KUCHING: Projek Sistem Pengurusan Air Sisa Bersepadu Bandar Raya Kuching Fasa Satu setakat ini siap 90 peratus.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (JPPS) Lau Hieng Ung berkata: “Pada keseluruhannya, setakat hari ini Fasa Satu projek ini sudah 90 peratus lengkap dan kini ‘population equivalent’ kira-kira 34,000 orang telah menikmati kemudahan ini.
“Manakala loji rawatan air sisa sudah siap 100 peratus pada Januari 2012 dan sudah beroperasi sejak Julai 2013.
“Kesemua projek Fasa Satu ini dijadual siap sepenuhnya pada 31 Januari 2015 dengan semua hartanah disambung dengan sistem berkenaan,” ujarnya sambil menambah pelaksanaan projek berkenaan satu peratus lebih awal daripada jadual.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Integriti dan Inovasi Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar (KPSAS) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (JPPS) di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak di sini, semalam.
Mengenai bayaran pampasan dibayar kepada pemilik hartanah yang terjejas akibat pelaksanaan projek berkenaan, Lau berkata, semua urusan baik pulih akan dilakukan oleh kontraktor dilantik.
Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja baik pulih hartanah yang rosak mengambil sedikit masa kerana syarikat kontraktor perlu berbincang dengan pemilik untuk menentukan masa sesuai serta dipersetujui kedua-dua pihak.
“Semua bentuk pampasan dan kerja baiki pulih akan dilakukan oleh syarikat kontraktor dilantik.
Rumah atau bangunan yang rosak akibat projek ini akan dibaik pulih satu persatu.
Ia akan dilakukan tetapi sudah tentu mengambil sedikit masa kerana rundingan antara kedua-dua pihak perlu.
“Bila pemilik ada di rumah serta bila masa sesuai untuk melakukan baik pulih kerana pekerja perlu masuk ke dalam rumah, membuat pemeriksaan seterusnya memperbaiki mana yang rosak,” jelasnya.
Projek itu merupakan antara projek infrastruktur awam mega di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan kerjakerja pembinaan bermula 15 Oktober 2008.
Projek bernilai RM530 juta itu dilaksanakan oleh syarikat kontraktor dilantik iaitu Kumpulan Nishimatsu Hock Seng Lee Consortium.