Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Robert Lau Hui Yew terajui SUPP Bawang Assan

$
0
0

SIBU: Robert Lau Hui Yew dipilih sebulat suara menerajui kepimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan 2014-2017 pada mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama cawangan parti, semalam.

Timbalan Pengerusi disandang Wong Ung. Tan Ching Teck, Abell Mang, Ling Kiat Sung dan Ngu Yee Hing dipilih sebagai Naib Pengerusi.

Jason Tay Yeong Soon dilantik menjadi Setiausaha, dibantu Wong Siong Nee dan TR Ali Jampi. Bendahari disandang oleh Lau Lee Heh dan dibantu oleh Yong King Sung.

Marcus Yek Hock Yin dan Ivy Sii Su Hung masing-masing dipilih menyandang jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita SUPP Cawangan Bawang Assan.

Jawatan Setiausaha Penganjur disandang oleh Tonny Hii Yii Yik dan dibantu oleh Steven Bana. Loh Yu Yee dipilih sebagai Setiausaha Publisiti dan Penerangan.

Mesyuarat agung tahunan pertama SUPP Cawangan Bawang Assan telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting di Ibu Pejabat SUPP Sibu, Jalan Kampung Datu di sini.

Hadir sama ialah Naib Presiden SUPP Datuk Francis Harden Hollis, Bendahari SUPP Ding Kuong Hiing, Timbalan Setiausaha Agung SUPP Sih Hua Tong, Setiausaha Penganjur SUPP Matthew Chen dan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck.


Penubuhan lima cawangan SUPP perkasa perjuangan parti

$
0
0

SIBU: Penubuhan lima cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Bawang Assan, Bukit Assek, Pelawan, Dudong dan Nangka berperanan penting dalam mengukuh perjuangan parti untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting berkata, SUPP mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran bagi memastikan parti itu terus kukuh berjuang demi kepentingan rakyat.

“SUPP kini memasuki usia 55 tahun sejak mula ditubuh pada 1959. Pelbagai kemelut dan konflik dalaman parti seperti perebutan kuasa peringkat pucuk pimpinan hampir memusnahkan parti.

“Bagaimanapun, sokongan padu dan kerjasama dalam kalangan ahli parti  terus setia bersama-sama SUPP untuk memberi kekuatan kepada parti supaya terus kekal mengukuh perjuangan parti demi rakyat,” jelasnya.

Ting berkata demikian ketika menyempurna Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama SUPP Cawangan Bawang Assan yang berlangsung di Ibu Pejabat SUPP Sibu, Jalan Kampung Datu di sini, semalam.

Beliau menyifatkan AGM pertama SUPP Cawangan Bawang Assan menjadi titik permulaan baharu dan berharap kelima-lima cawangan di Sibu sentiasa bersatu serta bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain di kawasan mereka.

“Ahli SUPP akan berkhidmat kepada parti dan rakyat, bukan pemimpinnya. Sebagai parti tertua di negeri ini, kita harus mempunyai cara dan kepimpinan baharu. Ini dinama permulaan baharu dalam perjuangan parti SUPP,” tegasnya.

Pada mesyuarat itu, Robert Lau Hui Yew telah dipilih sebagai Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan 2014-2017. Menerusi ucapan ringkasnya, Lau menyeru ahli-ahli SUPP terus menyokong perjuangan parti.

“Hari ini menjadi hari bersejarah buat SUPP Cawangan Bawang Assan. Bersama-sama kita bersatu memastikan SUPP terus kukuh berjuang demi kepentingan rakyat tanpa mengira di bandar mahupun di luar bandar,” ujarnya.

Katanya lagi, SUPP Cawangan Bawang Assan telah menerima lebih 500 pemohonan keahlian baharu.

Hadir sama ialah Naib Presiden SUPP Datuk Francis Harden Hollis, Bendahari SUPP Ding Kuong Hiing, Timbalan Setiausaha Agung SUPP Sih Hua Tong, Setiausaha Penganjur SUPP Matthew Chen dan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck.

Slim World penyelesaian yang terbaik untuk badan ramping

$
0
0

MIRI: Mengekalkan bentuk badan yang ideal dalam kesibukan menguruskan rumah tangga atau bekerja adalah cabaran bagi kebanyakan wanita pada masa kini.

Namun dengan perkembangan serta penemuan teknologi terkini serta kemampuan kewangan yang bersesuaian, anda boleh mendapatkan kembali bentuk badan yang diidamkan dengan mudah di pelbagai pusat pelangsingan badan yang semakin mendapat sambutan.

Duta kepada pusat pelangsingan badan Slim World, Ziana Zain berkata, Slim World merupakan satu penyelesaian yang terbaik dan terpantas untuk mendapatkan badan yang ramping dan menawan.

“Semasa hamil, berat badan saya mencecah sehingga 80 kilogram berbanding berat badan normal saya iaitu 52 kilogram. Selepas bersalin, saya mengikuti program pelangsingan dengan Slim World dan berjaya menghilangkan berat badan sebanyak 28 kilogram dalam tempoh sebulan,” katanya.

Ziana yang sudah berusia 46 tahun dan ibu kepada empat orang cahaya mata berkata, beliau sentiasa pastikan berat badannya tidak melebihi 51 kilogram.

“Jika terasa macam naik, saya terus mendapatkan rawatan di Slim World, melakukan senaman ringan selain berpantang. Apa yang paling penting kita jaga makan, banyakkan memakan makanan berkukus dan bakar,” katanya.

Ziana berkata demikian pada majlis Rumah Terbuka Slim World Miri Bersama Ziana Zain di Slim World Beauty House Sendirian Berhad di Pusat Komersial Pelita, kelmarin.

Walau bagaimanapun, Ziana berkata bagi wanita yang ingin kekal cantik rawatan sememangnya dapat membantu, namun ia hanya akan menjadi sia-sia jika wanita tidak berdisiplin.

“Untuk melakukan rawatan juga wanita perlu disiplin. Kalau minggu ini temu janjinya dua kali, dua kali jugalah mereka kena pergi untuk mendapatkan hasil yang diimpikan,” katanya.

Sementara itu, Slim World menawarkan pelbagai cara mudah untuk melangsingkan badan secara selesa serta tidak menyakitkan.

