Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

Mayat Abdul Muiz ditemui terapung

$
0
0

MATI LEMAS: Dua anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengusung mayat Abdul Muiz di sungai Kampung Pinang, Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Mayat seorang kanak-kanak yang didakwa ghaib dan disembunyikan makhluk halus selepas tidak pulang ke rumah petang Rabu lepas ditemui terapung di sungai Kampung Pinang, di sini semalam.

Difahamkan Abdul Muiz Shafi zan,8, yang dilaporkan dalam beberapa akhbar tempatan telah disembunyikan makhluk halus dan disangkal kemungkinan lemas pada mulanya, ditemui anggota penyelamat sekitar jam 12 tengah hari semalam.

“Mangsa dijumpai mati lemas di sungai Kampung Pinang beberapa kilometer dari tebing sungai tempat kali terakhir mangsa dilihat bermain.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” kata jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mangsa pada Rabu lepas menurut ibunya, Malena Malak,36, telah diminta membeli keropok di kedai berdekatan untuk adiknya yang baharu berusia empat tahun iaitu sekitar jam 6.30 petang.

Abdul Muiz bagaimanapun dilaporkan tidak pulang selepas itu menyebabkan ibu serta ahli keluarganya yang lain terus mencarinya di sekitar kawasan kampung sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis telah dilancarkan sebaik sahaja laporan diterima.

 


Pertembungan maut

$
0
0

BERTEMBUNG: Lori pengangkut simen dan Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kubong, berhampiran Kawasan Perindustrian Limbang petang semalam.

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Seorang penumpang kenderaan jenis Perodua Viva maut manakala pemandunya cedera parah selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori pengangkut simen.

Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Kubong, berhampiran Kawasan Perindustrian Limbang di sini pada jam 5.30 petang semalam, mangsa dikatakan tersepit dan mati di lokasi kejadian.

PARAH: Pemandu Perodua Viva yang masih tersepit mengalami kecederaan parah.

Manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian, kereta Perodua Viva dipercayai dalam perjalanan menuju ke pusat bandar manakala lori simen itu menuju Jalan Kubong.

Menurut jurucakap Balai Polis Pusat Limbang, mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan anggota polis dan bomba dihantar ke Hospital Limbang manakala rakannya menerima rawatan rapi.

Terdahulu, enam anggota bomba diketuai Ketua Operasi Mohd Ali Mohd Salleh bergegas ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera sebaik menerima panggilan pada jam 5.34 petang semalam.

 

Punggung lelaki cedera dilibas dengan pedang samurai

$
0
0

 KUCHING: Seorang lelaki di­jangka mengalami kesukaran untuk duduk bagi tempoh yang agak lama selepas punggungnya cedera akibat terkena libasan pe­dang samurai kelmarin.

Mangsa yang berusia 23 tahun, semasa kejadian dikatakan bersama beberapa rakannya melepak di sebuah kedai di Jalan Bukit Mata, di sini apabila mereka didatangi sekumpulan empat lelaki bertopi keledar iaitu sekitar jam 9 malam.

Difahamkan, dua daripada suspek bertindak menyerang mangsa dan rakannya itu dengan senjata dipercayai pedang samurai menyebabkan mangsa yang ketika itu cuba menyelamatkan dirinya terkena libasan samurai berkenaan di punggungnya.

“Selain itu, dua rakan mang­sa masing-masing berusia 19 dan 20 tahun juga mengalami kecederaan,”kata sumber.

Motif serta punca serangan masih belum diketahui dan lapo­ran polis berhubung kejadian telah dibuat oleh kesemua mangsa di balai polis berhampiran.

Program ‘Walk-A-Mile’ sentiasa tarik penyertaan orang ramai

$
0
0

MASIH SIHAT: Taib (tengah) mendahuli peserta-peserta Program ‘Walk-A-Mile’ sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2014.

SAMBUTAN HEBAT: Sekitar 2,000 peserta menyertai Program ‘Walk- A-Mile’ sempena sambutan Hari Jantung Sedunia di Kuching semalam.

BERSEDIA: Para peserta bersedia untuk memulakan aktiviti berjalan kaki sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2014.

 

 

Oleh Agnes Tugong, Gambar Muhammad Rais Sanusi //

KUCHING: Program ‘Walk-A-Mile’ sempena sambutan Hari Jantung Sedunia yang diraikan semalam tidak pernah gagal menarik penyertaan orang ramai terutama di kalangan warga bandar raya ini.

Seperti penganjuran tahun-tahun sebelumnya, program yang berlangsung di Taman Kuching MBKS itu semalam diraikan dengan begitu meriah dengan penyertaan sekitar 2,000 peserta.

Lebih bermakna apabila program ini terus mendapat sokongan daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga presiden Yayasan Jantung Sarawak (SHF) serta isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Dalam pada itu, peserta mulai membanjiri sekitar Taman Kuching MBKS seawal jam 6.30 pagi untuk berjalan bersama-sama sekeliling taman diikuti dengan senaman beramai-ramai dan pelbagai aktiviti sihat yang lain termasuk pemeriksaan kesihatan percuma.

Tema ‘Heart-Healthy Enviroment’ dipilih untuk sambutan tahun ini yang merupakan bahagian penting dalam menjaga kesihatan jantung.

