KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyeru rakyat Sarawak untuk menjadi rakan KKR dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan di negeri ini.
Perkara itu ditegaskan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang memberitahu menerusi rakan KKR, pihaknya dapat mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan masalah berkaitan jalan raya di negeri ini.
“Rakyat adalah pengguna jalan raya dan setiap hari mereka ini berada di jalan raya, apa sahaja kekurangan dan yang perlu ditambah baik boleh disampaikan terus kepada kita supaya tindakan segera dapat kita ambil.
“Sehubungan itu, kita akan mengambil tindakan proaktif dengan memperluaskan jaringan perhubungan kita menerusi rakan KKR agar kita dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik dan berkesan,” katanya ketika berucap pada majlis malam media KKR di hotel terkemuka di sini malam kelmarin.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, dengan adanya rakan KKR ia dapat membantu menjadi penghubung antara kementeriannya dengan rakyat yang merupakan penguna jalan raya.
“Apabila kita wujudkan rakan KKR, mereka inilah yang sebenarnya banyak membantu kita dan dengan jaringan ini saya juga mengharapkan rakan media akan dapat menjadi rakan KKR untuk menyalurkan maklumat kepada kita,” tambahnya.
Menyentuh mengenai perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini, beliau menjelaskan ia berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Malah, menurutnya, dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo nanti, kementeriannya berhasrat untuk membentangkan fungsi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) kepada kerajaan negeri dalam berkongsi pengalaman dari segi mengurus dan menyelenggara lebuh raya.