Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Orang ramai perlu ambil langkah cegah pembiakan aedes

$
0
0

SIBU: Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan pembiakan nyamuk aedes dan jangkitan demam denggi semasa musim cuti sekolah ini.

Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Muhamad Rais Abdullah mengingatkan orang ramai dan pihak sekolah agar membersih persekitaran sekolah atau rumah supaya bebas pembiakan Aedes.

“Pastikan kawasan persekitaran sekolah atau rumah bebas daripada pembiakan Aedes terutama sebelum meninggalkan rumah untuk bercuti,” katanya di sini semalam.

Menurut Dr Muhamad Rais, demam denggi penyakit disebabkan virus denggi yang disebarkan melalui gigitan nyamuk aedes.

“Tiada ubat khusus dapat merawat demam denggi kecuali mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan,” ujarnya.

Antara langkah-langkah pencegahan dan kawalan memusnahkan atau menanam bahan-bahan buangan yang boleh menakung air seperti tayar, tong cat, botol kaca, helmet buruk, bekas polisterin, mangkuk mi segera, beg plastik dan sebagainya.

Di samping itu, pastikan bekas-bekas digunakan untuk tujuan menyimpan air seperti kolah, tong, baldi, las pasu bunga, talam peti sejuk, pelapik rak pinggan, bekas jambangan, pam dan mangkuk tandas dan lain-lain tiada pembiakan aedes.

“Bekas-bekas tersebut perlu ditutup rapat atau dimasukkan ubat pembunuh jentik-jentik nyamuk,” jelasnya sambil menambah pastikan tiada kawasan semak-samun di sekeliling rumah.

Bagi individu yang keluar rumah pada awal pagi atau waktu senja, beliau menasihat agar memakai pakaian sempurna bagi melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan disarankan untuk menggunakan ‘repellent.’

Menurut Dr Muhamad Rais, sekiranya terdapat sebarang tanaman yang boleh menjadi tempat pembiakan seperti pokok pisang, keladi, nenas dan sebagainya hendaklah dimusnahkan.

“Masyarakat disarankan melakukan penyemburan racun serangga (aerosol) sendiri di tempat-tempat kediaman bagi tujuan membunuh nyamuk aedes dewasa.

“Jika demam, pergi ke klinik kesihatan dengan segera. Sebarang kelewatan boleh membawa maut,” katanya.

Dengan langkah-langkah pencegahan dan kawalan itu, Dr Muhamad Rais berharap kawasan sekolah dan tempat tinggal bebas pembiakan nyamuk aedes sekali gus menyumbangkan kepada penurunan kejadian penyakit demam denggi.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>