SIBU: Jambatan laluan berjalan kaki/joging (plankwalk) di Taman Rimba Bukit Lima (BLFP) di sini telah 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya dalam dua minggu lagi.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Bahagian Media Korporat Ta Ann Holding Berhad, Shannon Yii kepada Utusan Borneo pada lawatan di BLFP di sini kelmarin.
“Jika kamu boleh lihat, semua ‘plankwalk’ yang sedang dibaik pulih hampir 90 peratus siap.
“Dijangka lagi dua minggu ‘plankwalk’ itu akan siap sepenuhnya,” katanya.
Pada Julai lalu, kira-kira 70 ekar kawasan BLFP musnah dalam kebakaran yang meranapkan sebahagian laluan ‘plankwalk’ di kawasan tersebut.
Ta Ann prihatin peristiwa tersebut, terpanggil untuk membina semula laluan ‘plankwalk’ yang musnah dijilat api itu.
Selepas berunding dengan Pengarah Perhutanan Sapuan Ahmad, Ta Ann diperuntukkan dua buah jentera penggali untuk kerja-kerja penggalian terusan air sepanjang 2,000 meter dan juga membina tujuh buah kolam mini untuk kegunaan jika berlaku kebakaran pada masa akan datang.
Selain itu, pembersihan terusan air sepanjang 4,400 meter dan membersih sisa kebakaran di tempat terjejas turut dilakukan.
Pada 31 Ogos lalu, kumpulan Ta Ann dan rakan perniagaan serta rakan dari beberapa persatuan di sini turut mengadakan aktiviti menanam semula sebanyak 600 anak pokok kelampayan sebagai langkah awal mengembalikan semula suasana hijau di kawasan itu.
Di samping itu, antara badan korporat lain terlibat dalam membangun semula BLFP selepas kebakaran tersebut ialah Persatuan Perkayuan Sarawak (STA), Sime Darby dan Ding Jack Sung Enterprise.
Shannon turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Dr Soon Choon Teck yang hadir pada lawatan itu merupakan antara individu terawal yang terlibat dalam penubuhan BLFP.
Justeru itu, Dr Soon juga mengucapkan terima kasih kepada pihak terlibat dalam usaha pemulihan semula kawasan BLFP yang musnah dalam kebakaran pada Julai 2014 lalu akibat musim kering berterusan.
Turut hadir Penolong Kanan Pengarah NCCD, Hii Tow Peck dan pegawai Unit Perlembagaan Jabatan Hutan Sarawak Bahagian Kuching, Azahari Omar.