Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Jabu kutuk kempen boikot produk sawit

$
0
0

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu mengutuk kempen anti minyak sawit oleh beberapa negara maju di Eropah yang memboikot produk kelapa sawit di negara ini.

Katanya, negara-negara yang cemburu dengan kebangkitan Malaysia dalam ekonomi dunia tidak bersetuju dengan penanaman kelapa sawit di tanah gambut dan menuduh hutan ditebang secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan luar bandar dan pertanian, saya sangat tidak setuju dengan kempen mereka.

“Ia jelas ingin menyekat dan menafikan usaha kita membangunkan kawasan tanah gambut dan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang merupakan sumber utama dalam menjana pendapatan golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

“Kita tidak sesekali membenarkan taktik kejam pihak yang tidak bertanggungjawab ini dan jelas membuli rakyat kita.

“Mereka (negara yang cemburu) menyerang periuk nasi rakyat, menyerang ekonomi kita dengan menyatakan bahawa menanam sawit adalah tidak bagus.

“Keadaan ini adalah sama seperti memusnahkan kehidupan beribu-ribu rakyat Bumiputera yang tinggal di kawasan tanah gambut dan hutan sekunder di atas tanah adat mereka yang telah diiktiraf oleh undang-undang kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Reach & Remind Friends of the Industry Seminar 2014 and Dialogue: Challenges and Opportunities in 2014’ di sini, semalam.

Jabu turut menafikan dakwaan oleh NGO barat bahawa penanaman kelapa sawit di negeri ini telah memusnahkan habitat orang utan.

Menurut beliau, pembangunan kelapa sawit di Sarawak berada di luar habitat orang utan, malah terdapat tempat perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar diwujudkan bagi orang utan dan spesies-spesies terancam lain.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) merupakan salah satu agensi yang paling berkesan terlibat secara langsung dalam pembasmian kemiskinan di negeri ini sejak penubuhannya pada tahun 1976.

“Aktiviti utama SALCRA ialah membantu pemilik tanah NCR mengusahakan tanah-tanah NCR mereka yang terbiar dan tidak produktif untuk penanaman ladang kelapa sawit komersial supaya tanah menjadi produktif dan memberi keuntungan,” ujarnya.

Tambahnya, sehingga hari ini, SALCRA telah membayar dividen berjumlah RM653 juta kepada 17,000 peserta.

Terdahulu, Jabu menyaksikan pelancaran buku MPOC iaitu ‘Back To Basic: Culinary Delight with Palm Oil’ yang menampilkan resipi menggunakan minyak sawit oleh beberapa chef terkemuka di dunia.

Selain itu, beliau turut menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOC dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi program Kompleks Pemuliharaan Orang Utan di Sdilu-Ulu Sebuyau-Gunung Lesong dan Taman Negara Maludam.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>