BINTULU: Seorang budak lelaki berumur 12 tahun rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan Uma Badeng, Long Mangan berdekatan Kawasan Penempatan Semula Tegulang di Murum, Belaga pada malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau yang mengesahkan mengenai kejadian itu berkata, kebakaran yang berlaku pada jam 10 malam itu memusnahkan empat bilik rumah terbabit.
“Mangsa merupakan keluarga kaum Kenyah dikenal pasti sebagai Wong King Huan, 12,” katanya semasa dihubungi di sini semalam.
Difahamkan mangsa me-rupakan murid tahun enam yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tegulang di Kawasan Penempatan Semula Tegulang.
Katanya polis Belaga yang menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke tempat kejadian yang jauhnya 113 kilometer, sekitar lebih dua jam perjalanan dengan pacuan empat roda telah menemui mangsa dalam keadaan ren-tung di dalam bilik di rumah yang hangus tersebut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke rumah mayat Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan selesai bedah siasat mayat mangsa telah dihantar balik ke kampungnya di penempatan semula itu sekitar jam 10 pagi tadi (semalam),” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran itu akibat empat jana kuasa yang digunakan oleh empat bilik di rumah terbabit berlaku litar pintas selepas disambar kilat dan seterusnya menghasilkan percikan api sehingga menyebabkan berlaku kebakaran itu.
“Bapa mangsa berketurunan Cina dan telah bercerai dengan ibu mangsa yang merupakan kaum Kenyah.
“Ibu mangsa berkahwin lain dan mangsa tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di rumah terbabit,” jelasnya sambil menambah hasil siasatan juga mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kebakaran tersebut.
Long Mangan adalah satu daripada Kawasan Penempatan Semula Tegulang dan perkampungan itu didiami oleh 37 keluarga.
Sementara itu, Pasukan Perhubungan Komuniti Sarawak Energy telah bergegas ke tempat kejadian pada pagi Selasa lalu untuk memberikan bantuan segera berupa barang makanan dan keperluan ha-rian lain.
Semalam pasukan itu turut menghantar lebih banyak bantuan berupa pakaian, selimut dan sebagainya serta memantau keperluan-keperluan lain yang diperlukan oleh mangsa dan komuniti di kawasan itu.
Pengurus Kanan Sarawak Energy II untuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jiwari Abdullah berkata: “Sebagai jiran yang dekat dengan masyarakat, kami komited dan bertanggungjawab untuk membantu mereka dalam tempoh sukar ini.
“Kami berkongsi kesedihan dengan kehilangan seorang mangsa dalam kejadian kebakaran itu serta doa kami untuk keluarga mangsa,” katanya.