Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Jangan rasa rendah diri jika mahu berjaya

$
0
0

MIRI: Mereka yang ingin berkecimpung dalam dunia perniagaan harus yakin dengan keupayaan diri sendiri untuk bergelar usahawan berjaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata rasa rendah diri kerana kemiskinan tidak boleh dijadikan penghalang untuk mencapai impian mereka.

Ripin berkata mereka juga boleh belajar daripada kejayaan usahawan-usahawan ternama sekarang sebagai inspirasi dan motivasi.

“Walaupun kita berasal dari luar bandar, keluarga yang susah, tidak mustahil untuk kita berjaya dengan adanya keinginan, keazaman, kesungguhan dan keyakinan,” katanya pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri Ke-12 di sini malam kelmarin.

Ripin berkata pelbagai skim bantuan kewangan ditawarkan oleh kerajaan dan swasta untuk membantu ahli-ahli perniagaan tempatan.

Selain pengurusan kewangan bijak, kepekaan terhadap perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga penting untuk memperkembangkan perniagaan mereka.

DUBS Miri turut menerima sumbangan geran RM20,000 iaitu RM10,000 masing-masing daripada Ripin dan Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang.

Hadir sama Presiden DUBS Datuk Abang Helmi Tan Sri Ikhwan, Pengerusi Dewan Usahawan Wanita Bumiputera Sarawak (DEWANITA) Juita Drap dan Pengerusi DUBS Miri Abdul Samad Mohd Ali.


Cadangan bina laluan bawah tanah di kawasan Pujut Tiga

$
0
0

MIRI: Laluan bawah tanah dicadangkan dibina di kawasan bulatan Pujut Tiga di hadapan GK Supermarket di sini untuk menggantikan jejambat.

Kaunselor Bruce Chai berkata, pembinaan laluan itu adalah idea baharu yang dianggap lebih menjimatkan berbanding pembinaan jejambat.

“Kos pembinaan laluan ini adalah 30 hingga 40 peratus lebih murah daripada kos pembinaan jejambat.

“Kami merasakan projek ini sesuai dibina di bulatan GK Supermarket dan menjadi laluan bawah tanah pertama di sini,” katanya pada sesi bertemu penduduk anjuran sukarelawan Majulah Miri di sini petang kelmarin.

Masalah kesesakan di bulatan berkenaan pada waktu puncak iaitu sebelah tengah hari dan waktu balik bekerja kerap disuarakan oleh penduduk yang berulang-alik melalui laluan berkenaan.

Sehubungan itu, Majulah Miri menerusi tiga pusat khidmat iaitu Pusat Khidmat Hii King Chiong, Pusat Khidmat Hii Chin dan Pusat Khidmat Chin Chai Kong kini sedang mengumpul tandatangan penduduk meminta kerajaan segera meluluskan permohonan geran menaik taraf laluan itu.

Pembinaan jejambat baharu merupakan antara cadangan untuk mengatasi masalah kesesakan di kawasan bulatan Pujut Tiga.

“Kami turut mengumpul persetujuan penduduk secara atas talian.

“Sekarang kami cuba melakukan secara tradisional dengan mendapatkan  tandatangan menggunakan borang kerana tidak ramai yang tahu melakukan secara online,” jelasnya.

Sebanyak 290 tandatangan berjaya dikumpul sejak kempen diperkenalkan secara online sejak dua bulan lalu.

Bruce berkata mereka menyasarkan 1,000 tandatangan daripada penduduk Miri.

Jangan punggah balak di jalan raya

$
0
0

Oleh Watt Zacchaeus //

Pihak berwajib diminta nasihati operator prihatin terhadap keselamatan pengguna

JULAU: Penduduk daripada kira-kira 32 rumah panjang yang menggunakan Jalan Julau-Entabai merayu pihak berwajib menasihati operator dan pekerja kem pembalakan di Nanga Ijit di sini agar bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna jalan raya berkenaan.

Seorang penduduk berkata, kehadiran lori balak telah menimbulkan banyak kesulitan kepada mereka.

“Apabila treler ini keluar dari kem di tepi jalan, tayar treler meninggalkan kesan lumpur tebal di jalan raya.

“Kami perlu berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan tergelincir dan terbabas disebabkan lumpur licin dan tebal itu.

“Keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk apabila pengguna jalan raya lain terpaksa memandu perlahan untuk mengelak lumpur tebal itu.

“Apa yang kami bimbangkan ialah memandu pada waktu malam kerana lumpur-lumpur tebal tidak kelihatan dengan jelas dan boleh menyebabkan kemalangan,” katanya di sini semalam.

Beliau mendakwa terdapat segelintir pemandu lori balak terbabit ‘keras kepala’ semasa melakukan kerja-kerja memunggah kayu balak ke dalam lori.

“Mereka dan pemandu kren melakukan kerja memunggah kayu balak di atas jalan raya sehingga menggunakan lebih separuh ruang jalan raya.

“Mereka seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain. Justeru, kami seolah-olah dibuli oleh mereka,” jelasnya.

Menurutnya, apabila proses kerja-kerja memuatkan kayu balak ke dalam treler dan ada kenderaan lalu-lalang menyebabkan mereka berasa takut dan bimbang keselamatan diri.

“Bayangkan jika kabel ataupun tali digunakan mengikat kayu balak itu terputus ia boleh meragut nyawa sesiapa sahaja.

“Sepatutnya, mereka harus melakukan kerja-kerja memunggah kayu balak ke dalam treler di tempat lain,”  katanya dengan nada kesal.

Wakil penduduk itu berkata, beberapa laporan dikemukakan kepada pihak berwajib bagi memantau dan menguatkuasakan undang-undang tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan.

“Kami meminta pemandu dan pekerja kem pembalakan terbabit sebelum apa-apa berlaku kerana jalan raya itu juga digunakan guru dan pelajar dari beberapa sekolah dan tadika.

