Tukar cara penanaman tradisional yang hanya untuk keperluan sendiri kepada pengkomersilan
BETONG: Pengarah MARDI Sarawak Mohd Noor Adros Yahya berkata kaedah penanaman padi bukit bakal menemui era perubahan dengan menukar cara penanaman tradisional yang hanya dapat digunakan untuk keperluan sendiri kepada industri yang dapat dikomersilkan.
Menurutnya, usaha memperkenalkan penanaman padi bukit secara komersil bermula setelah kajian yang dijalankan di Tebedu berjaya dan mencapai hasil positif.
“Kejayaan itu membolehkan para usahawan tani memperolehi hasil tiga kali ganda daripada biasa dan kemampuan ini memberi peluang mereka untuk mengkomersilkan hasil pertanian dan tidak lagi hanya untuk kegunaan keluarga,” katanya.
Selain itu, menerusi sistem tanaman Fertigasi, MARDI Sarawak berjaya membangunkan kawasan Gedong menjadi tempat pengembangan kejayaan dalam menghasilkan tanaman cili dan rock melon di bawah Program My Kampung My Future.
“Sistem Fertigasi ini adalah tanaman yang tidak menggunakan tanah dan dibuat di bawah struktur pelindung hujan.
“Ini membuatkan pengusaha tanaman ini mampu mendapat hasil lumayan kerana tidak dipengaruhi masalah cuaca atau mengundang risiko air bah (banjir) atau tanaman ditenggelami air hujan.
“Ini adalah sebahagian hasil yang berjaya kami laksana untuk memajukan masyarakat di sesuatu tempat seterusnya membantu petani dan pekebun menjana pendapatan lebih berkesan dan terancang di bawah bimbingan MARDI,” katanya.
Beliau berkata demikian keika ditemui pada Kursus Teknologi Pemprosesan Kelapa Jeli dan Sos Nanas Bercili di Pejabat Residen Betong di sini kelmarin.
Tambahnya, pelbagai perancangan akan dilaksana berdasarkan kepada sumber yang ada di sesuatu tempat bagi merancakkan pembangunan desa dan kawasan yang berpotensi dimajukan.
“Contoh potensi yang boleh diusahakan di Betong ialah pembuatan ‘pellet’ makanan ternakan menggunakan pelepah kelapa sawit.
“Ia boleh dimajukan berikutan kenaikan harga makanan ternakan.
“Justeru pekebun kelapa sawit tidak perlu hanya menunggu hasil tuaian buah kelapa sawit tetapi pelepah juga boleh dijadikan hasil,” ujarnya.
Selain itu, MARDI Sarawak dengan kerjasama Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri merangka kertas kerja dan berbincang dengan wakil rakyat di kawasan Beting Maro untuk membangunkan industri gula apong (nipah) di Pusa.
“Jika diluluskan diharap industri itu dapat menjadikan gula apong sebagai bahan yang boleh dikomersilkan di bahagian Betong,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Noor turut menyarankan agar penduduk tempatan dan pihak berwajib yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada pihaknya agar tampil dan menghubungi mereka.
“Kami sebagai agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyelidikan dan memajukan bidang pertanian sedia membantu.
“Kami boleh dijadikan tempat rujukan dalam membangunkan usahawan yang ingin menerokai bidang perniagaan dengan lebih mendalam.
“Bagaimanapun, kami tidak memberi bantuan dalam bentuk kewangan kepada peserta atau usahawan yang berminat tetapi kerjasama dengan agensi lain boleh diteruskan seperti Jabatan Pertanian, TEKUN dan Agrobank yang dapat memberi bantuan diperlukan,” jelasnya.
Namun, bagi merancakkan bidang ini persatuan atau pertubuhan dalam sesuatu kawasan selain wakil rakyat boleh membantu memberi sumbangan kepada para peserta untuk hadir pada kursus-kursus yang disediakan.
Selain itu, pihak tertentu atau berwajib mungkin boleh menganjurkan program berbentuk kursus dan mendapat khidmat MARDI untuk menjayakannya dengan memberi peluang kepada penduduk di kawasan mereka.