Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Penduduk Rumah Kalau bakal nikmati hasil lumayan skim tanaman getah

$
0
0

SERIAN: Sebanyak 47 pintu penduduk dari Rumah Kalau, Ensebang Plaie di sini bakal menikmati pulangan lumayan menerusi Skim Mini Estet Tanaman Getah, Jabatan Pertanian Daerah Serian.

Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat berkata projek Jabatan Pertanian Serian dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang itu bakal memberi keuntungan kepada kira-kira 300 penduduk.

“Jabatan Pertanian Serian dan JKKK rumah panjang ini akan bekerjasama mengusahakan tanah daripada sejumlah 47 pintu penduduk yang merangkumi 146 hektar untuk tujuan tersebut bermula pada tahun ini,” katanya ketika merasmikan projek berkenaan di Kampung Ensebang Plaie di sini pagi semalam.

Menurutnya hasil daripada projek berkenaan, penduduk rumah panjang itu akan menikmati keuntungannya pada beberapa tahun akan datang dan ekonomi penduduk luar bandar bakal ditingkatkan.

Katanya, penduduk luar bandar tidak seharusnya melepaskan peluang menyertai skim seperti itu yang merupakan satu cara kerajaan membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup mereka.

“Jangan menganggap projek ini tidak memberi keuntungan serta pulangan lumayan, kerana banyak kawasan di Sri Aman  sudah mula menyertai projek seperti ini,” tegasnya.

Katanya penyaluran projek itu jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan pembangunan rakyat luar bandar malah penduduk turut menikmati pembangunan seperti di bandar.

Beliau turut menggesa penduduk rumah-rumah panjang mahupun kampung-kampung di kawasannya agar memohon menyertai skim berkenaan dari Jabatan Pertanian Serian, Simunjan mahupun Sri Aman.

“Saya mohon kepada rakyat di kawasan saya agar tidak malu bertanya dengan Jabatan Pertanian yang terdekat bagaimana untuk menyertai skim seperti ini.

“Pegawai-pegawai pertanian kita bersedia membantu dan memberi penerangan kepada penduduk yang ingin menyertai skim ini,” katanya.

Hadir sama Pegawai Pertanian Serian Tedwin Betie, Kaunselor Tuai Rumah Peter Mornie, Tuai Rumah Sumbang serta dua Pegawai Khas Masir iaitu Abah Ugi dan Edmund Pirang.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>