Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Dr Ulil, pengikut Abu Bakar Bashir disekat

$
0
0

Oleh Agnes Tugong //

Kehadiran mereka undang protes, dikhuatiri jejas pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah

KUCHING: Pengamal Islam liberal dari Indonesia, Dr Ulil Abshar Abdalla yang dijadual menghadiri beberapa program ceramah di ibu negara disekat daripada memasuki negara ini.

Arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Jabatan Imigresen bagi menyekat Dr Ulil yang dijadual memberi ceramah mulai 15 Oktober ini.

“Dr Ulil telah mendapat jemputan daripada beberapa organisasi dan NGO di negara ini untuk memberi ceramah dan menghadiri beberapa program.

“Namun kehadiran beliau telah mengundang protes dan jika beliau memberikan ceramah yang dianjurkan oleh NGO berkenaan ia akan merosakkan bukan sahaja akidah orang Islam tetapi akan menyelewengkan pegangan kita sebagai Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

“Atas sebab itu, maka saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menyekat Dr Ulil daripada memasuki negara ini sehingga didapati tidak membahayakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2014 di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid juga telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menghalang pengikut pemimpin Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) Abu Bakar Bashir daripada memasuki negara ini.

Menurut Ahmad Zahid, seramai 350 pengikut pemimpin berkenaan dijangka dibebaskan tahun depan selepas menjalani hukumuan di penjara Indonesia.

“Saya telah meminta PDRM untuk bekerjasama dengan pihak penguat kuasa Indonesia untuk tidak mengizinkan bekas-bekas pengikut JAT Abu Bakar Bashir ini memasuki negara dan menjadikan negara ini sebagai tempat untuk mereka memperluaskan (fahaman) militan mereka.

“Ini kerana Islam mengajar umatnya kesederhanaan dan saling hormat-menghormati dan bukannya bersikap militan yang cenderung menggunakan keganasan sebagai jalan singkat ke syurga seperti yang dilakukan oleh pengikut Abu Bakar Bashir,” katanya.

Turut hadir pada sidang media dan majlis itu semalam Timbalannya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.


Ahmad Zahid lancarkan buku ‘A Policeman’ karya Wan Junaidi

$
0
0

KUCHING: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan buku ‘A Policeman’ hasil karya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga merupakan Timbalannya.

LANCAR: Zahid melancarkan buku ‘A Policeman’ hasil karya Dr Wan Junaidi (kiri) pada majlis penutupan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2014 di Kuching malam kelmarin.

Selain mengisahkan kehidupan Wan Junaidi sebagai pegawai polis, buku ini juga mengandungi maklumat berguna berkaitan sejarah ketika era ancaman pengganas komunis di Sarawak.

Bercakap pada majlis penutupan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2014 di salah sebuah hotel di sini malam kelmarin, Ahmad Zahid yakin buku itu akan memberikan manfaat kepada pegawai polis, pegawai-pegawai kerajaan, para pelajar dan masyarakat umumnya.

Malah, beliau berharap usaha seperti ini akan dicontohi oleh warga KDN dan dijadikan penyuntik semangat untuk menulis buka berkaitan keselamatn  dan ketenteraman awam.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata Kementerian Dalam Negeri sedang menggubal Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurut beliau, rangka dasar berkenaan telahpun siap dan kini sedang dalam proses mendapatkan maklum balas daripada rakyat melalui Town Hall Meeting (THM) yang dilaksanakan mengikut zon.

“Berdasarkan maklumbalas yang diterima, rata-rata peserta THM bersetuju dan menyokong tindakan kementerian menggubal DKDN demi menjaga keselamatan negara.

“Malah mereka mahukan supaya THM ini diteruskan dengan memberi fokus kepada kumpulan sasar yang tepat.

“Ini memberi gambaran bahawa tindakan yang diambil oleh kementerian ini berada pada landasan yang betul dan mendapat sokongan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai seminar tersebut, Ahmad Zahid berkata ia merupakan program perkongsian ilmu yang diadakan setiap tahun dengan tema-tema khusus tetapi tidak lari dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Untuk seminar kali ini, katanya, tema yang dipilih ialah ‘Cabaran Pelaksanaan Akta Pencegahan Jenayah 2014’ atau POCA yang bertujuan mendapatkan input daripada pegawai-pegawai yang melaksanakannya,

Input seperti ini, katanya, amat penting bagi membantu kerajaan khususnya KDN membuat penilaian keberkesanan pelaksanaan POCA.

Pada majlis itu, turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta yang lain.

Buku ‘A Policeman’ karya Wan Junaidi yang memaparkan pelbagai maklumat berguna dilancar.

Dua simpang ‘maut’ ditutup, pengguna jalan raya lega

$
0
0

KOTA SAMARAHAN: Kegelisahan yang menghantui pengguna jalan raya di sini berakhir apabila dua simpang berisiko kemalangan di Jalan Datuk Mohd Musa dan Jalan Ekspressway Kuching-Samarahan ditutup.

Penutupan dua simpang berkenaan dilakukan ekoran kerap menyumbang insiden kemalangan di kawasan itu sejak ia dibina.

Dua simpang itu masing-masing terletak di Jalan Datuk Mohd Musa berhadapan dengan kawasan komersil Taman Perumahan Desa Ilmu dan di Jalan Ekspressway Kuching-Samarahan simpang masuk ke Taman Riveria.

Kerja-kerja penutupan dua simpang itu dilakukan dua minggu lalu.

Menurut penduduk dari Taman Perumahan Desa Ilmu Abdul Adili Rahman, 53, beliau menyokong penutupan simpang berkenaan ekoran banyak kali berlakunya kemalangan di situ.