“Menjadi tanggungjawab pihak pengurusan kem pembalakan membersihkan lumpur yang terdapat di sepanjang jalan terbabit,” katanya.

Program pendidikan keselamatan jalan raya diperluaskan ke kampung

$
0
0

PAMERAN: Pelatih PLKN mengunjungi pameran keselamatan jalan raya yang disediakan oleh JKJR, Shell dan PUSPAKOM sempena Program Pendidikan RSE di Kem PLKN Permai, Bau semalam.

BAU: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan memperluaskan program pendidikan keselamatan jalan raya ke kawasan kampung dan luar bandar dalam usaha mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JKJR Malaysia Datuk Dr Tam Weng Wah berkata di Sarawak program itu telah diperkenalkan sejak 2007 di seluruh Kem PLKN di negeri ini.

Sejak pelaksanaannya, modul ini katanya telah memberi impak yang positif dalam mempertingkatkan pengetahuan dan informasi pelatih PLKN mengenai keselamatan diri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Usaha kita untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak termasuk di peringkat komuniti.

“Sebab itu, kita akan memperluaskan program seperti ini di peringkat kampung-kampung termasuk di luar bandar  untuk memastikan keberkesanannya selain di kalangan para pelatih PLKN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (RSE) sempena Program Khidmat Komuniti PLKN Peringkat Negeri Sarawak Kumpulan 3 Siri 11/2014 di Kem PLKN Permai di sini semalam.

Mengulas mengenai program tersebut, matlamat utama adalah untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya menerusi pendedahan awal kepada golongan remaja.

Pelaksanaan program RSE ini juga bertepatan dengan langkah intervensi sebagaiimana yang digariskan pada Tonggak Strategik Ke-4 Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 iaitu Pengguna Jalan Raya Yang Selamat.

“Golongan belia pada usia 16 hingga 25 tahun merupakan penyumbang kepada satu pertiga daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Hakikat ini amat menyedihkan kerana ini bermakna negara bukan sahaja mengalami kerugian ekonomi malah turut kehilangan modal insan yang berpotensi untuk menyumbang kepada negara.

“Justeru amatlah bertepatan sekali untuk memupuk kesedaran minda belia dan beliawanis supaya lebih memahami dan menyemai budaya keselamatan jalan raya dan tidak memandang remeh peraturan jalan raya,” katanya.

Pengguna jalan raya perlu bersikap lebih proaktif dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan bagi elak kemalangan.

Dalam pada itu program yang dilangsungkan itu semalam turut mendapat kerjasama daripada komandan di lapan Kem PLKN di seluruh Sarawak, Sarawak Shell Berhad dan PUSPAKOM Sarawak.

Sebelum berlangsungnya majlis perasmian, turut diadakan ceramah keselamatan jalan raya oleh penceramah jemputan daripada JKJR, Shell dan PUSPAKOM.

Pihak penganjur turut menyediakan pameran keselamatan jalan raya kepada para pelatih yang menghadiri program itu.

Masyarakat harus sedar penting jaga harta awam, kata Wahab

$
0
0

SARATOK: Masyarakat harus sedar pentingnya menjaga dan memulihara harta benda awam khususnya berkaitan perkakas keselamatan awam seperti pili bomba.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz berkata ketika ini ramai yang tidak ambil peduli tentang pentingnya menjaga kemudahan pili bomba.

“Banyak pili bomba menjadi mangsa vandalisme.

“Masalah ini harus dibendung dan untuk memastikan usaha ini mencapai matlamat, kerjasama semua pihak amat diperlukan.

“Usaha ini amat penting bagi memastikan pili bomba mampu berfungsi dengan baik terutama apabila berlaku kejadian kecemasan.

“Masyarakat harus sedar kemudahan ini diwujudkan untuk menyelamatkan nyawa, bukan sebagai perhiasan di tepi jalan atau di kawasan-kawasan perumahan, kampung serta rumah panjang,” katanya pada Majlis Komuniti Teman Pili Bomba di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Min Syn Saratok, semalam.

Beliau berkata masyarakat seharusnya sedar dan menyedari penyelenggaraan pili bomba penting bagi mengelak kehilangan nyawa dan harta benda.

Justeru, beliau menyokong usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Saratok mewujudkan Teman Pili Bomba dalam usaha memastikan setiap pili bomba berada dalam keadaan baik dan sedia digunakan pada bila-bila masa diperlukan.

“Kerosakan paling biasa adalah disebabkan penyelenggaraan yang tidak betul menyebabkan air tidak keluar ketika proses pemadaman api,” katanya.

Wahab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka menasihati rakyat agar memainkan peranan mereka membantu bomba memastikan keadaan pili bomba baik di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Saratok Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkenalkan Program Teman Pili Bomba lebih 20 tahun lalu sebagai salah satu usaha mewujudkan kerjasama erat antara masyarakat setempat dengan JBPM.

“Program ini bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya penjagaan pili bomba di kawasan masing-masing serta memastikannya berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan bila-bila masa.

“Orang ramai menjadi ‘mata’ Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam usaha mengekang dan mengurangkan perbuatan mencuri serta merosakkan pili bomba sehingga menyusahkan kerja memadamkan kebakaran,” katanya.

80 peratus kemalangan berpunca kecuaian: Dr Tam

$
0
0

Oleh Agnes Tugong //

Pemandu perlu proaktif, berwaspada elak kemalangan

BAU: Pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan perlu bersikap lebih proaktif dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia Datuk Dr Tam Weng Wah berkata 80 peratus daripada kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian pengguna.

Justeru katanya, sebagai pengguna katanya kita perlu lebih berwaspada ketika memandu di jalan raya dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Statistik menunjukkan bahawa trend kemalangan di negara ini masih kurang memuaskan kerana kita masih belum mencapai sasaran penurunan indeks kemalangan yang disasarkan.

