Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Bajet 2015 bantu kurangkan kos sara hidup rakyat

$
0
0

SIBU: Penduduk di sini menganggap Bajet 2015 membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, seiring dengan usaha memajukan ekonomi negara.

Tuai Rumah Kenneth Lone, 50, dari Pasai Siong Kiba menyambut baik pemberian BR1M daripada RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

“Kenaikan BR1M yang diumumkan Perdana Menteri tepat dengan keperluan hidup rakyat yang agak terbeban dengan kenaikan harga minyak tempoh hari,” katanya ketika diminta memberi komen secara keseluruhan mengenai Bajet 2015.

Kenneth memberitahu, Bajet 2015 memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Terima kasih kepada kerajaan BN atas pemberian pelbagai bantuan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Ini menunjukkan kerajaan BN tidak pernah pilih kasih,” katanya.

Pengerusi Persatuan Melanau Sibu Drahman Jabar, 66, berkata peruntukan untuk kemudahan infastruktur asas luar bandar sebanyak RM4.5 bilion juga tepat dan diperlukan di Sarawak dan Sabah.

“Memang tidak dinafi peruntukan yang diberi itu sebenarnya tidak mencukupi berbanding Semenanjung Malaysia, namun rakyat tetap berterima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa terima kasih kerana pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,663 km dengan kos RM27 bilion turut dirangkumkan dalam bajet kali ini.

“Ini jelas menunjukkan bajet yang diumum Perdana Menteri mengambil kira semua sektor termasuk luar bandar dengan menaik taraf infrastruktur luar bandar di Sarawak dan Sabah,” jelas Drahman.

 


Bajet 2015 bela nasib golongan kurang mampu

$
0
0

Rakyat anggap bajet beri fokus jaga keperluan rakyat, kurangkan beban kos sara hidup rakyat

SIBU: Bajet 2015 mendapat pelbagai reaksi positif daripada pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.

Rata-rata rakyat menganggap bajet itu memberi fokus menjaga keperluan rakyat di samping mengurangkan beban kos sara hidup rakyat seiring dengan usaha memajukan ekonomi negara.

Tinjauan Utusan Borneo terhadap penduduk di sekitar Sibu semalam, mendapati rata-rata mereka memberi komen positif selain meluahkan rasa bersyukur dengan peruntukan diberi kerajaan kepada rakyat.

Langkah Najib mengumumkan penambahan lima Pusat Aktiviti Warga Emas menjadikan 50 buah di seluruh negara turut disambut baik oleh Dayang Aisyah yang merupakan warga emas berumur 73 tahun.

“Warga emas seperti kami tidak pernah dilupa kerajaan.

Oleh itu saya berterima kasih atas usaha kerajaan yang terus memberi pelbagai peruntukan kepada kami,” ujar Aisyah.

Di samping itu, pengumuman kadar bantuan bagi OKU bekerja dinaik daripada RM300 kepada RM350 manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 menjadi khabar gembira buat OKU Sejeli Hassim, 51, ketika ditemui di sini.

“Saya sangat gembira kerana kerajaan menambah jumlah bantuan kepada saya dan dengan ini ia dapat membantu saya untuk membeli keperluan penting seperti ubat dan lain-lain,” kata Sejeli yang merupakan penerima bantuan OKU bekerja.

Sementara itu, nelayan dari Sebako, Mohd Asing Saili, 53, bersyukur kerana elaun sara hidup nelayan Zon A dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 sebulan manakala bagi nelayan Zon B dan C dinaikkan kepada RM250.

“Elaun ini sangat berharga bagi kami golongan nelayan kerana dengan duit ini nanti, ia akan dapat meringankan beban saya terutama bagi menampung kos baik pulih bot jika rosak,” ujar Asing dengan nada gembira.

Selain itu, Tazudah Dor, 40, ibu empat anak yang masih bersekolah, berasakan peruntukan RM100 kepada semua pelajar akan meringankan beban perbelanjaan sekolah anak-anaknya.

Bantuan yang diberi dapat diguna untuk membeli keperluan persekolahan tahun depan, kata Tazudah.

Bajet 2015 tetap diterima oleh masyarakat pelbagai golongan kerana ia memberi kebaikan dan meringankan beban sara hidup rakyat.

 

SHEDA jangka berlaku peningkatan permintaan terhadap rumah

$
0
0

KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menjangkakan akan berlaku peningkatan permintaan terhadap rumah susulan pengenalan pelbagai insentif kepada pembeli rumah pertama di bawah Bajet 2015.

Setiausaha Agungnya Sim Kiang Chiok berkata sebagai contoh Skim Perumahan Belia akan membantu daripada aspek keperluan kewangan belia di bawah umur 40 tahun untuk membeli rumah yang akan mewujudkan permintaan terhadap rumah.

“Banyak insentif disediakan kepada pembeli rumah pertama seperti rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), pengecualian duti setem 50 peratus, kadar maksimum pinjaman kakitangan awam dinaikkan dan bantuan Skim Perumahan Belia kepada belia dan mereka yang berumur bawah 40 tahun.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai rumah, inilah masa mempertimbangkan dengan serius memohon skim ini (Skim Perumahan Belia) untuk memiliki rumah yang akan menjadi simpanan masa depan mereka juga,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 pada Jumaat, mengumumkan Skim Perumahan Belia yang merupakan perkongsian pintar antara kerajaan, Bank Simpana Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Cagamas.