Di Slim World Beauty House Sendirian Berhad Miri, ia memberi impak yang positif dalam kehidupan ramai pelanggannya dengan menawarkan perkhidmatan profesional oleh pakar terapi kecantikan berpengalaman dan mesra.

Eksekutif Pengiklanan dan Promosi Slim World, Karina Leng berkata, tahun ini merupakan 11 tahun Slim World melantik Ziana Zain menjadi jurucakap mereka, setelah beliau mengikuti program pelangsingan badan selepas bersalin dan sehingga hari ini masih mengekalkan bentuk badan.

“Program pelangsingan seluruh badan pusat kecantikan ini membabitkan lima jenis terapi yang dijamin akan menunjukkan hasil dalam masa dua hingga dua setengah bulan”.

“Usah khuatir, tiada senaman memenatkan atau urutan badan yang menyakitkan. Anda tidak akan dililit dengan bengkung atau terpaksa menahan rasa panas membahang atau rasa sejuk sehingga menggigil,” katanya.

Selain program pelangsingan badan, Slim World turut menjalankan beberapa rawatan kecantikan sampingan termasuk rawatan mandian, urutan pelangsingan, rawatan membuang angin dalam badan serta rawatan muka.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai promosi yang ditawarkan oleh pusat pelangsingan badan Slim World sila layari laman web www.slimworldgroup.com.my.

Bentuk generasi yang sihat, cergas

$
0
0

Oleh Rusnan Mustafa //

Ibu bapa berperanan penting membudayakan amalan bersukan: Karim

KOTA SAMARAHAN: Dorongan ibu bapa dalam membudayakan amalan bersukan dalam kalangan kanak-kanak amat diperlukan bagi membentuk generasi baharu yang sihat dan cergas.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kecemerlangan kanak-kanak bukan sahaja dalam akademik sahaja tetapi juga kokurikulum.

“Sebagai ibu bapa sokongan dan dorongan amat diperlukan oleh anak-anak kita kerana setiap kejayaan mereka dalam akademik mahupun kokurikulum merupakan peranan kita untuk membentuk mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun Ketujuh di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

“Walaupun sekolah ini beraliran agama, namun kemampuan dan kebolehan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua bidang amat memberangsangkan,” tambahnya.

Malah, menurutnya lagi, sukan juga mampu memberi manfaat yang besar terhadap individu dan organisasi.

Pada masa sama, Karim yang juga Menteri Muda Perumahan menyarankan agar ibu bapa terlibat aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membolehkan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau menjelaskan tanpa sokongan daripada ibu bapa dalam PIBG, maka sesebuah sekolah itu akan mengalami kesukaran untuk membentuk satu pasukan yang boleh menjadi pembentuk kepada kecemerlangan pelajar.

“Keperkasaan peranan ibu bapa dalam sesebuah sekolah merupakan aset yang penting dalam membantu kecemerlangan institusi persekolahan tersebut,” tegasnya.

Pada majlis itu, Karim turut mengumumkan geran sumbangan sebanyak RM7,000 kepada PIBG SK Agama Ibnu Kaldun untuk membantu pihak sekolah menganjurkan aktiviti bermanfaat bagi para pelajarnya.

Hadir sama Guru Besar SK Agama Ibnu Khaldun Rosli Terhim, Yang Dipertua PIBG Mohd Asmadzy Ahmad Basra dan tetamu kehormat lain.

Sistem Nephrodata mudah BSMM memantau pesakit

$
0
0

MIRI: Bulan Sabit Merah Miri (BSMM) mempunyai kemudahan baharu dalam sistem Nephrodata bagi memudahkan doktor nephrologis memantau pesakit buah pinggang di kawasan lain.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata,  dalam perkembangan terbaharu, Pusat Dialisis Buah Pinggang BSMM kini terhubung melalui Hospital Kota Kinabalu dengan sistem berkenaan.

“Kita  membelanja sebanyak RM220,000 untuk membangunkan sistem Nephrodata, yang pertama di Malaysia,” katanya yang juga merupakan Pengerusi BSMM.

Kini lebih mudah untuk pakar nephrologis memantau pesakit dengan kemudahan talian Internet yang turut boleh dikendali perisian terkini telefon pintar.

Di samping dapat mengurangkan kos perjalanan ulang-alik dari Kota Kinabalu ke Miri, nephrodata turut dapat menyimpan data pesakit dan mengurangkan penggunaan ruang fail pesakit secara kaedah lama.

Lee berkata demikian ketika menerima lawatan seorang pakar nephrologis daripada Hospital Queen Elizabeth Dr Lee Han Wei di sini baru-baru ini.

Sistem baharu itu kata Lee yang dilaksana sejak sebulan lalu mula menampakkan hasil kerana pembahagian tugas kakitangan perubatan klinikal lancar.

Pusat dialisis berkenaan kini mempunyai seramai 268 pesakit keseluruhannya dan mempunyai 38 jururawat.

Masyarakat berilmu dapat bantu kurangkan jenayah

$
0
0

SIBU: Menyebarkan ilmu pengetahuan sebanyak mungkin kepada anak-anak atau kumpulan sasar merupakan satu pendekatan yang boleh membantu mengurangkan jenayah.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie berkata kekurangan ilmu pengetahuan merupakan penyebab berlakunya jenayah di bandar-bandar dan kawasan perumahan akibat proses pembangunan.

“Justeru, masyarakat hendaklah sentiasa berwaspada dan mengelak daripada mengundang jenayah berlaku terhadap kediaman atau diri sendiri,” katanya merasmikan seminar Program Wanita Anti Jenayah Parlimen Sibu di sini kelmarin.

Seminar itu disertai 100 wanita mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dianjurkan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Sibu dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Pengerusi MPWK Parlimen Sibu, Datin Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz hadir sama.

Abu Seman berkata, oleh kerana jenayah ada kaitan dengan proses pembangunan maka menjadi tanggungjawab bersama menanganinya dan masyarakat berilmu tidak bertindak di luar batasan fikiran manusia biasa.

Sambil menyifatkan seminar sehari itu memberi banyak faedah kepada golongan wanita, beliau berkata kebiasaannya jenayah itu berlaku atas undangan masyarakat sendiri.

“Sebagai contoh, wanita suka menunjuk-nunjuk dengan memakai banyak barangan kemas sebenarnya mengundang jenayah,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu berkata terpulang kepada kebijaksanaan masyarakat menangani jenayah sama ada mahu mengelak berlaku ataupun mengundang jenayah itu akan berlaku.

