BETONG: MARDI Sarawak membangunkan usahawan-usahawan kecil di negeri ini dengan menganjurkan kursus dan melatih mereka mempelopori bidang perniagaan dan menggalak serta membimbing mereka berjaya dalam bidang berkenaan.
Timbalan Residen Bahagian Betong Galong Luang berkata, sesungguhnya Sarawak kaya dengan hasil sumber semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, tanaman dan makanan yang berpotensi untuk diusahakan dan dimajukan oleh rakyat menjadi sumber pendapatan lumayan.
“Pelbagai aktiviti pertanian dan keusahawanan boleh diceburi dalam merangka dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Apatah lagi dengan adanya agensi yang dapat membimbing dan membantu memberi latihan serta bantuan berkaitan seperti MARDI, Jabatan Pertanian, FAMA, TEKUN, IADA dan Agrobank.
“Usaha ini bergantung kepada kehendak rakyat untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang diberikan oleh kerajaan dalam menentukan hala tuju masing-masing dalam menambah pendapatan.
“Mungkin kursus kali ini tidak mencukupi untuk menjadi mahir tetapi dengan bimbingan berterusan daripada MARDI, peserta boleh berhubung dengan pihak bertanggungjawab mendapat khidmat nasihat dan langkah sehingga mampu menjadi usahawan berjaya,” katanya pada Kursus Teknologi Pemprosesan Kelapa Jeli dan Sos Nanas Bercili di sini kelmarin.
Selain itu, MARDI juga mempunyai teknologi dalam bidang tanaman dan ternakan yang boleh diterapkan kepada penduduk di sini.
Antaranya teknologi tanaman menggunakan sistem fertigasi untuk tanaman cili dan melon.
Teknologi tanaman sistem hidroponik untuk sayur-sayuran, teknologi tanaman cendawan dan penghasilan makanan ternakan daripada pelepah kelapa sawit.
“Semua teknologi ini berpotensi dibangunkan di sini. Oleh itu, saya menyarankan peserta dan penduduk di sini agar mendapat khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada MARDI,” katanya.
Sementara itu, Pengarah MARDI Sarawak Mohd Noor Adros Yahya berkata pelbagai bidang latihan dijalankan oleh pihaknya sejak penubuhan di Sarawak dan berjaya melatih lebih 3,000 usahawan dalam bidang pemprosesan makanan.
“Malah pada 2013, lebih 400 bakal usahawan berjaya dilatih MARDI Sarawak.
“MARDI turut memberi khidmat nasihat dan bimbingan teknikal kepada kira-kira 118 usahawan pada tahun yang sama,” jelasnya.