Skim itu menawarkan had pembiayaan untuk rumah pertama tidak melebihi RM500,000 kepada belia berkahwin berumur antara 25 dan 40 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak lebih RM10,000. Tempoh maksimum pinjaman ialah 35 tahun.

Bagi kakitangan awam, Najib turut mengumumkan kenaikan had kelayakan minimum pinjaman perumahan daripada RM80,000 kepada RM120,000 dan had kelayakan maksimum pula dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000. Malah wang proses pinjaman perumahan RM100 juga dimansuhkan.

“Untuk kakitangan kerajaan, ini akan membantu meringankan keperluan kewangan mereka dalam membeli rumah,” ujar Sim.

Beliau berkata lagi, SHEDA terdorong dengan pengumuman Najib yang menyatakan kerajaan telah bersetuju mengekalkan pengecualian duti setem 50 peratus terhadap instrumen pemindahan dan perjanjian pinjaman dan menaikkan had pembelian daripada RM400,000 kepada RM500,000. Pengecualian itu akan diberikan untuk tempoh sehingga Disember 2016.

Berhubung perkara sama, beliau berharap tidak wujud isu lokasi tidak strategik dalam pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik oleh kerajaan bagi mengelakkan lebihan bekalan rumah susulan permintaan yang rendah.

Menurutnya, SHEDA mengalu-alukan pengumuman 80,000 unit rumah akan dibina di bawah PR1MA dengan peruntukan RM1.3 bilion manakala Jabatan Perumahan Negara akan membina 26,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat dengan peruntukan RM644 juta.

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah, siling pendapatan isi rumah turut dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000 dan sebagai tambahan, Skim Sewa-Milik akan diperkenalkan khusus kepada golongan yang tidak mendapat pinjaman bank.

“Adalah satu yang menggembirakan apabila kerajaan komited membina rumah sedemikian untuk rakyat.

“Skim Sewa-Milik bagus dan amat diperlukan bagi mereka yang berhadapan kesukaran mendapatkan pinjaman bank disebabkan gaji rendah, tidak ada pendapatan bulanan tetap, rekod kewangan lampau yang tidak baik dan lain-lain,” ujarnya.

Bajet Ekonomi Keperluan Rakyat menepati keperluan rakyat dan negeri Sarawak

$
0
0

KUCHING: Bajet Ekonomi Keperluan Rakyat (EKR) yang diumumkan Perdana Menteri Jumaat lalu sesuai dengan namanya kerana menepati keperluan rakyat serta negeri ini, kata Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip.

Menurutnya, peruntukan berjumlah RM27 bilion bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan RM4.5 bilion bagi naik taraf infrastruktur di negeri ini dan Sabah membuktikan negeri ini tidak pernah diabaikan.

“Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri kerana tidak melupakan negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM27 bilion bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Secara peribadi, saya melihat bajet yang diumumkan itu sungguh mesra rakyat kerana merangkumi kehendak dan pertimbangan kepada keperluan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada program ‘Imagine Retrowalk’ bagi memecahkan rekod dunia oleh Jerman bagi kategori ‘Largest Backwards Walk’ dalam Guinness World Records yang berlangsung di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Dalam pada itu, Talib turut menyifatkan ajet itu sebagai bajet yang berhemat berikutan kebolehan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan teratur.

“Kita juga melihat bajet ini sebagai bajet yang berhemat dan saya percaya melalui pendekatan yang wajar seperti dalam bajet ini pastinya dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang,” ujarnya.

Tambahnya, tujuh strategi utama dalam EKR turut dilihat merupakan pendekatan baharu yang mana kerajaan mahu rakyat yang benar-benar berhak mendapat bantuan diberi bantuan.

Bajet diperuntukkan kepada Sarawak tawaran yang baik, kata Wong

$
0
0

KUCHING: Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh menyifatkan bajet yang diperuntukkan kepada Sarawak merupakan satu tawaran yang baik, dengan mengambil kira keadaan kewangan semasa negara.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha sebaik mungkin bagaimana dapat menyesuaikan, mengurangkan perbelanjaan agar dapat menyimpan lebih banyak bagi pembangunan.

“Dengan keupayaan kewangan buat masa ini, itu adalah yang  dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Graduasi dan Penyampaian Anugerah Kolej Eksekutif di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen yang menyifatkan Bajet 2015 bertemakan ‘Ekonomi Keperluan Rakyat’ adalah berat sebelah yang tidak sihat kerana hanya 18.4 peratus atau RM50.5 bilion digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan Sarawak menerima tawaran baik untuk melaksanakan pembangunan dalam pembentangan bajet itu kelmarin.

“Saya berharap apa sahaja yang diperuntukkan dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan dan sudah tentu kita (kerajaan) perlu berusah gigih untuk menyampaikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai tidak banyak butiran diberikan mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, beliau berkata projek besar seperti itu memerlukan masa untuk dilaksanakan.

“Masih banyak butiran-butiran perlu dimuktamadkan dalam beberapa bulan lagi, malah mungkin memakan masa sehingga setahun atau dua tahun.

“Oleh itu, ia terpaksa dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Dalam Bajet 2015, sebanyak RM27 bilion diperuntukkan untuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,663 kilometer (KM) iaitu 936 KM di Sarawak dan 727 KM di Sabah.

