Agnes Tugong //

Ia penting dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu

TERTARIK: Abang Wahap (tengah) tertarik dengan koleksi buku-buku yang dijual pada pameran sempena Karnival Semarak Bahasa 2014 di Kuching semalam.

KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta agensi-agensi yang berkaitan perlu melipatgandakan usaha menterjemah buku-buku ilmiah bahasa asing ke bahasa kebangsaan.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata ia penting dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Mengambil contoh negara maju seperti Jepun dan Perancis, Abang Wahap berkata terjemahan buku-buku dalam bahasa kebangsaan mereka boleh terus didapati apabila buku berbahasa asing dikeluarkan.

“Dengan melipatgandakan usaha menterjemahkan buku-buku berbahasa asing dalam bahasa kebangsaan kita berharap bahasa Melayu dapat menjadi bahasa ilmu selain bahasa rasmi.

“Menerusi kerjasama antara DBP dan agensi-agensi lain termasuk DBKU sendiri, kita berharap akan dapat memartabat dan memperluaskan lagi penggunaan bahasa kebangsaan yang kita cintai ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Semarak Bahasa 2014 sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak di sini semalam.

Bercakap mengenai karnival ini, ia dilaksanakan dengan beberapa perubahan yang lebih menjurus ke arah mendekatkan masyarakat secara lebih mesra, bersinergi dan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.

Berlangsung selama seminggu mulai 3 hingga 9 November, objektif karnival ini antara lain mempromosikan DBP sebagai tempat rujukan dalam perkara melibatkan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan.

Di samping itu, karnival ini juga bertujuan memperkuat kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan.

Dalam pada itu pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang berlangsungnya karnival ini antaranya, sayembara monodrama peringkat saringan malam semalam dan peringkat akhir pada 5 November.

Turut diadakan bengkel penulisan buku kanak-kanak, malam kesenian karya P. Ramlee, taklimat minda oleh Jabatan Penerangan Sarawak, majlis tahlil, malam pengucapan puisi kemanusiaan, malam puisi bersama artis Najwa Latif pada 8 November dan banyak lagi.

Pameran dan jualan buku serta pameran pelbagai agensi kerajaan dan korporat termasuk pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung bertuah sepanjang karnival yang dibuka secara percuma ini.

Turut hadir pada majlis perasmian karnival itu semalam, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr Hazami Jahari.

SCCS anjur larian Colour Rush 3.0

$
0
0

KUCHING: Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) sekali lagi menganjurkan program larian amal mereka untuk kali ketiganya, iaitu Colour Rush 3.0 pada awal Februari 2015.

Program yang dianjurkan bersama ouryouth.com itu kini dibuka pendaftarannya kepada semua yang berminat termasuk di Kuching, Sibu dan Miri sama ada melalui atas talian yang bermula dari sekarang atau secara manual (ke kaunter) bermula pada 5 November ini.

Pengurus Program dan Perkhidmatan SCCS Jodie Sim berkata, pihaknya menyasarkan untuk meraih dana RM200,000 daripada program berkenaan selain untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kanser kanak-kanak di Sarawak.

“Dari segi penyertaan pada tahun ini kami menyasarkan 10,000 pelari di seluruh negeri memandangkan kami mengadakan program di tiga tempat iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

“Kami pada tahun sebelum ini menerima penyertaan yang amat menggalakkan dengan 5,000 peserta dan kami dapat meraih dana sebanyak RM100,000 pada tahun ini,” katanya pada sidang media di premis SCCS di sini, semalam.

Jodie berkata pada tahun depan buat pertama kalinya larian akan diadakan serentak di Kuching (Le’ Park) dan Miri (Dewan Suarah) iaitu pada 1 Februari 2015 sementara di Sibu (Sibu Town Square) pada 8 Februari.

Beliau memberitahu, program sedemikian amat penting bagi mereka untuk membantu SCCS bukan sahaja dari segi kemudahan atau kelengkapan yang diperlukan tetapi rancangan mereka untuk membuka premis di Sibu dan Miri.

Katanya dengan berbuat demikian ia akan memudahkan para pesakit kanser dari luar Kuching bermalam di premis di tempat masing-masing dan kini Sarawak mencatat kira-kira lima kes baharu dalam setiap lima hari.