“Untuk menjadi sebuah negara yang maju, kita perlu mencapai indeks kemalangan dua atau kurang bagi setiap 10,000 kenderaan, 10 atau kurang bagi setiap 100,000 penduduk dan 10 atau kurang bagi setiap satu bilion perjalanan.

“Tahun lepas, trend menunjukkan bahawa 2.9  kematian akibat kemalangan dicatatkan bagi setiap 10,000 kenderaan dan 23.1 kematian daripada 100,000 yang mana masih jauh daripada sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (RSE) sempena Program Khidmat Komuniti PLKN Peringkat Negeri Sarawak Kumpulan 3 Siri 11/2014 di Kem PLKN Permai di sini semalam.

Tambah Dr Tam bagi mencapai sasaran penurunan kemalangan, jemaah menteri pada 13 Ogos lepas telah meluluskan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020.

Pelan itu menurut Dr Tam, berpandukan Tindakan Sedekad Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menekankan keperluan program keselamatan jalan raya yang berorientasikan hasil.

“Setiap tahun, negara kehilangan lebih 6,000 nyawa akibat kemalangan jalan raya dan mendatangkan kerugian kepada negara lebih daripada RM8.3 bilion.

“Pada tahun 2013, keseluruhan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 6,915 orang dan mengambil kira asas pengiraan oleh MIROS iaitu satu kematian bersamaan nilai RM1.2 juta.

“Menerusi pelan ini, kami menyasarkan penurunan 50 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya daripada  10,716 kematian yang dianggarkan pada 2020,” tambahnya.

Turut hadir, Pengarah JKJR Sarawak Davina Agnes Enteli, Pengarah Zon J yang juga Komandan Kem PLKN Putra Sentosa Leftenan Kolonel Rahamen @ Abdul Rahman Wok serta lain-lain.

Hargailah keprihatinan kerajaan, kata Dr Rayong

$
0
0

ENGKILILI: Rakyat harus berterima kasih kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) kerana meluluskan peruntukan RM30 bilion bagi tujuan pembangunan negeri ini pada pembentangan Bajet 2015 di Parlimen Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, peruntukan itu penting untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di negeri ini.

“Jadi, kita harus mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN dan harus terus bersama dengan pemerintah agar semua peruntukan itu dapat disalurkan dengan lancar bagi tujuan pembangunan rakyat negeri ini,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Sibat, Jelukong di sini kelmarin.

Dr Rayong berkata, keadaan politik Sarawak ternyata lebih stabil dipimpin kerajaan BN berbanding situasi politik di Selangor yang kerap bergolak kerana kurang persefahaman antara kepimpinan parti pembangkang.

Ini kerana, kerajaan BN Sarawak lebih mementingkan kebajikan membela nasib rakyat serta menyatupadukan rakyat.

“Teruskan menyokong (kerajaan) BN. Bantulah kerajaan kita untuk mengekalkan kestabilan politik di negeri ini demi masa depan pembangunan lebih baik,” jelas beliau.

Pada majlis itu, Dr Rayong mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Sibat dan RM5,000 untuk Biro Wanitanya.

MDLBS disarankan tingkat kualiti perkhidmatan

$
0
0

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh menyarankan supaya Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Katanya ini termasuk sentiasa peka terhadap keperluan rakyat dengan menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran.

“Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan usaha ditunjukkan MDLBS selama ini dalam menjaga keperluan masyarakat.

“Namun, usaha itu perlu dipertingkat terutama peranan menjaga serta mencantikkan persekitaran kawasan seliaan,” katanya pada Program Ceramah Kesihatan anjuran MDLBS di Rumah Dingun, Skuau di sini kelmarin.

Hadir sama Pengerusi MDLBS Kaunselor James Laju Ambok dan pengerusi penganjur Kaunselor Dr Ali Puji.

Menurut Mauh, biasanya MDLBS melantik kontraktor mengekalkan kebersihan di sekitar kawasan seliaan mereka.

Justeru, pemantauan harus dilakukan dengan teliti agar mereka (kontraktor) melaksanakan tanggungjawab dengan penuh sempurna.

“Rakyat sentiasa menilai apa yang telah diberikan oleh MDLBS kepada mereka,” jelasnya.

Mauh berkata, inilah salah satu cabaran yang dipikul oleh MDLBS untuk menangani cabaran masa depan.

Beliau menambah, MDLBS juga harus bergerak seiring dengan perubahan yang dinikmati masyarakat hari ini.

“Rakyat sentiasa memberi tekanan kepada MDLBS untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka,” katanya.


Pesta Nanas promosi produk pertanian dan penternakan

$
0
0

Oleh Kepu Sidi //

Bawa imej Sarikei pusat pengeluaran produk berkenaan

SARIKEI: Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh menyifatkan penganjuran Pesta Nanas setiap tahun sebagai medan mempromosikan produk pertanian dan penternakan di sini.

Katanya pesta itu bakal membawa imej dan identiti bahagian Sarikei sebagai pusat utama pengeluaran produk pertanian dan penternakan berkualiti.

“Bagi memastikan langkah itu mencapai kesinambungan, kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama bagi mencapai misi dan visi kerajaan menjadikan bahagian ini sebagai pusat pengeluaran utama produk makanan negara.

“Namun demikian, kita tidak boleh hanya bergantung kepada sumber ini sahaja jika kita ingin melihat bahagian ini terus membangun dan berkembang.

“Kita harus bertindak mempelbagaikan apa yang terdapat di sini.

“Kita boleh jadikan Sarikei pusat pengeluaran makanan namun aspek lain mampu diperkembangkan seperti lokasi pelancongan berasaskan pertanian dan pusat perdagangan berikutan terletak di lokasi strategik,” katanya pada penangguhan Pesta Nanas Sarikei 2014 di sini, malam kelmarin.

