Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Pastikan sistem komputer kaunter agensi kerajaan beroperasi dengan baik

$
0
0

KUCHING: Jabatan dan agensi kerajaan harus memastikan kaunter perkhidmatan terutama yang menggunakan sistem komputer beroperasi dengan baik dan berkesan.

Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat Voon Chiak Ni berkata, kelemahan sistem penyampaian di kaunter perkhidmatan terutama di balai-balai polis di negeri ini boleh menjejaskan usaha membanteras kegiatan jenayah.

Menurutnya, PKR Negeri menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai masalah gangguan sistem komputer di kaunter penerimaan aduan polis menyebabkan pengadu atau mangsa perlu menunggu lama hanya untuk membuat satu laporan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan ramai mangsa jenayah ringan enggan membuat laporan polis dan keadaan sama turut berlaku di kaunter perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kita menerima banyak aduan dan terbaharu daripada mangsa tipu minggu lepas, beliau terpaksa menunggu lima jam untuk membuat laporan selepas usaha membuat aduan di Pusat Sehenti Balai Polis Simpang Tiga tidak dapat dilakukan kerana masalah sistem berkompoter tidak berfungsi.

Beliau seterusnya disuruh ke balai polis lain untuk membuat laporan.

“Perkara ini mesti dipandang serius oleh pihak bertanggungjawab kerana masalah gangguan sistem berkomputer boleh menyebabkan orang ramai enggan membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Voon turut menyarankan agar polis mengambil langkah lebih positif dengan memberitahu umum perkembangan terkini operasi serta kejayaan siasatan dilakukan bukannya bermain dengan statistik jenayah yang berlaku.

Ini kerana, menurut beliau, statistik yang dinyatakan tidak menggambarkan situasi sebenar kerana ada masih ada enggan membuat laporan dan antara sebabnya ialah kelemahan di kaunter aduan polis.

“Misalnya, kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak seperti dilaporkan dalam akhbar tempatan hari ini (semalam) mengatakan kadar jenayah di negeri ini tidak mencapai tahap membimbangkan berikutan penurunan jumlah jenayah.

“Penurunan kadar jenayah yang dinyatakan adalah tidak relevan dengan kebimbangan dan rasa tidak selamat rakyat jika mereka masih berasa tidak selamat ketika berada di jalanan atau rumah.

Jadi adalah lebih positif jika polis mengemas kini kejayaan operasi serta siasatan,” ujarnya.

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859