Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Pengawal disyaki curi barang sekolah dicekup

$
0
0
RAMPAS: Komponen enjin motosikal yang dijumpai di rumah suspek.

RAMPAS: Komponen enjin motosikal yang dijumpai di rumah suspek.

SIBU: Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah menengah di sini ditahan polis petang Isnin lepas kerana disyaki mencuri pelbagai barangan di bilik inventori sekolah tersebut membabitkan nilai kerugian berjumlah RM50,000.

Suspek lelaki berumur 23 tahun terbabit yang merupakan bekas pelajar sekolah sama dicekup ketika sedang bertugas di pondok pengawal sekolah itu pada jam 7.50 malam.

Bertindak atas maklumat, pihak polis yang menjalankan siasatan berjaya merampas sebahagian daripada barangan curi termasuk komponen enjin motosikal dan gerudi mudah alih disembunyikan di rumah suspek.

Difahamkan, suspek mula bekerja di sekolah itu setahun lalu dan dipercayai mencuri sejak awal tahun ini.

Pihak sekolah yang menyedari stok barangan dan beberapa komponen enjin motosikal di bilik inventori semakin berkurangan bertindak melakukan pemeriksaan baru-baru ini.

Menurut sumber, kali terakhir pihak sekolah membuat pemeriksaan di bilik inventori ialah pada November tahun lepas dan semuanya dalam keadaan baik.

Misteri kehilangan stok barangan dan komponen motosikal itu mula terungkai selepas pemeriksaan stok mengesahkan pelbagai barangan didapati hilang sejak awal tahun ini.

Curiga dengan keadaan itu, pihak sekolah membuat laporan polis pada Isnin lalu.

“Kami percaya suspek telah mencuri pelbagai barangan di bilik inventori sekolah sedikit demi sedikit dan menjual kepada pelanggan yang berminat,” kata sumber polis.

Usaha menjejaki pembeli barangan curi daripada suspek giat dijalankan.

Suspek yang masih bujang kini telah direman selama empat hari sejak kelmarin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>