SIBU: Penduduk Rumah William Ingkok, Rumah Peter Sayong dan Rumah Nelson Surau melahirkan rasa teruja dan penghargaan kepada kerajaan khususnya pihak SESco Kanowit kerana memasang lampu jalan raya di simpang menuju ke rumah panjang mereka.
Kehadiran tiang lampu jalan berkenaan telah menerangi kawasan berkenaan sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk di ketiga-tiga rumah panjang tersebut.
Kaunselor Jimbau Galau berkata, keadaan di kawasan itu sebelum ini gelap dan berbahaya terutama pada waktu malam.
Bagi penduduk di sekitar kawasan itu, mungkin tidak menghadapi banyak masalah kerana sudah biasa dengan keadaan itu.
“Walaupun agak remeh, namun bagi mereka yang baharu berkunjung ke kawasan itu, ia merupakan masalah besar.
“Ini kerana, jika mereka terlepas simpang mereka terpaksa berpatah balik untuk jarak agak jauh,” katanya di sini kelmarin.
Menurut Jimbau, keadaan menjadi lebih teruk pada waktu hujan lebat pada sebelah malam.
“Keadaan di simpang tersebut sangat gelap memandangkan tiada lampu jalan utama iaitu Jalan KJD.
“Jadi dengan adanya lampu jalan berkenaan baharu dipasang sejak seminggu lalu sedikit sebanyak mengurangkan kerisauan penduduk di kawasan tersebut,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jimbau turut berharap pihak berwajib membaiki sekurang-kurangnya tiga batang lampu jalan yang sudah rosak.
Katanya, keadaan itu berlarutan sejak beberapa bulan lalu tanpa diberi sebarang perhatian.
“Lampu jalan sangat diperlukan di kawasan itu memandangkan keadaan jalan raya agak sempit selain berselekoh,” katanya.
Begitupun, sehingga kini belum ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Justeru, beliau berharap pihak terbabit mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah berkenaan.