Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

SUPP tiada hak mencabut papan tanda UPP

$
0
0

Papan tanda itu terletak di jalan persendirian dan tidak bernaung di bawah MPS, kata Wong

KUCHING:  Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak ada hak untuk mencabut papan tanda Parti Rakyat Bersatu (UPP) dengan lambang Barisan Nasional (BN) yang telah didirikan oleh UPP Cawangan Pelawan di Lorong 27, Jalan Oya di Sibu, kerana ia terletak di jalan persendirian, kata Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh.

“Ia adalah jalan persendirian dan ia tidak bernaung di bawah Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang bermakna ia adalah jalan persendirian.

“Ini bermakna MPS mahupun agensi kerajaan tidak dapat masuk ke sana untuk memperbaikinya.

“Sebab itulah Datuk Janet Lau mengumpul dana untuk memperbaikinya.

“Oleh kerana ia adalah jalan persendirian dan dibina dengan sumbangan persendirian, beliau berpendapat ia adalah sumbangan oleh UPP Barisan Nasional, sebab itulah beliau mendirikan papan notis itu,” katanya kepada Borneo Post pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang memetik Ketua Pemuda SUPP Bawang Assan Marcus Yek yang mengesahkan lebih 10 ahli parti mengadakan demonstrasi pada jam 10 pagi Isnin lalu, apabila logo BN diletakkan pada papan tanda UPP.

Sementara itu Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menasihati kepada kedua-dua parti (SUPP dan UPP) tidak terus bertelagah sesama sendiri.

“Setakat ini UPP dan TERAS belum berada dalam BN dan mereka tidak harus menggunakan logo BN tanpa kebenaran kami.

“Kita tahu mereka sentiasa memberi sokongan kepada BN tetapi ia tidak bermakna mereka boleh menggunakan logo BN dan kita perlu tegas dengan pendirian ini.

“Apabila tiba masanya senarai calon diumumkan maka setiap parti perlu saling membantu meskipun calon bukan daripada parti itu sendiri,” katanya.

Manakala Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata UPP belum menjadi keluarga BN, justeru mereka tidak berhak menggunakan logo BN.

“Kita harus mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana peraturan itu yang mengukuhkan BN selama ini,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>