Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Paras air Sungai Rajang cecah paras berjaga-jaga

$
0
0

SIBU: Paras air di Sungai Rajang kini mencecah paras berjaga-jaga dengan beberapa kawasan rendah di sekitar bandar ini sudah ditenggelami air.

Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Sibu Sim Kok Kee berkata, paras air meningkat disebabkan fenomena air pasang besar serta hujan lebat sebelum ini.

“Namun, banjir hanya berlaku semasa air pasang besar,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Air pasang besar mencecah paras tertinggi malam kelmarin iaitu pada paras 1.8 meter.

Tinjauan semalam juga mendapati beberapa kawasan rendah seperti Jalan Aman, Jalan Bukit Assek dan Jalan Tekam telah dinaiki air.

“Kebanyakan parit telah dipenuhi air berikutan air pasang besar. Keadaan cuaca agak baik meskipun menunjukkan tanda-tanda akan hujan semula.

“Kejadian banjir sememangnya tidak dapat dielakkan di kawasan rendah. Oleh itu, jawatankuasa kita telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis juga telah diarahkan bersiap sedia,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan banjir berlaku di sini.

Menyentuh mengenai bilik operasi banjir, Sim memberitahu masih terlalu awal untuk mengaktifkan bilik operasi tersebut memandangkan keadaan setakat ini masih lagi terkawal.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Abdul Mutalib Rashid memberi jaminan anggota serta peralatan menyelamat akan digerakkan dengan segera sekiranya keadaan memerlukan.

“Cuti anggota kita juga telah dikawal tetapi belum dibekukan memandangkan keadaan masih belum serius lagi,” ujarnya.

Mengenai peralatan, beliau memberitahu pihaknya telah menyediakan beberapa buah bot, lori serta kenderaan pelbagai guna untuk kegunaan semasa banjir.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>