Oleh W. Bolly Ongie //
Kerusi berkenaan tidak pernah diserah atau diagih kepada mana-mana parti, kekal milik SPDP: Jilin

UNTUKMU: Mandau (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Jilin sambil disaksikan Datuk Peter Telajan (kiri) dan tetamu lain.
BATU NIAH: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menegaskan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu tidak pernah diserah atau diagihkan kepada mana-mana parti dan kekal milik mereka.
Timbalan Pengerusi SPDP Bekenu Peter Jilin mengingatkan penduduk kawasan itu supaya tidak terkeliru dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya kerusi tersebut milik parti lain atau diwakili calon parti lain.
“Kepada ahli-ahli SPDP di sini, saya mengingatkan bahawa sebagai pengundi, kita jangan dikelirukan pelbagai dakwaan kerana kerusi Bekenu (hasil persempadanan semula) diperuntukkan kepada SPDP dan semestinya diwakili oleh calon SPDP iaitu parti komponen Barisan Nasional (BN),” katanya ketika merasmikan bangunan Dewan Serba Guna Rumah Mandau Emperit di Sungai Sekerat, Batu Niah di sini malam Ahad lalu.
Jilin merupakan anak jati Niah antara salah seorang yang turut melobi untuk calon BN-SPDP di kerusi Bekenu.
Tindakan melobi beliau juga mendapat sokongan padu penduduk dan ketua kaum di rumah panjang berkenaan dan kawasan sekitarnya apatah lagi Jilin merupakan anak jati di kawasan Bekenu.
Sementara itu, mengenai bangunan dewan serba guna baharu itu, Jilin memberitahu bahawa penduduk kawasan berkenaan dan di Niah perlu menerima dan memberi sokongan berterusan kepada kerajaan BN pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem jika mereka mahu terus membangun.
“Apabila kita mahukan pembangunan berterusan, maka kita perlu memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan BN yang menerajui pemerintahan negeri ini dengan menerima serta memberi sokongan kepada calon BN yang mewakili parti komponen BN sahaja,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Jilin melahirkan perhargaan serta memuji sikap penduduk Rumah Mandau, Sungai Sekerat di sini yang berjaya membina sebuah dewan serba guna dengan insiatif sendiri tanpa bantuan kerajaan pada mulanya.
Bagaimanapun, kerja-kerja menyiapkan dewan itu penduduk kampung kemudiannya menerima bantuan dana daripada Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang yang memberikannya melalui peruntukan geran MRP.
Hadir sama beberapa pemimpin SPDP Bekenu, Miri dan Pusat serta tuai-tuai rumah di sekitar kawasan terbabit.