MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah jalan raya termasuk mereka yang meloloskan diri dari sekatan jalan raya.
Seorang pegawai penguat kuasa JPJ Miri semalam memberitahu, meskipun pesalah terbabit berjaya meloloskan diri dari sekatan jalan raya, namun mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Walaupun mereka berjaya melarikan diri, namun anggota kita telah merakam nombor pendaftaran kenderaan itu dan pemilik kenderaan terbabit akan dipanggil untuk siasatan,” katanya di sini semalam.
Dalam operasi selama dua jam di Jalan Vinca di pusat bandar semalam, JPJ Miri telah mengeluarkan lebih 50 saman ke atas pelbagai kesalahan lazim.
Antara kesalahan yang dikesan ialah pengubahasuaian nombor plat pendaftaran, cermin gelap, lesen dan cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen, tidak memakai tali pinggang keledar dan pelbagai kesalahan lain.
Utusan Borneo yang menyertai operasi berkenaan turut merakamkan gelagat beberapa pengguna jalan raya yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya.
Tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, pesalah terbabit melawan arus lalu lintas sebelum memecut laju melarikan diri.
Bagaimanapun, tindakan beberapa individu terbabit yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya dapat dihidu oleh anggota JPJ bahkan nombor pendaftaran motosikal mereka telah diambil.
Mengulas lanjut, pegawai penguat kuasa tersebut memberitahu tindakan berani pengguna jalan raya yang berpatah balik dan melawan arus lalu lintas boleh membahayakan nyawa mereka dan orang lain.
“Mereka yang berbuat demikian sudah pasti mempunyai kesalahan dan kita akan mengesan individu terbabit menerusi nombor pendaftaran kenderaan di bawah Akta JPJ Malaysia,” ujarnya.
Mengulas mengenai saman, pegawai terbabit memaklumkan setiap saman atau denda adalah tidak melebihi RM300 dan tidak kurang daripada RM50 bagi setiap jenis kesalahan.
Dalam perkembangan lain, meskipun operasi JPJ senang dihidu oleh pengguna jalan raya menerusi penyebaran maklumat dalam laman sosial, namun ia tidak mematahkan semangat anggota agensi kerajaan terbabit.
“Kita akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undangundang dan pembocoran maklumat sekatan jalan raya JPJ dalam laman sosial tidak menjadi penghalang kepada kita,” ujarnya.