Malah, katanya, penutupan simpang itu juga dapat memberi keselamatan kepada pengguna jalan raya selain sebagai langkah mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan lalu lintas di situ terutamanya pada waktu kemuncak.

“Sebelum simpang ini ditutup banyak berlaku kemalangan di sini dan apabila waktu puncak pasti berlakunya kesesakan.

“Justeru, dengan penutupan simpang ini sedikit sebanyak melegakan kami sebagai pengguna jalan raya di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Danny Lim, 42, penghuni Taman Riveria, Jalan Ekspressway Kuching-Samarahan berkata, meskipun penutupan simpang di situ memaksa dia membuat pusingan di bulatan di jalan itu untuk pulang ke rumahnya, namun ia lebih selamat berbanding menggunakan simpang berkenaan.

“Lebih selamat dan tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas terutamanya waktu pagi dan petang. Ia lebih baik ditutup kerana mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya,” ujarnya.

Dua sesi pengajian dicadang di semua ILP mulai tahun hadapan

$
0
0

MIRI: Kementerian Sumber Manusia bercadang mewujudkan dua sesi pengajian di semua Institusi Latihan Perindustrian (ILP) di negara ini mulai tahun hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai pekerja mahir.

Menterinya Datuk Seri Richard Riot berkata, langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan melahirkan 210,000 pekerja berkemahiran dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

“Setakat ini kita mempunyai kira-kira 28 peratus pekerja mahir. Kita mahu jumlah ini meningkat kepada 33 peratus pada 2015 seterusnya 50 peratus menjelang 2020,” katanya berucap pada jamuan malam ‘Sirih Pulang ke Gagang’ Alumni ILP Miri dan ILP Kota Samarahan 2014 di ILP Miri malam kelmarin.

Richard menambah, pelaksanaan dua sesi pengajian itu bagi menampung permintaan rakyat yang dilihat semakin berminat dalam bidang kemahiran di ILP.

Selain itu, katanya, mulai tahun hadapan ILP dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) juga diwajibkan bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam memberi latihan kepada pelatih.

Dalam perkembangan berkaitan, Richard menambah kerajaan akan terus membangun ILP dan ini terbukti dengan peruntukan sebanyak RM500 juta yang dibentang semasa Bajet 2015 baru-baru ini.

“Pemberian peruntukan besar ini membukti kesungguhan kerajaan dalam membangunkan modal insan di negara ini. Ini sejajar dengan harapan kerajaan untuk melahirkan modal insan berwawasan, berpotensi, inovatif, kompetitif dan berkemahiran tinggi dalam mencapai misi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, majlis malam kelmarin bagi menghimpunkan bekas pelajar yang sebahagian besarnya  menceburi bidang pekerjaan untuk kembali mendekatkan hati mereka ke ILP Miri atau ILP Kota Samarahan.

Hadir sama Menteri Muda Perhubungan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ILP Miri Datuk Lee Kim Shin, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Saripuddin Kasim, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Mohamad Sahar Darusman, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Chin Phaik Yoong dan Pengarah Adtec Bintulu merangkap Pengerusi Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Wilayah Timur Dr. Ramli Rashidi.

Kerajaan teruskan pembangunan

$
0
0

Oleh Mastura Ismail //

Projek pembangkang di luar bandar hanya bercorak propaganda: Jabu

LIMBANG: Rakyat luar bandar perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam meneruskan kesinambungan pembangunan sekali gus tidak tunduk kepada propaganda pembangkang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, kempen pembangunan yang dilaung pembangkang di kawasan luar bandar hanya bercorak propaganda semata-mata.

“Justeru, rakyat di pedalaman perlu terus menyokong kerajaan dan kepimpinan sedia ada jika mahu kesinambungan pembangunan di kawasan luar bandar berterusan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri upacara perkahwinan suku kaum Bisaya antara Wynna Deborah Julain dan Setiausaha Majlis Daerah Limbang (MDL) Gustian Durani di Batu Danau semalam.

Turut sama isteri Jabu, Datuk Sri Empiang Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan isteri Mary Sindang, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Timbalan Residen Pembangunan Selamat Jati, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat dan jemputan lain.

Jabu berkata, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga mengulangi jaminan meneruskan segala kesinambungan pembangunan seperti yang pernah dijalankan bekas Ketua Menteri sebelum ini, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, kemampuan BN memberi kestabilan politik dan keharmonian rakyat tidak dapat dinafi dalam menjadikan negeri ini terus maju.

“Apabila kestabilan politik dapat dicapai, ia memudahkan  program pembangunan dirancang sebelum ini. Malah kerajaan dapat melaksana hingga ke peringkat akar umbi,”ujarnya.

Beliau juga tidak mahu rakyat berpuas hati dengan apa yang dikecapi sebaliknya terus memberi sokongan kepada BN supaya  memerintah dan melaksana  penambbaikan setanding negara maju lain.

Kerajaan BN katanya, menerusi wakil rakyat termasuk di Limbang bekerja keras membawa pembangunan khususnya di Batu Danau yang kini mengalami banyak transformasi cepat.

“Apatah lagi kenaikan peruntukan untuk Sarawak dan Sabah. Ini membuktikan keprihatinan kerajaan pusat yang mengutamakan keperluan rakyat terutamanya di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau turut gembira kerana bajet itu tidak meminggir keperluan masyarakat luar bandar yang masih mendamba lebih banyak kemudahan asas dan pembangunan mapan secara berterusan.

Mengulas mengenai upacara perkahwinan Bisaya itu, katanya ia mampu menonjolkan keunikan dan kebudayaan kaum Bisaya dan pada masa sama mengerat perpaduan dan silaturahim.

Pada majlis itu, kenamaan yang hadir turut dipersembahkan dengan upacara adat  perkahwinan Bisaya iaitu Manta Barian, Babagu Atis, persembahan  kebudayaan tarian Bisaya dan adat Bisaya lain.