Pembelian premis tempatkan Rumah Perlindungan Khas Wanita disambut baik

$
0
0

KUCHING: Pembelian premis bagi menempatkan Rumah Perlindungan Khas Wanita seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan bajet 2015 kelmarin disifatkan usaha murni kerajaan untuk memartabatkan peranan golongan sasar itu.

Kenyataan tersebut diluahkan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berharap negeri ini terpilih sebagai lokasi penempatan rumah perlindungan itu.

Malah katanya, pembentangan strategi utama kelima itu juga bersifat menyeluruh meskipun kerajaan negeri masih belum mengetahui jumlah belanjawan untuk Sarawak oleh kerajaan persekutuan.

“Rumah Perlindungan Khas Wanita,  adalah satu usaha yang sangat baik kerana kita semua sedia maklum, terdapat wanita di negeri ini yang memerlukan pembelaan terutama daripada aspek perlindungan keganasan.

“Rumah perlindungan seumpama itu dapat  dijadikan satu pusat yang selamat untuk berlindung daripada sebarang jenis keganasan, sebagai contoh wanita yang diancam keganasan oleh suami atau bekas suami atau kekasih.

“Justeru, harapan kami dari pihak kementerian negeri supaya memartabatkan perlindungan golongan lemah ini,” katanya.

Demikian katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-9, di Hotel Imperial di sini, semalam.

Fatimah turut mengulas mengenai penambahan bantuan kewangan bulanan sebanyak RM50 kepada orang kurang upaya (OKU) yang bekerja iaitu daripada RM300 kepada RM350 dan OKU tidak bekerja daripada RM150 kepada RM200.

Meskipun beliau bersyukur dengan penambahan jumlah bantuan tersebut, Fatimah bagaimanapun berharap penambahan bantuan kewangan turut dirasai golongan lain seperti warga emas, ibu tunggal dan anak yang masih bersekolah.

“Saya sememangnya menantikan penambahan bantuan kewangan yang menyeluruh di mana ia akan dirasai oleh semua golongan yang layak menerima bantuan tetapi apa yang diumumkan hanya untuk OKU.

“Tetapi saya juga menyambut baik usaha kerajaan mengecualikan cukai kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU bagi meringankan beban mereka membeli alat bantuan kesihatan seperti alat pendengaran, kerusi roda istimewa dan sebagainya,” katanya.

Antara lain, Bajet 2015 yang diumumkan itu turut menyentuh enam strategi utama negara yang lain merangkumi memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi, memantapkan tadbir urus fiskal, mengupaya modal insan dan keusahawanan, memperkasa agenda Bumiputera, membangunkan program transformasi belia serta mensejahtera rakyat.

Bajet 2015 mantap, inklusif dan mesra rakyat

$
0
0

Bajet 2015 turut mengambil kira kebimbangan rakyat di semua peringkat, kata Fadillah

KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan Bajet 2015 sebagai mantap, inklusif, mesra rakyat serta jelas mengambil kira kebimbangan rakyat di semua peringkat.

Malah menurut Fadillah, selain meneruskan penekanan mesra perniagaan dan pelabur, kerajaan turut memberi perhatian utama kepada keperluan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Selari dengan tema bajet kali ini ‘Ekonomi Keperluan Rakyat’, kerajaan juga menurutnya memberi jaminan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan penstrukturan semula subsidi minyak.

“Bagi Kementerian Kerja Raya, sejumlah RM5.96 bilion yang diperuntukkan kebanyakannya  adalah untuk projek sambungan selain projek baharu.

“Kementerian  sudah mengatur strategi dan akan melaksanakan kaedah pelaksanaan baharu seperti diputuskan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

“Selaku pemantau, kementerian akan memastikan projek dilaksanakan sebaiknya untuk memenuhi keperluan rakyat serta aspirasi kerajaan untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, peruntukan besar berjumlah RM27 bilion untuk pelaksanaan 1,663 km Lebuh Raya Pan Borneo membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur rakyat di Sarawak dan Sabah.

Projek itu katanya, membabitkan jajaran sepanjang 936 km di Sarawak dan 727 km di Sabah.

“Kita juga berterima kasih kepada Perdana Menteri yang terus mendengar denyut nadi rakyat di Sabah dan Sarawak dalam bajet kali ini.

“Keputusan memperluaskan Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) ke Sabah dan Sarawak membabitkan peruntukan RM30 juta akan membantu ke arah melahirkan lebih ramai usahawan dari dua negeri ini.

“Begitu juga dengan peruntukan RM72 juta bagi subsidi Padi Bukit untuk Sabah dan Sarawak melibatkan 72 hektar kawasan.

“Saya percaya peruntukan bagi subsidi ini akan memperkukuhkan rantaian bekalan makanan di dua negeri ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Fadillah juga yakin peruntukan RM262  juta bagi membiayai kos pengangkutan dan penguatkuasaan kawalan harga barangan harian terutama di Sabah dan Sarawak akan memastikan kos sara hidup tidak membebankan rakyat terutama di luar bandar.

Malah katanya, kerajaan juga terus memberi keutamaan kepada keperluan dan kesejahteraan rakyat di Sabah dan Sarawak dengan penambahan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah dan tiga di Sarawak selain membuka klinik kesihatan di Tenom, Sabah dan Lubok Antu, Sarawak.

Antara lain, Fadillah turut menyambut baik keputusan kerajaan mewujudkan 1Malaysia Youth City untuk belia di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM100 juta.

Bagi membela nasib penduduk luar bandar pula, penekanan terus diberikan oleh kerajaan apabila sejumlah RM4.5 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak.

