
BINCANG: Noorul Ainur (kiri) berbincang sesuatu bersama Ahmad Tajuddin semasa majlis Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pemimpin Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Global 2015, semalam.
Ilmu yang diterjemah kepada teknologi yang relevan serta berfaedah dapat mengubah kehidupan
Oleh Jessica Jawing //
KUCHING: Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan yang diinginkan termasuk sosioekonomi negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau berkata, ilmu pengetahuan yang diterjemahkan kepada teknologi yang relevan serta berfaedah dapat mengubah kehidupan.
Malah, menurutnya, ia dapat membantu menyelesaikan masalah sosioekonomi seperti kemiskinan dan penyakit.
“Menyedari perkara ini, satu Dasar Negara mengenai STI telah dilulus untuk dilaksanakan MOSTI di mana baru-baru ini Sabah mengalami gempa bumi yang teruk, juga salah satu bencana semula jadi terburuk.
“Gempa bumi berkenaan menyebabkan gangguan kepada bekalan air kerana kerosakan paip, sehubungan itu MOSTI telah mengambil inisiatif untuk melabur dalam ‘Ultrafiltration/Reverse Osmosis Plant’ yang mana mesin berkenaan akan memastikan sekurang-kurangnya 2,000 orang menerima bekalan air bersih berterusan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur sempena majlis perasmian Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pemimpin Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Global 2015 yang dihadiri Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali di sini, semalam.
Tambah Madius, di Malaysia kerajaan memberi tumpuan yang istimewa kepada kumpulan kurang bernasib baik yang dikenali sebagai golongan B40 iaitu kelompok bawah sebanyak 40 peratus daripada seisi rumah dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan atau kira-kira AS$6.50 purata pendapatan seorang sehari.
Katanya, dalam usaha mengurangkan ketaksaksamaan dihadapi golongan B40, kerajaan melancarkan Model Ekonomi Baharu (MEB) pada tahun 2009 dan baru-baru ini Rancangan Malaysia Ke-11 dengan tema ‘Anchoring Growth on People.’
“Matlamatnya adalah untuk mewujudkan sebuah negara di mana semua tanpa mengira jantina, etnik dan status sosioekonomi dapat menikmati kemakmuran dan kualiti hidup yang baik.
“Kita perlu memperbetulkan keutamaan kita, dengan menetapkan matlamat serta menghasilkan penyelesaian berasaskan nilai-nilai atau kemajuan R&D yang dapat membantu orang ramai,” katanya.
Madius menegaskan, untuk menyelesaikan kemiskinan, perlu ada jalan dengan meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang saksama dan inklusif selain menggalakkan pertumbuhan mekanisme kewangan baharu yang inovatif dalam menangani masalah pembiayaan.
“Kita perlu menggunakan kemahiran keusahawanan kita bagi menyelesaikan masalah sosial, mengubah pola pemikiran kita yang berasaskan hasil pendapatan dan membina penyelesaian berkekalan bagi semua.
“Tidak syak lagi ia melibatkan usaha gigih dan anjakan paradigma tetapi semua kita memikul tanggungjawab kolektif kepada manusia untuk mula bertindak dan menyuntik ‘jiwa’ ke dalam kerja R&D kita sekarang,” katanya.
Namun, kata beliau, isu-isu yang rumit memerlukan pendekatan pelbagai disiplin menerusi transformasi sistem sosioekonomi dan kerjasama antarabangsa yang lebih erat dengan matlamat yang sama.
Katanya, pengamal perlu menimbang isu yang ada dan bersama menghasilkan penyelesaian untuk membolehkan R&D mencapai inspirasi tertinggi iaitu memenuhi keperluan manusia.