SIBU: Orang ramai yang menggunakan silinder gas memasak dinasihati supaya menukar komponen hos sekali dalam dua tahun bagi mengelak kebocoran gas yang boleh mengakibatkan letupan.
Ketua Bomba Zon 4 Sibu Abdul Mutalib Rashid berkata, ini kerana selepas penggunaan komponen dalam tempoh lama akan mengeluar bau atau pelbagai ‘perisa’ menarik perhatian tikus mengigit hos dan menyebabkan kebocoran serta akan terdedah kepada bahaya.
“Hos yang telah lama dan terdedah kepada api akan menjadi lusuh dan rosak, justeru ia boleh menyebabkan berlakunya kebocoran,” katanya pada taklimat dan sidang media di Balai Bomba Sungai Merah, semalam.
Abdul Mutalib menjelaskan, kebocoran gas boleh menyebabkan dua kejadian utama iaitu jika tiada punca nyalaan, kepulan gas akan terbentuk.
“Kebakaran dan letupan boleh terjadi bila campuran gas terbebas terbakar serta merta, boleh menyebabkan BLEVE (Boiling Liquid Expansion Vapour Explosion),” katanya.
Beliau berkata kebocoran gas boleh berlaku apabila hos menjadi longgar akibat tolakan dan tarikan ketika membersihkan dapur gas yang kotor dan basah selepas aktiviti memasak.
Mutalib juga menyaran agar orang ramai membeli peralatan gas dan peralatan elektrik yang diluluskan oleh SIRIM.
“Saya bukan antibarangan murah tetapi ia tidak melalui proses ujian yang mengikut standard Malaysia (Piawaian Malaysia) yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Menurutnya, penggunaan salur gas dan pengawal atur gas yang dibekalkan oleh pengedar yang sah menjamin keselamatan yang optimum.
Katanya tabung gas harus diletak dalam keadaan menegak dan disimpan di ruang terbuka serta jauhkannya daripada sumber api dan suhu panas.
“LPG atau gas petroleum cecair mengandungi bahan kimia Propana dengan komposisi (40 peratus) dan Butana (60 peratus), justeru ia adalah lebih berat daripada udara menyebabkan ia mudah terdedah kepada keadaan bahaya (letupan),” jelasnya.
Justeru katanya, adalah tidak digalak tabung gas diletak secara melintang atau terbalik terutama dalam keadaan sekeliling yang panas.
Sehubungan itu, katanya suri rumah juga dinasihati tidak menghias keadaan keliling berdekatan tong gas seperti langsir kerana ia mudah terbakar.
Beliau memberitahu, pemeriksaan kebocoran mudah dikesan melalui bau yang tersendiri.
“Jika ada kebocoran dikesan, padamkan semua sumber nyalaan yang terdedah dan tutupkan peralatan gas di sekeliling.
“Jangan sesekali buka dan tutup sebarang peralatan elektrik kerana setiap suis ada mengeluarkan percikan,” katanya sambil menambah pintu dan tingkap perlu dibuka untuk meningkat pengudaraan.
Mengenai letupan yang berlaku di bangunan flat kediaman Blok E di Sibu Jaya pada 11 April lalu, ia berpunca daripada kebocoran gas yang disebabkan sambungan hos yang lusuh dari tong gas ke dapur sehingga tekanan di dalam hos menyebabkannya terlepas dari sambungan.
Katanya hasil siasatan pihaknya mendapati insiden letupan berkenaan berpunca daripada letupan gas.
Menurut Mutalib insiden letupan di di Sibu Jaya merupakan insiden yang kedua berlaku di bandar ini yang telah mengakibatkan seorang mangsa yang mengalami kelecuran 52 peratus sebelum meninggal dunia Isnin lepas.
Tambahnya, letupan pertama telah berlaku di sebuah kediaman di Lorong 38, Ulu Sungai Merah pada 18 Mac 2012 juga mengorbankan seorang mangsa.