Dilancarkan oleh Taib, program itu turut dihadiri pengerusi penganjur Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu yang juga isteri Ketua Menteri dan Pemegang Amanah SHF Senator Datuk Dr Sim Kui Hian.

Sarapan pagi percuma diagihkan kepada semua peserta yang ditaja Nestle Products Sdn Bhd dan Legosan Sdn Bhd.

Selain berjalan kaki, turut dilancarkan Buku Aktiviti Fizikal Kanak-Kanak dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan bahasa Mandarin.

Hari Jantung Sedunia merupakan acara antarabangsa yang mula diperkenalkan oleh Persekutuan Jantung Sedunia, sebuah organisasi di Geneva bagi melahirkan kesedaran umum terhadap bahayanya penyakit jantung dan penyakit berkaitan jantung.

Program kesedaran kesihatan perlu sentiasa diadakan

$
0
0

KUCHING: Isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu mahu program kesedaran kesihatan diadakan lebih kerap terutama di kawasan luar bandar negeri ini bagi meningkatkan lagi pengetahuan masyarakat terhadap pelbagai jenis penyakit.

Justeru, beliau menyarankan Jabatan Kesihatan Negeri termasuk NGO agar bersama-sama memainkan peranan dalam menjalankan usaha tersebut.

“Kita semua tahu bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

“Justeru, kesedaran ini harus kita sebarkan khususnya kepada masyarakat di luar bandar yang kemungkinan ramai daripada mereka tidak tahu tentang penyakit yang dapat dicegah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Kesihatan di Klinik Kesihatan Batu Kawa di sini, semalam.

Jamilah menambah di samping menyediakan bantuan amal, badan sukarela dan NGO amnya harus turut memainkan peranan dalam menyebarkan kesedaran tersebut misalnya dengan mengadakan ceramah kesihatan kepada penduduk luar bandar.

“Penyakit kardiovaskular dan tekanan darah tinggi misalnya sudah semakin meningkat disebabkan kesibukan gaya hidup masa kini.

“Saya menyeru agar semua orang menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.

Sementara itu, Karnival Kesihatan yang dijalankan selama dua hari telah mendapat sambutan yang amat baik daripada orang ramai terutama penduduk di sekitar Batu Kawa.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, kempen derma darah, acara amal, pertandingan memasak dan sebagainya.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan.

Generasi muda harus aktif aktiviti fizikal

$
0
0

GAYA HIDUP SIHAT: Jamilah (dua kanan), Ragad, Taib dan Chan berjalan kaki sambil menikmati kehijauan alam sekitar di Taman Kuching, MBKS sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2014 semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Ia untuk memastikan jantung sentiasa dalam keadaan yang sihat, kata Taib

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menggesa rakyat terutama generasi muda agar lebih aktif dalam aktiviti fizikal untuk memastikan jantung sentiasa dalam keadaan yang sihat.

Taib yang juga presiden Yayasan Jantung Sarawak (SHF) berkata, kerajaan telah menyediakan kemudahan taman di merata tempat untuk kegunaan rakyat dan masyarakat secara keseluruhannya.

Malah menurut Taib, setiap kali kerajaan membuka kawasan baharu, ia dilengkapi dengan kemudahan taman untuk memberi ruang kepada rakyat berjalan, bermain dan kekal sihat sepanjang masa.

“Syukur kepada Tuhan kita telah berjaya menyediakan persekitaran yang sihat kepada masyarakat dan semua ahli-ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) menyedari akan perkara ini.

“Atas sebab itu, hari ini seperti yang telah kita lakukan pada setiap tahun, kita mahu diri kita menjadi lebih aktif dan menikmati kehijauan alam sekitar untuk memastikan jantung sentiasa sihat,” kata Taib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Walk-A-Mile’ sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2014 di Taman Kuching, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini semalam.

Sementara itu, pengerusi penganjur Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu dalam ucapan alu-aluannya berkata Hari Jantung Sedunia diperkenalkan pada 2000 untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai penyakit jantung yang merupakan punca kematian pertama global.

Malah menurut Jamilah menjelang 2030, dianggarkan 23 juta penduduk akan mati setahun disebabkan penyakit jantung.

Bimbang akan trend tidak sihat ini, SHF bersama Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) sekali lagi menganjurkan aktiviti sihat ini bagi menyemai kesedaran terhadap bahayanya penyakit jantung di samping mempromosikan gaya hidup sihat.

“Saya amat gembira melihat penyertaan yang amat menggalakkan daripada anda semua pada program hari ini.

“Harus diketahui bahawa penyakit jantung bukan berpunca daripada virus dan hanya sebahagian kecil kes penyakit jantung adalah disebabkan faktor genetik.

“Penyakit jantung adalah berpunca daripada gaya hidup kita dan ia boleh dicegah jika kita mengubah gaya hidup kita dengan pemakanan yang sihat, senaman yang mencukupi serta lebih penting kurangkan tekanan,” ujar Jamilah yang juga isteri kepada Ketua Menteri.

Pada program itu semalam, Taib turut melancarkan Buku Aktiviti Fizikal Untuk Kanak-Kanak dan seterusnya menyampaikan salinan buku kepada wakil daripada 13 sekolah rendah dari sekitar bandar raya ini.