Len yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai berkata, penganjuran pesta itu mampu memberi pendapatan tambahan kepada penduduk setempat melalui peluang perniagaan.

Beliau berkata cadangan menukar Pesta Nanas kepada Pesta Buah-Buahan pada tahun depan adalah sesuatu yang harus difokuskan secara lebih serius.

“Kita harus melakukan persiapan awal untuk memastikan matlamat dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Perkara paling penting ialah keseragaman tema tersebut tepat pada masanya.

“Maksudnya, penganjuran pada tahun akan datang harus pada musim buah-buahan, baharulah serasi dan bertepatan dengan tema utamanya.

“Langkah ini adalah langkah terbaik mengangkat bahagian ini sebagai ikon utama pusat pengeluaran produk buah-buahan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Residen Bahagian Sarikei Dahim Nadot berkata penganjuran pesta itu tahun ini walaupun sederhana namun telah mencapai matlamatnya.

“Kejayaan ini memberi suntikan semangat kepada kita untuk menganjurkan pesta serupa lebih meriah dan mempelbagaikan aktiviti tahun depan.

“Dalam menyahut seruan menukar Pesta Nanas kepada Pesta Buah-Buahan pada tahun depan, kita amat memerlukan sokongan padu daripada masyarakat.

“Sebarang pandangan, pendapat dan buah fikiran semua pihak amat dialu-alukan bagi memastikan kesempurnaan pesta ini,” katanya.

Upacara kemuncak adalah pertunjukan bunga api dan persembahan pentas hiburan.

Hadir sama ADUN Daro Dr Murni Suhaili, Pegawai Daerah Sarikei Khalid Andong, Pegawai Daerah Pakan Alex Liau dan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Chan Pan Chan.

Risiko penyakit tidak berjangkit membimbangkan: Dr Azizah

$
0
0

SRI AMAN: Risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) di kalangan masyarakat ketika ini amat membimbangkan, kata Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman Dr Azizah Azhar.

Menurutnya, kajian mencatatkan bahawa penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, masalah jantung antara penyakit paling banyak dihadapi golongan muda di negara ini.

Berikutan peningkatan penyakit itu, kerajaan mengambil langkah proaktif menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW) mewujudkan Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN).

“KOSPEN adalah kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), salah sebuah agensi di bawah KKLW dan KKM bagi intervensi faktor risiko NCD dalam komuniti supaya dapat membantu  mencapai tahap kesihatan lebih baik.

“Menerusi program ini, KEMAS dan Pejabat Kesihatan di sini memilih penduduk rumah panjang mahupun kampung untuk dilatih  menjadi ahli sukarelawan KOSPEN dan mereka membantu KKM melakukan pemeriksaan kesihatan penduduk rumah panjang dan kampung sebagai pencegahan awal dan mengesan penyakit-penyakit dihidapi masyarakat,” katanya pada Program KOSPEN di Kampung Bakong, di sini kelmarin.

Katanya sebelum ahli sukarelawan diberi tugas melakukan pemeriksaan penduduk kampung, mereka dilatih terlebih dahulu melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Tanggungjawab mereka bukan mudah malah memerlukan komitmen tinggi kerana sukarelawan ini membantu penduduk melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum dikesan menghidap risiko penyakit tidak berjangkit dan dirujuk ke hospital,” jelasnya.

Justeru, penduduk kampung yang terpilih menyertai program ini mengambil kesempatan melakukan pemeriksaan awal.

Hadir sama Pegawai Pergigian Bahagian Sri Aman Dr Wilson Wong, Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Hairani Solo, Penyelaras Program Yusuf Suhaili, Ketua Kampung Bakong Sajeli Ramli serta kakitangan Pejabat Kesihatan Sri Aman.

Program sehari itu disertai kira-kira 300 penduduk Kampung Bakong serta penduduk dan rumah panjang berdekatan.

Pelbagai aktiviti menarik diselitkan seperti senamrobik, berjalan 10,000 langkah, pameran kesihatan, saringan kesihatan, perkhidmatan doktor, pemeriksaan pap smear dan payu dara, saringan penyakit TB, HIV/AIDS, kesihatan mulut, program kanak-kanak bertatih, derma darah dan pemeriksaan mata, sukaneka, pertandingan masakan sihat, mewarna untuk kanak-kanak, karaoke dan ‘live band’.

Komitmen tinggi, patuh kepada jadual kunci kejayaan Nurul

$
0
0

KUCHING: Komitmen tinggi serta patuh kepada jadual belajar menjadi kunci kejayaan Nurul Hidayu Abdul Majid mendapat keputusan cemerlang sekali gus dianugerahkan Anugerah Graduan Cemerlang keseluruhan kursus Diploma Kejururawatan.

Nurul yang berusia 21 tahun keturunan Bajau, kini berkhidmat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Sabah.

Dia yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, untuk berjaya dan menjadi seorang yang cemerlang disiplin dalam mematuhi jadual belajar amatlah penting serta memerlukan komitmen tinggi.

“Saya tidak memaksa diri untuk belajar, namun perlu ikut jadual belajar yang sesuai supaya setiap yang diajar dapat diterima dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Nurul turut memberitahu, persiapan awal sebelum menduduki peperiksaan juga perlu supaya tidak tergopoh-gapah semasa mengambil ujian.

“Saya tidak suka belajar pada saat-saat akhir kerana ia boleh memberi tekanan, jadi persiapan awal itu penting selain memberi tumpuan semasa pembelajaran,” tambahnya.

Sementara itu, Mazianah Jerry, 26, dari Tawau, Sabah juga pelajar cemerlang keseluruhan Diploma Kejururawatan mendedahkan komitmen tinggi perlu ada dalam diri pelajar.