Ini termasuk RM943 juta diperuntukkan bagi projek jalan luar bandar sepanjang 635 km yang akan turut melibatkan bekas jalan balak di Sabah dan Sarawak.

Nilai diri sebelum membuat keputusan untuk bekerja atau sambung pengajian

$
0
0

KUCHING: Graduan digalak menilai diri sendiri sebaik mungkin sebelum membuat keputusan sama ada untuk melangkah ke alam pekerjaan mahupun menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, bagaimanapun keputusan itu tidak dibuat secara terburu-buru atau dipengaruhi mana-mana individu kerana mana-mana pun laluan dipilih, hala tuju itu akan membawa perubahan dalam hidup.

“Anda kini tiba di persimpangan. Mana-mana laluan diambil tetap membawa perubahan jadi tiba masanya anda merenung masa depan dan memutuskan apa yang perlu dilakukan seterusnya bukan sahaja untuk diri tetapi ibu bapa serta masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Graduasi dan Penyampaian Anugerah Kolej Eksekutif di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kolej Eksekutif Datuk Wong Kee Yew, Ketua Pegawai Eksekutif  Kolej Eksekutif Sheila Sie Hie Hung, Pengurus Besar KTS Resources Sdn Bhd Desmond Cheng dan Pengerusi Institusi Juruukur Diraja Malaysia Cawangan Sarawak Sr Laura Yiin.

Wong turut memuji usaha Kolej Eksekutif dalam melahirkan graduan yang serba boleh lengkap dengan kemahiran holistik bagi menempah kejayaan lebih cerah pada masa depan.

Bagaimanapun katanya, kemahiran dan latihan dalam sesuatu bidang sahaja tidak memadai untuk memastikan seorang graduan menempah kejayaan lebih cerah pada masa depan jika tidak didedahkan dengan persekitaran sosial.

“Kolej Eksekutif berusaha menyediakan yang terbaik bukan sahaja dalam akademik, tetapi anda juga didedahkan kepada persekitaran sosial dalam dan luar kolej bagi membolehkan anda menjadi individu serba boleh kerana orang yang berpendidikan bukan sahaja mempunyai kemahiran teori dan praktikal tetapi pintar dari segi sosial.

“Hanya apabila anda didedahkan kepada sektor-sektor lain anda akan menjadi orang yang lebih bijak bukan sahaja dari segi akademik tetapi secara sosial dan emosi,” katanya sambil menambah, keluaran kolej itu lebih berkeyakinan tinggi.

Sementara itu, Sie memberitahu, tenaga pengajar kolej berusaha gigih dalam memastikan para pelajar mampu memenuhi keperluan masyarakat dan industri yang kian berubah.

“Kita lengkapkan mereka dengan kemahiran industri yang penting dan kepentingan mengintegrasikan teknologi dan pembelajaran bagi membolehkan mereka bersaing dalam pasaran global sekali gus meningkatkan kadar peluang bekerja serta kecekapan dalam melanjutkan pengajian,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Kecemerlangan Datuk Robert Lau Hoi Chiew disampaikan kepada Sim Yian Ping.

Sim menyifatkan kejayaannya itu tidak mungkin dapat dikecapi tanpa bantuan daripada pensyarah serta rakan-rakan sekolejnya dan kini susah payah dilalui selama tiga tahun akhirnya membuahkan hasil.

“Ini merupakan batu loncatan yang akan membawa saya ke kejayaan lebih besar lagi,” katanya.

Majlis kelmarin menyaksikan seramai 67 graduan program Diploma Ukur Bahan, Diploma Kejuruteraan Awam dan Diploma Pentadbiran Perniagaan menerima sijil.


Pengamal insurans perlu lengkap diri dengan pengetahuan mencukupi

$
0
0

KUCHING: Industri insurans amat penting kepada perkembangan ekonomi negara kerana ia menjadi ejen dalam mempromosikan aktiviti ekonomi, hal ehwal kewangan individu dan pembangunan sosial.

Justeru, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing mahu setiap pengamal insurans sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan mencukupi untuk meningkatkan keyakinan orang ramai.

“Kita perlu perkukuhkan profesional kerja terlebih dahulu sebelum meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap insurans,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam sempena Ulang Tahun Ke-35 Pertubuhan Insurans Sarawak (PIS) di sini, malam kelmarin.

Menurut Masing, adalah lebih penting untuk mengadakan lebih banyak kursus dan seminar agar pengamal insurans di negeri ini sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan terkini.

“Standard industri hendaklah sentiasa ditingkatkan. Jadi kita mahu setiap pengamal insurans mempunyai tauliah,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden PIS Datuk Patrick Liew menggesa ahli pertubuhan itu agar kerap mengadakan perbincangan sesama sendiri untuk memantapkan industri insurans tempatan.

“Kita (PIS) diiktiraf Bank Negara sebagai antara pertubuhan paling aktif dalam mempromosikan industri insurans,” katanya.

Patrick menjadi presiden pertubuhan itu sejak 14 tahun lepas.

 

Adenan mengalu-alukan pelaburan China di Sarawak

$
0
0

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sentiasa mengalu-alukan pelaburan China di Sarawak dalam usaha mengekalkan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia sejak 40 tahun lalu.

Justeru, beliau mahu Konsulat China di Kuching mempertimbangkan ruang kepada negara China supaya menerokai pelbagai peluang yang ada di negeri ini khususnya melalui Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Sektor pelancongan salah satu bidang yang China ingin terokai khususnya mewujud penerbangan terus China ke Sarawak.

