KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak mencatat jumlah tangkapan tertinggi sebanyak 118 kes sepanjang 2012 di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM iaitu menawarkan atau memberi rasuah.
Pengarah SPRM Sarawak Datuk Bahri Mohamad Zin berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ke atas jumlah tangkapan berbanding dua tahun sebelumnya iaitu 2010 dan 2011.
“Berdasarkan statistik, tangkapan ke atas penjawat awam Sarawak bagi tiga tahun berturut-turut iaitu 2010, 2011 dan 2012 menyaksikan peningkatan jumlah kes rasuah di negeri ini.
“Pada 2010, tangkapan kes siasatan untuk Seksyen 17 (b) Akta SPRM adalah sebanyak lapan kes, manakala pada 2011 ia meningkat kepada 47 kes.
Bagi 2012 pula, tangkapan dicatatkan adalah paling tinggi iaitu 118 kes,” katanya.
Menurutnya, catatan kes itu menunjukkan kenaikan daripada 47 peratus pada 2011 kepada 62 peratus pada 2012.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Integriti dan Majlis Penghargaan 2013 di sini, semalam.
Bahri menjelaskan, peningkatan jumlah tangkapan ke atas orang yang melakukan kesalahan memberi rasuah menunjukkan kesedaran penjawat awam serta anggota penguat kuasa tentang kesalahan rasuah sekali gus menolak suapan rasuah.
Justeru, katanya, penjawat awam membuat laporan kepada SPRM bagi membantu penangkapan pemberi-pemberi rasuah.
Terdahulu ketika berucap, beliau berkata SPRM mempunyai cara tersendiri dalam usaha mencegah rasuah termasuk menerusi pendekatan berbentuk saling kebergantungan antara agensi perkhidmatan awam, sektor korporat dan badan berkanun yang menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP).
Selain itu, katanya, program- program yang dilaksanakan SPRM serta kerajaan haruslah dijadikan sebagai usaha berterusan bagi memerangi jenayah rasuah.
“Selain ceramah mengenai bahaya rasuah, SPRM juga ada menganjurkan majlis dialog, majlis penerangan, seminar, rundingan meja bulat, pameran mahupun wawancara radio.
“Ia haruslah diadakan secara berterusan dalam usaha kerajaan dan SPRM untuk memberi mesej kepada masyarakat supaya tidak terlibat dengan jenayah ini,” katanya.
Sehubungan itu, Bahri menekankan kepentingan nilai integriti dalam diri setiap anggota perkhidmatan awam mahupun penguat kuasa dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta telus.
Katanya, penjawat awam mahupun sesiapa sahaja yang terlibat dalam jenayah itu akan dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut manamana yang lebih tinggi.
Majlis itu menyaksikan 47 penjawat awam menerima sijil penghargaan atas kerjasama dalam melaporkan keskes berhubung jenayah rasuah kepada SPRM.