“Kami amat berharap dapat mencapai dana yang diperlukan bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak di mana mereka perlu berulang-alik ke hospital dan kami menyediakan tempat tinggal selain kemudahan serta pengangkutan kepada mereka,” katanya sambil memberitahu bahawa mereka juga menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga pesakit yang miskin.

Mengulas lanjut mengenai larian sepanjang 5km itu Jodie memberitahu, ia dibuka kepada semua individu dengan bayaran pendaftaran RM50 termasuk kemeja-T serta cermin mata khas yang berwarna-warni dan terhad.

Bagi mengelakkan sebarang kekecewaan peserta boleh mendaftar awal melalui atas talian www.colourrush.com atau mendaftar di kaunter Majlis Sukan Sarawak @ gym yang dibuka pada Isnin hingga Sabtu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari atau 2 petang hingga 6 petang.

Bagi mereka yang berada di Miri, mereka boleh mendapatkan borang dan menghantarnya ke Hotel Somerset di Jalan Kwang Tung yang dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (Isnin hingga Jumaat) sementara pada Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Di Sibu pula, pendaftaran boleh dibuat di Hotel Tanahmas yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

Manakala sebagai alternatif penganjur turut membuka kaunter di pusat beli-belah pada setiap hujung minggu iaitu di CityONE untuk Kuching, Bintang Mega Mall (Miri) dan Star Mega Mall (Sibu).

Maklumat lanjut mengenai larian amal Colour Rush sila hubungi Alfreeda Nawawi di talian 013-8338667 atau e-mel afreeda@sccs.org.my  atau layari laman sesawang www.colourrush.com dan www.facebookl.com/swakchildrencancersociety.

SK Merpati, Sandakan juara Anugerah Beyond Borders Wilayah Timur

$
0
0

SIBU: Drama ‘It Up’ dipersembahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati, Sandakan Sabah berjaya memikat juri sekali gus membolehkan mereka menjuarai Anugerah Beyond Borders Wilayah Timur di SK Sibu Jaya, kelmarin.

Tempat kedua dimenangi SK Sibu Jaya Sarawak manakala SK Patau-Patau, Wilayah Persekutuan di tempat ketiga.

SK Kampung Jepak, Bintulu pula memenangi tempat keempat.

Dalam pada itu, SK Merpati Sandakan turut memenangi Anugerah Skrip Terbaik dan Pengarah Terbaik menerusi Normah Beddu Karim.

Anugerah Pelakon terbaik dimenangi Mohd Zulhairy juga daripada SK Merpati, Sandakan manakala Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Umi Fatihah daripada SK Sibu Jaya.

Jazmi Johan Shofwan daripada SK Merpati, Sandakan memenangi Anugerah Membaca Cerita (kategori rendah) manakala Nur Syazlin daripada SK Sibu Jaya di tempat kedua dan ketiga dimenangi Syafig Haziq daripada SK Patau-Patau, Wilayah Persekutuan, Labuan.

Bagi Anugerah Membaca Cerita kategori atas, pertama dimenangi Clarissa Racha daripada SK Sibu Jaya, kedua Nazurah daripada SK Kampung Jepak manakala ketiga Anis Zafirah Azahar daripada SK Merpati.

Tempat keempat dimenangi Mohd Noor Mukhlis Nizam daripada SK Patau-Patau.

Hadiah pemenang disampaikan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Datuk Abdul Hamid Mohd Ali.

Empat sekolah dipilih bersaing merebut Anugerah Beyond Borders Wilayah Timur.

Semua peserta mengambil bahagian dikehendaki mempamerkan bakat dan kemahiran mereka dalam bahasa Inggeris melalui lakonan, penulisan dan pertandingan.

Pesta Sematan dijangka tarik 20,000 orang

$
0
0

KUCHING: Pesta Sematan yang berlangsung dari 7 hingga 9 November ini dijangka mampu menarik lebih 20,000 orang, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pesta Sematan 2014, Hamsein Atar.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari pesta tersebut diadakan termasuk pameran makanan warisan, sukan tradisional, persembahan nyanyian dan kebudayaan.

Lebih menarik lagi menurutnya, orang ramai yang hadir berpeluang menikmati juadah warisan atau jamuan rakyat secara percuma melibatkan 10 gerai.