“Selain itu, sikap cuai masyarakat juga mengundang jenayah dan berharap seminar itu memberi banyak maklumat dan cara-cara masyarakat membantu pihak berkuasa menangani jenayah sekali gus membina bandar Sibu bebas jenayah,” katanya.

Sharifah Zaidah dalam ucapannya berkata, wanita sebagai insan istimewa dan aset negara perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan mengenai cara mencegah jenayah kerana mereka kerap menjadi sasaran kes ragut, ugut dan rogol.

“Semoga seminar ini memberi manfaat kepada golongan wanita ke arah melahirkan anak berakhlak mulia bagi kesejahteraan negara,” katanya sambil menegaskan program itu membantu meningkatkan kesedaran kalangan wanita bahaya menjadi kaldai dadah, keldai siber dan keganasan.

Penceramah program itu ialah Ketua AMANITA Sibu, ASP Dayang Tantysera Abang Ibrahim, Edmund Clement Ingun dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sibu dan Abdul Najid Abdul Razak dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sibu.

Medan niaga lebih selesa untuk peniaga kecil: Galong

$
0
0

BETONG: Medan niaga lebih kondusif dan selesa bagi peniaga kecil di kawasan tamu dan sekitar tepi jalan akan dibina bagi kemudahan rakyat di sini.

Timbalan Residen Bahagian Betong, Galong Luang berkata, perancangan mencari inisiatif terbaik bagi kemudahan penjaja di kawasan tamu dan tapak jualan di sini diberi perhatian khusus setelah melihat kepentingan semua pihak.

“Kami telah mengadakan lawatan ke tapak berkenaan dan meninjau serta mendapat maklum balas daripada penjaja yang mengharapkan tapak lebih selesa memandangkan tiada kemudahan dan tidak teratur.

“Justeru, kami mengambil maklum dan mengambil tindakan awal menyediakan tapak lebih sesuai untuk mereka,” katanya ketika memberi respons berhubung perancangan menaik taraf serta menyediakan kemudahan penjaja di sini kelmarin.

Bagi tujuan tersebut, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyalurkan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk menaik taraf serta menyediakan kemudahan peniaga dan penjaja menjual hasil tani mereka.

Berikutan itu, satu mesyuarat melibatkan Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Isik Utau, Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Richard Rapu, ketua jabatan dan wakil Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Majlis Daerah Betong (MDB), Jabatan Tanah dan Survei, polis, kaunselor serta lima wakil penjaja diadakan.

“Mesyuarat bersetuju menyediakan perancangan jangka pendek dengan sebahagian peruntukan menaik taraf meja penjaja sedia ada.

“Dalam pada itu, kami turut menyediakan kemudahan kerusi untuk para penjaja kecil yang menjual hasil hutan dan berjual pada hujung minggu.

“Kami juga mengambil inisiatif menjadikan terminal bas lama sebagai tapak tamu sementara,” katanya sambil menegaskan bahawa kawasan itu lebih selamat dan tersusun.

Bagi pelan jangka panjang, pihak terbabit setuju untuk menyerahkan kepada MDB mengkaji dan mencari tapak baharu kepada yang lebih kondusif dan bersesuaian untuk para penjaja.

Galong turut menyarankan agar para penjaja dapat menubuhkan persatuan penjaja di sini untuk menjadikan mereka lebih kukuh dan kuat.

Infrastruktur Kampung Mangut ditingkat

$
0
0

Oleh Kepu Sidi //

Kerajaan sedia RM1.53j untuk projek jalan, benteng pertanian dan tebatan banjir: Razi

SARIBAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam berkata kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.53 juta untuk memperbaiki, membaik pulih dan membina semula kemudahan infrastruktur di Kampung Mangut di sini.

Katanya, peruntukan itu akan dimanfaatkan untuk meningkatkan prasarana dan melengkapkan infrastruktur di kawasan tersebut bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.

“Kerajaan memberikan tumpuan untuk meningkatkan ekonomi rakyat, maka salah satu perkara penting ialah menaik taraf jalan-jalan raya di luar bandar terutama di kawasan Saribas ini.

“Kerajaan peka kepada keperluan rakyat, justeru kerajaan akan berusaha mempercepatkan projek menaik taraf jalan-jalan raya kerana ia juga merupakan formula untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan petani,” ujarnya.

Razi berkata demikian pada Majlis Khatamal Al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Mangut di Dewan SK Mangut, kelmarin.

Menurut Razi, skop kerja di kampung berkenaan merangkumi baik pulih jalan raya, benteng skim pertanian dan tebatan banjir.

Namun demikian, katanya, masih banyak yang perlu dilaksanakan untuk terus membangunkan kawasan Saribas terutama dari segi pembangunan ekonomi rakyat.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan yakin projek-projek terbabit akan membawa manfaat dan meningkatkan ekonomi rakyat.

“Rakyat di sini sudah tidak akan lupa jalan raya Bungin-Kampung Tuie yang telah dinaik taraf. Ia memberi banyak manfaat kepada penduduk yang tinggal atau mempunyai tanah berhampiran jalan raya tersebut,” jelasnya.

Mengenai majlis tersebut, Razi menggalakkan pelajar supaya mencintai al-Quran sekali gus melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

“Pelajar perlu didedahkan kepada setiap amalan kebaikan, bahkan al-Quran menjadi panduan kepada umat Islam dalam setiap urusan seharian.

“Menjalani kehidupan seharian dengan berpandu dan berasaskan ajaran al-Quran akan menjadikan seseorang itu insan yang mulia dan disegani.

“Pada masa sama, ia dapat menangkis umat daripada terlibat dengan perkara yang tidak bermanfaat dan menyimpang daripada ajaran Islam,” kata Razi.

Terdahulu, Razi turut mengumumkan sumbangan geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM20,000 kepada enam badan bukan kerajaan (NGO) Kampung Mangut dan 50 ekor ayam bagi tujuan Majlis Khatamal Al-Quran SK Mangut. Turut hadir Jurutera Projek IADA Kalaka-Saribas Mohamad Salihin Bartudo.