Tadika St Faith untuk semua komuniti di kawasan Kenyalang

$
0
0

KUCHING: Tadika St Faith yang akan dibina di kawasan Kenyalang di sini merupakan prasarana pendidikan prasekolah untuk semua komuniti tanpa mengira bangsa dan agama.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Tadika St Faith Darrel Tsen berkata, tadika berkenaan apabila siap nanti akan memenuhi keperluan semua masyarakat di kawasan itu.

“Tambahan pula, kita telah mewujudkan sebuah program baharu selain mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran berdasarkan silibus Kementerian.

“Tadika ini juga merupakan sebuah institusi bukan berorientasikan keuntungan kerana bayaran yuran yang dikenakan adalah serendah RM120 sebulan,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Batu Asas Tadika St Faith yang disempurnakan oleh Ketua Biskop Rev Datuk Bolly Lapok semalam.

Pembinaan tadika yang memakan kos berjumlah RM2.5 juta itu bagaimanapun masih memerlukan tambahan sebanyak RM1.5 juta.

Justeru, Darrel berharap lebih ramai penganut Kristian dan bukan Kristian yang baik hati menyumbang ke arah pendidikan prasekolah di kawasan terbabit.

Menurut beliau lagi, Tadika St Faith akan dibina di bekas tapak Sekolah Kebangsaan (SK) St Faith yang dahulunya setinggi empat tingkat.

Tingkat bawah bangunan itu akan digunakan untuk dapur, tempat makan kanak-kanak, tandas, bilik mandi, bilik komputer dan perpustakaan.

Tingkat dua bangunan itu pula akan ditempatkan pejabat pentadbiran, manakala kelas untuk proses pengajaran dan pembelajaran di tingkat tiga.

“Tingkat empat kita akan biarkan kosong dahulu untuk kegunaan masa hadapan,” jelasnya.

Tadika itu dijangka dapat memuatkan 300 kanak-kanak pada satu-satu masa berbanding 240 sehingga 260 pelajar sebelum ini.

Sumbangan boleh dibuat dengan menelefon Darrel atau Josephine Gawing menerusi talian 082-330373 pada waktu pejabat atau datang sendiri ke Gereja St Faith di Jalan Chawan.

Tadika St Faith sebelum ini hanya bermula dengan dua bilik darjah di tingkat bawah rumah pangsa Parish Gereja St Faith pada Disember 1988.

Tadika itu kemudiannya berpindah ke pusat Gereja St Faith yang baharu pada 2003 sehingga kini.

Bajet 2015 pengiktirafan kerajaan terhadap peranan belia

$
0
0

KUCHING: Pelan Transformasi Belia Negara yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2015 merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan belia dalam menjayakan agenda transformasi negara.

Malah, tidak keterlaluan sekiranya bajet disebut sebagai ‘bajet mesra belia’ kerana menyediakan pelbagai skim dan bantuan kepada generasi muda seperti Skim Perumahan Belia untuk membantu belia negeri ini memiliki rumah sendiri.

Penasihat Kelab Rekreasi LCCS Kuching Nurasiman Simon berkata, sebagai kelab yang dekat dengan belia, skim tersebut dilihat mampu memberi kelegaan kepada belia yang mempunyai kekangan untuk membeli rumah berikutan kenaikan kos taraf hidup.

“Saya sangat gembira dengan pengumuman Bajet 2015 kerana ia jelas demi kesejahteraan rakyat dan sebagai rakyat Sarawak kita ingin mengucapkan terima kasih atas peruntukan berjumlah RM27 bilion bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di mana ia merupakan komunikasi darat penting menghubungkan seluruh daerah di Sarawak termasuk Sabah dan Brunei.

“Dari aspek belia pula, golongan tersebut sungguh beruntung kerana kerajaan turut memperkenalkan Skim Perumahan Belia bagi membantu mereka memiliki rumah sendiri,” katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, jelasnya, Pelan Transformasi Belia Negara yang diperkenalkan juga dapat memberi kelegaan kepada generasi itu selain program Akademi Kepimpinan Belia dan program Kem Uniti yang boleh membawa manfaat kepada golongan belia di negeri ini.

Menurutnya, inisiatif itu diperkenalkan kerajaan kerana mahu lebih ramai belia menjadi usahawan tani melalui program Agropreneur Muda dan Keusahawanan Sosial adalah antara langkah yang penting dalam mengubah mentaliti belia daripada hanya makan gaji kepada menjadi majikan sendiri.

Justeru, jelasnya, golongan belia perlu merebut pelbagai peluang disediakan kerajaan dalam Bajet 2015 dan sedia untuk bersaing di peringkat global.

“Harapan kita agar para belia dapat mengambil peluang yang sentiasa diberikan oleh kerajaan negeri ataupun mana-mana agensi swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan diri dari aspek inovasi, kualiti dan kreativiti diri (jangan sia-siakan masa muda),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nurasiman mempelawa belia di bandar raya ini untuk menyertai program ‘The 1st Kuching Night Drag War 2014’ yang akan diadakan di Sejingkat DragRace Circuit di sini pada 8 November depan, jam 8 pagi hingga 11 malam.

Menurutnya, tujuan utama karnival itu dianjurkan adalah untuk memperhebatkan kempen ‘Katakan Tidak Kepada Lumba Haram’ dalam kalangan belia.

“Kita melihat karnival seperti ini adalah platform terbaik untuk belia yang berminat dalam sukan bermotor menunjukkan bakat dan kreativiti masing-masing,” katanya kepada pemberita.

Untuk maklumat lanjut, hubungi beliau menerusi talian 016-8908980.