“Orang ramai boleh menikmati juadah warisan yang disediakan oleh masyarakat berbilang kaum di Sematan termasuk Bidayuh, Selako, Cina dan Iban,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hamsein berkata, pesta yang diadakan setiap tahun itu bertujuan menarik kunjungan orang ramai ke Sematan dan mempromosikan Lundu serta Sematan.

Penganjuran pesta itu juga katanya turut memperlihatkan kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaaan (NBOS) dengan agensi kerajaan dan persatuan.

“Banyak persatuan akan terlibat dengan pesta ini dan pada masa sama ia dapat mengukuhkan jaringan kerjasama selain menggalakkan aktiviti pelancongan,” ujarnya.

Sebanyak 14 gerai pameran juga disediakan untuk agensi kerajaan mempamerkan aset masing-masing dan memberi perkhidmatan kepada orang ramai.

Paling mencuri tumpuan ialah lebih 200 gerai jualan disediakan yang menjual pelbagai barangan.


PAS agih basikal kepada penerima di DUN Beting Maro, Sebuyau

$
0
0

MIRI: PAS Sarawak terus komited melalui program UntukMu Sarawak (UMS) selepas berjaya mengagihkan beberapa unit basikal kepada penerima yang layak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dan Sebuyau.

Pengurus Projek UMS Wilayah Selatan Syamsul Bahri berkata, selain daripada agihan bagi kawasan DUN terbabit, pihaknya juga akan memanjangkan projek UMS ke DUN Sadong Jaya dan DUN Tupong.

“Keperluan pengangkutan bagi penerima yang layak ini amat penting untuk memudahkan mereka ke sekolah untuk menuntut ilmu sekali gus sebagai pemangkin semangat untuk mereka berjaya meskipun kurang berkemampuan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata, PAS Sarawak juga komited agar rakyat negeri ini mendapat pendidikan yang baik meskipun wakil rakyat di kawasan terbabit tidak mengetahui dan tidak mengedahkan kesusahan anak-anak terbabit.

“UMS tampil untuk memberi bantuan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan meskipun wakil rakyat di kawasan itu tidak mengendahkan kesusahan dan kepayahan anak-anak ini,” kata Syamsul.

Menurutnya, PAS Sarawak akan konsisten meneruskan khidmat kebajikannya untuk rakyat Sarawak melalui projek-projek UntukMu Sarawak.

Sementara itu, agihan tersebut telah diketuai oleh Project Team UMS Wilayah Selatan dan disertai rombongan daripada Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat.

Penerima bantuan basikal itu ialah Dayang Rafithah Awang Idrus dan Muhd Fathi Asym Hayatullah Abdullah dari DUN Beting Maro manakala bagi DUN Sebuyau pula, penerimanya ialah Dyana Jimmy Star.

Sistem tiket komputer bot ekspres, 2015

$
0
0

Oleh Andy Sabang //

Dilaksana sebelum Jun tahun depan, wujudkan keselesaan kepada penumpang

BAKAL BERUBAH: Sistem pembelian tiket yang ada sekarang.

SIBU: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) menyasar untuk melaksanakan sistem tiket berkomputer pertama di terminal-terminal utama bot ekspres di Sarawak sebelum Jun 2015.

Ini bertujuan mewujudkan keselesaan kepada orang ramai khususnya penumpang.

Pengawal LSS William Jinep ketika mendedahkan perkara itu kelmarin memberitahu bahawa cadangan untuk melaksanakan tiket berkomputer sedang diteliti.

“Kami berharap sistem baharu itu dapat dilaksanakan sebelum perayaan Gawai Dayak tahun depan.

“Bagi menguji keberkesanan sistem berkenaan kami berharap ia dapat dilakukan pada Mac 2015 di Terminal Bot Ekspres Sibu, Kapit dan Song,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pelaksanaan sistem baharu pembelian tiket berkomputer.

Sebelum ini, beliau mendedahkan bahawa sistem berkenaan telah diguna pakai di Brisbane, Australia.

Beliau menambah, sistem berkomputer akan mewujudkan banyak manfaat kepada masyarakat.

Ini kerana sistem tiket berkomputer akan bertindak sebagai pusat sehenti.

“Usaha mewujudkan sistem tiket berkomputer adalah komitmen menaik taraf terminal bot ekspres selain mengurangkan masa menunggu di kalangan penumpang,” katanya.