Projek agropolitan penting buat penduduk luar bandar

$
0
0

TANJUNG MANIS: Pelaksanaan projek agropolitan di bawah kelolaan FELCRA dan PELITA di sini merupakan projek penting di wilayah tengah negeri ini.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol berkata projek berasaskan penanaman kelapa sawit apabila dilaksanakan nanti mampu memberi manfaat kepada lebih 2,000 orang penduduk di kawasan tersebut.

“Kelebihan dan manfaatnya bukan hanya memberi peluang pekerjaan tetapi pelbagai aspek lain membangunkan kawasan ini dengan pelbagai prasarana dan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih dan sebagainya.

“Projek agropolitan ini adalah fasa tiga bakal dilaksanakan di sini tidak lama lagi melibatkan tanaman kelapa sawit yang berimpak tinggi dan disertai lebih 400 ketua isi rumah di Kampung Bruit,” katanya ketika menghadiri sesi dialog bersama penduduk Kampung Bruit, di sini kelmarin.

Menurutnya, program pembangunan pertanian di bawah kelolaan FELCRA dan PELITA itu bertujuan membasmi kemiskinan di luar bandar.

“Inisiatif pembangunan ini melibatkan dana besar daripada kerajaan persekutuan dan negeri. Ini semua untuk faedah rakyat terutamanya penduduk miskin di luar bandar.

“Mereka bukan sahaja menikmati imbuhan dividen tetapi bakal merasai kesan sampingan pelaksanaan projek ini,” ujarnya.

Abdullah memberitahu, sejumlah RM21 juta disalurkan sebagai peruntukan awal bagi pelaksanaan kerja pembukaan tanah  seluas 827 hektar.

“Fasa pertama 495 hektar melibatkan Kampung Saai sudah pun bermula, manakala fasa kedua di Kampung Kut ditunda kerana penduduk masih dalam perbincangan.

“Saya amat gembira semua penduduk sebulat suara bersetuju menyertai projek melibatkan tanah seluas 827 hektar.

“Malah, wakil penduduk Kampung Tekajong dan Penipah juga memohon projek sama. Ini kerana fasa seterusnya dibangunkan di situ bergantung kepada persetujuan penduduk,” katanya.

Hadir sama Timbalan Residen Mukah Sairoji Ludin, Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjung Manis Mohamad Hassan, Penolong Pegawai Daerah We Teck Min, Pengurus FELCRA Mukah, Haman Yahya dan Pegawai PELITA, Faizal Jailani.

Pertahan warisan budaya pelbagai kaum, etnik

$
0
0

Oleh Mastura Ismail //

Semua pihak bertanggungjawab menghalang kepupusan budaya dalam masyarakat, kata Paulus

LIMBANG: Nilai murni dan tamadun bangsa yang ditonjol dalam warisan budaya pelbagai kaum dan etnik di negeri ini perlu diadun sebati dalam jiwa sekali gus menjadi rencah dalam kehidupan seharian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata, menjadi tanggungjawab semua untuk menghalang berlakunya proses kepupusan budaya dalam diri masyarakat hari ini.

“Apatah lagi dalam dunia penuh cabaran ini. Tambahan sikap anak muda yang suka melayari Internet, dunia maya tanpa sempadan menjadikan kebanjiran budaya asing dalam diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Kebudayaan Hari Bukit Mas di Dataran Jubli Emas di sini malam kelmarin.

Paulus memberitahu, maklumat yang mangagung-agungkan budaya luar berpotensi meracuni minda anak-anak muda itu perlu ditapis kerana ia merosakkan pandangan mereka terhadap budaya timur.

Katanya, keadaan tidak sihat itu boleh menjadi punca generasi muda hanyut dan melupakan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Pembangunan Selamat Jati, wakil Pegawai Daerah Limbang Racha Balang dan Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat.

Paulus juga mahu ibu bapa memainkan peranan bukan saja sebagai pemerhati tetapi membekalkan pengetahuan kepada anak masing-masing.

“Ini penting agar anak muda tidak terus dibuai dengan budaya negatif dan tidak bertamadun,” tegasnya.

Beliau menjelaskan lagi kebudayaan dimiliki pelbagai kaum seharusnya memberikan satu perasaan bangga terhadap kaum itu sendiri.

Masyarakat, menurut beliau, harus memandang tinggi mengenai budaya dan berusaha mengekalnya kerana ia lambang cara hidup yang ditonjol melalui bahasa, tarian dan sebagainya.

“Setiap negara mempunyai kebudayaan dan harus berasa bangga apa yang mereka warisi. Begitu juga negara ini yang memiliki sekurang-kurangnya 28 suku kaum, masing-masing punyai budaya dan tradisi tersendiri,” katanya lagi.

Kata Paulus lagi kebudayaan menjadikan sesebuah masyarakat itu unik kerana memiliki amalan budaya tersendiri.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan kebudayaan pelbagai kaum di daerah ini serta persembahan artis terkenal Najwa Latif yang menarik kehadiran lebih 500 pengunjung.

Belayong Jampong dipilih Pengerusi SPDP Meluan

$
0
0

JULAU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Meluan (MADC) merangkap ahli perniagaan, Belayong Jampong telah dipilih sebagai Pengerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian N.42 Meluan yang baharu.

Beliau menewaskan Elly Lawai Ngalai dalam pemilihan bagi merebut jawatan yang diadakan di Dewan Masyarakat Julau, baru-baru ini.

Belayong menang dengan majoriti 100 undi di mana beliau mendapat 415 undi manakala Elly dengan 315 undi.

Sementara jawatan timbalan pengerusi telah dimenangi tanpa bertanding oleh seorang lagi ahli perniagaan iaitu Joseph Wong manakala Meringai Anggoi memenangi jawatan Naib Pengerusi I dan Kaunselor Japar Itam dan Mawrice Belilie Juing masing-masing dilantik sebagai Naib Pengerusi II dan III.

Patrick Jet Kadom telah mengekal jawatannya sebagai Setiausaha sambil dibantu Fabian Juna Nyelang sebagai penolongnya. Manakala Tuai Rumah John Okin memangku jawatan sebagai Ketua Penerangan yang baharu.

Jawatan Bendahari disandang Jaraw Junit sambil dibantu Margretta Tujang. Ahli jawatankuasa yang dipilih kali ini ialah Tading Kalang, Robert Datu, Jawang Janting, Minggan Noel dan Anin Jelai.