Cuma empat taska di tempat kerja

$
0
0

Oleh Hamimi Kassim //

Jumlah menyedihkan walhal ada permintaan tinggi ibu bapa bekerja

SERAH: Adenan menyampaikan sijil kepada peserta Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Kesembilan Tahun 2014 pada majlis penutupannya di Kuching, semalam. Turut kelihatan Fatimah, Jamilah, Rosey dan Adi.

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah semalam memberitahu setakat ini hanya terdapat empat buah taska di tempat kerja ditubuhkan di negeri ini.

Beliau berkata, angka tersebut sungguh menyedihkan walhal permintaan bagi taska tersebut adalah tinggi khasnya bagi golongan ibu bapa bekerja.

“Setelah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun, Sarawak telah menyaksikan dan menikmati pelbagai kemudahan pendidikan awal kanak-kanak.

“Menambah bilangan taska adalah satu usaha yang dilakukan secara sedar dan strategik oleh hampir semua agensi berkepentingan.

“Sebagai contoh, ‘taska di tempat kerja’ merupakan satu pendekatan yang amat tepat bagi membantu ibu bapa bekerja menempatkan anak-anak yang masih kecil di bawah asuhan pihak taska yang berkelayakan, namun bilangannya sehingga kini sungguh sedikit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian penutupan Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Kesembilan Tahun 2014 di Hotel Imperial di sini, semalam.

Justeru, katanya, kementerian melalui Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) akan memastikan aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, guru, pengasuhan serta prasarana sentiasa dititikberatkan.

“Semua ini diberi penekanan supaya suasana pembelajaran yang kondusif serta mesra kanak-kanak dapat diwujudkan.

“Sehubungan itu, MPAKS telah menyediakan manual standard kualiti bagi digunakan sebagai panduan dan rujukan oleh semua penguasaha prasekolah swasta dan ini merupakan langkah murni yang penting demi memastikan pengelolaan prasekolah swasta di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya adalah terjamin,” jelasnya.

Terdahulu, dipaparkan pada skrin semasa Fatimah sedang menyampaikan ucapannya ialah statistik bagi tadika di negeri ini sehingga bulan April 2014.

Menurut statistik tersebut, jumlah tadika terdapat di seluruh Sarawak adalah sebanyak 2,727 buah yang mana 1,093 daripadanya ditubuhkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), 1,066 oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), 172 oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), dua buah oleh Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (MIS) dan 394 oleh Tadika Swasta Berdaftar dengan JPNS.

Bercakap mengenai konvokesyen tersebut, Fatimah memberitahu seramai 480 peserta menyertainya dengan empat kertas konsep dan sepuluh bengkel aktiviti pembelajaran diadakan.

“Bertemakan ‘Memikir Berfikir: Memupuk Budaya Berfikir,’ konvensyen siri kesembelian yang diadakan secara tahunan sejak 2006 ini mampu memberi keyakinan kepada para guru untuk menterjemahkan kefahaman mereka tentang kemahiran berfikir ke atas pelbagai bentuk aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.

Hadir merasmikan majlis penutupan tersebut ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS Datu Dr Adi Badiozaman Tuah dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi.


Atur pertemuan melalui Wechat, gadis jadi mangsa lepas nafsu

$
0
0

KUCHING: Tindakan berani mengatur pertemuan kali pertama dengan lelaki yang baharu dikenali menerusi Wechat membawa padah apabila seorang gadis dari Baram menjadi sasaran memuaskan nafsu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku dalam sebuah kereta di Jalan Astana di sini sekitar 11 malam kelmarin.

Menurut sumber, pelajar yang menyewa rumah di atas kedai Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) itu dikatakan baharu berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi Wechat yang kemudiannya mengajaknya berjumpa.

“Suspek pada awalnya berjanji mengajak mangsa hanya untuk bersiar-siar di kawasan bandar, tetapi suspek telah membawa mangsa ke Jalan Astana.

“Bagaimanapun, suspek kemudian bertindak membuka seluar lalu merogol mangsa di tempat duduk belakang kereta,” kata sumber.

Difahamkan, suspek menghantar wanita terbabit pulang setelah melepaskan nafsu serakahnya.

Mangsa kemudian meluahkan detik hitam dalam hidupnya itu kepada rakannya yang kemudian menghantarnya membuat laporan polis dan menjalani pemeriksaan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kes sedang disiasat.

Pecah masuk, pemilik kedai makan kerugian RM13,000

$
0
0

SIBU: Seorang pemilik kedai makan di Sungai Merah mendakwa kerugian kira-kira RM13,000 selepas premis perniagaannya dipecah masuk pencuri.

Kejadian itu disedari mangsa ketika hendak memulakan perniagaannya sekitar jam 6.30 pagi semalam.

Pencuri dipercayai masuk melalui pintu belakang sebelum keluar menerusi laluan sama.

Dalam insiden itu, pencuri dikatakan berjaya melarikan wang tunai RM600 dari mesin tunai termasuk rokok berjenama.

Selain itu, sebuah televisyen plasma 60 inci yang digantung pada dinding premis turut hilang dipercayai dilarikan pencuri.

Mangsa yang masih terkejut dengan insiden itu kemudian membuat laporan polis.

SK Chung Hua Krokop, SMK (A) Tun Ahmad Zaidi juara Pertandingan Lalu Lintas Shell 2014

$
0
0

UNGGUL: Manyin menyampaikan hadiah kepada guru pasukan SMK (A) Tun Ahmad Zaidi, Kuching yang muncul johan kategori berpasukan sekolah menengah Pertandingan Lalu Lintas Shell Peringkat Negeri Sarawak.

KUCHING: Pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Chung Hua Krokop, Miri dan Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Tun Ahmad Zaidi, Kuching muncul johan Pertandingan Lalu Lintas Shell 2014 Peringkat Negeri Sarawak.

