Oleh Rusnan Mustafa

TINJAU: Nancy ditemani Kamaluddin dan Jamali melawat tapak projek gotong-royong membina gelanggang serba guna SMK Gedong, baru-baru ini.
KUCHING: Satu bengkel bersama ketua-ketua masyarakat di kawasan Parlimen Batang Sadong akan dijalankan untuk mengenal pasti keperluan rakyat di situ.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, projek pembangunan rakyat yang diperlukan di kawasan itu akan dilaksanakan di bawah peruntukan Projek Mesra Rakyat bagi tahun hadapan.
Malah, beliau menjelaskan pihaknya sedang membuat persiapan untuk mengenal pasti keperluan lain untuk diberi perhatian agar turut dimasukkan dalam senarai di bawah projek itu.
“Ini penting agar peruntukan untuk projek tahun hadapan adalah mencukupi bagi memenuhi kehendak rakyat di kawasan Parlimen Batang Sadong.
“Bagi mencapai objektif ini, kita sedang mengatur untuk menjalankan bengkel bersama ketua-ketua masyarakat di kawasan Parlimen ini bagi membolehkan mereka mengemukakan cadangan serta berbincang tentang projek-projek pembangunan yang diperlukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek-projek di bawah Projek Mesra Rakyat di kawasan Parlimen Batang Sadong, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai projek di bawah Projek Mesra Rakyat di kawasan itu, Nancy berkata, projek yang sedang dalam pelaksanaan melibatkan projek naik taraf tempat wuduk dan memasang jubin serta ruang peralatan Surau As-Syakirin Kanchong Baru Gedong, bina baru parit Kampung Lalang Mayak Gedong dan projek pembinaan pondok menunggu pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No.1.
“Antara projek yang telah siap, projek gotong-royong membina gelanggang serba guna SMK Gedong yang bernilai RM100,000 dan projek gotong-royong menaik taraf padang perhimpunan SMK Gedong bernilai RM30,000,” tambahnya.
Katanya lagi, beberapa Projek Mesra Rakyat yang telah siap ialah projek menyiapkan parit dan gotong-royong membina jalan konkrit Kampung Kanchong Jaya, projek naik taraf bangunan Taska LAKIS Masjid Darul Hijrah, projek naik taraf dan membina parit konkrit Rumah Panjang Sungai Buluh, projek naik taraf kawasan perkuburan orang Islam Kampung Semera serta projek naik taraf kemudahan padang bola sepak Kampung Jaie.
“Lawatan kerja ke tapak projek ini dilakukan bagi memastikan setiap projek yang telah siap mencapai tahap standard yang ditetapkan.
“Selain itu, kita juga mahu memastikan projek yang sedang dalam pelaksanaan dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah,” ujarnya.
Turut hadir pada lawatan kerja itu Setiausaha Politik kepada Nancy Mohamed Kamaluddin Mohd Effendie, Pemangku Pegawai Daerah Simunjan Jamali Busri dan Pegawai Daerah Asajaya Habari Bakar.