Catherine masih mengharap agar ketua pramugara MH370 itu akan kembali dalam keadaan selamat
KUCHING: Meskipun sudah genap sebulan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang, Tuai Rumah Catherine Tamoh masih tidak putus harapan agar anak sulungnya, Andrew Nari yang merupakan ketua pramugara pesawat itu akan kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.
Menurutnya, mereka sekeluarga masih terus mengharapkan keajaiban berlaku agar semua penumpang pesawat itu selamat.
“Kami berharap mereka masih selamat dan berada di lokasi lain memandangkan sehingga kini tidak ada bukti kukuh pesawat yang hilang ditemui (di Lautan Hindi).
“Semoga Tuhan memberi petunjuk kepada pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.
Menurut Catherine, beliau baharu kembali ke Sungai Aup tiga hari lepas selepas berada di Kuala Lumpur bersama isteri Andrew dan anaknya menantikan berita terbaharu mengenai kehilangan pesawat itu.
Katanya, mereka sekeluarga akan terus tabah menghadapi hari-hari mendatang dan akan menyerahkan semua detik sukar itu ke dalam tangan Tuhan.
Selagi tidak jumpa bangkai kapal terbang itu katanya, mereka akan menganggap Andrew masih hidup dan akan pulang dengan selamat.
“Kami tidak akan berhenti berharap selagi ia tidak ditemui,” luahnya dengan perasaan sebak.
Andrew, 49, merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik dan telah menyertai MAS sebagai pramugara sejak 1989 dan kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama seorang pramugari.
Isterinya bagaimanapun meletak jawatan selepas pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata yang masing-masing berumur 18 tahun dan 14 tahun. Mereka tinggal di Puchong, Kuala Lumpur.
Pesawat MH370 itu yang berlepas bersama 239 penum-pang dan kru MAS pada jam 12.41 pagi 8 Mac hilang dalam perjalanan ke Beijing.