Selaku johan, kedua-dua pasukan akan mewakili Sarawak ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada November depan.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak pada majlis penutupan yang berlangsung di North Court, Pusat Beli-Belah tHe Spring semalam.

Naib johan bagi kategori berpasukan sekolah rendah dimenangi oleh SJK Chung Hua Serian, tempat ketiga SK Sungai Apong, manakala SJK Sacred Heart Chinese dan SK Tanjung Batu masing-masing di kedudukan keempat dan kelima.

Sementara itu, naib johan bagi kategori berpasukan sekolah menengah dimenangi oleh SMK Pesantren Abd Taib Mahmud, tempat ketiga SMK Pujut manakala tempat keempat dan kelima disandang oleh SMK St Luke dan  SMK Bandar Bintulu.

Pertandingan tersebut yang disertai 22 sekolah dianjurkan oleh Sarawak Shell Berhad dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Jabatan Pendidikan, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan serta yang lain.

Tidak hanya mempertaruhkan kategori berpasukan terbaik keseluruhan, pertandingan itu turut dibahagikan kepada beberapa kategori individu sekolah rendah dan menengah.

Antaranya ujian bertulis, pejalan kaki, pengayuh basikal dan pemandu kereta serta bahagian terbaik keseluruhannya yang dirangkul oleh Bahagian Miri.

Menurut Managing Counsel Upstream International Shell Malaysia, James Paul pertandingan itu merupakan sebahagian daripada program pendidikan anjuran Shell dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mempromosikan kesedaran keselamatan jalan raya dalam negara.

“Keselamatan jalan raya merupakan fokus utama dalam program tanggungjawab sosial syarikat dan kami telah membelanjakan RM1 juta lebih setiap tahun bagi melaksanakan pertandingan ini di seluruh negara dengan lebih RM300,000 dibelanjakan di Sarawak,” katanya.

Selain Pertandingan Lalu Lintas, menurut James, Shell juga menganjurkan pelbagai program kesedaran keselamatan jalan raya untuk sekolah dan kolej membabitkan 15,000 pelajar termasuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seramai 8,000 orang.

Usaha lain termasuk program pameran dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan di pusat-pusat beli-belah utama di bandar utama Sarawak yang berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung setiap tahun.

Guru disyaki liwat pelajar ditahan

$
0
0

Oleh Sandy Mark Luna //

Suspek dicekup polis pada Jumaat, mungkin ada pelajar lain jadi mangsa

KUCHING: Polis menahan seorang guru sebuah sekolah menengah di Sri Aman kerana dipercayai meliwat seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, mangsa membuat laporan polis pada 10 Oktober 2014 yang mendakwa berlaku penderaan seksual ke atasnya oleh guru sekolahnya.

“Suspek merupakan seorang guru sekolah berumur 48 tahun dan mengajar di sebuah sekolah di Sri Aman.

“Kejadian pertama dipercayai berlaku pada bulan Mei 2013 dan sekali lagi pada Ogos 2014,” katanya semalam.

Sabtu berkata, dalam kejadian pertama, mangsa dipercayai diberikan wang RM30 dan RM10 dalam kejadian kedua dengan kedua-dua insiden dipercayai berlaku di sebuah flat di Sri Aman.

Sementara itu, menurut sumber, kemungkinan ada pelajar lelaki lain turut menjadi mangsa guru tersebut.

“Bagaimanapun, suspek difahamkan telah dilepaskan atas jaminan polis selepas disoal siasat. Manakala, mangsa telah menjalani pemeriksaan di Hospital Umum Sarawak (HUS),” kata sumber.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sri Aman DSP Mat Jusoh Muhammad ketika dihubungi semalam enggan mengulas lanjut namun sekadar memberitahu, kes itu kini dikendalikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Bagai dirasuk, lelaki cuba bunuh bapa

$
0
0

KUCHING: Seorang penganggur bagaikan dirasuk apabila cuba membunuh bapa, selain mencederakan adik serta ibunya sendiri, pagi semalam.

Ibunya yang enggan namanya disiarkan memberitahu, anak lelakinya itu mula bertindak agresif kelmarin tanpa sebab diketahui, malah tergamak mencederakannya di bahagian lengan.

Manakala pagi semalam, lelaki berusia 22 tahun itu masih gagal mengawal diri apabila mula mengamuk di kediaman mereka di pusat bandar raya ini.

“Tidak tahan dengan sikapnya apabila dia mula naik angin lagi tadi (semalam), suami saya terus menampar lalu menghalaunya dari rumah sebelum mencabarnya, ‘Kalau kau berani kau bunuh aku!’

“Bagaikan pantang dicabar, dia terus mengambil pisau dan mula mengejar bapanya,” katanya kepada pemberita.

Adik lelaki itu difahamkan cedera di tengkuk dan kepala dalam usahanya mententeramkan suspek, manakala bapanya cedera di bahagian jari.

Selepas berjaya ditenteramkan, pemuda itu dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS), bersama-sama ibu bapa dan adiknya untuk mendapatkan rawatan.

Ibunya turut menambah, anak lelakinya itu mengalami masalah kemurungan yang berpanjangan.

Lelaki itu turut dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.

Maut di jalanan lebih tinggi dari penyakit

$
0
0

TERUJA: Manyin dan Chan mencuba ujian hentakan kemalangan jalan raya sebelum penutupan Pertandingan Lalu Lintas Shell Peringkat Negeri Sarawak di tHe Spring, Kuching semalam.

KUCHING: Kes kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya di negeri ini lebih tinggi berbanding jangkitan pelbagai penyakit kronik yang mengundang maut.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata dari Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 277 kematian dicatatkan di negeri ini dengan purata 1.15 kematian sehari berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Di Malaysia, sebanyak 6,950 kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya dicatatkan pada tahun 2013 dengan purata 18.9 kematian sehari.