Antaranya, SJK Chung Hua No.2, No.5 dan No.6, SK Tabuan Hilir, SK Tan Sri Datuk Haji Mohamad, SK Matang, SK RPR Batu Kawa, SK Jalan Arang, SJK Sungai Apong, SK Tabuan Ulu, SK Tabuan Jaya, SJK Bintawa dan SJK Chung Hua Pending.

Turut hadir, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan dan Pemegang Amanah SHF Senator Datuk Dr Sim Kui Hian.

Tukang masak kempunan merasai gaji pertamanya

$
0
0

KUCHING: Seorang tukang masak dari Kabong terpaksa berputih mata apabila gaji pertamanya dikebas perompak yang bersenjatakan pisau, malam kelmarin (Sabtu).

Dalam insiden sekitar 11.30 malam itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Abang Safuan, 26, mendakwa didatangi dua lelaki bermotosikal di lampu isyarat berhampiran Klinik Tanah Putih di Jalan Kwong Lee Bank.

Pembonceng motosikal itu katanya, tiba-tiba naik ke atas motosikalnya lalu mengarahkan mangsa mengikut mereka ke Kampung Sungai Apong sambil mengacukan sebilah pisau ke lehernya sebelum mengarahkan dia menyerahkan telefon bimbit kepadanya.

Bimbang dengan keselamatannya, mangsa menyerahkan telefon bimbit itu kepada suspek dan kemudian terus lari menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, difa­hamkan kedua-dua sus­pek berjaya mengejarnya sebelum menerajang mangsa.

Mangsa kemudian dibawa ke terowong la­luan motosikal di Tabuan Foochow sebelum dimin­ta menyerahkan dompet yang mengandungi wang lebih kurang RM1,000.

Difahamkan, mangsa yang baharu sebulan bek­erja sebagai tukang masak di sini, baharu menerima gaji pertamanya kelmarin, tanpa sempat membelan­jakannya.

Mangsa kemudian ter­paksa berjalan kaki ke tempat motosikal diting­galkan sebelum balik ke rumah Laporan polis telah dibuat untuk siasatan.

Tikam adik selepas bertikam lidah

$
0
0

KUCHING: Pertengkaran antara dua beradik menemui kemuncak apabila salah seorang daripada mereka terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila ditikam menggunakan pemutar skru di bahagian dada.

Mangsa dibawa menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan tiba di HUS kira-kira jam 8.30 malam untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, lelaki berusia 32 tahun itu bernasib baik apabila kesan tikaman oleh abangnya tidak mengena paru-parunya.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki itu telah bergaduh sejak dua tahun lepas tanpa sebab yang diketahui.

Dalam kes berasingan, seorang penunggang motosikal ditemui terbaring di Jalan Keranji, dipercayai terlibat dalam kemalangan.

Mangsa yang berusia 27 tahun dari Kapit, mengalami kecederaan parah di kepala dan ditemui anggota polis yang kebetulan melalui jalan tersebut, yang kemudiannya menghubungi ambulans.

Dia kemudiannya dibawa ke HUS menggunakan ambulans dari Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.


Hospital kecoh

$
0
0

KECOH:Kakitangan cuba menenangkan mangsa yang cuba melarikan diri.

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Suasana di Hospital Umum Sarawak (HUS) kecoh seketika malam kelmarin (Sabtu) apabila salah seorang pesakit yang dimasukkan ke zon merah bertindak agresif bagaikan dirasuk.

Dalam insiden sekitar jam 9.50 malam itu, pelajar sebuah institusi kemahiran dari Sabah itu dikatakan meluru keluar dari wad secara tiba-tiba.

Seorang kakitangan HUS cuba menangkap pelajar tetapi gagal kerana difahamkan kekuatannya adalah luar biasa.

Bagaimanapun, kira-kira tiga minit kemudian, keadaannya kembali normal dan dimasukkan semula ke wad namun terpaksa diikat.

Rakannya ketika ditemui memberitahu, mangsa dipercayai kena rasuk memandangkan berkelakuan tidak normal sejak beberapa hari lalu.

Dia dibawa ke HUS semalam setelah mengadu sakit dada.

Dalam kes berasingan, seorang pengawal keselamatan Mahkamah Kuching yang disangka pengsan, rupa-rupanya telah meninggal dunia ketika sedang bekerja.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai John Kennedy, 43, dari Siol Kandis dikatakan masuk bekerja jam 8 pagi sehingga 8 malam kelmarin.

Kira-kira jam 7 malam kelmarin, rakan sekerjanya cuba mengejutkan mangsa yang disangka tidur dalam pondok pengawal namun mangsa tidak terjaga.

Mereka kemudian menghubungi ambulans selepas menyangka mangsa pengsan.

MATI MEGEJUT: Mayat pengawal keselamatan yang ditemui mati ketika bekerja, dibawa ke HUS menggunakan kenderaan polis.

Bagaimanapun, kakitangan perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia selama beberapa jam sebelumnya.

