![]()
TAHNIAH: Jamilah menerima Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib yang disampaikan Adenan.
![]()
CEMERLANG: Adenan menyampaikan Anugerah Pertubuhan Wanita Cemerlang kepada Presiden PITSA, Salmah.
![]()
USAHAWANITA CONTOH: Sereni dan Shentel menerima Anugerah Ketua Menteri Usahawan Wanita.
![]()
KEPIMPINAN CONTOH: Dayang Raoyah menerima Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita.
![]()
PENGGIAT SOSIAL: Ellis menerima Anugerah Ketua Menteri Penggiat Sosial Wanita daripada Adenan.
![]()
KEBANGGAAN: Penerima anugerah Hari Wanita 2014 Peringkat Negeri Sarawak iaitu Salmah (dari kiri), Ellis, Jamilah, Raoyah, Sereni dan Shentel.
KUCHING: Isteri Ketua Menteri yang juga Presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu menerima Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib semasa sambutan Hari Wanita 2014 Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pelbagai bidang kesukarelaan di negeri ini termasuk pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan banyak lagi.
Sejak menyertai SABATI kira-kira 30 tahun lalu, pelbagai jawatan telah disandang olehnya dan sememangnya beliau merupakan seorang yang aktif dalam memperjuangkan nasib serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Sarawak.
Sejak bergelar presiden SABATI, Jamilah telah berjaya membangunkan dua projek dengan tertubuhnya Yayasan SABATI dan Wisma SABATI.
Selain presiden SABATI, Jamilah juga merupakan salah seorang daripada pengasas Yayasan Jantung Sarawak, Timbalan Pengerusi Dua PERKIM Sarawak, Pengerusi PERKIM Cawangan Samarahan, Penaung PERKIM Cawangan Lundu, Penaung PIBG SM Sains Kuching, Persatuan Pengasuh dan Pendidik Awal Kanak-Kanak dan TASKA serta TADIKA Yayasanku Sayang.
Dengan itu, Jamilah telah dianugerahkan trofi kristal, sijil, sepersalinan kain dan beg tangan buatan tempatan serta wang RM5,000.
Sementara itu, Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita diterima oleh Kaunselor Dayang Raoyah Abang Adeng yang merupakan Setiausaha Politik Ketua Menteri serta Setiausaha Politik Ahli Parlimen P.206 Tanjung Manis.
Dengan itu, Dayang Raoyah menerima trofi kristal, sijil, sepersalinan kain dan beg tangan buatan tempatan serta wang RM3,000.
Anugerah Ketua Menteri Usahawan Wanita pula diterima pengasas Sereni & Shentel Brand of Heaband & Accesorries iaitu Sereni Linggi dan Shentel Lee dan kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang trofi kristal, sijil, sepersalinan kain dan beg tangan buatan tempatan serta wang RM3,000.
Bagi Anugerah Ketua Menteri Penggiat Sosial Wanita pula, penerimanya ialah Ellis Suryati Omar yang mana beliau pernah dianugerahkan ‘Duta Keamanan’ oleh Universal Peace Federation pada 2007, ‘Ambassador of Goodwill’ oleh Lions Club Internatioal dan pernah menjadi Pengarah Kebangsaan Lions Club pada 2010 dan Pengerusi Lions Nursing Home Kuching.
Dengan itu, Ellis menerima trofi kristal, sijil, sepersalinan kain dan beg tangan buatan tempatan serta wang RM3,000.
Penerima anugerah terakhir iaitu Anugerah Pertubuhan Wanita Cemerlang ialah Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) yang diterima oleh Presidennya Salmah Ibrahim.
PITSA kini mempunyai seramai 10,000 ahli di seluruh Sarawak serta aktif dalam pembangunan ekonomi wanita dengan menubuhkan TASKA Qaseh Laila 1 dan 2 serta Program ‘Sarawak Home Executive (SHE)’ khusus untuk ibu tunggal.
Kejayaan itu melayakkan PITSA menerima trofi kristal, sijil, sepersalinan kain dan beg tangan buatan tempatan serta wang RM10,000.
Kesemua anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah serta Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.