Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Takaful Ikhlas sumbang 800 buku kerja Oh My English!

$
0
0

BACA: (Dari kiri) Nur Farah Ain, Nik Nabila Adriana, Adlin Sofea, Nur Yazrin dan Siti Aziemah membaca buku Oh My English! yang disumbangkan oleh Takaful Ikhlas Berhad, semalam.

SIBU: Takaful Ikhlas Berhad menyumbang 800 buku kerja Oh My English! kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali, semalam.

Sumbangan disampaikan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Abdul Latiff Abu Bakar kepada Guru Besar SK Abang Ali, Mahmud Ahad.

Menurut Abdul Latiff, sumbangan buku itu adalah salah satu aktiviti kemasyarakatan Takaful Ikhlas sebagai Rakan Program Kemasyarakatan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015.

“Sebagai Rakan Program Kemasyarakatan MSAM 2015, secara langsung Takaful Ikhlas terlibat dalam setiap aktiviti kemasyarakatan di Sibu seperti majlis doa selamat dan forum perdana.

“Selain itu, Takaful Ikhlas juga melibatkan diri dalam kerja tanggungjawab sosial korporat seperti sumbangan zakat kepada Tabung Baitulmal Sarawak, Madrasah Islamiah Lakis dan Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak Cawangan Sibu,” ujarnya.

Takaful Ikhlas Berhad merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB), mula beroperasi pada Julai 2003.

Pada 5 Mei 2014, syarikat menukar statusnya menjadi syarikat awam.

Syarikat mempunyai 13 pejabat wilayah yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Perak, Terengganu, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Pejabat korporat pula terletak di Bangsar South, Kuala Lumpur.

Menyentuh mengenai penglibatan dalam MSAM 2015, Abdul Latiff memberitahu bahawa MSAM memberi peluang kepada Takaful Ikhlas untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan kepada umum di Sibu.

“Kami gembira kerana berpeluang bekerjasama sekali lagi dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam menjayakan MSAM 2015 ini. Kami turut berpeluang memberi pendedahan kepada masyarakat berbilang kaum di Sibu mengenai Takaful, peranan dan manfaat kemudahan simpanan perlindungan serta produk Takaful Ikhlas.

“Sempena MSAM 2015 dan peranan kami sebagai Rakan Kemasyarakatan, Takaful Ikhlas akan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Program tanggungjawab sosial korporat sebegini adalah komitmen syarikat dalam membentuk satu ikatan muhibah dengan masyarakat.

“Kami mengamalkan falsafah perkongsian tanggungjawab sosial mengutamakan kepentingan masyarakat dalam strategi perniagaan kami,” jelas Abdul Lafiff.

Takaful Ikhlas juga mengadakan pelbagai aktiviti seperti Kuiz Ikhlas @ MSAM 2015 di ruang pamerannya. Kuiz ini boleh disertai tanpa sebarang pembelian atau langganan, terbuka kepada pengunjung yang berumur 18 tahun ke atas.

Kuiz ini menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti televisyen LED 50’ sebagai hadiah utama, diikuti hadiah kedua berupa iPhone 5 untuk dua pemenang. Tiga hadiah tempat ketiga berupa iPad Mini juga disediakan.

Satu lagi aktiviti terdapat di ruang pameran Takaful Ikhlas adalah penampilan khas bintang Oh My English! pada 21 dan 22 April iaitu Juzzthin dan Akhmal Nazri.

Aktiviti Oh My English! yang akan diadakan adalah seperti pengenalan takaful, pertandingan mengeja perkataan, sesi bergambar, lakonan dan lain-lain lagi.

“Kami berharap masyarakat di Sibu tidak akan melepaskan peluang  datang ke MSAM 2015 dan berkunjung ke ruang pameran Takaful Ikhlas bagi mengenali Takaful Ikhlas lebih dekat di samping menyertai aktiviti yang disusun serta merebut pelbagai hadiah ditawarkan,” kata Abdul Latiff.

MSAM yang bermula 19 hingga 27 April ini di Dataran Bandar Sibu, merupakan pameran pendidikan pelaburan tahunan berkesan bagi mendidik masyarakat Malaysia mengenai pelaburan bijak dan perancangan kewangan yang berhemat.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>