Keluarga mangsa ketika ditemui semalam memberitahu, lelaki yang masih bujang itu mendakwa dirinya sakit beberapa hari lalu namun belum membuat pemeriksaan kesihatan.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

BDA catat rekod terbangkan layang-layang terbesar

$
0
0

CIPTA REKOD: Nurul Huda (lima kanan) menyerahkan rekod MBR kepada Talib berikutan penciptaan rekod menerbang Layang-layang Keretapi Terowong Gerbang Terbesar sempena BIKF ke-10 sambil disaksikan oleh Muhamad Yakup, Mohidin (dua dan tiga kiri), Tuah, Zaiedy, Richard, Siti Aishah (kanan) dan yang lain semalam.

Cipta, terbangkan Layang-Layang Kereta Api Terowong Gerbang Terbesar, guna 2,500 layang-layang

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mencatat rekod kali keempat dalam Malaysia Book of Records (MBR) apabila berjaya mencipta dan menerbangkan Layang-Layang Kereta Api Terowong Gerbang Terbesar (Biggest Train Kite Arch Tunnel) menggunakan 2,500 layang-layang dengan panjang 500 meter dan lebar 40 meter.

Acara berprestij itu menjadi tarikan  utama Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu (BIKF) Ke-10 di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu semalam.

Rekod itu diumum Pegawai MBR Nurul Huda Zakaria seterusnya ditandatangani Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip dan disahkan oleh Pengasas MBR Tan Sri Datuk Danny Ooi.

Ia turut disaksi  pengerusi bersama festival, Pengurus Besar BDA Datu Mohidin Ishak dan Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari, Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir, Setiausaha BDA Siti Aishah Othman dan Timbalan Residen (Sosial) Richard Michael Abunawas.

Sebelum itu Talib, Mohidin, Muhamad Yakup serta tetamu lain termasuk media dibawa dengan `Buggy’ untuk memeriksa layang-layang berbentuk berlian pelbagai warna yang disusun mengikut gerbang terowong di tapak festival tersebut.

“Hari ini, saya menyaksi satu lagi rekod baharu tercipta hasil kerja keras jawatankuasa penganjur.

“Saya berterima kasih kepada mereka kerana bertungkus-lumus memastikan rekod baharu ini tercipta sekali gus memperlihatkan  penganjuran festival ini semakin baik dan besar,” ujarnya ketika  menyaksikan Upacara Mencipta Rekod Baharu Menerbangkan Layang-Layang Keretapi Terowong Gerbang Terbesar dalam MBR semalam.

Talib berkata, festival yang dianjur tahun ini semakin baik seperti yang diperakui  penulis blog berbanding 10 tahun lalu yang menghadapi beberapa masalah dan kurang keyakinan untuk penganjurannya.

“Tetapi hari ini kita dapat melihat festival ini semakin baik dan besar bahkan turut dipromosi di kebanyakan negara dunia.

“Keadaan ini dapat kita baca dalam blog,  sesawang, Youtube, anda namakan sahaja mana-mana laman, mereka  memperkatakan festival ini menjadi semakin baik,” jelasnya.

Sementara itu, Mohidin berkata BIKF mendapat beberapa pengiktirafan daripada MBR sepanjang sembilan tahun festival itu diadakan dan telah menerbangkan sejumlah 1,655 layang-layang secara serentak pada 2008.

Seterusnya, menerbangkan sejumlah 92 layang-layang kereta api (train kite) secara bersambung berturutan pada 2010 dan menerbangkan sejumlah 2,250 layang-layang secara serentak pada 2013 sekali gus memecah dan mengatasi rekod pada 2008.

“Syabas dan tahniah kepada Penolong Pengurus Besar Mohd Bohari Kipli dengan pasukannya yang berjaya mencipta rekod sebelum ini yang menjadi lipatan sejarah untuk BIKF.

“Kali ini satu lagi rekod dicipta melalui BIKF dengan menerbangkan Layang-Layang Kereta Api Terowong Gerbang Terbesar disusun berbentuk layang-layang kereta api yang pelbagai warna yang berjumlah 2,500 layang,” katanya.

Beliau menyatakan rekod keempat dicipta hasil kerjasama dan kegigihan semua pihak dalam BIKF.

Anggota RELA bertanggungjawab kekalkan imej jabatan

$
0
0

 

TIBA: Ketibaan Rini dan rombongannya disambut meriah oleh anggota RELA daerah Saratok.

SARATOK: Anggota Jaba­tan Sukarelawan Malaysia (RELA) disaran mengeka­lkan tahap disiplin tinggi untuk menjaga imej jabatan berkenaan.

Pengarah RELA Negeri Sarawak Rini Tupong berkata anggota RELA perlu men­jadi model kepada masyar­akat kerana membawa imej perkhidmatan berdisiplin, bertanggungjawab, terhor­mat serta sentiasa peka adat resam masyarakat sekitar.

“Anggota RELA yang berkhidmat secara sukarela perlu menunjuk keikhlasan mereka dalam melaksana tu­gas ketika menegak undang-undang dan menjaga kesela­matan orang ramai.

“RELA merupakan kom­ponen penting dalam mekan­isme kerajaan untuk melind­ungi keselamatan dalam negeri di samping membantu anggota polis mengekalkan keamanan dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perjumpaan Anggota RELA Bersama Pengarah RELA Negeri Sarawak di Kabong, baru-baru ini.