“Melalui pelaburan seperti ini, kita dapat melihat secara langsung peningkatan aktiviti perdagangan dan perniagaan antara China dan Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin pada Majlis Malam Penghargaan sempena Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Stadium Tertutup Miri di sini malam kelmarin.

Adenan berkata majlis penghargaan yang mempamerkan persembahan kumpulan seni dari negara China melambangkan kekukuhan hubungan baik yang terjalin.

Katanya persembahan itu terdiri daripada kumpulan seni yang mempersembahkan tarian serta muzik masyarakat Cina.

“Kumpulan ini kerap mengadakan lawatan ke  negara lain dan mendapat pujian.

“Ini menjadikan mereka   antara rombongan kebudayaan terbaik di dunia,” ujarnya.

Katanya persembahan disertai kumpulan seni di Miri turut memberi peluang kepada mereka menonjol bakat serta mempertingkatkan prestasi masing-masing.

Justeru katanya, persembahan kebudayaan juga membantu mengumpul dana bagi tujuan pendidikan terutama untuk sekolah aliran Cina.

“Inisiatif bekerjasama dengan Konsulat di China dengan  membawa kumpulan kebudayaan bertaraf dunia ke sini patut diberi pujian dan sokongan.

“Tanpa usaha bersepadu dan hubungan rapat Konsulat China di Kuching, majlis malam ini (kelmarin) tidak mungkin dapat dicapai,” tambahnya.

Adenan turut mengumum peruntukan bernilai RM50,000 untuk tabung pendidikan terbabit dan Lee memperuntukkan RM10,000.

Hadir sama Konsul Besar China di Kuching Li Quan, Ketua Delegasi China merangkap Naib Pengurus China Oriental Performing Arts Group Li Zhenqing dan pengerusi penganjur bersama merangkap Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI) Temenggung Dato Sri Lee Sie Tong.

 

 

 

 

 

 

 

Usahawan Bumiputera digalak sentiasa tingkat kualiti produk, perkhidmatan

$
0
0

KUCHING: Usahawan Bumiputera digalak sentiasa meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan dengan hasrat menembusi pasaran dalam dan luar negeri.

Penaung Exco Penganjur Majlis Makan Malam Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Bahagian Kuching Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu berkata, beliau mahu para usahawan Bumiputera memastikan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi serta bersesuaian dan praktikal.

“Saya menggalakkan para usahawan Bumiputera supaya sentiasa meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan dengan hasrat menembusi pasaran dalam dan luar negeri.

“Selain berkualiti tinggi, produk dan perkhidmatan yang dihasilkan hendaklah bersesuaian dan praktikal untuk pasaran dalam era globalisasi masa kini,” katanya ketika mengadakan perjumpaan bersama exco DUBS Bahagian Kuching di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Turut hadir Pengerusi DUBS Bahagian Kuching Datuk Abang Jemat Abang Bujang, Setiausaha Kehormat Iskandar Sharkawi dan pengerusi penganjur Majlis Makan Malam DUBS Zaiton Istiar Hussain Khan.

Jamilah dijangka akan hadir merasmikan Majlis Makan Malam DUBS Bahagian Kuching yang akan diadakan pada 26 Oktober ini.

Antara program-program yang dirancang pada majlis tersebut termasuk persembahan artis-artis terkenal tempatan, pertunjukan fesyen dan penyampaian sumbangan kepada badan-badan kebajikan terpilih.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai Majlis Makan Malam DUBS Bahagian Kuching atau program-program lain anjuran DUBS, sila hubungi 082 233133.

Warga China cedera ditumbuk pembuli jalanan

$
0
0

 SIBU: Serorang lelaki warga China berusia 40 tahun cedera di mata sebelah kanan selepas ditumbuk pembuli jalanan di Jalan Oya Lorong 13 pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, pengadu memandu kereta menuju ke arah Salim, apabila se­buah kereta pikap memotong dari tepi lorong perlahan.

Pengadu yang tidak berpuas hati membunyikan hon, memaksa pemandu pikap itu berhenti dan keluar dari kenderaannya.

Menurut pengadu, suspek mem­bawa sebatang kayu menuju ke arahnya.

Pengadu kemudian ditumbuk di bahagian mata menyebabkan cermin matanya pecah dan mukanya menga­lami kecederaan sebelah kanan.

Suspek terus melarikan diri dan dalam keadaan muka pengadu ber­darah, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu.

Difahamkan pengadu sempat mencatatkan nombor plat pikap yang dinaiki suspek.

Bahagian baharu Serian dipertimbang secara positif

$
0
0

TRADISI: Adenan menyaksikan upacara adat tradisi masyarakat Bidayuh sebagai tanda menyambut kedatangan tetamu ke Simposium Bidayuh 2014 di DBNA, Kuching semalam. — Gambar Jeffery Mostapa

KM akan bincang dengan setiausaha kerajaan negeri bagaimana ia dapat dilaksana secara pentadbiran

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan mempertimbangkan secara positif permohonan untuk mewujudkan bahagian baharu Serian.

Perkara ini dinyatakan oleh beliau pada sidang media selepas Majlis Perasmian Simposium Bidayuh 2014 di Dewan Serba Guna Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini semalam.

Bagi tujuan itu katanya, beliau akan membincangkan perkara berkenaan dengan setiausaha kerajaan negeri mengenai bagaimana ia dapat dilaksana secara pentadbiran.

