SIBU: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) berharap kerajaan negeri akan memberi kepercayaan kepada ahli-ahli persatuan untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.
Presiden PVTSM Thomas Ling Kui Eng berkata, kerajaan negeri boleh memberi peluang kepada veteran tentera untuk terus menabur bakti dengan melantik mereka menjadi ahli majlis atau kaunselor, selain jawatan seperti ketua kaum atau masyarakat.
“Besarlah harapan kami agar kerajaan negeri akan memberi kepercayaan dan keyakinan terhadap veteran tentera untuk terus berkhidmat kepada masyarakat amnya dan negeri khasnya,” ujarnya pada satu sidang media, kelmarin.
Menurut Ling, PVTMS telah mencalonkan tiga orang ahlinya untuk jawatan kaunselor iaitu masing-masing dua di Sibu dan seorang di Kuching, di samping seorang lagi ahlinya untuk jawatan kapitan di Sibu.
Semua ahli yang dicalonkan untuk jawatan kaunselor dan kapitan tersebut, katanya, adalah berkelayakan untuk memberi khidmat kepada masyarakat.
Bagi tiga jawatan kaunselor terbabit, masing-masing seorang dicalonkan untuk jawatan di Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Semasa dalam perkhidmatan, menurut Ling, ahli-ahli tersebut telah menjalani latihan ketenteraan sehingga ke luar negara dengan disiplin yang tinggi, berpengalaman serta turut mendapat keyakinan daripada kerajaan Malaysia dengan pengurniaan Pingat Jasa Malaysia (PJM).
Selain itu, PVTMS juga menyeru kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan melantik seorang timbalan menteri atau menteri muda dari kalangan veteran tentera untuk membela nasib dan kebajikan veteran di Sarawak.
“Justeru, kami mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.1 Opar Ranum Mina yang juga seorang veteran tentera untuk dipertimbangkan bagi pelantikan tersebut,” ujar Ling.