KUCHING: Para saintis digesa mempergiatkan penyelidikan tentang kebaikan penggunaan minyak sawit yang dapat menolak ideologi berunsur negatif terhadap pengeluaran minyak sayu-ran.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang menyifatkan ideologi tersebut sebagai satu kecemburuan komersial berkata, perkara itu hanya akan dapat disangkal melalui hasil penyelidikan berkaitan kebaikan produk minyak sawit.
“Kita hanya dapat menolak propaganda mahupun ideologi negatif daripada pihak lain melalui hasil kajian kimia, penyelidikan di sam-ping mempromosi kebaikan produk minyak sawit kita.
“Justeru, ahli sains disaran untuk menggiatkan aktiviti penyelidikan bagi memberitahu dunia tentang kebaikan minyak sawit berbanding minyak sayuran,” ujarnya.
Beliau berkata, para saintis yang melakukan penyelidikan tidak harus berasa rendah diri dengan ideologi tersebut dan meneruskan usaha dalam menyelidik bahan yang memberi kebaikan kepada masyarakat.
Jabu yang juga merangkap Pro Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, Malaysia bergerak setanding dengan negara maju lain berdasarkan kemampuan menggunakan tanah dengan efisien selain dibantu teknologi maju serta pentadbiran baik dalam industri sawit.
“Ahli sains jangan mudah berputus asa dengan propaganda negatif daripada mana-mana pengeluar minyak dari luar kerana kita percaya dengan kecanggihan teknologi bagi kegunaan menyelidik cukup membuktikan hasil kajian anda adalah yang terbaik.
“Kecemburuan komersial itu wujud daripada pesaing kerana minyak sawit merupakan tanaman efisien yang mampu memberi saingan kepada pengeluar minyak sayuran dari negara maju yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Makan Malam Simposium Kimia Analisis Malaysia (SKAM) Ke-26 anjuran bersama Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) UNIMAS dan Persatuan Sains Analisis Malaysia (ANALIS) di sini, malam kelmarin.
Sebanyak 240 kertas kerja dibentangkan oleh 260 peserta simposium terdiri daripada wakil institusi penyelidikan, wakil institusi pengajian tinggi awam (IPTA), wakil industri serta beberapa peserta dari luar negara.
Simposium itu bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi maklumat serta pengalaman mengenai hasil penyelidikan masing-masing mengenai disiplin sains analisis yang memberi kepentingan kepada masyarakat.
Ia turut merangkumi analisis hasilan semulajadi khusus dalam penemuan dadah baharu bagi rawatan pelbagai penyakit serta analisis persekitaran yang pelbagai.