BINTANGOR: Dendam, hutang dan konspirasi berkaitan dengan pembalakan dipercayai menjadi motif serangan maut terhadap seorang ahli perniagaan di sini, malam kelmarin.
Serangan bersenjatakan parang panjang itu berlaku di sebuah kedai makanan di Jalan Dermaga/Jalan Kelupu di sini sekitar jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Bintangor DSP Mohamad Hafipi Mohd Salim berkata, mangsa serangan itu ialah seorang lelaki Cina berusia 43 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal polis, mangsa diserang oleh dua penyerang menggunakan topeng muka ketika menikmati minuman di sebuah kedai kopi di sini bersama dua rakannya.
“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan teruk putus tangan kanan serta luka parah di bahagian atas lutut kiri.
“Setelah membelasah dan menetak mangsa, kedua-dua penyerang terbabit melarikan diri dengan menggunakan sebuah kenderaan jenis Hilux berwarna putih,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, berikutan serangan itu mangsa dibawa ke Hospital Bintangor untuk mendapatkan rawatan, namun dirujuk ke Hospital Sarikei dan seterusnya ke Hospital Sibu kerana mengalami kecederaan parah.
“Tetapi, pada jam 10.15 malam mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
“Berdasarkan rekod, mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan beberapa kes yang membabitkan mangsa turut dalam proses siasatan polis,” katanya.
Hafipi berkata, mangsa juga dipercayai mempunyai beberapa kes di Sarikei, Sibu, Bintangor dan Limbang.
“Dalam kes ini, berdasarkan siasatan polis kejadian dipercayai didalangi oleh pihak luar dan bukan dilakukan oleh warga Bintangor,” tegasnya.
Sehubungan itu, sesiapa mempunyai maklumat mengenai kejadian dan serangan itu diharap dapat tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Bintangor ataupun balai-balai polis berdekatan.
“Hingga kini, punca sebenar kes ini masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.