“Tanpa ada komitmen maka adalah sukar untuk seseorang itu mencapai apa yang diinginkan,” katanya yang kini berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di sebuah hospital di Sabah.

Manakala seorang pelajar cemerlang dalam Diploma Teknologi Makmal Perubatan Pauline Lawrence Dilang, 23, yang amat gembira dengan Anugerah Graduan Cemerlang berkata, memberi tumpuan semasa pembelajaran adalah penting untuk berjaya.

“Kalau kita tidak memberi sepenuh perhatian semasa dalam kelas maka adalah sukar untuk kita mendapat keputusan yang cemerlang,” ujarnya.

Pembinaan Hospital Sri Aman tunggu proses pemendapan tanah

$
0
0

KUCHING: Projek pembinaan Hospital Sri Aman bukanlah terbengkalai tetapi menunggu proses pemendapan tanah sepenuhnya, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan.

Beliau memberitahu, projek pembinaan hospital itu mempunyai dua fasa iaitu kini masih dalam fasa pertama iaitu penyediaan tapak.

“Ia bukanlah terbengkalai tetapi masih menunggu proses pemendapan tanah sebelum fasa kedua dimulakan, sebab itu tapak dibiarkan bagi membolehkan tanah itu mendap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Sarawak dan Sabah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Dr Zulkifli memberitahu, ia sudah menjadi standard projek pembinaan bagi memastikan bangunan yang dibina tidak terjejas oleh pemendapan tanah.

Jelasnya, sekiranya proses pemandapan tanah tidak dilakukan maka ia boleh menjejaskan struktur bangunan dan boleh menyumbang kepada kes runtuh.

Baru-baru ini, terdapat viral di laman sosial mengatakan projek pembinaan Hospital Sri Aman terbengkalai sehingga ditumbuhi semak dan pokok kecil.

Hospital Sri Aman yang baharu menelan kos RM200 juta di kawasan seluas 51 ekar dan dijangka mengambil masa 24 bulan untuk siap sepenuhnya.

Kesihatan: Sarawak, Sabah diberi perhatian lebih

$
0
0

Oleh Rusnan Mustafa //

Ia memandangkan keluasan kedua-dua negeri, ditambah faktor alam sekitar mencabar

TAHNIAH: Dr Hilmi menyampaikan Anugerah Diploma kepada graduan. Turut kelihatan Nadzri (kiri). — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kementerian Kesihatan memberi perhatian yang lebih dalam bidang penyampaian perkhidmatan kesihatan di Sarawak dan Sabah.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, tumpuan itu diberi memandangkan keluasan kedua-dua negeri itu dan ditambah pula dengan faktor alam sekitar yang mencabar.

“Oleh itu, kami merancang untuk membina lebih banyak klinik kesihatan terutama di kawasan pedalaman untuk manfaat rakyat di kedua-dua negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Sarawak dan Sabah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Dr Hilmi memberitahu, di samping itu klinik bergerak seperti perkhidmatan kesihatan kampung dan doktor udara akan diteruskan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman.

“Malah, anggota-anggota kesihatan yang ditempatkan di kawasan luar bandar juga akan diberi latihan yang mencukupi untuk mempastikan mereka berkemahiran dan berpengetahuan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” tambahnya.

Selain pembinaan klinik, beliau menjelaskan bahawa kementeriannya juga akan menumpukan pengambilan pelajar tempatan untuk dilatih di ILKKM bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang berkhidmat di negeri sendiri.

“Saya lihat Sarawak dan Sabah bukan sahaja perlu lebih banyak klinik tetapi juga kakitangan dan untuk itu kami akan memberi latihan kepada orang tempatan dan apabila mereka tamat latihan kami hantar mereka untuk berkhidmat di tempat sendiri,” katanya.

Menyentuh mengenai graduan ILKKM, Dr Hilmi berkata kesemua graduan dari institut itu diserap terus untuk berkhidmat di setiap klinik dan hospital di bawah kementerian berkenaan.

“Jadi tidak ada masalah pengangguran di kalangan graduan kerana kesemua mereka diserap untuk berkhidmat terus dan dalam setahun kita melahirkan kira-kira satu pertiga daripada 25,000 pelajar di 33 kolej ILKKM di seluruh negara,” jelasnya.

Menurutnya, dalam setahun pihaknya juga menempatkan kira-kira 1,600 graduan dari kolej swasta di klinik dan hospital di bawah kementerian itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Hilmi memberitahu bahawa kementeriannya sedang giat merangka untuk meluaskan peningkatan taraf anggota sains kesihatan dengan mengikuti kursus diploma lanjutan atau bidang pengkhususan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Pada September lalu sebanyak enam kursus telah dinaik taraf ke peringkat Diploma Lanjutan iaitu Kursus Perawatan Kesihatan Kardiaovaskular, Onkologi, Perioperatif, Perawatan Rapi, Gerontologi dan Perawatan Paliatif,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM Datuk Hasnah Saleh, Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan Datuk Nadzri Siron, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan dan tetamu kehormat lain.

Pada majlis konvokesyen selama dua hari itu yang bermula semalam, seramai 1,489 graduan berjaya menamatkan pengajian mereka di ILKKM bagi Zon Sarawak dan Sabah.

Chua dipilih pengerusi SUPP Cawangan Nangka

$
0
0

SIBU: Chua Beng Seng dipilih sebagai pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Nangka pada Mesyuarat Agung Pertama Sesi 2014-2017.

Sementara itu, Augustine Ngu dipilih timbalan pengerusi serta empat jawatan naib pengerusi disandang Kapitan Ng Kian Ko, Chieng Sie Kong, Kaunselor John Lau dan Ting Tieng Hui.

Kaunselor Siao Sing Tiong dipilih setiausaha sambil dibantu Loh Ling Tai, Wong Kiong Khing dan Alan Ting.