Masalah kemudahan feri Bintangor diajukan kepada Manyin: Fadillah

$
0
0

BINTANGOR: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof akan membawa masalah perhubungan kemudahan feri di sini kepada Menteri Perhubungan Dato Sri Michael Manyin untuk mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sedang menambah baik kawasan kemudahan feri di Bintangor disebabkan masalah air pasang surut, gerak kerja dan sebagainya.

“JKR Sarawak memperincikan masalah itu dan saya sendiri telah dimaklumkan oleh pengarah JKR bahawa perkara itu dalam perhatian mereka.

“Mengenai kemudahan feri yang lebih besar dimohon, saya akan membawa perkara itu kepada Dato (Sri) Michael Manyin untuk mencari penyelesaian bersama,” katanya pada Karnival Belia anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong di Tebingan Bintangor, petang kelmarin.

Beliau berkata kerajaan menyedari usaha mencabar dalam merencanakan projek-projek infastruktur di negeri dan negara ini.

“Bagaimanapun, dengan usaha sedikit demi sedikit kita melihat perubahan yang telah berlaku.

“Kerajaan komited dalam memberi infrastuktur terbaik kepada rakyat.

“Dahulu jalan tanah bertukar menjadi jalan batu dan kemudian menjadi jalan bertar (berturap). Sedikit demi sedikit kita mula menambah baik jalan,” ujarnya.

Fadillah berkata dua kementerian menjaga hal ehwal jalan iaitu Kementerian Kerja Raya yang bertanggungjawab menjaga jalan-jalan persekutuan.

“Di Sarawak, jalan persekutuan hanyalah Jalan Pan Borneo dan jalan menghubungi Bintulu dan Bakun. Yang jalan-jalan lain di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan majlis daerah.

“Jalan-jalan kampung juga dibantu oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyalurkan peruntukan kepada majlis daerah menyelenggarakan jalan-jalan kampung,” katanya.

Fadillah menjelaskan, hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri membawa perubahan dalam pelaksanaan projek infrastruktur di Sarawak.

Tambah beliau, Sarawak memperolehi peruntukan melebihi RM10 bilion secara keseluruhannya untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan tahun depan.

“Tahun lalu, Sarawak mendapat peruntukan RM3 bilion untuk pelaksanaan infrastruktur.

“Belum pernah berlaku sebab kalau melihat peruntukan keseluruhan kementerian seluruh negara hanya RM3.8 bilion pada 2015,” jelasnya.

Ketua Pemuda PBB Sarawak itu berkata peruntukan dan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini adalah komitmen kerajaan persekutuan dengan sokongan peringkat negeri.

“Oleh itu, bersama-sama kita teruskan perjuangan memastikan negara bergerak lebih maju.

“Kita harus mengekalkan semangat bersatu padu tanpa mengira latar belakang, agama dan keturunan.

“Kekalkan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, pemimpin setempat dan pemimpin politik.

“Kita duduk bersama dan berbincang menyelesaikan masalah rakyat dalam usaha mewujudkan masyarakat progresif menggerakkan negara menjadi maju,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol.

Keperluan menaik taraf SMK Limbang dirujuk kepada KPM: Awg Tengah

$
0
0

LIMBANG: Keperluan menaik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang yang merupakan sekolah tertua di bahagian ini, dirujuk dan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan peranan sekolah itu terus relevan khususnya dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata banyak prasarana pendidikan diperlukan warga pendidik sekolah itu memandangkan keadaan dan usia sekolah sudah agak lama dan memerlukan perhatian.

Beliau berkata SMK Limbang merupakan institusi pendidikan yang melahirkan ramai golongan intelektual dan modal insan berjaya sejak dahulu hingga kini sehingga menjadi ikon bagi pelajar dan generasi baharu.

“Kita bangga dengan pencapaian SMK Limbang yang merupakan sekolah terawal di bahagian ini kerana berjaya melahirkan golongan intektual dan modal insan cemerlang.

“Meskipun berdepan kekurangan prasarana namun kita berusaha untuk membincangkan perkara itu dengan KPM,” katanya pada Majlis Makan Malam Alumni SMK Limbang di sini malam kelmarin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Walikota Majlis Daerah Limbang yang juga pengerusi jawatankuasa Kaunselor Sufian Mohat dan jemputan lain.

