KUCHING: Wakil rakyat baharu DUN Balingian Yus-sibnosh Balo berikrar akan memastikan konstituensinya terus membangun dengan keseimbangan fizikal dan pembangunan modal insan yang berakhlak mulia.
Menerusi ucapan sulungnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam, beliau mahu rakyat di situ dilibat serta diberikan peluang dari segi ekonomi terutama dalam bidang industri kecil dan sederhana (IKS).
“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kementerian dan jabatan yang berkaitan untuk membantu mereka dalam melatih dan mengeksploitasi kekayaan sumber asli dan industri-industri hiliran lain di kawasan Balingian,” katanya.
Selain itu, beliau berkata melalui kesesuaian tanah dan pelbagai kemudahan sedia ada, kawasan berke-naan juga boleh dijadikan sebagai tempat pelancongan dengan mewujudkan Taman Rumbia, Taman Orkid serta pengembaraan sungai menyusuri Batang Oya, Batang Mukah dan Batang Balingian yang mempunyai keindahan flora dan fauna.
“Untuk semua ini, kita masih memerlukan kemudahan infrastruktur dan jaringan perhubungan yang lengkap.
“Sebagai contoh, jalan pesisiran dari Samalaju ke Mukah dan pembinaan jambatan di Batang Igan (untuk menghubungkan Igan dan Matu) perlu dipercepatkan,” katanya.
Untuk menyeimbangkan pembangunan kawasan Ba-lingian dengan keperluan rakyat tempatan, Yussibnosh berkata tanah-tanah sedia ada untuk kampung tradisi perlu disukat, pemberian surat hak milik untuk tanah pendudukan sementara dan skim-skim pembesaran kampung tradisi perlu diwujudkan untuk setiap kampung yang memerlukan sebelum penghujung tahun ini.
Tidak dilupakan juga, kata-nya tentang beberapa janji semasa Pilihan Raya Kecil Balingian yang telah dibuat terutama pembinaan SK Tellian dan SMK Balingian yang perlu disegerakan untuk menampung bilangan pelajar dan kemudahan ibu bapa menghantar anak ke sekolah yang berdekatan.