Tambah Rini, selain mem­bantu jabatan lain, anggota RELA juga diingatkan supaya menitikberatkan soal disiplin bagi menjaga imej jabatan agar setanding dengan jaba­tan lain.

Mengambil contoh PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,Rini berkata tiga jabatan ini merupakan antara yang terbaik di Malaysia.

“Saya tidak mahu menden­gar ada dalam kalangan ang­gota RELA ditegur kerana masalah disiplin terutama cara pemakaian pakaian seragam RELA. Kalau mengguna pa­kaian seragam RELA, harus memakainya lengkap.Kalau tidak pasti, rujuk panduan pemakaian yang disedia.

“Penggunaan pakaian ser­agam sempurna bukan sahaja perlu untuk menjaga imej jabatan malah sebagai tanda hormat kita kepada pakaian seragam RELA,” ujarnya.

Terdahulu, Pegawai RELA Daerah Saratok Mohamad Zaini Azilah berkata pihaknya menyambut baik penyertaan golongan belia dalam pasukan RELA.

Katanya penyertaan go­longan belia dalam pasukan itu mampu mengelak mereka terlibat dalam masalah sosial dan penagihan dadah.

Menurutnya,RELA juga menjadi platform mening­katkan disiplin diri dalam ka­langan belia melalui pelbagai aktiviti termasuk kawat yang memerlukan tumpuan serta konsentrasi tinggi.

“Saya yakin dan percaya go­longan belia yang mengang­gotai RELA mampu memikul tanggungjawab dan amanah yang diberi kepada mereka berdasarkan latihan.

“Bukan itu sahaja, RELA juga menjadi medan terbaik memupuk semangat jati diri dan sayangkan negara dalam kalangan generasi belia,” katanya.

Zaini berharap golongan belia di daerah itu terus mem­beri sokongan kepada RELA dengan menyertai pasukan berkenaan.

Katanya kudrat golongan muda sememangnya diperlu­kan dalam usaha memperkasa lagi pasukan berkenaan pada masa depan.

Terdahulu,Rini turut menyampaikan sijil peng­hargaan kepada 11 anggota RELA yang menunjukkan prestasi cemerlang dan menyampaikan sijil kepada 40 anggota RELA daerah Saratok yang terlibat dalam perbarisan Hari Kemer­dekaan lepas.

Beliau turut menyerahkan pakaian operasi digital (POD) kepada anggota CMT daerah Saratok.

Seramai 110 anggota RELA sekitar daerah Saratok dan Kabong turut terlibat dalam program tersebut.

Tekankan pembangunan usahawan

$
0
0

SIBU: Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi mencadangkan Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) memberi penekanan lebih kepada pembangunan usahawan di sini.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata ia sesuatu perkara positif untuk memajukan anak-anak muda menjadi usahawan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan lebih menyeluruh antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Rakyat harus dibimbing dan dimajukan menjadi usahawan bukan sekadar mencari pekerjaan selepas meninggalkan universiti.

“Kita menyokong anak-anak muda membangunkan perniagaan kecil-kecilan dan apabila mereka mendapat keuntungan, mengembangkan perniagaan mereka dan mampu menyediakan peluang pekerjaan atau rangkaian dalam rantaian bekalan mereka.

“Kemudian, kita majukan persekitaran perniagaan di kawasan luar bandar seperti mana di bandar,” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat di UCTS di sini kelmarin.

Taklimat disampaikan oleh Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Abdul Hakim Juri.

Nanta berkata industri kecil dan sederhana (IKS) amat penting dalam mana-mana ekonomi.

“Ia terbukti menerusi isu ekonomi global apabila berlaku kegawatan ekonomi, IKS dapat bertahan menjadi lebih fleksibel berbanding syarikat-syarikat besar,” ujarnya.

Beliau berharap UCTS yang berada di tengah-tengah kawasan Sarawak dikelilingi daerah-daerah luar bandar menawarkan peluang kepada pelajar dari kawasan luar bandar melanjutkan pengajian mereka.

Tambahnya, Sarawak akan melaksanakan beberapa lagi projek hidro bagi menjana kuasa elektrik untuk industri di sini.

Beliau turut kagum dengan infrastruktur dan kemudahan yang ada di UCTS.

Mengenai lawatannya, Nanta berkata, beliau dijemput menghadiri taklimat dan pertukaran pandangan dengan UCTS untuk mendengar pandangan pihak universiti.

“UniKL milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. UniKL telah membantu UCTS di peringkat awal,” katanya.

Sokong bakat anak, galak kejayaan masa depan

$
0
0

SIBU: Ibu bapa digesa supaya menggalak dan memupuk bakat anak masing-masing jika mahu melihat mereka membesar menjadi golongan penyumbang kepada kemajuan negara dan bangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng Abu Seman Jahwie berkata, menjadi harapan setiap ibu bapa untuk melihat anak berjaya dalam apa juga bidang diminati tetapi ia memerlukan sokongan serta galakan ibu bapa.

“Hari Potensi Kanak-Kanak merupakan platform terbaik mengenal pasti kebolehan serta mengasah bakat kanak-kanak menjejaki kejayaan seterusnya,” katanya berucap menutup rasmi Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS Zon 3 Sibu di sini semalam.