Awang Tengah berkata, pelbagai perubahan berlaku membabitkan aspek pendidikan di bahagian ini dengan pertambahan lima SMK di Limbang dan empat lagi di Lawas.

Katanya prasarana pendidikan disediakan kerajaan memberi impak dalam memartabatkan sistem pendidikan dan pencapaian daripada aspek akademik dan kokurikulum turut berkembang.

“Jika dahulu para pelajar terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan, namun tetap berjaya menjadi insan berguna.

“Kini dengan adanya kemudahan dan prasarana pendidikan maka SMK Limbang berjaya melahirkan golongan cerdik pandai yang mampu memimpin negara ini,” jelasnya.

Mengenai Jawatankuasa Alumni SMK Limbang, Awang Tengah berkata ia menjadi landasan mewujudkan budaya positif yang mampu menyuburkan perpaduan dan kerjasama di kalangan bekas pelajar.

“Alumni merupakan landasan terbaik mengumpulkan bekas pelajar untuk berkongsi idea dan kecemerlangan masing-masing memastikan SMK Limbang terus cemerlang dan sekolah utama memainkan peranan dalam meningkatkan kecemerlangan pelajaran,” ujarnya.

Beliau juga mahu pelajar lebih yakin dan efektif termasuk menguasai kemahiran berbahasa Inggeris.

Sementara itu, Sufian berkata penubuhan Jawatankuasa Alumni sejak dua tahun lalu untuk mengumpulkan kepakaran pelbagai bidang, mekanisme sokongan kepada sekolah, memupuk semangat muhibah, kerjasama, meningkatkan imej sekolah dan melaksana kegiatan untuk kesejahteraan ahli dan masyarakat.

KEMAS digesa kaji dasar sesuai dengan perubahan landskap politik

$
0
0

KUCHING: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) digesa mengkaji semula rumusan dasar baharu yang bersesuaian dengan perubahan landskap politik di negara ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata ini adalah untuk menangani politik baharu di negara ini yang berkemungkinan membahayakan hala tuju masa depan negara.

“Saya berharap KEMASdapat menjalankan satu kajian untuk merumuskan dasar baharu ini.

“Terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam landskap politik kita, yang boleh memudaratkan masyarakat.

“Politik boleh memberi keterbukaan minda namun ada juga yang boleh menyesatkan minda generasi muda,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat.

Beliau semalam turut merasmikan Majlis Konvokesyen Mini 17 tadika dan dua taska yang dikendalikan KEMAS di kawasan Tarat di sebuah restoran di Siburan.

Turut hadir Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Austin Dimin dan Penolong Pengarah KEMAS Sarawak  (Prasekolah dan Pembangunan Manusia) Azrul Aidil Philip Abdullah.

Pada masa yang sama, beliau mahu KEMAS membantu dalam program pembangunan masyarakat seperti program perniagaan untuk masyarakat luar bandar dan Bumiputera selain sebagai penyedia pusat pendidikan awal kanak-kanak.

Dahulunya, KEMAS mengendalikan kelas buta huruf untuk orang dewasa dan kursus memasak yang banyak membantu penduduk di kawasan luar bandar.

Sementara itu Sagah berharap para pegawai KEMAS menguar-uarkan berita berkaitan Sarawak kepada rakan mereka di Semenanjung Malaysia untuk tidak menyifatkan negeri ini sebagai deposit tetap Barisan Nasional.

“Ini penting kerana ada persepsi bahawa kerajaan negeri sedang diabaikan, bahawa kita diterima begitu sahaja dalam 51 tahun yang lalu (di Malaysia).” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihati ibu bapa agar mengehadkan pendedahan dan penggunaan alat telekomunikasi baharu seperti telefon pintar dan tablet kepada anak-anak mereka.

Beliau berkata walaupun alat-alat tersebut merupakan sumber pendidikan, dikhuatiri anak-anak tidak akan belajar nilai-nilai tradisional yang penting untuk kehidupan mereka.

“Pada masa lalu, anak-anak bermain dengan batu dan guli. Tapi sekarang, anak-anak yang asyik dengan peranti teknologi, tidak mendengar apabila anda bercakap dengan mereka,” ujarnya.

