Oleh Kelvin Lambai //
Khazanah, keunikan kaum akan tarik kedatangan pelancong: Harden
ENGKILILI: Keunikan serta keindahan rumah-rumah panjang yang berkonsepkan ‘rumah panjang asal’ dan ‘moden’ di negeri ini sentiasa memikat hati pelancong dalam dan luar negara untuk melawat rumah-rumah panjang terbabit.
Menteri Muda Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata ciri-ciri rumah panjang asal di negeri ini harus dikekalkan kerana merupakan satu-satunya khazanah yang paling berharga kepada rumah-rumah panjang terlibat.
Menurutnya, walaupun pihak kementerian menyediakan satu lagi pakej baharu bagi pinjaman perumahan rumah panjang iaitu Pakej Pinjaman Perumahan Rumah Panjang Mesra Rakyat tetapi ciri-ciri asal sesebuah rumah panjang itu harus dikekalkan.
“Walaupun rumah panjang yang bakal dibina menggunakan ‘Pakej Rumah Panjang Mesra Rakyat’ tetapi kita mahu ciri-ciri asal rumah panjang itu harus dipertahankan kerana mempunyai khazanah yang berharga.
“Ini kerana pelancong suka berkunjung ke rumah-rumah panjang dan melihat sendiri keunikan rumah-rumah panjang lama di negeri ini walaupun kebanyakan rumah panjang kini sudah berkonsep moden,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Karak, Stegin, Engkilili, Lubok Antu baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, Pakej Pinjaman Perumahan Rumah Panjang Mesra Rakyat yang diperkenalkan tahun ini merupakan salah satu skim baharu pinjaman perumahan rumah panjang yang diluluskan kementerian.
“Kementerian juga telah meluluskan peruntukan untuk projek perintis bagi skim ini berjumlah RM2 juta untuk Rumah Collin di Miri,” tambahnya.
Jelas Harden, pelan rumah panjang berkonsep baharu minimum 10 pintu, tapak rumah panjang pula disukat dan akan diberikan geran untuk setiap pintu bilik.
“Kos untuk setiap pintu bilik mengikut pelan disediakan oleh Suruhanjaya Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) merangkumi tiga bilik tidur, ruai, ruang tamu, dapur dan tandas.
“Kos ditetapkan antara RM70,000 hingga RM100,000 manakala tempoh pembayaran selama 25 tahun dan bentuk rumah tersebut adalah konkrit dan rumah teres,” katanya.
Justeru itu, beliau mengingatkan penduduk rumah panjang di negeri ini tidak melepaskan peluang memohon pinjaman tersebut bagi memberi maanfaat kepada penduduk di rumah panjang itu.
Hadir sama Wali Kota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Richard Tawan, Setiausaha MDSA Nelson Mujah Girie, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang, Patrick Michael Malajin serta yang lain.
Pada majlis sama, Harden mengumumkan peruntukan berjumlah RM2,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Amin, Stegin, Engkilili dan RM3,000 kepada JKKK Rumah Abang, Stengin, Engkilili untuk aktiviti mereka.