Ketua Wanita SPDP Bahagian Meluan kekal milik Elizabeth Ting manakala Adrian Tutong dipilih sebagai Ketua Pemuda SPDP Bahagian Meluan manakala Petrus Allen Empina telah dilantik sebagai juruaudit dalaman untuk parti.

Semua pengerusi di 13 cawangan SPDP telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa biasa.

Dalam ucapan kemenangannya itu, Belayong menggesa semua penyokong parti itu supaya bekerjasama membentuk semula kekuatan parti seterusnya memastikan kemenangan untuk kerusi DUN Meluan pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Sementara itu beberapa resolusi telah diluluskan semasa pilihan raya jawatankuasa SPDP Bahagian Meluan.

Pertama sekali, bahagian parti itu mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang kini dipegang oleh pemangku Presiden Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalan Presiden Anthony Nogeh Gumbek agar tidak dipertandingkan pada mesyuarat agung tiga tahun sekali (TGA) SPDP yang dijangka akan diadakan pada November depan di Bintulu.

Bahagian itu juga mencadangkan agar jawatan Setiausaha Agung SPDP yang kini disandang oleh Datuk Nelson Balang Rining turut dikekalkan.

Seterusnya SPDP Bahagian Meluan mencadang kepada jawatankuasa pusat parti itu bahawa jawatan Setiausaha Politik Ketua Menteri yang diperuntuk kepada SPDP tetapi diberi kepada wakil TERAS  diserahkan semula kepada mereka.

Bahagian ini juga berharap geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk N.42 Meluan yang kini ditarik balik selepas ADUN Meluan Wong Judat meninggalkan parti untuk menyertai pembangkang agar diberikan semula kepada bahagian ini (Meluan) untuk diedarkan.

“Kami juga sepakat bahawa masanya telah tiba bagi kerajaan mempertimbang membina hospital dan Stesen Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk Daerah Julau dalam Rancangan Malaysia memandangkan peningkatan penduduk, rumah panjang dan bangunan komersial sekarang.

“Di samping itu, kami berharap pihak berkuasa yang berkenaan boleh melihat keperluan untuk bangunan komersial dua tingkat sejajar peningkatan jumlah peniaga. Di samping menambah kakitangan Pejabat Pos Malaysia di sini bagi mengurangkan kesesakan di kaunter berkenaan,” kata suara SPDP Bahagian Meluan.

Tiga buku akan dilancar sempena perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan

$
0
0

BINTULU: Tiga buku masing-masingnya buku Cerita Rakyat, Bahasa Kenyah dan Panduan Bahasa Vaie-Bahasa Malaysia-Bahasa Inggeris bakal dilancar sempena perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah pada jam 8 malam Rabu ini.

Pelancaran tiga buku tersebut dijangka disempurna Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pelbagai program diadakan sempena BBK Peringkat Negeri Sarawak itu antaranya Pertandingan Pidato Bulan Bahasa Kebangsaan pada jam 8 pagi 15 Oktober di Auditorium Perpustakaan Awam BDA.

Pada 16 Oktober jam 8 pagi hingga 1 petang pula diadakan Kolokium Lestari Bahasa di Hotel Kemena Plaza yang dijangka dihadiri oleh Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Sayembara Deklamasi Puisi Kenyalang dan Malam Kesenian diadakan pada 16 Oktober jam 8 malam di Auditorium Perpustakaan Awam BDA dijangka dihadiri oleh Menteri Muda Pelancongan merangkap ADUN Jepak, Datuk Talib Zulpilip; Syarahan Tokoh pada 17 Oktober jam 9 pagi hingga 1 pagi di Auditorium Perpustakaan Awam BDA.

Diikuti majlis pelancaran Rakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penyampaian hadiah pada 18 Oktober jam 11 pagi di Auditorium Perpustakaan Awam BDA.

SDNU Rajang anggap Bajet 2015 sebagai adil, saksama

$
0
0

SIBU: Bajet 2015 disifat sebagai belanjawan untuk semua rakyat, kata Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Rajang Mejar Moses Ripai.

Menurutnya, inilah bajet terbaik kepada rakyat yang dilihat adil dan saksama.

“Lebih mengagumkan kerajaan mampu menaikkan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) meskipun negara dilanda dua masalah terbesar seperti kehilangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh,” katanya kepada pemberita semalam.

Jelasnya, pengumuman kenaikan BR1M pada pembentangan Bajet 2015 menunjukkan ekonomi negara masih stabil meskipun berbelanja besar menangani kejadian nahas kedua-dua pesawat tersebut.

Jelasnya, BR1M bukan satu umpan bagi rakyat untuk meredakan kemarahan dengan kenaikan harga bahan api seperti yang didakwa sesetengah pihak tetapi sebenarnya merujuk kepada komitmen kewangan kerajaan.

“Masalah harga minyak naik dengan kenaikkan bayaran BR1M tiada kena-mengena dan tidak boleh disamakan.

“BR1M merupakan pemberian kerajaan kepada rakyat untuk membantu rakyat. Harga minyak sebenarnya tidak naik tetapi subsidi dikurangkan bagi membantu kepada bebanan negara.

“Lihatlah, subsidi bahan api berjaya dikurangkan, BR1M pula dinaikkan. Itulah kesannya,” jelasnya lagi.

Berkenaan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Moses berkata, ia sebenarnya tidak membebankan rakyat.

“Jangan risau, GST hanya akan dikena kepada perkhidmatan dan barang tertentu sahaja. Bagi barang dan perkhidmatan yang sering kita guna, dijamin tidak dikena GST. Begitu juga dengan bahan api yang kita sering guna setiap hari,” jelasnya.

Menyentuh mengenai peruntukan RM4.5 bilion untuk naik taraf insfrastruktur Sabah dan Sarawak, beliau berkata, ia adalah satu khabar cukup baik.

“Diharap banyak lagi kawasan pedalaman negeri ini dapat dibangun. Impak pembangunan itu, ia akan memudahkan rakyat menjalan kegiatan ekonomi mereka bagi memupuk taraf hidup yang lebih baik,” katanya lagi.

Tambahnya, bantuan persekolahan RM100 dan baucar buku RM250 yang dikekal kerajaan tahun hadapan sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan sekolah dan universiti anak-anak.