“Statistik ini menunjukkan bahawa lebih banyak kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya berlaku dalam kalangan masyarakat kita berbanding penyakit seperti jangkitan malaria, denggi dan penyakit lain yang mengundang maut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Pertandingan Lalu Lintas Shell Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di North Court, Pusat Beli-Belah tHe Spring di sini semalam.

Manyin berkata, sudah menjadi budaya masyarakat meletakkan kesalahan di atas bahu pihak lain apabila berlaku kemalangan jalan raya.

Tetapi, katanya, apabila dikaji kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada kecuaian pengguna sendiri yang enggan mematuhi peraturan jalan raya.

Contoh mudah, katanya, enggan menggunakan jejantas yang disediakan untuk menyeberang jalan raya, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan topi keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan banyak kesalahan lain.

“Saya telah berkunjung ke Korea Selatan, China, Australia untuk melihat jalan raya mereka dan saya dapati keadaan jalan raya mereka tidak jauh bezanya dengan apa yang ada di negeri kita ini.

“Jadi adakah ia kesalahan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kementerian jika berlakunya kemalangan? Tidak, ia bukan salah mana-mana pihak tetapi ia berpunca daripada diri kita sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai pertandingan tersebut, Manyin berkata ia telah diperkenalkan sejak tahun 1963 dengan tujuan menyemai kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda.

Bagaimanapun, katanya, sejauh mana keberkesanan program itu tiada siapa yang tahu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada pihak penganjur iaitu Shell Malaysia untuk menjalankan kajian ke atas keberkesanan program itu.

Kajian tersebut meskipun belum siap sepenuhnya, namun menurut Manyin ia menunjukkan bahawa terdapat keberkesanan program ini dalam usaha menyemai kepentingan dan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pesertanya.

Justeru, beliau menggesa pihak Shell untuk meneruskan program itu secara konsisten pada masa akan datang.

“Sepanjang 51 tahun ini, sebanyak RM50 juta telah dibelanjakan oleh Shell untuk melaksanakan program ini, justeru kita berhak untuk mengetahui keberkesanannya,” katanya.

Turut hadir, Managing Counsel Upstream International Shell Malaysia James Paul, Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk James Chan Khay Syn serta yang lain.

Pantau tumbesaran anak

$
0
0

Oleh Hamimi Kassim //

Adenan mahu jabatan-jabatan kerajaan tubuh créche, pekeliling akan dikeluarkan

CERIA: Adenan bersama Jamilah, Fatimah dan Rosey bergambar bersama kanak-kanak pada majlis penutupan rasmi Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-9 Tahun 2014 di Kuching, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu melihat jabatan jabatan kerajaan di Sarawak memiliki pusat jagaan anak-anak di tempat kerja (créche) agar ibu bapa bekerja mudah untuk memantau tumbesaran anak masing-masing.

Sehubungan itu, beliau berkata, perbincangan akan diadakan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani agar pekeliling dapat dikeluarkan bagi tujuan penubuhan créche di bangunan pejabat atau premis jabatan kerajaan di negeri ini.

“Saya ingin melihat lebih banyak jabatan kerajaan di negeri ini dapat menubuhkan créche dan untuk itu, saya akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan pekeliling bagi tujuan itu.

“Sukacita saya maklumkan juga bahawa sebagai Pengerusi Yayasan Sarawak, kita merupakan antara orang pertama yang menubuhkan créche di negeri ini, jadi ikutlah kita.

“Tubuhlah créche kerana ia bukanlah suatu yang baharu dan telah luas dipraktikkan seperti di Australia dan kerajaan New Zealand juga ada mengeluarkan subsidi dengan memberikan elaun khas kepada ibu bapa untuk membayar perkhidmatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan rasmi Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-9 Tahun 2014 di Hotel Imperial di sini, semalam.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS Datu Dr Adi Badiozaman Tuah dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi.

Tambah Adenan, kesedaran tentang pentingnya penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak walaupun ibu bapa bekerja menyebabkan créche merupakan langkah terbaik memastikan anak-anak tidak diabaikan.

“Kita (kerajaan) akan sentiasa bersama ibu bapa memastikan anak-anak (generasi muda) membesar dengan sebaiknya kerana merekalah pemimpin masa hadapan dan kita mahu mereka menjadi populasi bijak sejajar dengan perkembangan abad ke-21 yang semakin mencabar.

“Cara lama sudah tidak berkesan lagi dan untuk itu, kita semua perlulah dapat mengejar agar tidak ketinggalan kerana negeri dan negara lain tidak akan menunggu Sarawak,” tegasnya.

Oleh itu, jelasnya, penekanan terhadap pendidikan awal, pendidikan tinggi, kemahiran, profesionalisme perlu diterapkan dan diberi penekanan oleh semua pihak sejak awal lagi.

“Apabila kita membesarkan anak-anak, jangan selalu berkata ‘tidak’ setiap masa dan bersikap terlalu mengongkong.

“Biarkan mereka bermain dan tidak bermakna kita tidak boleh memantau mereka kerana begitulah cara mereka mengenali dunia dan belajar melaluinya,” nasihatnya.


Sukan Ria Aidiladha di Kampung Matang Laut meriah

$
0
0

MERIAH: Sukan Ria Aidiladha berlangsung meriah di padang Kampung Matang Laut, baru-baru ini.

KUCHING: JASA Mesra Enterprise bersama penduduk Kampung Matang Laut telah menganjurkan Sukan Ria Aidiladha di Padang Bola Kampung Matang Laut, di sini baru-baru ini.

Aktiviti yang dirangka bersama penganjur dan penduduk kampung ini adalah perspektif bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan sihat selain meningkatkan usaha dan jalinan di kalangan penduduk Kampung Matang Laut sendiri.