“Sebelum kita mewujudkan bahagian baharu, kita perlu mengambil kira beberapa perkara seperti susunan pentadbiran, sempadan, populasi dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

“Sama seperti yang telah kita lakukan di Mukah dan bahagian-bahagian lain, perkara yang saya nyatakan ini merupakan prosedur yang harus dilalui dan begitu juga halnya dengan Serian.

“Untuk mewujudkan bahagian baharu ia tidak boleh dilakukan begitu sahaja tetapi saya akan mempertimbangkan secara positif permohonan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan menyatakan rasa bangga beliau melihat kejayaan DBNA menubuhkan Kompleks DBNA yang menjadi simbolik dan identiti masyarakat Bidayuh.

Malah beliau turut menyokong penuh inisiatif yang diambil oleh DBNA dalam membantu memudahkan kerja-kerja penyukatan ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa semua tanah yang terbukti adalah tanah NCR akan dikeluarkan surat tanah tanpa rasa sangsi.

“Saya amat berbangga dijemput oleh DBNA untuk menyampaikan amanat pada simposium ini.

“Meskipun  berbeza fahaman politik, namun para pemimpin dan masyarakat Bidayuh tetap bersatu hati apabila ia melibatkan soal kepentingan masyarakat Bidayuh sendiri.

“Inilah semangat yang amat saya sanjungi dalam kalangan masyarakat Bidayuh dan saya harap semangat ini akan kekal buat selama-lamanya,” ujar Adenan.

Dalam pada itu Simposium Bidayuh 2014 merupakan anjuran DBNA dengan kerjasama Persatuan Graduan Bidayuh (BGA).

Bertemakan ‘Samah-samah Ta’ Mujur’ yang bermaksud sama-sama kita maju, simposium tersebut telah dihadiri hampir 1,000 peserta, terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Turut hadir Penasihat DBNA Dato Sri Michael Manyin Jawong yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan.

Sarawak tidak akan dilupakan dalam peruntukan RM9.1 bilion untuk PDRM

$
0
0

KUCHING: Sarawak tidak akan dilupakan dalam peruntukan RM9.1 bilion yang diluluskan ketika pembentangan Bajet 2015 untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, ini kerana beberapa balai polis baharu akan diwujudkan di Sarawak termasuk di Samalaju.

“Kita tidak akan sesekali melupakan Sarawak. Kita akan mengagihkan peruntukan ini dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Karnival 1KDN di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peruntukan RM9.1 bilion diluluskan dalam Bajet 2015 untuk PDRM.

Dalam bajet tersebut, kerajaan turut meluluskan 11,757 penjawatan anggota polis selain membina 14 Ibu Pejabat Polis dan balai polis termasuk bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.

Khalid turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas peruntukan itu.

“Saya yakin dengan penambahan anggota dan 1,000 motosikal untuk unit rondaan bermotosikal, kecekapan kita dapat dipertingkatkan dalam menguruskan masalah jenayah,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar melahirkan rasa bangga dengan peruntukan tambahan untuk PDRM.

“Harapan kita menerusi bajet ini supaya bekalan, alat dan kelengkapan lain dapat dibina di seluruh negara.

“Ia penting juga bagi memastikan usaha memerangi jenayah dapat diperhebatkan,” jelasnya.

Letupan bom disebabkan dendam antara kumpulan haram: Khalid

$
0
0

KUCHING: Polis mengesyaki kejadian letupan bom di Bukit Bintang disebabkan dendam antara dua kumpulan haram dan bukan kegiatan pengganas.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku angkara dendam antara dua kumpulan terbabit.

Setakat ini beliau berkata, polis sedang giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek terlibat.

“Kejadian di Bukit Bintang berdasarkan siasatan awal tidak berunsur pengganas tetapi kita mengesyaki disebabkan berbalas dendam antara dua kumpulan haram.

“Biar kita jalankan siasatan untuk kenal pasti suspek terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden letupan bom di Bukit Bintang yang meragut satu nyawa selain mencederakan 13 yang lain.

Menurutnya lagi, bom yang digunakan dalam kejadian itu juga bukan milik tentera atau polis tetapi ia sudah berusia lebih 20 tahun.

“Namun kita akan siasat dahulu, mana mereka memperoleh bom ini,” ujarnya.


Penambahan anggota polis amat wajar

$
0
0

BUKA: Adenan membuka mangga replika penjara ketika melawat pameran Karnival 1KDN. — Gambar Jeffery Mostapa

Untuk pastikan lebih banyak kawasan dapat diselamatkan daripada aktiviti jenayah

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Penambahan anggota polis amat wajar untuk memastikan lebih banyak kawasan dapat diselamatkan daripada aktiviti jenayah, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Sehubungan itu beliau memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meluluskan 11,757 jawatan anggota polis bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

“Lebih banyak polis bertugas adalah lebih baik kerana jenayah semakin berleluasa sekarang terutama pecah rumah.

“Sekarang kita lihat pada siang hari ada orang melakukan jenayah dan ini amat membimbangkan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival 1KDN di sini, semalam.

Penambahan peruntukan RM9.1 bilion untuk PDRM menurut Adenan memang tepat pada masanya bagi memastikan lebih banyak peralatan dan kelengkapan dapat disediakan.

“Kalau kita ada segala kelengkapan mudah untuk anggota polis melakukan kawalan keselamatan,” ujarnya.

