LAWAS: Lawas dipilih buat pertama kali sebagai tuan rumah Persidangan dan Mesyuarat Persatuan Foochow peringkat negeri Sarawak yang akan diadakan bermula 26 hingga 27 September depan.
Pengerusi Persatuan Foochow Cawangan Lawas, Yong Kah Chu berkata selain Sarawak dan Sabah, mesyuarat itu juga akan disertai ahli-ahli daripada Brunei dan Singapura.
“Kita amat bangga kerana dipilih sebagai tuan rumah dan pastinya banyak yang ingin kita kongsi dengan saudara-saudara kita daripada seluruh negeri dan cawangan luar negara yang akan datang ke Lawas.
“Ini merupakan kali pertama Lawas menjadi tuan rumah kepada satu acara besar bagi komuniti Foochow,” katanya disini semalam.
Katanya Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dijangka akan merasmikan mesyuarat itu pada malam 26 September nanti.
Jelas Yong lagi mesyuarat itu nanti amat signifikan buat kaum Cina di daerah ini kerana turut menikmati pelbagai pembangunan hasil kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri dan pusat.
Katanya masyarakat Cina melihat aspek pendidikan dan ekonomi sebagai sesuatu penting dan terbukti berjaya direalisasi Awang Tengah dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang banyak menyokong pendidikan di sekolah jenis kebangsaan Cina di seluruh Sarawak.
“Dalam aspek ekonomi, kita dapat lihat Awang Tengah berjaya memberi keyakinan pelabur untuk melabur di Sarawak khususnya daerah Lawas.
“Kita yakin ramai lagi akan mencari peluang untuk melabur dalam berbagai sektor khususnya hartanah, pertanian dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa seluruh komuniti Foochow di Lawas akan terus berdiri teguh menyokong kerajaan BN Sarawak pada pilihan raya negeri ini kelak.
“Ini adalah sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan Adenan dan seluruh barisan pemimpin BN negeri Sarawak,” katanya lagi.