Jawatan bendahari disandang Ting Jack Sing sambil John Lee sebagai penolongnya.

Ketua Pemuda dijawat oleh Pang Mii Yan manakala ketua wanitanya Choo Bee Lang.

Loi Kwong dilantik sebagai setiausaha penganjur dibantu oleh Sim Lih Ping. Jawatan ketua publisiti disandang Tieu Ung Hua.

Penguasa Bahagian Kebajikan SUPP Nangka disandang Yii Ming Huat dan dibantu Andrew Chiong.

Ahli jawatankuasanya ialah Kapitan Lee Lay Own, Kapitan Ong Chee Kiong, Ambrose Leong, William Ling, Wong Suk Nguk, Ling Kuoh Leong, Wong Ai Khing, Ting Yew Kong, Ting Sing Huong, Yii Ming Huong, Soo Min Sien, Lau Kie, Yiu Mei Kieu, Yeo Siok Chew, Yeo Siok Choo, Shirley Tiong dan Wong Ho Kwang.

Wakil SUPP Pusat hadir menjadi saksi mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Penganjur Mathew Chan, Datuk Sebastian Ting (setiausaha) dan Datuk Francis Harden (naib pengerusi).

Hadir sama Pengerusi SUPP Bukit Assek Chieng Buong Toon dan Pengerusi SUPP Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck.

Asfia ada hak nilai konstituensi Marudi

$
0
0

MIRI: Beberapa pemimpin di peringkat akar umbi di kawasan Marudi, kelmarin menyelar Pengerusi SPDP Marudi Alexander Asing sebagai seorang buta fakta ketika mempersoal tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar melakukan pemerhatian di konstituensi tersebut.

Menurut mereka, Asfia yang juga pengerusi tetap PBB memberi penilaian terhadap  konstituensi itu kerana wakil rakyatnya, Datuk Sylvester Entri Muran mempunyai rekod baik dan berjaya membuktikan kecemerlangan perkhidmatan beliau.

Bekas ketua rumah panjang yang juga bekas pe-mimpin SPDP, kini menjadi Pengerusi TERAS Cawangan Nabor Joshua Dungkong berkata, pemerhatian Asfia di Marudi adalah bagi mendapatkan maklum balas tepat yang diperoleh secara langsung daripada peringkat akar umbi.

“Asing yang memandai menuduh Asfia sebagai orang luar yang tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi.

“Malah menyatakan Asfia tidak tahu prestasi Entri selepas melakukan empat lawatan ke Marudi dan Bakong,” jelas beliau.

Joshua berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Asing, yang mendakwa Asfia mengisytihar ADUN Marudi itu (Entri) sebagai wakil rakyat yang mempunyai rekod baik di konstituensinya.

Beliau berkata, Asfia semasa lawatan terakhir ke Marudi minggu lepas mempunyai hak untuk mengatakan apa yang difikirnya betul dan tidak menghantar mesej salah seperti yang didakwa Asing.

“Adakah Asing pula boleh menghantar mesej betul kepada BN apabila dia sendiri pun bukan wakil rakyat sebaliknya hanya ‘melihat’ dari luar juga?,” katanya ketika melontarkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Asing itu.

Asing dalam satu kenyata-an yang sama Sabtu lepas turut menuduh Asfia sebagai orang luar dan tidak wajar menggelar Entri sebagai wakil rakyat terbaik dengan rekod perkhidmatan sempurna.

Malah Asing lantang meng-anggap penilaian Asfia ke atas Entri sebagai satu mesej salah untuk kerajaan.

Joshua berkata Asfia pe-mimpin berintegriti, mendapat semua fakta dan maklum balas tepat selama ini daripada rakyat di kawasan Marudi.

“Beliau dua kali melawat dan mendengar maklum balas terus daripada penduduk Bakong dan Marudi,” katanya.

Pandangan Joshua itu turut mendapat sokongan daripada Tuai Rumah Salin dari Marudi, yang turut mempersoal kemampuan dan kewibawaan Asing serta tahap sokongan untuknya di Marudi.

“Apa yang membuat beliau terfikir akan memperoleh ‘tiket’ Barisan Nasional (BN) dan boleh memenangi pilihan raya sedangkan kami sedar dengan situasi sebenarnya,” jelasnya.

Malah menurut Salin, sebagai seorang wakil rakyat, Entri mempunyai hak membawa wakil parti komponen BN.

Jelasnya, Asfia adalah orang tepat melawat konstituensi Marudi memandangkan beliau adalah speaker DUN dan lebih-lebih lagi merupakan seorang pengerusi tetap PBB.


SPDP mahu Tiong kekal terajui parti

$
0
0

Oleh W. Bolly Ongie //

SPDP Telang Usan bentang beberapa resolusi untuk tindakan, perhatian kerajaan

MARUDI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian Telang Usan, yang kini diterajui Wan Lah telah membentang beberapa resolusi untuk tindakan dan perhatian kerajaan.

Antara resolusi utama dipersetujui sebulat suara sempena Mesyuarat Agung Tritahunan yang diadakan di Miri, baru-baru ini ialah memberi sokongan  tidak berbelah bahagi kepada kepim-pinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan gagasan 1Malaysia.

SPDP Bahagian Telang Usan turut membentang resolusi menyokong penuh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem  terus me-nerajui kerajaan negeri.

“Resolusi seterusnya memberi sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Tiong King Sing, pemangku Presiden SPDP Sarawak supaya terus me-mimpin parti itu tanpa perlu dipertandingkan pada pemili-han TGM akan datang.

“Ini semua demi perpadu-an semua kaum di Sarawak khususnya dalam parti itu,” katanya.