Sarawak pengeluar kayu tropika utama

$
0
0

Oleh Mastura Ismail //

Kelebihan bantu ekonomi, pendapatan Sarawak dipacu kepada RM700 juta setahun

BA’ KELALAN: Sarawak muncul sebagai pengeluar kayu tropika utama dalam pasaran dunia berdasarkan keluasan hutan seluas 12.4 juta hektar yang dimiliki negeri ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kelebihan itu membolehkan ekonomi dan pendapatan Sarawak dipacu daripada RM500 juta kepada RM700 juta setahun.

Jelasnya, keupayaan Sarawak untuk mengeluar kayu bertitik tolak daripada pematuhan amalan pengurusan hutan yang baik.

“Sebagai langkah ke hadapan, Sarawak banyak mencapai kemajuan dalam pembangunan sosioekonomi melalui aktiviti berorientasi perkayuan,” ujarnya pada perasmian Denai Hutan Semulajadi di SK Ba’ Kelalan Long Langai petang kelmarin.

Turut hadir ialah Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Saleh, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, wakil Pengarah Perhutanan Sarawak Simon Sandi dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Awang Ibrahim Ahmat.

Awang Tengah memberitahu, dianggar lebih 100,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan oleh industri perkayuan di negeri ini.

“Manakala melalui pertukaran wang asing pula, angkanya mencecah RM7 bilion setahun. Ini dilihat sebagai hasil yang amat membanggakan,” katanya lagi.

Ujarnya, perkembangan positif itu juga turut meletakkan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai pengurusan hutan terbaik di dunia.

Menyentuh mengenai Ba’ Kelalan, jelasnya, kawasan tanah tinggi itu turut dibangunkan dengan pelbagai kemudahan dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk.

“Pembangunan pelbagai kemudahan seperti rumah pemprosesan garam bukit bernilai RM500,000 boleh diguna komuniti untuk menjanakan pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan,” tambahnya.

Beliau  turut memberi jaminan bahawa usaha memperkasa pembangunan masyarakat akan berterusan dengan memastikan Jabatan Hutan Sarawak serta agensi berkaitan dapat merangka program pembangunan terutama untuk komuniti di Ba’ Kelalan pada masa mendatang.

Beliau juga berharap penglibatan semua individu atau syarikat berkemampuan untuk tampil serta memberi sumbangan dalam membangun komuniti tempatan berdekatan.

“Kita berharap agar tanggungjawab sosial korporat dicanang dalam Strategi Lautan Biru dapat dimanfaat bagi menjalin kerjasama dengan pihak lain seperti komuniti tempatan,” katanya.

Awang Tengah juga melakukan acara pecah tanah untuk rumah pemprosesan garam gunung di Ba’ Kelalan selain meninjau kawasan konservasi hutan di SK Ba’ Kelalan.

Pada program itu, komuniti di kawasan tersebut turut diagih anak pokok gaharu sebanyak 5,000 batang.

JKR tinjau perkembangan projek jalan Kapit-Kanowit

$
0
0

KAPIT: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Zuraimi Sabki telah mengadakan lawatan meninjau perkembangan projek pembangunan yang dilaksana di Kapit, baru-baru ini.

Sebagai agensi barisan hadapan, Zuraimi berkata, JKR akan memastikan pelaksanaan projek Jalan Kapit-Song-Kanowit menjadi realiti dan siap sepenuhnya menjelang 2017 mengikut sasaran jabatan tersebut.

“Projek pembangunan jalan raya menjadi program strategik kerajaan negeri. JKR akan memastikan projek terbabit berjalan lancar seperti yang dirancang,” jelasnya selepas mengadakan sesi dialog bersama kakitangan JKR Kapit.

Pelaksanaan projek pembangunan Jalan Kapit-Song-Kanowit meliputi jarak sejauh 80.5 kilometer kini hampir siap 50 peratus.

Dalam perkembangan lain, Zuraimi berkata, baki kerja pembinaan Jalan Song, Sungai Yong dalam pakej 2 dan 3 yang meliputi jalan dengan jarak 27.7 kilometer dijangka bermula hujung tahun ini.

“Pelaksanaan projek pembangunan jalan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 30 bulan. Bahagian jalan itu kini dalam proses cadangan untuk tender,” katanya lagi.

Menurut Zuraimi, JKR merancang untuk menaik taraf dan mengganti saluran paip air yang lama di bahagian Kapit termasuk di Jalan Selirik.

Katanya, tujuan lawatan adalah sebahagian program turun padang tahunan jabatan untuk mengenali pelan pembangunan yang dilaksana di peringkat bahagian.

Pada masa yang sama, Zuraimi berkata, ia mengenal pasti dan menyelesaikan isu serta cabaran dihadapi setiap bahagian dalam menjalankan pelaksanaan projek pembangunan.

Turut mengiring lawatan sehari Zuraimi ke Kapit ialah Timbalan Pengarah JKR Negeri Damien Ranggau dan John Wong Sie Kee, Penolong Pengarah JKR Negeri Lim Eng Kee, Pengurus Wilayah JKR Wilayah Tengah John Aten dan pegawai-pegawai kanan JKR.

Hadir sama pada sesi taklimat dan dialog ialah Jurutera Bahagian JKR Kapit, Hassan Aryaw dan kakitangan JKR Kapit.


Kos projek Pan Borneo sudah melebihi bajet sebanyak RM5b

$
0
0

KUCHING: Kos projek Lebuh Raya Pan Borneo sudah melebihi bajet sebanyak RM5 bilion walaupun projek tersebut belum bermula lagi, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chien Jen.

Menurutnya, berdasarkan jawapan bertulis bertarikh 1 Julai 2013 kepada soalannya di Parlimen, Kementerian Kerja Raya telah menyatakan bahawa jarak keseluruhan jalan raya itu ialah sepanjang 2,239 kilometer dan daripada jumlah tersebut, sepanjang 248 kilometer adalah laluan empat lorong (atau enam lorong) dua hala, manakala bakinya 1,991 kilometer masih di tahap dua lorong dua hala.

Selain itu, katanya, menurut Laporan Pelan Induk Kajian Pembangunan Rangkaian Lebuh Raya (HNDP) Fasa 2 yang diterbitkan pada 2010, kos keseluruhan projek untuk menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo kepada laluan berkembar secara berperingkat bermula dari 2011 hingga 2025 adalah dianggarkan sebanyak RM22 bilion.