Industri minyak sawit komponen penting ekonomi

$
0
0

Oleh Hamimi Kassim //

Ia dicerminkan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Projek Titik Permulaan (EPP)

DILANCAR: Uggah (tengah) sedang melihat isi kandungan buku ‘Biogas – Capture and Utilisation from Palm Oil Mill Effluent’ sambil ditunjukkan oleh Aknan (kanan). Turut Kelihatan Dr Choo.

KUCHING: Industri minyak sawit kini menjadi komponen penting ekonomi negara dan ia dicerminkan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Projek Titik Permulaan (EPP).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi NKEA Minyak Sawit, dua daripada lapan EPP adalah berkait secara langsung dengan kilang minyak sawit.

“Justeru, menjadi matlamat EPP untuk meningkatkan Kadar Perahan Minyak (OER) daripada 20 peratus pada masa kini kepada 23 peratus menjelang 2020,” katanya semasa merasmikan Seminar POMREQ di sini, semalam.

Uggah menambah, EPP turut bermatlamat memasang kemudahan memerangkap biogas di setiap kilang sawit di negara ini.

Objektifnya adalah untuk mendapatkan nilai daripada kandungan tenaga biogas daripada efluen kilang minyak sawit dan pada masa sama mengurangkan kesan pembebasan karbon oleh minyak sawit.

“Biogas yang dihasilkan oleh efluen daripada kilang minyak sawit mengandungi gas methane, merupakan gas rumah hijau 25 kali lebih tinggi menyebabkan pemanasan global berbanding karbon dioksida.

“Sekiranya semua kilang memerangkap dan memanfaatkan biogas ini, kira-kira 17 hingga 20 juta tan karbon dioksida setara dengan pelepasan gas rumah hijau akan dapat dikurangkan setiap tahun,” jelasnya sambil menambah, biogas boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik kira-kira 500 megawatt untuk negara.

Justeru, beliau dalam ucapannya menggalakkan kilang sawit memasang kemudahan memerangkap biogas yang kini sebanyak 68 kilang telah memasangnya manakala 13 buah lagi dalam proses pembinaan.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata, kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kini telah menubuhkan Kluster Minyak Sawit Lestari (SPOC) bagi memperkasakan lagi pekebun kecil pada masa depan.

“Melalui kluster ini, Amalan Pertanian Baik (APB) akan dipromosikan dan pekebun kecil dibantu untuk mendapatkan pensijilan Standard Minyak Sawit Malaysia (MSPO),” katanya.

Pada masa sama katanya, ia membantu membeli serta menjual FFB pekebun kecil dan proses ini memastikan kualiti dan kesegaran buah terjamin semasa dihantar ke kilang.

Dalam pada itu, Uggah turut memberi keyakinan bahawa kerajaan akan sentiasa berusaha membantu mengurangkan trend menurun dalam harga minyak sawit.

“Langkah yang dilaksanakan adalah termasuk mengeluarkan cukai eksport minyak sawit mentah (CPO) untuk bulan September dan Oktober lalu dan meneruskannya hingga penghujung tahun ini,” jelasnya.

Inisiatif lain ialah pelaksanaan biodiesel sawit di mana program peningkatan B5 kepada B7 telah dilancarkan pada November ini bermula di Semenanjung Malaysia dan pada Disember depan untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menurutnya, Program B7 melibatkan campuran tujuh peratus biodiesel sawit dengan 93 peratus diesel petroleum.

Majlis tersebut turut menyaksikan Uggah melancarkan buku ‘Biogas – Capture and Utilisation from Palm Oil Mill Effluent’ dan Baja Bio-Kimia MPOBF4 Premium.

Hadir sama Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Choo Yuen May, Setiausaha Bahagian Industri Sawit dan Sagu Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Aknan Ehtook, Presiden SSPOA Paul Wong Hee Kwong, Presiden POMA Steven Yow Thin Chin dan ahli Lembaga MPOB.

Pemimpin masyarakat perlu mempunyai ilmu pengetahuan

$
0
0

SRI AMAN: Setiap tuai rumah mahupun pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi harus mempunyai ilmu pengetahuan luas dalam pelbagai bidang sebagai pegangan asas mentadbir urus kawasan mereka.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata setiap tuai rumah atau pemimpin yang mempunyai ilmu pengetahuan mampu meningkat kualiti kehidupan masyarakat.

Beliau berkata pemimpin masyarakat hendaklah melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, tanggungjawab, jujur serta amanah agar setiap agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik untuk masyarakat.

