
SAMA TERBABIT: Seorang pembeli motosikal (kiri) membawa polis ke rumah seorang suspek yang menjual motosikal curi di Jalan Langsat, Sibu.
Operasi hujung minggu berjaya berkas pembeli disyaki ‘orang tengah’
SIBU: Polis D4 di sini percaya penangkapan lima orang suspek lelaki pada hujung minggu lalu akan membantu mereka dalam usaha untuk menyelesaikan dan membanteras beberapa kes curi motosikal di bandar ini.
Menurut sumber, lima orang suspek terbabit iaitu termasuk seorang pembeli motosikal curi, berbangsa Cina dan berusia dalam lingkungan 30-an dicekup di beberapa lokasi berasingan dalam serbuan di sini.
Bertindak daripada maklumat, pasukan polis D4 melakukan serbuan di beberapa lokasi di Jalan Pigeon, Jalan Hua Kiew, Jalan Oya (belakang Pusat Perubatan Sibu, Jalan Tiong Hua 9 berjaya merampas empat buah motosikal.
Motosikal yang dirampas ialah jenis Honda EX5, Honda Dream, Honda Wave dan sebuah motosikal Yamaha Ego LC yang dilaporkan hilang pada 4 Januari lalu.
“Tiga daripada motosikal yang dirampas telah ditukar nombor plat pendaftarannya,” kata sumber tersebut.
Menurutnya lagi, semua suspek melakukan rekod jenayah lampau termasuk kes rompak, pecah rumah, ragut dan alat ganti kereta seperti bampar dan tayar ganti.
Dengan penahanan lima suspek tersebut, polis percaya akan menyiasat lebih banyak maklumat menjejaki pembeli bertindak menjadi ‘orang tengah’ menjual motosikal curi di sini.
Polis juga percaya salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai hubung kait dengan geng curi motosikal Bumiputera di kawasan kampung sekitar bandar ini.
Kesemua suspek direman selama empat hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan polis.