Sebanyak 13 acara yang dipertandingkan disertai  301 kanak-kanak Tabika KEMAS mewakili lapan kawasan Parlimen – Igan, Julau, Kanowit, Lanang, Sibu, Mukah, Selangau dan Kapit.

Tabika KEMAS Parlimen Kapit muncul juara keseluruhan. Pengarah KEMAS Negeri Abang Rabaee Abang Muhi dan Pegawai KEMAS Daerah Sibu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Leena Tero hadir sama.

Justeru Abu Seman yang juga setiausaha politik Ketua Menteri berkata, ibu bapa harus bersedia berkorban memberi pendidikan sebaik mungkin kerana ia merupakan pelaburan masa depan.

Sambil mengakui menghantar anak ke sekolah adalah tanggungjawab berat, namun beliau berkata, ia tidak harus dijadikan alasan kerana kerajaan banyak menyedia kemudahan pendidikan.

“Kemiskinan bukan menjadi alasan lagi sekarang untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Sebab itu,kerajaan menyedia pelbagai bantuan,” katanya.

Menurut Abu Seman, pendidikan peringkat awal amat penting bagi membentuk jati diri kanak-kanak dan penubuhan tabika mahupun taska KEMAS di kampung dan rumah panjang merupakan satu pendekatan kerajaan dalam menyedia kemudahan kepada penduduk pedalaman.

Jangan percaya janji-janji pembangkang: Mong

$
0
0

Ia merupakan taktik yang sengaja digunakan pembangkang bagi menarik pengundi pada PRN

Oleh Edwin Raoh //

SRI AMAN: Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang menasihati rakyat di negeri ini agar tidak mempercayai janji-janji pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, ia merupakan taktik yang sengaja digunakan pembangkang bagi menarik pengundi pada PRN.

Katanya mereka berbuat demikian dengan harapan agar pengundi beralih sokongan kepada pembangkang dan bukannya kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya berharap rakyat tahu bahawa kerajaan BN melaksanakan projek pembangunan di setiap kawasan dan bukannya pembangkang,” katanya pada Program MEMBARA Jalinan Wanita di Limik, Banting dalam daerah kecil Lingga.

Pada majlis itu, Mong mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM22,000 kepada JKKK Rumah Limik.

Manakala Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat pula mengumumkan peruntukan MRP RM5,000 kepada JKKK dan RM3,000 untuk Biro Wanita rumah panjang terbabit.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan menggesa rakyat di bandar agar memberi kerjasama kepada kerajaan sekiranya tanah milik mereka di luar bandar hendak dibangunkan.

“Tanah yang hendak dibangunkan itu untuk kemudahan infrastruktur, perhubungan, pendidikan, pertanian komersil dan sebagainya, untuk pembangunan rakyat sendiri.

“Malah, pemilik tanah akan menerima bayaran pampasan dan berikan kerjasama dengan kerajaan dalam pembangunan ini,” katanya.

Hadir sama Masir, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, kakitangan kerajaan dan ketua masyarakat Iban di sini.

Turut diadakan sempena program itu ialah sesi penerangan penyakit barah servik untuk wanita di rumah panjang terbabit yang dikendalikan oleh Ketua Jururawat, Senah Chabu.

Program Transformasi Asrama memperkasakan asrama harian

$
0
0

SIBU: Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti sejumlah 118 asrama sekolah harian di negeri ini untuk melaksanakan program Transformasi Asrama secara rintis.

Pengarahnya Serina Sauni berkata Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Transformasi Asrama untuk memperkasa asrama harian.

“Transformasi Asrama dilaksanakan dengan matlamat menjadikan asrama sebagai kediaman menjamin kejayaan pelajar.

“Usaha ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya pada Majlis Penangguhan Karnival Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) Peringkat Negeri 2014 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart, di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Kamariah Said.

Katanya, peranan kepimpinan sekolah dan asrama amatlah penting kerana tindakan yang dilaksanakan memberi impak terhadap pencapaian wawasan asrama.

“Seterusnya meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam aspek kokurikulum, sahsiah, kepimpinan dan kemajuan sekolah secara menyeluruh selaras dengan gagasan 1Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata pengurusan asrama, prasarana asrama serta persekitaran dan kondusif asrama hendaklah mencapai jangkaan disasarkan oleh jabatan dan ibu bapa.

“Justeru, semua pihak harus menyedari bahawa asrama bukan semata-mata berfungsi sebagai tempat penginapan pelajar, tetapi merupakan sebuah institusi yang dapat membantu sekolah mencapai kecemerlangan pendidikan.

“Ini selaras dengan falsafah asrama yang menyatakan pelajar asrama seharusnya lebih cemerlang dalam pelbagai bidang, berbanding pelajar mempunyai latar belakang yang sama tetapi tidak tinggal di asrama,” katanya.

Gabungan tenaga pihak pentadbir, penyelia asrama, warden, guru serta seluruh warga sekolah menjurus ke arah menyediakan suatu perkhidmatan menyeluruh terhadap pembangunan asrama.

Di samping itu, ia menghasilkan satu pengurusan sumber manusia komited terhadap tanggungjawab dan amanah diberikan selaras dengan tema transformasi asrama ‘Kemenjadian Murid Adalah Tanggungjawab Bersama’.