“Sebagai tuai rumah atau pemimpin masyarakat adalah perlu mereka saling bergandingan dengan rakyat di bawah pentadbiran mereka serta berkongsi setiap masalah dan seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Mereka perlu peka masalah dan jangan menyembunyikan masalah kerana pastinya impak negatif akan berlaku dan membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-19 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Resak, Jalan Tawi Sli sempena Pelancaran Biro Wanita, JKKK Kampung Resak di sini malam kelmarin.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, setiap tuai rumah dan pemimpin masyarakat perlu menjalinkan hubungan dengan pelbagai agensi kerajaan supaya setiap masalah dapat diselesaikan.

“Setiap agensi kerajaan sebagai pemudah cara untuk rakyat dan pemimpin masyarakat perlu faham menggunakan khidmat serta bantuan disalurkan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Hadir sama Pengerusi JKKK Benjamin Timban serta ahli-ahli JKKK yang lain.

Pada majlis itu, Harden menyampaikan geran berjumlah RM3,000 kepada JKKK terbabit.


SIDS Cawangan Sibu lawat Rumah Seri Kenangan

$
0
0

SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu telah mengadakan program kebajikan dengan melawat Rumah Seri Kenangan (RSK), Batu 13, Jalan Oya di sini, baru-baru ini.

Kunjungan ke RSK itu diketuai oleh Penasihat SIDS Cawangan Sibu Catherine Nain Abit dan ia disertai oleh ahli-ahli exco dan ahli yang lain.

Objektif kunjungan itu adalah bertujuan meluangkan masa dengan warga emas di samping memberi keceriaan kepada para penghuni RSK.

Program itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 SIDS Cawangan Sibu.

Pada program itu, SIDS Cawangan Sibu turut menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan serta beberapa sumbangan lain.

Sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Catherine kepada penyelia RSK Cecelia Sumping.

K’jaan amat memerlukan lebih ramai modal insan berkualiti

$
0
0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa memberitahu bahawa kerajaan amat memerlukan lebih ramai modal insan berkualiti demi mengisi keperluan sektor tenaga kerja profesional negara pada masa akan datang.

Lantaran itu, ibu bapa dinasihati agar tidak berpeluk tubuh dalam membantu pihak sekolah mempertingkatkan lagi tahap penguasaan akademik anak masing-masing, tegas beliau.

Menurut Dr Rayong lagi, ibu bapa tidak harus bersikap lepas tangan dalam mengurus hal ehwal akademik anak-anak di sekolah tanpa mengambil tahu perkembangan mereka.

“Tindakan ini salah. Ibu bapa seharusnya mengambil inisiatif untuk memperkembang pencapaian akademik anak-anak dengan pelbagai cara termasuk dengan menghantar mereka belajar tuisyen,” katanya.

Dr Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Tenga Hari anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Enteban, Skrang di sini, semalam.

Selain itu beliau menasihati warga guru agar komited ketika mengajar murid di sekolah demi membantu kerajaan mencapai matlamat pembangunan negara pada masa akan datang.

“Saya berharap anda (guru) dapat mengukuhkan hubungan kerjasama dengan ibu bapa murid agar masalah akademik dan kokurikulum di sekolah dapat diselesaikan bersama,” katanya.

Dr Rayong pada majlis itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Nanga Enteban yang diterima Pengerusi PIBG SK Enteban Karim Sanggir.

PERYATIM Sibu perlukan bantuan, sumbangan

$
0
0

Oleh Borhaniza Ali Basah //

Bantuan, sumbangan dalam pelbagai bentuk amat dialu-alukan bagi bantu anak yatim: Dr Annuar

SIBU: Bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti aktiviti kerohanian dan sebagainya daripada pihak luar amat dialu-alukan oleh PERYATIM Sibu bagi membantu anak-anak yatim di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata, Kompleks PERYATIM Sibu yang belum mencecah usia setahun, tidak mendapat 100 peratus bantuan atau peruntukan daripada kerajaan.

“Mungkin ramai yang tersilap dan salah faham bahawa PERYATIM Sibu mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk perbelanjaan operasi harian, tetapi sebenarnya tidak.

“Setiap perbelanjaan yang kami gunakan untuk anakanak setiap hari adalah hasil daripada derma atau pungutan derma daripada masyarakat sekeliling,” katanya pada penutupan program ‘Memorable 4u’ anjuran Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah di sini kelmarin.