Bagaimanapun, katanya dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata bahawa kerajaan berhasrat untuk memulakan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,663 kilometer yang terdiri daripada 936 kilometer di Sarawak dan 727 kilometer di Sabah dengan jumlah kos pembinaan sebanyak RM27 bilion.

“Jika membandingkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Kerja Raya di Parlimen pada 2013 dan angka yang dinyatakan dalam Bajet 2015 oleh Najib, laluan Pan Borneo yang akan dinaik taraf telah dipendekkan sepanjang 328 kilometer tetapi kos pembinaan telah meningkat sebanyak RM5 bilion,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Justeru, Chong yang juga Pengerusi DAP Negeri menjelaskan bahawa adalah mustahil untuk kos bahan binaan meningkat begitu tinggi dalam tempoh empat tahun sehingga menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan projek Pan Borneo sebanyak RM5 bilion.

“Kos berlebihan sedemikian adalah sangat biasa dalam transaksi yang didapati dalam laporan tahunan Juruaudit Negara di mana RM100 dibelanjakan untuk sesuatu yang bernilai RM10,” katanya.

Sementara itu, Chong turut mempersoalkan bahawa adakah rakyat perlu membayar tol untuk lebuh raya tersebut.

“Dahulu apabila Lebuh Raya Utara-Selatan dibina, ia juga berlebihan kos.

“Akibatnya, berjuta-juta pengguna jalan raya di Semenanjung perlu membayar kadar tol yang tinggi sehingga ke hari ini.

“DAP Sarawak menyo-kong penuh pembinaan dan menaik taraf laluan Pan Borneo kepada dua laluan, bagaimanapun pembangunan itu tidak perlu membawa bebanan tambahan kepada rakyat,” katanya.

SIDS anggap Bajet 2015 mesra wanita

$
0
0

SIBU: Selain disifatkan sebagai ekonomi keperluan rakyat, Bajet 2015 turut dilabelkan sebagai mesra wanita.

Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu Datuk Ir Alice Jawan berkata, secara peribadinya beliau mendapati Bajet 2015 adalah mesra wanita kerana memartabatkan peranan wanita.

“Kalau difikirkan secara mendalam impak dan kesannya, Bajet 2015 banyak memberi manfaat kepada golongan wanita di negara ini.

“Dalam tujuh strategi utama Bajet 2015, golongan wanita menjadi sasaran kerajaan untuk diangkat peranannya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Alice menjelaskan, ini menunjukkan wanita terus diiktiraf dan dihargai kerajaan.

Jelasnya, Bajet 2015 menunjukkan kerajaan cekap mengurus ekonomi rakyat meskipun negara menghadapi pelbagai masalah dan musibah seperti kehilangan penerbangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Alice berkata, tidak semua barang dan perkhidmatan dikenakan cukai tersebut.

“Ini bermaksud barang keperluan seperti sayur, beras, daging dan barang keperluan harian dapur tidak dikena GST. Ia membantu golongan wanita mengekal perbelanjaan isi rumah.

“Justeru, golongan wanita jangan risau pasal GST kerana barang keperluan harian di dapur tidak dikenakan cukai,” jelasnya.

Bantuan persekolahan RM100 dan baucar buku RM250 turut membantu perbelanjaan sekolah dan universiti anak-anak, kata Alice lagi.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah langkah terbaik dalam meringan beban rakyat lebih-lebih ketika menghadapi kenaikan harga bahan api.

“Walaupun BR1M dibayar secara berperingkat, ia turut membawa manfaat kepada perbelanjaan isi rumah,” jelasnya.

Peruntukan RM4.5 bilion untuk naik taraf infrastruktur Sabah dan Sarawak, tambahnya, memberi implikasi positif kepada golongan wanita dalam jangka panjang.

“Setelah kawasan kita dibangunkan dengan pelbagai infrastruktur kelak, wanita diingat supaya mengambil peluang untuk mengembangkan ekonomi masing-masing.

“Misalnya jika sesebuah rumah panjang sudah dihubung dengan jalan raya, wanita di situ harus mengambil peluang berniaga serta memasar produk mereka. Tidak kira dalam apa jua bidang sama ada dari segi pertanian, kraftangan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, menerusi Bajet 2015 ini golongan wanita di kawasan luar bandar harus berpandangan jauh serta berfikiran positif merebut segala peluang yang diberi kerajaan dalam membantu mengembangkan ekonomi rakyat.

“Secara kesimpulannya, Bajet 2015 adalah terbaik bagi saya kerana ia merangkumi semua rakyat. Ia adalah bajet berdasarkan keperluan rakyat.

“Ini menunjukkan pentadbiran serta pengurusan sebuah kerajaan yang mengutamakan keperluan dan masalah rakyat dalam usaha melonjakkan taraf hidup rakyat sebagai persediaan mengharungi dunia globalisasi,” tambahnya.

700,000 tenaga mahir pada 2015

$
0
0

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

ILJTM seluruh negara akan ganda pengambilan pelatih baharu: Riot

TAHNIAH: Richard (dua kiri) menyampaikan sijil kepada salah graduan OKU dari ILP Miri sambil disaksi tetamu kehormat yang lain.

MIRI: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasar akan meningkatkan sebanyak lima peratus setahun jumlah pekerja mahir menjelang 2015.

Menterinya, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, jumlah itu menjadikan peningkatan daripada 23 peratus kepada 33 peratus tenaga kerja mahir.

“Ia melibatkan sekitar 700,000 orang perlu menjadi menjadi tenaga kerja mahir pada 2015. Kementerian turut menyasar untuk merekrut 30 peratus daripada jumlah terbabit,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, KSM antara sembilan kementerian dipertanggungjawab melatih tenaga kerja mahir dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Bagi melahir lebih ramai pekerja mahir, Institut Latihan Jabatan Tenaga Kerja Manusia (ILJTM) seluruh negara akan menggandakan pengambilan pelatih baharu,” jelasnya.

Tambah menarik, katanya, sasaran itu melibatkan pengambilan pelatih kawasan luar bandar khasnya kawasan jauh di pedalaman seperti masyarakat Penan.

Beliau turut mengakui bahawa kurangnya publisiti terhadap ILJTM tetapi ia tidak harus menjadi alasan kepada 32 ILJTM seluruh negara mencapai sasaran melahirkan tenaga kerja mahir.

“Bermula tahun depan, kita akan mengganda promosi lebih agresif dalam pengambilan pelatih baharu luar bandar termasuk menyalur risalah kampung luar bandar,” jelasnya.