SPDP Telang Usan sebulat suara memohon kerajaan pusat melantik Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau sebagai Timbalan Menteri atau menteri kanan dalam kabinet kerajaan pusat bagi mengisi kuota yang dikosongkan oleh bekas Ahli Parlimennya Datuk Jacob Dungau Sagan.

Selain itu, SPDP Telang Usan turut sebulat suara dengan resolusi yang tidak bersetuju kemasukan  TERAS ke dalam Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, pada mesyuarat tersebut yang menyaksikan penyandang sebelumnya, Sagan tidak mempertahankan kerusinya, memberi laluan kepada Wan Lah untuk menang tanpa bertanding.

Timbalan pengerusi pula menyaksikan bekas kaunselor Blalang Atom memenangi jawatan itu selepas menewaskan Andrew Belulok dalam pertandingan satu lawan satu.

Barisan ahli Jawatankuasa SPDP Telang Usan yang baharu bagi penggal 2014 hingga 2017 turut menyaksikan Jau Jok Lain dipilih sebagai naib pengerusi I, Kaunselor Suel Garit (naib pengerusi II) dan Tuai Rumah Peter Adam dari Lio Mato (naib pengerusi III).

Ahli jawatankuasa lain yang dilantik dalam barisan kepimpinan baharu ini turut terdiri daripada Jeffry Jok (setiausaha) dan Wellesly Bolly  Ongie (penolong setiausaha), Peter Bit Sepang (bendahari) dan penolong beliau ialah Michael Chong Sui Choo. Wellesly turut dilantik sebagai ketua penerangan.

Lima ahli jawatankuasa lain yang dipilih ialah Laing Wan, Laing Jok, Philip Wan Kalang, Annia Selalang dan Ngau Emang sementara ahli jawatankuasa yang dilantik ialah Ungan Njau, Maxwel Laing, Yusiof Jok, Joseph Lah, Ramulus Charles Agan (ketua pemuda) dan  Esther Joseph Usat (ketua wanita).

Wan Lah melahirkan ucapan terima kasih kepada semua ahli yang memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya memimpin SPDP Telang Usan.

“Saya turut menggesa kerjasama daripada semua ahli daripada peringkat jawatan-kuasa sehingga akar umbi,” katanya.

Beliau pada masa yang sama meletak amanah kepada ahli yang dilantik dalam jawatan masing-masing sama ada di peringkat bahagian mahupun negeri, dengan harapan ia membantu menguat dan me-ngukuh parti itu dalam BN.

“Kita perlu bersatu me-nyokong kerajaan BN. Saya merayu kepada semua ahli sama ada di peringkat jawatankuasa atau bukan jawatankuasa (ahli biasa) untuk sama-sama menerus kerja-sama  khususnya dalam SPDP Bahagian Telang Usan ini,” jelasnya.

Sementara itu, mesyuarat tersebut telah disaksikan Ahli Majlis Tertinggi SPDP Datuk Chew Yein Chiew dan Robert Ayu daripada ibu pejabat SPDP manakala Ahli Parlimen Baram merupakan penasihat cawangan itu.

Hantar anak alami ‘perkembangan yang terkebelakang’ ke pusat jagaan khusus

$
0
0

KUCHING: Ibu bapa yang mempunyai anak mengalami masalah ‘development delay’ atau ‘perkembangan yang terkebelakang’ disaran menghantar mereka ke pusat jagaan khusus yang melatih kanak-kanak sedemikian.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menjelaskan bahawa kanak-kanak yang mengalami ‘perkembangan yang terkebelakang’ adalah tidak semestinya menghadapi masalah perkembangan fizikal, tetapi mungkin berhadapan kesukaran untuk mencapai perkembangan hidup seiring dengan usia mereka.

“Misalnya kanak-kanak itu dapat mendengar dengan baik tetapi belum pandai bercakap, maka ia mungkin ‘perkembangan yang terkebelakang’.

“Kanak-kanak ini secara fizikanya adalah baik cuma dia perlu dilatih dan semakin awal kita memberikan sokongan kepadanya, maka semakin baik hasilnya,” katanya pada temu bual selepas melawat Taska Bintang Intelek Montessori di Jalan Rubber Barat di sini, semalam.

Justeru, bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan ibu bapa mengenai ‘perkembangan yang terkebelakang’ kanak-kanak, Fatimah berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan para pengamal seperti Taska Bintang Intelek Montessori dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Kami mahu menyediakan sistem sokongan untuk kanak-kanak yang mengalami ‘perkembangan yang terkebelakang’ dan juga ibu bapa mereka,” katanya.

Pengetua Taska Bintang Intelek Montessori Datin Seri Hasnah Mahda menyifatkan pusat tersebut hanyalah ‘sekolah normal’ yang menyediakan persekitaran untuk kanak-kanak yang mengalami ‘perkembangan yang terkebelakang’.

“Akan sentiasa ada kanak-kanak yang mengalami ‘perkembangan yang terkebelakang’ dan kami cuma perlu mengenal pasti masalah serta cuba untuk membimbing mereka,” katanya.

Menurut Hasnah, sejak 21 tahun beroperasi, Taska Bintang Intelek Montessori telah meletakkan kadar kanak-kanak yang rendah bagi seorang guru untuk menyediakan latihan serta penjagaan yang lebih baik terhadap kanak-kanak berkenaan.

“Terdapat keadaan di mana memerlukan seorang guru untuk menjaga cuma dua kanak-kanak,” katanya sambil menambah, pusat tersebut menerima kira-kira 45 hingga 50 kanak-kanak setahun.

TEKUN Nasional anjur Kembara Muda Promosi MAHA 2014

$
0
0

KUCHING: Pameran dwitahunan terulung di rantau ini, Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2014) akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor pada 20 hingga 30 November depan.

Justeru bagi mempromosi pameran itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menganjurkan Kembara Muda Promosi MAHA 2014 selama lima hari bermula semalam.

