Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Pihak berkuasa perlu tentukan definisi tepat kategori NCR

$
0
0

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan diperlukan untuk menentukan definisi yang tepat mengenai kategori-kategori tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar James Masing ketika berucap pada jamuan malam Persatuan Kebajikan dan Sosial Seraban (SERABAN) di The Banquet kelmarin.

Menurut Masing, definisi seperti ‘Pemakai Menua’ dan ‘Pulau Galau’ seharusnya diuruskan oleh ahli dari Majlis Adat Istiadat kerana mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai adat dan tradisi orang asal di negeri ini.

“Perlu ada badan berkuasa untuk memuktamadkan apa itu ‘Pemakai Menua’ dan ia tidak seharusnya diputuskan oleh hakim dari Semenanjung kerana mereka tidak memahami adat dan tradisi kita,” kata Masing.

Tambah Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, ahli dalam Majlis Adat Istiadat harus berupaya untuk menasihati kerajaan mengenai apa yang harus dilakukan.

Katanya, isu tanah NCR telah menjadi masalah besar kepada masyarakat Dayak.

Selain ‘Pemakai Menua,’ satu lagi isu NCR yang kerap dibangkitkan ialah ‘Pulau Galau’ dan pemimpin Dayak yang dipilih memerlukan bantuan dan sokongan daripada rakyat untuk melindungi tanah NCR.

“Kami (pemimpin Dayak) bukan merompak tanah anda dan jangan pernah beranggapan bahawa kami pemimpin Dayak yang dipilih tidak ambil peduli.

“Kami melakukan yang terbaik dan sedaya mungkin dan kami memerlukan bantuan anda dalam hal ini,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, Masing turut menggesa ahli-ahli dari SERABAN agar lebih serius dalam pendidikan anak-anak mereka dan menggunakan apa sahaja sumber untuk pembangunan pendidikan anak-anak masing-masing.

“Masa depan tidak bergantung kepada saya atau wakil rakyat yang lain tetapi bergantung kepada anak-anak anda yang akan menjadi penjaga hari tua anda,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, ADUN Batang Ai Malcolm Mussen, ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan dan ADUN Belaga, Liwan Lagang.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Latest Images

<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>