Richard memberitahu, TVET tidak lagi dilabel sebagai pilihan kedua atau pilihan terakhir bagi pelajar kurang cemerlang dalam akademik sebaliknya ia kini mula berada di ranking pilihan utama pelajar.

“Ibu bapa menyedari bahawa pasaran kerja dalam bidang teknikal ketika ini semakin tinggi dan tidak mustahil jika dikatakan bahawa pasaran yang mencari pekerja,” ujarnya.

Richard menambah, ada dalam kalangan graduan keluaran ILJTM telah bekerja dengan industri di luar negara dan mereka mempunyai pendapatan bulanan yang lumayan.

“Di negara maju seperti Jerman, pekerja kolar biru mendapat upah lebih tinggi daripada pekerja kolar putih. Ia membuktikan bidang teknikal begitu diperlukan di negara ini,” tegasnya.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KSM, Dato Saripuddin Kassim, Timbalannya, Mohd Sahar Darusman dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Chin Phaik Yoong.

Pengarah Pusat Latihan Teknologi Tingi (ADTEC) Bintulu, Dr Ramli Rashidi, Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Rosnah Muhamad Tahir dan Pengarah ILP Kota Samarahan, Rahmat Ayop.

Terdahulu, beliau telah menyempurnakan Majlis Konvokesyen ILJTM Wilayah Timur Ke-10 dan seramai 240 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing.

Kaji semula kadar bantuan bagi OKU

$
0
0

KUCHING: Kadar bantuan bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) wajar dikaji semula memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Cadangan itu disuarakan oleh Ata Nyuga, 40, yang mengalami cacat penglihatan sambil memberitahu meskipun tambahan sebanyak RM50 kadar bantuan dalam Bajet 2015, ia masih belum memadai untuk membantu melonjakkan pendapatan golongan tersebut.

Malah, beliau memberitahu kenaikan harga barang setiap tahun ditambah pula penurunan subsidi petrol RON95 dan diesel sudah pastinya memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup masa kini.

“Kita lihat harga barang masa kini, kalau dulu kita hanya membawa RM50 sahaja banyak barang keperluan harian dapat kita beli tetapi sekarang nilai RM50 kita hanya dapat membeli beberapa barangan sahaja.

“Justeru, adalah wajar untuk kerajaan mempertimbangkan semula kadar jumlah kenaikan bantuan untuk OKU ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ata yang kini bekerja sebagai tukang urut di Pusat Urut Orang Buta, Jalan Rock di sini sebelum ini mendapat bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri.

Pengumuman Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas dengan memperuntukan RM1.2 bilion bagi membela nasib golongan miskin, kanak-kanak, warga emas dan OKU.

Dalam peruntukan itu kadar bantuan bulanan bagi OKU bekerja dinaikkan daripada RM300 kepada RM350 manakala bagi OKU tidak bekerja pula daripada RM150 kepada RM200 sebulan.

“Tidak berpuas hati dengan kadar kenaikan bantuan bulanan ini, ia perlu dikaji semula,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Honseng Andirias Nyawin yang mempunyai seorang anak OKU berusia 11 tahun berkata, penambahan kadar bantuan itu sememangnya wajar dilakukan ekoran peningkatan kos sara hidup rakyat pada masa kini.

“Saya bersyukur dengan keprihatinan kerajaan untuk menambah jumlah bantuan kepada OKU kerana ia sememangnya perlu dilakukan memandangkan golongan ini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

“Selain itu, ada di kalangan OKU tidak dapat bekerja malah bergantung dengan keperluan perubatan, sebab itu penambahan bantuan ini adalah wajar,” jelasnya.

Namun, beliau berharap jumlah penambahan bantuan itu dapat dikaji semula supaya ia seimbang dengan kos keperluan semasa.

Hantar anak ke taska sah dan diiktiraf: Rosey

$
0
0

MIRI: Ibu bapa dan penjaga diingat agar menghantar anak masing-masing ke pusat asuhan sah dan berdaftar.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata, ini bagi memastikan anak dijaga betul dan mengikut undang-undang serta piawaian yang ditetapkan.

“Hantar anak anda ke tempat asuhan berdaftar bagi memastikan tempat itu sah terutamannya jaminan keselamatan. Ini juga bagi memastikan mereka dijaga oleh kakitangan yang mendapat lesen diiktiraf serta berkelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Kaunselor Chin yew Mui  pada majlis perasmian Hari Taska 2014 anjuran Persatuan Pengasuh Kanak-kanak Berdaftar Miri (PPKKBM) bertempat di Tingkat 3, Pusat Beli-Belah Boulevard Pujut di sini semalam.

Katanya, pusat asuhan atau lebih dikenali Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) merupakan tempat jagaan alternatif yang selamat untuk ibu bapa bekerja.

“Di taska, anak-anak diberi pendidikan awal atau asas pembelajaran selain dijaga baik,” katanya.

Justeru, Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya menggalak anak minat membaca.

Katanya, galakan membaca perlu diterap dan disemai kepada anak daripada membiarkan mereka leka dengan gadget seperti Ipad atau telefon pintar.

“Bahkan, anak juga perlu didedah dengan aktiviti luar di samping menggalakkan mereka berfikir kreatif,” tambahnya.

Beliau mahu aktiviti yang dianjurkan seperti Hari Taska terus dilaksana dalam usaha membentuk pergaulan sihat anak sekali gus menyemai semangat perpaduan dalam kalangan berbilang kaum.

Terdahulu, seramai 200 kanak-kanak termasuk guru pengiring daripada beberapa taska yang berdaftar di sini mengambil bahagian program berkenaan.

Antaranya ialah Taska Bintang Comel, Taska Disney, Taska Early Learning Centre, Taska IKBN, Taska Jia Yin, Taska Rainbow Creche, Taska EQ, Inspirasi Ceria, Media Ceria, Taska Kreatif, Taska Sri Ceria  dan Taska Elite.

Selain persembahan masing-masing daripada taska itu, turut diselitkan pertandingan mewarna dan pertandingan fesyen pakaian kitar semula.

Hadir sama ialah Pengerusi Penganjur Roseline Lee, Pegawai Yang Diberi Kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahagian Miri Siti Fatimah Buah dan wakil pegawai JKM Miri Lim Tee Sheng.

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>