Menurut jurucakap program dalam kenyataan media semalam, penganjuran seperti ini amat digalakkan kerana dapat mengeratkan jalinan ukhwah serta kerjasama antara penduduk agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk.

“Program kemasyarakatan seperti ini perlu diteruskan agar dapat memberi peluang dalam membentuk perpaduan rakyat dan mengisi masa lapang bersama keluarga dan jiran tetangga,” katanya.

Tambahnya, dorongan dan sokongan juga perlu diberi khususnya daripada pihak ibu bapa bagi memantapkan hubungan sesama penduduk selain memberi manfaat kepada orang lain.

Selain itu, ia juga dapat memperhebatkan lagi aktiviti sukan dan membentuk anak-anak agar tidak membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah, jelasnya.

Dalam pada itu, aktiviti yang julung kalinya diadakan di kampung tersebut telah diadakan beberapa permainanan seperti sukaneka penduduk, bola sepak remaja dan veteran, boling padang, lumba pecut, lumba makan roti dan banyak lagi.

Beri senarai lengkap operasi stesen, substesen pertanian

$
0
0

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang harus memberikan orang ramai senarai yang lengkap mengenai pengoperasian penuh stesen-stesen dan substesen pertanian di Sarawak.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Vernon Aji Kedit mendakwa Jabu selaku Menteri Pemodenan Pertanian telah memberi laporan yang bertentangan sejak 2010 tentang perkara tersebut.

Katanya, pada 7 Oktober 2010, Jabu dilaporkan berkata Kabinet Negeri telah meluluskan untuk menghidupkan semula 20 stesen pertanian di seluruh negeri tetapi sehingga sekarang, beberapa lagi stesen tersebut belum dihidupkan semula.

“Setahun selepas itu iaitu pada September 2011, Jabu dilaporkan mahu semua 46 stesen pertanian di negeri ini diaktifkan dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2012.

“Beliau berkata mesyuarat Kabinet Negeri telah meluluskan peruntukan untuk menaik taraf 28 lagi stesen dan menggunakan lebih ramai pembantu pertanian di kawasan-kawasan pedalaman.

“Kami mahu beliau mendedahkan berapa banyak daripada 46 stesen ini telah dihidupkan semula dan kami mahu beliau memberitahu orang ramai mengenai senarai stesen-stesen pertanian yang beroperasi sepenuhnya sejak 2012 sehingga sekarang,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kerana selepas empat tahun pengumuman tentang menghidupkan semula stesen-stesen pertanian, Jabu pada Selasa lepas dilaporkan berkata sebanyak 48 substesen pertanian akan diwujudkan di negeri ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2017.

“Kami mahu menteri (Jabu) menjelaskan tentang perbezaan antara stesen pertanian dan substesen pertanian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi PKR Mas Gading Boniface Willy Tumek berkata jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri di Parlimen berhubung keputusan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali adalah mengejutkan dan amat mengecewakan.

“Nancy Shukri sendiri mewakili Sarawak, sebahagian daripada Malaysia yang terkenal kerana keharmonian kaum dan agama di antara rakyatnya.

“Beliau juga mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebuah parti pelbagai kaum dengan ahli-ahli dari pelbagai agama dan latar belakang.

“Apakah yang mendorongnya untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian mengenai perkara yang telah mengejutkan dan menyinggung masyarakat Kristian selama ini,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Boniface yang juga Naib Presiden PKR Sarawak merujuk kepada jawatan bertulis Nancy di Parlimen kepada soalan yang diajukan kepada Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mengenai sebab Ibrahim tidak didakwa atas tuduhan menghasut selepas beliau menyeru agar Alkitab yang mengandungi kalimah ‘Allah’ dibakar.

Nancy yang juga menteri bertanggungjawab bagi hal undang-undang, menjawab bahawa polis merumuskan kata-kata Ibrahim tidak mengancam masyarakat lebih luas dan kenyataan (untuk membakar salinan Alkitab yang mengandungi kalimah ‘Allah’) bukan berhasrat untuk menimbulkan kekacauan agama tetapi cuma untuk mempertahankan kesucian Islam.

Boniface berkata, tidak sampai sebulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat rayuan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-69 bagi perikatan golongan sederhana di seluruh dunia bagi memerangi ekstremisme.

Elaun sara hidup bantu ringan bebanan nelayan

$
0
0

KUCHING: Pengerusi Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA), Bohari Ganti berkata, elaun sara hidup nelayan seperti yang diperuntukkan dalam Bajet 2015 akan membantu mensejahterakan kehidupan nelayan di negeri ini.

Menurutnya, kehidupan nelayan di Sarawak sekarang adalah masih dalam keadaan daif di mana mereka amat memerlukan sokongan serta bantuan daripada kerajaan.

“Masih ramai di kalangan nelayan negeri ini hidup dalam keadaan daif.

“Malah, ada mereka yang masih tiada rumah sendiri dengan tinggal menumpang dengan keluarga.

“Justeru bagi nelayan di Sarawak, memang perlu elaun sara hidup mereka dinaikkan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Pada masa sama, Bohari juga berharap agar bantuan lain seperti minyak bersubsidi terus diberi kepada nelayan terutama bagi nelayan pantai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengumumkan Bajet 2015 baru-baru ini berkata nelayan Zon A, B dan C akan menikmati kenaikan elaun sara hidup manakala nelayan darat sepenuh masa juga buat julung kalinya akan diberi elaun RM200 sebulan.

Elaun sara hidup nelayan Zon A akan naik daripada RM200 kepada RM300 sebulan manakala bagi nelayan Zon B dan C dinaikkan kepada RM250.

