MIRI: Umat Islam perlu bangkit untuk mempertahankan hak dan kesucian agama Islam sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman memberitahu, ini kerana sejak akhir-akhir ini negara sering dikejutkan dengan pelbagai isu yang secara lantang menafi dan mempertikaikan hak umat Islam dan perundangan Islam di negara ini.
“Perkara ini seharusnya dilihat sebagai satu ancaman kepada kita, lebih-lebih lagi apabila ia menyentuh kesucian agama Islam dan cuba mempersoalkan kedudukan perundangan syariah atau hukum syarak, yang lebih dahulu bertapak di negara kita sebelum era kedatangan penjajah ke negara ini,” katanya.
Berucap pada majlis penangguhan Seminar Agama Islam Agama Negara di sini yang berakhir semalam, Daud memberitahu, Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian dan kesejahteraan untuk setiap umat manusia.
“Sebagai umat Islam, adalah perlu untuk kita bersatu padu demi menolak apa jua usaha yang cuba menafikan hak kita sebagai umat Islam. Pada masa yang sama kita tidak menafikan hak agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka,” katanya.
Menurut beliau lagi, kebebasan beragama yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bererti mana-mana pihak bebas menyebarkan agama dan kepercayaan mereka, tetapi hak tersebut adalah terhad dan terbatas oleh kerana wujudnya kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan adanya pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Sehubungan itu, Daud berharap bagi tujuan memperkasakan agama Islam dan masyarakat Islam di negara ini, semua pihak dapat memainkan peranan untuk memantapkan pembangunan institusi-institusi Islam seiring arus semasa.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Presiden Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Zainul Rijal Abdu Bakar serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ismail Mohd Hanis.