Serina memberitahu, jumlah penghuni asrama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada Jun 2014 adalah seramai 78,557 orang berbanding 103,692 orang pada 2010.

“Dalam hal ini, sekolah harus berusaha agar Indeks Pencapaian Utama (KPI) KPM untuk melihat peningkatan bilangan pelajar asrama di negeri ini dapat direalisasikan,” katanya.

Turut hadir Penolong Pengarah Unit Asrama Jabatan Pendidikan Negeri Selamat Markosen dan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Wong Chong Kung.


Ketua masyarakat tonggak kekuatan BN di luar bandar, kata Harden

$
0
0

SRI AMAN: Kekuatan Barisan Nasional (BN) di luar bandar ditunjangi barisan ketua masyarakat di setiap rumah panjang atau kampung menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, ketua masyarakat seperti tuai rumah atau ketua kampung memainkan peranan penting dalam menyebar dasar pembangunan kerajaan dalam kalangan penduduk dari semasa ke semasa.

“Saya yakin rakyat di negeri ini termasuk di Sri Aman akan dapat memahami usaha pembangunan oleh kerajaan jika kumpulan ini memainkan peranan dengan berkesan,” katanya.

Harden yang juga Menteri Muda Perumahan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Kaum Kawasan Sri Aman di sini baru-baru ini.

Menurut Anggota Dewan Undanagan Negeri Simanggang itu, kegagalan ketua kaum berbuat demikian boleh menjejas sokongan penduduk luar bandar terhadap BN yang tidak faham mengenai dasar pembangunan kerajaan sebelum itu.

“Ia juga mudah menjadi bahan ekpsloitasi parti pembangkang seterusnya menjejaskan kedudukan BN di kawasan luar bandar.

“Saya berharap ketua kaum dapat memainkan peranan dengan lebih serius agar penduduk luar bandar dapat menikmati kesenangan hasil projek pembangunan yang dirancang kerajaan,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Sri Aman Temenggung Samuel Lawen, penerima pingat George Cross Awang Raweng dan ketua kaum sekitar Sri Aman.

20 gadis rebut slot akhir Ratu Budaya Sarawak 2014

$
0
0

KUCHING: Pencarian Ratu Budaya Sarawak 2014 tinggal selangkah lagi selepas 20 daripada 26 peserta separuh akhir dipilih ke pertandingan akhir yang akan berlangsung pada 12 Disember akan datang.

Berpengetahuan tentang kebudayaan Sarawak dan berbakat dalam bidang tarian tradisional etnik Sarawak, itu adalah antara ciri-ciri yang dicari oleh para juri pada bakal Ratu Budaya Sarawak 2014 yang akan dinobatkan nanti.

Antara 20 peserta yang berjaya ke peringkat akhir selepas pertandingan separuh akhir malam kelmarin ialah Cammielye Oliver Rega, Nurul Atiqah Abu Hassan, Nur Effa Fazila Adenan, Khairunnur Haziqah Jejefferykol, Nurul Anis Fatasha Rofendee, Marie Cassandra Jinggut, Hilnilshalancie Saen, Alvey John, Syarifah Sifa Safiqah Wan Fauzi dan Josephine Jelawat James Jimmy.

Turut mengisi slot akhir ialah Siti Nazariah Rajunai, Maria Madelina Sujie, Aiddelin Molok, Efazira Sabri, Caroline Meza, Rabbani Mariani Majid, Avey Diana, Nurhidayah Joret, Sha Mizan Muridin dan Sapphira.

Pada pertandingan separuh akhir malam kelmarin, peserta yang menggunakan tag nombor 22, Avey Diana turut dipilih sebagai pemenang hadiah penyokong terbanyak melalui pembelian meja.

Pertandingan berkenaan dianjurkan buat kali kedua oleh Suria Violet Event Management dan disokong Kementerian Pembangunan Sosial.

Terbuka kepada semua wanita berumur 18 hingga 28 tahun dan bujang, peserta haruslah berpengetahuan tentang kebudayaan Sarawak dan berbakat dalam bidang tarian tradisional etnik Sarawak.

Juara akan menerima wang tunai RM3,000 berserta hadiah tajaan dan sijil manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan menerima RM2,000 dan RM1,000 berserta hadiah tajaan dan sijil.

Tidak hanya merebut gelaran Ratu Budaya Sarawak 2014, peserta juga akan merebut beberapa gelaran sampingan antaranya Miss Charity, Miss Congeniality, Miss Favourite, Miss Photogenic dan Miss Talent.

Sepanjang pelaksanaan acara ini penganjur akan mengadakan beberapa aktiviti untuk finalis antaranya aktiviti amal, bengkel solekan, pertunjukan malam bakat, sesi bergambar dan latihan pentas serta solekan.

Para juri terdiri daripada Mohd Reza Mohd Ali (Kementerian Pembangunan Sosial), Mawar (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara) dan Hajijah Bujang (Pusat Kecantikan dan Andaman Zurainas) sebagai juri tetap dan juri jemputan Pengacara RTM Amran Tut.