Pengurus Negeri Pejabat TEKUN Sarawak Roslan Ais berkata, kembara berkenaan melibatkan lima lokasi iaitu Maludam, Saratok, Sri Aman, Simunjan dan Serian.

Menurutnya, kembara itu akan diakhiri dengan majlis penutupannya yang bakal dirasmikan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais pada 17 Oktober, jam 8 malam.

“Sebanyak 10 kenderaan melibatkan 36 peserta daripada 12 agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyertai kembara ini.

“Matlamat utama kami adalah bagi membantu kerajaan mempromosi MAHA 2014 yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan harapan dapat mengajak usahawan khasnya daripada golongan belia untuk menyertainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melakukan upacara pelepasan Kembara Muda Promosi MAHA 2014 di pejabatnya di sini, pagi semalam.

Roslan menambah, selain mempromosi MAHA 2014 terdapat aktiviti sampingan diadakan iaitu persembahan oleh artis tempatan iaitu Aki Manang dan Mang Jawai, persembahan kebudayaan, pameran serta sukan bersama penduduk.

Selain itu katanya, kembara itu bakal diisi dengan program lawatan ke projek-projek di bawah kementerian di setiap lokasi yang dilalui.

“Sebagai contoh, kami akan singgah di ladang mangga di Maludam dan ‘My Kampung My Future’ di Gedong yang terkenal dengan tanaman ‘rock melon’, cili, nanas dan ladang ternakan lembu dan banyak lagi projek oleh agensi di bawah kementerian sepanjang laluan kembara,” jelasnya.

Oleh itu, Roslan berharap masyarakat khasnya usahawan belia di setiap lokasi dapat hadir dan mengambil bahagian dalam aktiviti sepanjang kembara ini berlangsung.

Maklumat lanjut mengenai Kembara Muda Promosi MAHA 2014 bolehlah menghubungi TEKUN Nasional di talian 082-410972 atau layari www.maha.gov.my.

Dua jabatan wajar sedia pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja

$
0
0

KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri dikenal pasti sebagai antara agensi kerajaan yang sewajarnya menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia ekoran 80 peratus daripada kakitangan di kedua-dua jabatan tersebut adalah wanita yang tergolong dalam umur produktif dan memerlukan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing.

“Bilangan warga pendidik di Jabatan Pendidikan Negeri ialah seramai 54,119 orang dengan 62 peratus atau 33,880 orang adalah terdiri daripada pendidik wanita dan yang tergolong dalam umur produktif adalah seramai 27,136 orang atau 80 peratus.

“Bagi Jabatan Kesihatan (merujuk kepada kakitangan Hospital Umum Sarawak), jumlah kakitangan wanita adalah seramai 2,557 orang atau 70 peratus daripada 3,642 orang kakitangan keseluruhannya dan umur produktif di kalangan kakitangan wanita adalah sebanyak 86.9 peratus.

“Justeru, adalah perlu bagi kedua-dua jabatan ini mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja untuk menjaga kebajikan kakitangan dan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada temu bual semasa mengadakan lawatan ke Taska Bintang Intelek Montessori, Jalan Rubber Barat di sini, semalam.

Menurut Fatimah, ruang yang terhad mungkin dijadikan alasan bagi sesebuah jabatan untuk tidak mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, namun beliau percaya pengaturan ruang boleh dibuat untuk memenuhi keperluan tersebut.

“Pada hakikatnya, kerajaan persekutuan menyediakan geran untuk jabatan-jabatan mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak sendiri selain bantuan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke pusat tersebut,” katanya.

Perbanyak aktiviti berorientasikan belia di Sarawak

$
0
0

Dekatkan mereka kepada komuniti, perkenal semangat kesukarelaan untuk pembangunan sumber manusia

BERTUAH: Mawan (tengah) menyerahkan hadiah utama cabutan berupa sebuah skuter kepada wakil daripada Pengakap Sarawak semalam.

KUCHING: Lebih banyak aktiviti berorientasikan belia perlu dijalankan di peringkat negeri untuk mendekatkan mereka kepada komuniti selain memperkenalkan semangat kesukarelaan yang baik untuk pembangunan sumber manusia.

Menurut Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom pembabitan belia dalam aktiviti berkenaan akan menurunkan kes pembabitan golongan itu dalam masalah sosial atau penyalahgunaan dadah.

“Acara seperti U Are The 1 Youth Carnival 2014 memberi peluang kepada belia sebagai platform untuk menunjukkan bakat terpendam yang ada pada mereka seperti Battle of the Band,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Penangguhan majlis itu di Padang Merdeka petang kelmarin.

Tambahnya juga, Kementerian Pembangunan Sosial akan sentiasa menyokong badan atau organisasi yang ingin menganjurkan aktiviti rekreasi dan sukan di negeri ini.

Mawan berkata pencarian sukarelawan untuk SUKMA 2016 akan dijalankan oleh kerajaan negeri mulai tahun depan kerana Sarawak merupakan tuan rumah.

Sekiranya terdapat ramai belia yang menjadi sukarelawan maka perjalanan acara sukan kebangsaan berprestij itu akan menunjukkan kerajaan negeri mampu menganjurkannya dengan jayanya.

Karnival itu sebelum ini dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Hamzah pada 6 Oktober lepas, dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi 1BFF Pending dengan sokongan Kementerian Pembangunan Sosial.

Sepanjang karnival dijalankan, lebih 30 ruang pameran dibina untuk institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan dan jualan promosi barangan, perkhidmatan, pakaian dan makanan.

Selain carnival, turut dijanlankan ‘Defense of the Ancients (DOTA) 2 Challenge’, ‘Malaysia Yoyo Ultimate Challenge’, ‘Sarawak Youth Band Challenge’ dan ‘Imagine Retrowalk’.

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>