PUSA: Rakyat yang layak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun ini perlu mengemukakan permohonan atau mengemas kini permohonan mereka sebelum ini dengan segera.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, mereka yang layak memohon bantuan tersebut perlu mengemukakan atau mengemas kini permohonan mereka sebelum 31 Januari ini.
“Saya menyeru kepada rakyat di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat bandar agar segera berkunjung ke mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang terdekat untuk mengemas kini permohonan masing-masing.
“Borang-borang permohonan kepada mereka yang ingin mengemukakan permohonan baharu boleh didapati secara percuma di mana-mana pejabat LHDN atau borang tersebut boleh didapati di laman rasmi LHDN,” ujarnya.
Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Darul Ulum, Kampung Kalok, Pusa dekat sini kelmarin.
Menurutnya, tarikh akhir untuk mengemukakan permohonan bantuan tersebut telah ditetapkan pada 31 Januari ini.
“Sekiranya, rakyat terlepas menerima bantuan ini nanti, mereka tidak harus menyalahkan kerajaan kerana tempoh yang telah ditetapkan untuk mengemukakan permohonan telah dibuka sejak bulan Disember tahun lalu.
“Justeru, mereka yang menetap di kawasan pedalaman atau di luar bandar harus berkunjung segera ke pejabat LHDN terdekat untuk mendapatkan borang permohonan,” katanya.
Katanya, pembayaran bantuan ini pada tahun ini adalah RM650 bukannya sebanyak RM1,200 seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Pembayaran bantuan ini akan dibayar secara berperingkat di mana individu yang berkeluarga akan dibayar sebanyak RM650 manakala individu yang bujang pula akan dibayar sebanyak RM300,” jelasnya.
Oleh yang demikian, beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terkeliru dengan perkara ini kerana ada sesetengah pihak yang menyatakan pembayaran bantuan ini pada tahun ini secara penuh sebaliknya pembayaran adalah berperingkat-peringkat,” katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Kampung Kalok Obot Enjin serta Pengerusi Masjid Romaini Alek.
Pada majlis yang sama, Rohani turut mengumumkan peruntukan kepada Masjid Darul Ulum, Kampung Kalok berjumlah RM30,000 manakala RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kalok.
Dalam pada itu, Rohani turut menyampaikan hadiah Pertandingan Sepanduk.