Oleh Siti Aisyah Ramli
KUCHING: Memelihara bumi serta mengindahkan persekitaran tidak hanya dituntut bagi individu tertentu tetapi menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat.
Justeru, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ia harus dijadikan sebagai budaya hidup setiap orang.
“Masyarakat pada masa kini harus menyedari kepentingan menjaga alam sekitar demi kesihatan bumi.
“Bukan sahaja dalam menjaga kebersihan alam sekitar, malah juga bertanggungjawab mengekalkan kesegarannya serta menghijaukan panoramanya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen pada Program Penghijauan Bandar Raya di Kompleks Islam Sarawak (KIS) di sini, semalam.
Daud berkata, di samping memupuk kesedaran di kalangan masyarakat, secara tidak langsung budaya itu dapat menjadi pemangkin perpaduan dalam masyarakat itu sendiri lebih-lebih lagi masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Penganjuran program kemasyarakatan seumpama ini diharap dapat memupuk semangat pemilikan di kalangan warga kota,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata, penganjuran aktiviti yang membabitkan penglibatan masyarakat seumpama itu juga dilihat sebagai usaha baik dalam menyemai kecintaan terhadap negeri ini.
Program Penghijauan Bandaraya merupakan program anjuran TBS bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan beberapa institusi Islam lain merangkumi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Majlis Islam Sarawak (MIS) dan penyewa premis di KIS.
Program itu menyaksikan 49 pokok jenis ‘Bucida’ ditanam di sekitar KIS yang juga merupakan Pelan Penambahbaikan 2013-2017 Cantik, Bersih dan Selamat (CBS) diperkenalkan DBKU.
Hadir sama Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.