SSPCA bangga dengan penyertaan amat memberangsangkan dalam Amazing Race

$
0
0

KUCHING: Persatuan Pencegah Penganiayaan Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) melahirkan rasa bangga dengan penyertaan yang amat memberangsangkan dalam Amazing Race tahun ini.

Diadakan buat kali kedua, perlumbaan tersebut merupakan acara kutipan dana amal selepas kejayaan edisi julung kali tahun lepas.

Menurut Presiden SSPCA Donna Wee, bilangan pelumba yang terlibat tahun ini mencecah 700 orang berbanding edisi sebelum ini.

Tahun ini pihak penganjur turut menambah kategori dengan tawaran hadiah wang tunai melebihi RM3,000.

“Larian ini merupakan sebahagian daripada Festival World Animal Groove (WAG).

“Hari ini (semalam) kami menerima penyertaan dalam kategori lelaki 10km, veteran lelaki 5km, wanita veteran 5km dan terbuka ‘fun run’ 5km,” katanya.

Larian semalam dilepaskan kira-kira jam 6.45 pagi di Pusat Konvenyen Borneo Kuching (BCCK).

Hadir melepaskan peserta dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

“Seperti yang dapat anda lihat saya amat menyokong acara seperti ini.

“Saya fikir SSPCA patut mendapat sokongan kerana apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan bersama,” ujarnya.

Orang ramai menurutnya perlu sedar haiwan liar menjadi masalah kepada sesiapa.

Biarpun pihak berkuasa tempatan dan SSPCA sentiasa mengambil berat perkara itu, sokongan orang ramai juga penting, kata Lee.

Kontinjen PPD Samarahan johan keseluruhan Karnival ASAT 2014

$
0
0

SIBU: Kontinjen Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan muncul johan keseluruhan Karnival Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) Peringkat Negeri Sarawak 2014, semalam.

Naib johan menjadi milik kontinjen PPD Sarikei, diikuti PPD Sibu mendapat tempat ketiga. Kesemua kontinjen pemenang menerima hadiah berupa piala.

Majlis penyampaian hadiah telah disampai oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Kamariah Said.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Unit Asrama Jabatan Pendidikan Negeri Selamat Markosen dan Pengawai Pendidikan Daerah Sibu Wong Chong Kung.

Karnival ASAT Peringkat Negeri berlangsung di Sibu bermula 25 hingga 28 September disertai 11 kontinjen PPD.

Selain itu, karnival empat hari tiga malam itu melibat penyertaan 770  pelajar dan 165 guru pengiring serta jurulatih.

PPD yang mengambil bahagian ialah PPD Limbang, Kapit, Kuching, Mukah, Samarahan, Bintulu, Sri Aman, Betong, Miri, Sarikei dan Sibu.

Menerusi ucapan aluannya, Wong berkata ASAT merupakan program induk Unit Asrama Harian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

“ASAT dianjur dalam usaha merealisasi peranan dan fungsi asrama sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serentak memartabat asrama harian seluruh negara,” jelasnya.

Tambah Wong, ASAT memberi penilaian kepada program dan aktiviti asrama memfokuskan kepada pengurusan dan pentadbiran asrama, pengurusan fizikal, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti dan keceriaan asrama.

“Komponen utama dalam ASAT merangkumi Pertandingan Asrama Terbilang, Karnival Kokurikulum Asrama dan Anugerah Kecemerlangan,” katanya.

Sokong jadikan Kuching bandar raya popular

$
0
0

Masyarakat digesa terus sokong DBKU jayakan pelan penambahbaikan Cantik, Bersih dan Selamat

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Masyarakat bandar raya ini digesa terus memberi sokongan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam menjayakan pelan lima tahun penambahbaikan Cantik, Bersih dan Selamat (CBS).

Datuk Bandarnya Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, sokongan tersebut penting dalam meningkat dan memartabatkan Kuching menjadi bandar raya popular di Asia menjelang 2017.

“DBKU berhasrat menjadikan Kuching sebagai bandar raya pilihan yang berdaya huni dan dinamik yang bukan sahaja menarik, ceria dan bertenaga dengan warga kota yang dinamik, aktif dan sihat malah menyerlah dari segi sosial dan ekonomi.

“Untuk mencapai hasrat ini, satu pelan korporat bersepadu merangkumi pelbagai usaha dan inisiatif iaitu DBKU CARES antara kerajaan, swasta dan rakyat (3P).

“Justeru, bagi tujuan mempromosi CBS agar sentiasa dekat di hati masyarakat, DBKU telah memainkan peranan aktif ke peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program CBSKu di Masjid Darul Farhanah Kampung No.4 di sini, semalam.

Sehubungan itu jelasnya, DBKU akan sentiasa pergi ke kampung, masjid dan surau bagi meuar-uarkan Pelan Penambahbaikan CBS.

“Program hari ini (semalam) merupakan keempat kita laksanakan di masjid yang sebelum ini kita adakan di Boyan, Gersik dan Semariang,” jelasnya.

Katanya pada masa sama, ia dapat mengimarahkan masjid untuk pelbagai aktiviti pembangunan komuniti.

Terdahulu program itu diisi dengan taklimat cukai pintu, EM Bokasi, CBSKu dan penyerahan Kit CBSKu seperti pencuci, penyapu, mop, baldi, tong sampah dan pasu bunga.

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>