DEBAK: Dua staf Sekolah Kebangsaan (SK) Muton, Debak diraikan dalam Majlis Jasamu Dikenang dan Perpisahan di sekolah berkenaan sempena pertukaran tempat bertugas mereka.
Majlis diadakan dalam suasana santai namun meriah yang dihadiri staf sekolah dan kakitangan serta pekerja swasta sekolah terbabit.
Guru Besarnya Fadreen Jingan Beriak berkata penganjuran majlis itu ringkas namun amat bermakna bagi semua staf apatah lagi bagi kedua-dua mereka yang diraikan dan bersama berbakti membangunkan SK Muton serta berjaya melahirkan murid-murid cemerlang dalam bidang sukan dan akademik.
“Kita berasa kehilangan apabila kedua-dua mereka yang diraikan merupakan staf yang aktif dalam menjayakan pelbagai aktiviti sekolah dan penyumbang kepada kejayaan bidang kokurikulum sekolah.
“Kejayaan mereka berdua membawa pasukan bola sepak SK Muton disegani oleh sekolah-sekolah lain dalam Zon Debak dan berjaya melahirkan pemain yang mewakili bahagian Betong pada Kejohanan Majlis Sukan-sukan Sekolah (MSS) akan menjadi kenangan dan cabaran kepada mereka yang tinggal.
“Terima kasih atas sumbangan yang telah diberikan dan rekod dicapai diharap dapat menjadi bekalan mereka untuk mengharungi tugas di tempat baharu kelak,” katanya.
Sementara itu, Seman Kadir merupakan seorang guru yang berpindah tugas ke SK Mangut, Spaoh setelah lima tahun menabur bakti di sekolah tersebut.
“Amat berat untuk meninggalkan tempat yang telah banyak memberi pengalaman dan kenangan yang diharungi sejak memulakan perkhidmatan sebagai seorang guru.
“Namun apa boleh buat, ini yang telah tertulis dan akan sentiasa menjadi pendorong untuk terus berjaya pada masa akan datang.
“Pengalaman di sini cukup bermakna dan memberi seribu satu kenangan yang akan menjadi titipan sepanjang masa.
“Daripada mula melapor sebagai guru di sini itulah mulanya perkhidmatan saya dan pelbagai rencah dan perangai murid-murid yang menjadi tanggungjawab untuk dididik.
“Meskipun saya berpindah tempat bertugas, tanggungjawab sebagai seorang guru adalah sama iaitu mendidik anak bangsa agar terus menjadi masyarakat yang berjaya dan sempurna.
“Terima kasih atas kerjasama, pengalaman, panduan dan pengajaran yang telah diberikan sepanjang bersama anda semua di sini,” katanya.
Bagi seorang lagi staf yang diraikan, Basri Todan seorang Pembantu Pengurusan Murid yang akan berpindah ke SK Nanga Entalau, Lubok Antu berasa amat terharu pada majlis yang dianjurkan.
Beliau yang berkhidmat selama tujuh tahun di SK Muton sejak memulakan perkhidmatan dalam jabatan kerajaan, merupakan seorang kakitangan yang bertanggungjawab dan berdisiplin dalam melaksanakan tugasannya.
“Alhamdulillah… inilah rezeki kita walaupun ditugaskan di mana-mana namun tetap sama iaitu berbakti kepada nusa dan bangsa.
“Saya tidak menyesal dihantar ke kawasan baharu kerana itu adalah pilihan yang telah saya sendiri mahu.
“Walaupun difahamkan tempat itu merupakan kawasan pedalaman (P2) yang agak jauh dari bandar dan terpaksa mengharungi sungai selama dua jam lebih untuk sampai ke sekolah terbabit.
“Apapun terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama sepanjang saya bertugas di sini.
“Pengalaman di sini amat bermakna dijadikan panduan mengharungi kehidupan dan memulakan tugas di tempat baharu,” katanya.
Seramai tiga staf SK Muton berpindah tempat bertugas iaitu Juruteknik Komputer Md Rashid Md Yusof juga berpindah ke Maktab Tentera, Subang dan telah memulakan tugasnya di tempat baharu pada awal tahun ini.
Meskipun begitu tempat mereka masih belum diganti sehingga ada pegawai yang baharu ditempatkan kelak. Maklumat yang diberikan oleh pihak PPD menyatakan bahawa pengganti mereka akan menyusul kemudian.