Biarpun aktiviti jenayah di Sarawak tidak begitu tinggi beliau mahu PDRM dan rakyat negeri ini tidak memandang rendah perkara tersebut.

“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

“Jadi kita perlu sentiasa berwaspada dan masyarakat juga tidak sepatutnya menyediakan ruang kepada penjenayah untuk melakukan aktiviti mereka,” jelasnya.

Selain itu, Adenan mahu masyarakat mengubah persepsi dan tidak menganggap tugas polis hanya untuk menangkap orang sahaja.

“Sebenarnya tugas polis amat besar termasuk menjaga ketenteraman dan keselamatan negara,” kata Adenan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekarang masih ada kalangan masyarakat masih menganggap tugas polis hanya untuk melakukan tangkapan.

“Orang hanya fikir polis tangkap orang sebaliknya mereka merupakan benteng dan menjaga keselamatan negara selain melakukan risikan, pendidikan dan siasatan,” jelasnya.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Penunggang mabuk rempuh dinding rumah

$
0
0

KUCHING: Gara-gara mabuk, seorang lelaki nyaris maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan merempuh dinding sebuah rumah di Kampung Stampin, di sini awal pagi semalam.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 26 tahun sebelum kejadian dikatakan bersama rakan-rakannya melepak serta minum minuman keras di rumahnya, juga di kampung tersebut sebelum dia memberitahu ingin ke kedai sekitar jam 12.30 pagi.

“Dia (mangsa) mulanya dihalang oleh rakan-rakannya tetapi dia berkeras ingin ke kedai untuk membeli makanan.

“Dipercayai kerana terlalu mabuk, dia gagal mengawal motosikal yang ditungganginya menyebabkan ia terbabas lalu merempuh dinding sebuah rumah tidak jauh dari rumahnya,” kata sumber.

Mangsa dikatakan tercampak dari atas motosikalnya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala serta anggota badannya.

Rakan mangsa yang menyedari kemalangan tersebut kemudian bergegas mendapatkan mangsa dan terus menghubungi pihak ambulans sebelum dia dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, sepasang suami isteri dari Lubok Antu, Sri Aman dirujuk ke HUS akibat kecederaan parah yang dialami mereka selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tengah hari kelmarin.

Difahamkan, suami isteri berusia 50-an itu semasa kejadian dalam perjalanan pulang selepas berjumpa dengan anak mereka apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta Jumaat lepas.

Akibat perlanggaran tersebut, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk dan mengalami kecederaan di kaki dan kepala.

Suspek rogol digari selepas empat bulan

$
0
0

SUSPEK ROGOL: Suspek diiringi masuk ke lokap oleh Manogaram (kiri) di Balai Polis Sentral Sibu petang semalam.

SIBU: Setelah empat bulan menjejaki suspek kes rogol akhirnya polis berjaya menggari suspek, 23, di sebuah rumah di kawasan terpencil di Bintangor petang semalam.

Pasukan polis diketuai Detektif Sarjan Manogaram terpaksa melalui beberapa proses sukar menjejaki suspek dengan bantuan dan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis Perbandaran Sibu, Jabatan Tanah dan Survei, Pejabat Daerah Bintangor sehingga ke Majlis Daerah Meradong mengakhiri pencarian itu.

Menurutnya, suspek berjaya ditangkap jam 1 petang semalam selepas berjaya menemui maklumat suspek daripada Majlis Daerah Meradong yang memberi alamat terkini berkaitan suspek.

“Kami mendapat petunjuk dengan penangkapan suspek selepas berjaya mencari maklumat pembayar taksiran cukai dua hari lalu,” katanya.

Menurutnya, siasatan bermula sejak Disember lalu selepas ahli keluarga mangsa rogol membuat laporan polis sekitar pertengahan Disember mengenai kejadian tersebut.

Difahamkan suspek merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Disember tahun lalu, sehingga mengandung.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai mengalami kelahiran pramatang menyebabkan kematian bayinya di Hospital Sibu ketika itu.

Insiden tersebut dikatakan menyebabkan ahli keluarga terutama mangsa sendiri terpaksa melalui tekanan.

Difahamkan suspek dipercayai sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak ketika menjalinkan hubungan dengan mangsa.

Suspek yang bekerja di sebuah tapak semaian milik ayahnya dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk tindakan lanjut dan dijangka direman hari ini.

Kes tersebut kini dalam siasatan lanjut polis.

Lengan hampir putus

$
0
0

 

CEDERA: Peruncit tersebut menerima rawatan kecemasan dari pegawai perubatan sebaik sahaja tiba di HUS malam kelmarin.

Peruncit hampir terputus lengan kanannya akibat ditetak perompak yang memasuki kedainya di Jalan Batu Kawa, malam kelmarin.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Peruncit hampir terputus lengan kanannya akibat ditetak perompak yang memasuki kedainya di Jalan Batu Kawa, dekat sini malam kelmarin.

Lelaki berusia 59 tahun itu semasa kejadian dikatakan sedang mengemas kedainya apabila didatangi dua lelaki yang berpura-pura membeli barang iaitu sekitar jam 7 malam kelmarin (Jumaat).

Tanpa disedari mangsa, seorang daripada suspek tiba-tiba menyerangnya dari belakang sehingga berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek yang bersenjatakan pisau turut mengugut akan mencederakan mangsa jika dia tidak memberi apa yang mereka mahu.

