
SEDANG DILAKSANAKAN: Shafie dan Timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi mendengar taklimat daripada kontraktor semasa meninjau projek Jalan Kapit-Song-Kanowit semalam.
KAPIT: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi jaminan UMNO tidak akan melebarkan sayapnya ke negeri ini.
Ini kerana, katanya, senario politik di Sarawak adalah stabil dan berbeza daripada Sabah.
“Tiada sebab UMNO mahu masuk ke Sarawak kerana politik di sini sangat baik. Saya menjamin bahawa UMNO tidak akan kacau politik di sini.
“Kita sangat yakin bahawa politik di sini mempunyai sistem yang sangat baik di bawah Barisan Nasional (BN) negeri dan ini terbukti melalui keputusan-keputusan pilihan raya lalu.
“Teruskan sistem politik yang baik itu di sini dan kita yakin dengan BN negeri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan Jalan Kapit-Song-Kanowit di Nanga Nyikau, Sungai Yong di sini semalam.
Shafie turut membidas dakwaan melalui laman-laman sosial bahawa pengunduran Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib adalah agenda UMNO untuk masuk ke negeri ini.
“Itu semua adalah permainan pihak tertentu khususnya pembangkang. Kalau dahulu mereka desak Taib letak jawatan tetapi apabila beliau mengumumkan dirinya ber-undur timbul pula cerita lain.
“Sebenarnya tiada kaitan pengunduran Taib ada kaitan dengan hasrat UMNO mahu masuk ke sini.
“UMNO yakin bahawa BN negeri sangat kuat dan stabil. Kita (UMNO) tidak masuk campur urusan rakan-rakan BN kita di sini kerana mereka boleh melakukannya. Sekali lagi saya menegaskan UMNO tidak akan masuk ke Sara-wak,” tegasnya.
Menyentuh mengenai pengunduran Taib yang diumumkan tempoh hari, Shafie sangat menghargai keputusan Ketua Menteri itu.
“Apapun kita harus hormat dengan keputusan Taib. Beliau banyak menyumbang pembangunan negeri dan negara ini sepanjang menjadi Ketua Menteri,” katanya.
Mengenai pembinaan projek Jalan Kapit-Song-Kano-wit, Shafie berkata ia berjalan lancar walaupun sedikit sebanyak ada kelewatan.
Beliau menyifatkan projek jalan itu sebagai penuh bersejarah yang sangat diperlukan di Parlimen Kapit.
“Apabila siap kelak jalan ini akan membawa manfaat kepada kira-kira 40,000 penduduk. Setakat ini, projek berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit masalah kelewatan.
“Tetapi, saya yakin ia akan siap pada Oktober ini untuk fasa kedua. Kira-kira 30 kilometer akan dilaksanakan untuk menghubungkannya terus ke Sibu,” katanya.
Menurutnya, projek jalan sepanjang 45 kilometer dengan kos RM400 juta itu melibatkan lima fasa yang dijalankan secara berperingkat-peringkat.
Bagi fasa satu, projek itu melibatkan jalan sepanjang 1.9 kilometer dengan kos RM15.9 juta yang siap tahun lalu, manakala fasa dua sepanjang 10.5 kilometer bernilai RM64.4 juta yang kini 40 peratus siap.
Bagi fasa ketiga, keempat hingga kelima projek adalah sepanjang 33.4 kilometer dan kosnya RM348 juta termasuk kos membina sebuah jambatan di Kanowit.