Justeru, beliau amat mengalu- alukan dan meminta seluruh masyarakat terutama agensi-agensi kerajaan seperti politeknik atau jabatan-jabatan kerajaan supaya datang ke PERYATIM di sini untuk menyumbang walau apa sekalipun baiknya dari segi aktiviti, kewangan atau kelengkapan.

Turut hadir Pengarah Politeknik Mukah Abdubrani Yunus dan Pengurus Kompleks PERYATIM Sibu Siti Nurainnie Bolhassan.

Menurutnya, kerajaan menyediakan sedikit peruntukan secara langsang setiap tahun tetapi bergantung kepada jumlah anak yatim yang tinggal di kompleks tersebut.

Di samping itu, beliau turut meluahkan penghargaan kepada Politeknik Mukah kerana sudi menganjurkan program itu.

“Ini merupakan salah satu pihak luar yang menganjurkan program sebesar ini untuk PERYATIM Sibu,” katanya.

37,488 calon duduki SPM di seluruh Sarawak

$
0
0

Peperiksaan diadakan di 270 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak bermula 3 November hingga 3 Disember 2014.

KUCHING: Seramai 37,488 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 270 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak mulai semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Serina Sauni menerusi kenyataan akhbar semalam, peperiksaan SPM bermula 3 November hingga 3 Disember 2014.

Pada masa sama beliau mengingatkan bahawa kertas peperiksaan yang dijadualkan pada 27 November dan telah dipinda pada 4 Disember sebelum ini ditukar balik seperti dalam jadual asal iaitu pada 27 November.

Sementara itu, Serina berkata seramai 5,766 calon kohort 2013/2014 akan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Penggal 3 pada 3 hingga 11 November ini.

“Seramai 3,936 calon kohort 2013/2014 akan menduduki STPM Ulangan 1, 6,499 calon kohort 2014/2015 akan menduduki STPM Penggal 1 pada 13 hingga 19 November ini dan 3,758 calon kohort 2013/2014 akan menduduki STPM Ulangan 2 pada 20 hingga 26 November,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa seramai 3,053 calon akan menduduki Ujian Bertulis MUET sesi November 2014 di 53 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak pada 8 November ini.

MOHON KEBERKATAN: Calon SPM di SMK St Teresa bersama-sama berdoa sebelum peperiksaan bermula.

Ibu bapa harus berkorban didik anak hingga ke menara gading, kata Jabu

$
0
0

TAHNIAH: Jabu menyampaikan ijazah kepada graduan UNIMAS, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Jadikan lagu ‘Wawasan Berkikis Bulu Betis’ sebagai ispirasi untuk mendidik anak hingga ke menara gading kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pro Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu memberitahu, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa berkorban wang ringgit untuk menyediakan pendidikan kepada anak mereka.

“Kita ambil inspirasi lirik lagu ‘Wawasan Berkikis Bulu Betis’ yang menyatakan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa di mana pendidikan anak-anak itu adalah satu pelaburan masa depan mereka.

“Justeru, saya berharap ibu bapa tidak mengabaikan tanggungjawab dalam menyediakan pendidikan kepada anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UNIMAS di Dewan DeTAR Putra, di sini semalam.

Pada masa sama, Jabu menggesa agar graduan universiti dapat memberi sumbangan menerusi kepakaran dalam bidang masing-masing untuk bersama-sama mendukung Agenda Transformasi Negara.

“Untuk itu, UNIMAS harus lebih dinamik, progresif dan berani dalam mendepani cabaran baharu misalnya kerjasama dalam bidang biodiversiti bukan sahaja diterokai dalam aspek sains sumber alam semata tetapi perlu merentasi aspek disiplin dalaman yang turut meliputi bidang sains sosial dan kemanusiaan,” tegasnya.

Malah, menurutnya dengan kerjasama yang lebih dinamik itu maka momentum pergerakan Sarawak memasuki era baharu serta keupayaan membina struktur pembangunan ekonomi global berasaskan bidang industri, bioteknologi dan pelancongan sejajar dengan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Di sini saya melihat universiti perlu berperanan secara lebih efisien dan kolektif sebagai ejen perubahan pembangunan negara,” ujarnya.

Hadir sama Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan tetamu kehormat lain.

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>