“Mangsa bagaimanapun cuba melawan sehingga berlaku pergelutan antara mereka sebelum seorang lagi suspek yang cuba membantu rakannya bertindak menetak lengan kanan mangsa dipercayai menggunakan pisau,” kata sumber.

Kedua-dua suspek yang khuatir insiden tersebut disedari keluarga mangsa yang ketika itu berada di tingkat atas bangunan kedai berkenaan terus melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa yang berlumuran darah kemudian segera mendapatkan bantuan daripada keluarganya dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki turut mengalami kecederaan pada lengannya akibat dihempas pintu ketika dia cuba menghalang tiga suspek pecah rumah melarikan diri awal pagi semalam.

Insiden dilaporkan berlaku di Matang, di sini apabila mangsa bersama tiga lagi rakannya melihat tiga individu tidak dikenali berada di kawasan rumah saudaranya iaitu sekitar jam 12.30 pagi.

Mencurigai ketiga-tiga individu tersebut cuba memecah masuk rumah berkenaan, mereka kemudian memberhentikan kenderaan mereka tidak jauh dari rumah tersebut.

“Bagaimanapun, kehadiran mereka disedari ketiga-tiga suspek terbabit menyebabkan mereka terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Mangsa cuba menghalang mereka tetapi suspek bertindak menghempas pintu kereta lalu terkena tangan mangsa sebelum mereka terus melarikan diri dari tempat kejadian,”kata sumber.

Mangsa yang cedera di tangannya kemudian dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan.

Dedah pengetahuan cegah dan padam kebakaran

$
0
0

pentRASMI:
Hasidah (dua kanan) diapit Mohd Ali (dua kiri) dan Tiong (kanan) merasmikan Majlis Graduasi Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak, semalam.

Perlu pendedahan sejak usia muda sebagai langkah kurangkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING:Pengetahuan mencegah dan memadam­kan kebakaran perlu dide­dah sejak usia muda sebagai langkah mengurangkan kehilangan nyawa dan ke­musnahan harta benda.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata jumlah panggilan kebakaran di kawasan Petra Jaya di tahap yang membimbangkan.

“Saya difahamkan, Jaba­tan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 1 menerima sebanyak 176 pan­ggilan kebakaran setahun… ia merupakan jumlah yang agak tinggi.

“Justeru, mengajar anak kecil bagaimana mencegah kebakaran dan bertindak sekiranya terlihat kebakaran dan sentiasa mengingatkan ibu bapa mereka akan pent­ingnya keselamatan kebaka­ran di rumah adalah penting,” katanya.

Hasidah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (3K) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya semalam.

Beliau menambah, selain mendidik dan memberi pen­dedahan tentang bahaya ke­bakaran, JBPM juga dapat mer­akyatkan BBP Petra Jaya agar pada waktu-waktu kecemasan kebakaran berlaku rakyat tahu ke mana hendak dituju dan siapa yang akan dihubungi.

Hasidah yang juga ADUN Samariang mempelawa JBPM ke kampung-kampung dan memberi kesedaran kepada penduduk kampung akan kepentingan keselamatan kebakaran.

Jelasnya, penggunaan alat pemadam api di rumah dan premis serta bangunan perlu diajar untuk membantu mem­adamkan kebakaran api yang kecil oleh orang awam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Ali Bahrudin berkata aktiviti Kelab 3K telah diperkenalkan oleh JBPM sebagai salah satu program pembelajaran dan kesedaran awam pentingnya mengamalkan budaya kesela­matan kebakaran.

Tegasnya, pendedahan awal berhubung kesedaran kesela­matan kebakaran di tempat kediaman dan premis masing-masing membolehkan JBPM mengambil tindakan proaktif bagi melindungi nyawa dan harta benda daripada risiko kebakaran.

“Adalah menjadi harapan agar program ini akan memu­puk pengetahuan dan kefaha­man asas tentang keselamatan kebakaran kepada kanak-kanak yang bakal menempuh alam persekolahan,” katanya yang membacakan teks uca­pan pengarah JBPM Negeri pada majlis itu semalam.

Menurutnya memadam­kan kebakaran adalah satu pertarungan yang merugikan pihaknya dan sebenarnya sudah mula menentang ke­bakaran sebelum sesuatu bangunan didirikan lagi.

Memadamkan api sebelum ia bermula. Ia dapat dilihat melalui syarat dan syor ke­bombaan dalam proses ke­lulusan pelan pembangunan, pelan bangunan dan pelan M&E, tambahnya.

“Anak-anak merupakan aset negara dan seharusnya kita berwaspada dan memas­tikan anak-anak berada dalam keadaan selamat daripada bencana kebakaran bagi menentukan kesinambungan generasi akan datang.

“Marilah terus menyokong aktiviti Kelab 3K di pering­kat tadika akar kesedaran kebakaran dapat ditanam di jiwa anak-anak dari usia muda,” jelasnya.

Program itu disertai 33 taska seluruh kawasan Petra Jaya dengan melibatkan 262 kanak-kanak bersama 48 guru tadika.

Program kesedaran kesela­matan kebakaran di peringkat awal lain turut dijalankan sep­erti program Kelab 3K, Kadet Bomba di sekolah rendah dan menengah, pasukan bomba di IPTA diikuti Pasukan Bomba Sukarela dan Pasukan Tin­dakan Kecemasan (ERT).

Turut hadir Penguasa Kanan Bomba 1, Tiong Ling Hii.

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>