Kerajaan juga memperuntukkan RM60 juta untuk mempergiatkan aktiviti akuakultur seperti ternakan ikan, udang, kupang dan tiram dalam sangkar bagi mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan yang terjejas terutama pada musim tengkujuh.

Selain itu, RM27 juta diperuntukkan untuk memasang ‘Automatic Identification System’ pada bot-bot nelayan untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan, memastikan kedudukan bot nelayan berdasarkan zon tangkapan dan mengurangkan kos operasi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara Kampung Muara Tebas Jam Hajimi berkata beliau amat bersetuju dan menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan tersebut.

“Saya yakin Bajet 2015 akan menyelesaikan isu-isu di kalangan nelayan termasuk di Sarawak sekali gus meningkatkan lagi taraf hidup nelayan di negara ini,” katanya.

DBKU sudah kutip 65 peratus cukai pintu

$
0
0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Kutipan kira-kira RM25.4j berbanding sasaran RM39j kutipan untuk sepanjang 2014

KUCHING: Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai mendedahkan sebanyak 65 peratus daripada jumlah sasaran kutipan cukai pintu berjaya dikutip setakat September.

Menurutnya, kutipan tersebut merangkumi seluruh kawasan Kuching Utara sebanyak kira-kira RM25.4 juta kutipan berbanding sasaran RM39 juta kutipan untuk sepanjang 2014.

Bagaimanapun, jelas beliau, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) masih mempunyai masa tiga bulan untuk mengutip lebihan cukai itu bagi mencecah jumlah kutipan yang disasarkan.

“Kutipan cukai pintu bagi Kuching Utara setakat bulan September lalu ialah sebanyak 65 peratus daripada jumlah sasaran RM39 juta (RM25.4 juta) dan ia sememangnya sesuatu yang disifatkan baik.

“Kami (DBKU) yakin dan percaya, jumlah tersebut hampir mencecah jumlah sasaran kutipan sepanjang 2014 disebabkan beberapa pengenalan medium pembayaran cukai yang memudahkan rakyat seperti perkhidmatan perbankan deposit tunai dan perbankan atas talian selain membuat pembayaran terus ke kaunter DBKU,” katanya.

Malah, pembayaran cukai pintu itu juga boleh dilaksanakan menerusi perkhidmatan bayaran kaunter yang disediakan di Pasar Raya H&L di sekitar bandar raya ini.

“Justeru, tidak ada alasan untuk tidak dapat pergi membuat bayaran memandangkan kemudahan yang sediakan kepada warga kota kini berada di mana-mana,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Bersama Komuniti di Kampung Salak di sini, kelmarin.

Program Bersama Komuniti Kampung Salak dihadiri kira-kira 200 penduduk serta ketua masyarakat.

Pada program satu hari itu, kaunter bergerak cukai pintu dibuka bagi memudahkan penduduk kampung menjelaskan tunggakan cukai pintu secara langsung kepada kakitangan DBKU bertugas.

Selain itu, penduduk kampung juga diberi taklimat berkenaan cukai pintu dan demostrasi teknologi pengkomposan EM Bokashi serta sesi soal jawab bersama Abang Abdul Wahap dan kakitangan DBKU yang lain.

Hadir sama ialah Pengarah DBKU Dr Saadiah Abdul Samat serta Penghulu Kampung Salak Wahid Mat.

MyCC mengulangi amaran terhadap penetapan harga

$
0
0

KUCHING: Ekoran keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mahu menyah kawal tambang bas sekolah baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) Tan Sri Datuk Seri Siti Norma Yaakob semalam memberi amaran kepada operator bas supaya menentukan tambang bas secara bebas dan tidak menetapkan struktur tambang bersama.

Ini kerana menurutnya, perlakuan penetapan harga adalah bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Menurut kenyataan akhbar daripada MyCC semalam menyatakan bahawa Seksyen 4 daripada akta berkenaan  melarang perusahaan, termasuk persatuan menetapkan secara langsung atau tidak langsung suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan yang lain bagi pembelian barangan dan perkhidmatan.

“Kenaikan harga bukanlah satu amalan antipersaingan, namun jika kenaikan harga tersebut merupakan hasil daripada pakatan melalui perjanjian-perjanjian penetapan harga oleh mana-mana persatuan atau mana-mana kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, kegiatan seperti kartel ini ialah satu perlanggaran yang serius di bawah Akta,” katanya.

Berikutan penyahkawalan struktur tambang bas sekolah itu, pengendali bas sekolah tidak akan terikat kepada satu struktur tambang tetap lagi tetapi bebas menentukan anggaran tambang masing-masing berdasarkan kos operasi mereka sendiri.

Jika sesebuah perusahaan didapati bersalah atas perlanggaran Akta, MyCC boleh mengenakan penalti sehingga 10 peratus pendapatan perusahaan tersebut sepanjang tempoh perlanggaran Akta, ataupun mengenakan mana-mana arahan lain yang dianggap sesuai untuk memastikan Akta Persaingan 2010 dipatuhi oleh persatuan dan perusahaan perniagaan pada masa akan datang.

Baru-baru ini kes penetapan harga yang disiasat oleh MyCC ialah Persatuan Bakeri dan Manisan Sibu (Sibu Confectionery and Bakers Association) yang menaikkan harga manisan dan produk-produk bakeri secara kolektif.

Pada 30 September, MyCC mengeluarkan cadangan penalti bernilai RM439,000 kepada 24 anggota persatuan tersebut yang didapati mengambil bahagian dalam perjanjian penetapan harga.

Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kelakuan persatuan dan perusahaan perniagaan yang sedang atau telah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti penetapan harga perlu menghubungi MyCC di +603-2273 2277 atau melalui e-mel di complaints@mycc.gov.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai MyCC dan Akta Persaingan 2010, sila rujuk laman web www.mycc.gov.my.

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live