Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 26859 articles
Browse latest View live

MRSM baharu dibina di Bintulu tahun ini

$
0
0
UNTUK ALBUM: Ismail ditemani Fadillah, Alexander dan tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama pelajar sekolah.

UNTUK ALBUM: Ismail ditemani Fadillah, Alexander dan tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama pelajar sekolah.

Kerjasama MARA dan Petronas, buka peluang kepada 750 pelajar apabila siap nanti

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Petronas akan membina Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baharu di Bintulu pada tahun ini.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu bahawa tapak untuk membina MRSM baharu itu sudah ada dan kini hanya menunggu pelaksanaan sahaja.

“Di sini saya hendak umumkan bahawa sebuah lagi MRSM akan dibina di negeri ini iaitu di Bintulu melibatkan kerjasama antara MARA dan Petronas bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan sempena Sambutan 50 Tahun MARA Peringkat Negeri di Bangunan MARA Plaza Astana di sini, semalam.

Pada masa sama Ismail berkata MRSM baharu itu akan membuka peluang kepada kira-kira 750 pelajar untuk menuntut di situ apabila ia siap dalam tempoh tiga tahun nanti.

“Pembinaan MRSM baharu di Bintulu ini dibiayai oleh Petronas sepenuhnya dan kita berharap ia akan mula dibina pada tahun ini dan siap dalam tempoh tiga tahun,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangan untuk mewujudkan MARA Digital di negeri ini, Ismail berkata pihaknya merancang untuk mewujudkan MARA Digital di seluruh negara dan untuk Sarawak ia akan dibina di Kuching.

Menyentuh mengenai sumbangan MARA di negeri ini, beliau menjelaskan Sarawak mempunyai tiga MRSM iaitu di Kuching, Betong dan Mukah yang mana telah melahirkan 7,000 pelajar.

“Selain itu, di 32 Pusat GIATMARA di negeri ini, kita telah melahirkan 20,000 pelatih manakala di dua Institut Kemahiran MARA (IKM) iaitu Kuching dan Bintulu seramai 13,000 graduan berjaya dilahirkan.

“Malah, IKM Kuching juga telah menerima pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk memulakan program Diploma Teknikal Automotif bagi sesi pengambilan Julai dan Disember tahun ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan sehingga kini MARA telah menaja 20,700 pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian dalam negara mahupun luar negara dengan pembiayaan sebanyak RM621 juta.

Selain itu, menurut Ismail, MARA juga bercadang menambah 23 unit lot perniagaan baharu di Sarikei dan Betong dengan kos sebanyak RM8.7 juta bagi membantu usahawan Bumiputera di negeri ini.

“Dalam meningkatkan industri keusahaawanan di negeri ini, MARA telah memberi RM600 juta pinjaman kepada 3,000 usahawan Sarawak.

“Menerusi program keusahawanan dan latihan seramai 50,000 orang telah dilatih dengan jumlah peruntukan diberikan lebih daripada RM73 juta dan untuk melancarkan pentadbiran MARA di negeri ini, kita merancang menubuhkan dua lagi pejabat MARA baharu di Betong dan Lawas,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap MARA akan terus memberi tumpuan dalam membangunkan ekonomi rakyat Bumiputera di negeri ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad dan tetamu kehormat lain.


Senarai calon BN diumum pada Mac

$
0
0
PENJELASAN: Adenan (tengah) mengadakan sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Peringkat Sarawak 2016. Turut kelihatan Masing (kanan) dan Mahdzir.

PENJELASAN: Adenan (tengah) mengadakan sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Peringkat Sarawak 2016. Turut kelihatan Masing (kanan) dan Mahdzir.

Semua parti komponen BN Sarawak telah mengemukakan senarai calon

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, diumumkan Mac depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata semua parti komponen BN Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) telah mengemukakan senarai calon masing-masing.

“Bulan depan (Mac) saya akan mengesahkan senarai calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Turut hadir Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Mengenai khabar angin mengatakan calon daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang mahu bertanding pada PRN nanti harus bersara daripada parti dan menyertai parti komponen BN, Adenan berkata beliau tidak boleh mengesahkan perkara itu.

“Saya tidak boleh mengesahkan perkara itu atau biarlah perkara itu kekal khabar angin,’ tegasnya.

Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak turut mendedahkan, hampir kesemua masalah UPP dan TERAS sudah diselesaikan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Ditanya mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN diadakan, Adenan berkata pilihan raya akan diadakan sebelum tempoh DUN tamat pada 20 Jun 2016.

“Tempoh DUN Sarawak akan tamat 20 Jun 2016, malah jika kita tidak membubarkan DUN (apabila tiba tarikh itu) DUN akan bubar dengan sendirinya.

“Ini kerana dalam perlembagaan, pilihan raya harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tempoh DUN tamat, jadi hingga Ogos namun itu bukan amalan kita, pilihan raya lazimnya diadakan lebih awal. Mungkin lebih awal atau sebelum Jun,” ujarnya.

Pada sidang media sama Adenan memberitahu bahawa BN Sarawak optimis dapat merampas semula beberapa kerusi yang ketika ini milik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada PRN nanti.

“Ya, kita optimis, kita sudah membuat perkiraan, kita sangat optimis tetapi saya tidak boleh nyatakan sekarang, yang pasti ia (kerusi) milik DAP,” katanya.

Aktiviti harian Serian lumpuh akibat banjir

$
0
0
MUSIBAH: Kawasan Kampung Tebakang Melayu dan Dayak digenangi air semalam. Terdapat beberapa tempat di kawasan terbabit yang dinaiki air sehingga melebihi enam kaki iaitu pada paras bahaya.

MUSIBAH: Kawasan Kampung Tebakang Melayu dan Dayak digenangi air semalam. Terdapat beberapa tempat di kawasan terbabit yang dinaiki air sehingga melebihi enam kaki iaitu pada paras bahaya.

TERTIMBUS: Jalan Sejijak yang tertimbus dan menyebabkan putus hubungan semalam.

TERTIMBUS: Jalan Sejijak yang tertimbus dan menyebabkan putus hubungan semalam.

Beberapa kawasan dinaiki air termasuk kesukaran kerja menyelamat kerana arus air semakin deras

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Aktiviti harian penduduk sekitar Serian lumpuh sejak 19 Februari lalu selepas beberapa kawasan dinaiki air termasuk kesukaran kerja menyelamat kerana arus air semakin deras.

Jurucakap Jawantankuasa Bencana Pejabat Residen Bahagian Serian berkata, beberapa pusat pemindahan telah dibuka sejak malam kelmarin di  Dewan Masyarakat Serian dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang.

“Bagaimanapun, mangsa di Kampung Tebakang Dayak dan Melayu dipercayai akan dipindahkan ke pusat pemindahan SMK Tebakang.

“Namun usaha memindahkan mangsa banjir agak sukar kerana arus air masih deras dan kerja menyelamatkan  mangsa dijalankan menggunakan bot kecil,” kata jurucakap itu.

Jelasnya, sesetengah mangsa banjir terpaksa menunggu di rumah jiran yang berdekatan terletak di kawasan tinggi.

Pihaknya mencatatkan angka lebih daripada 500 mangsa yang ditempatkan di semua pusat pemindahan yang terdapat di seluruh kawasan Serian.

Balai Raya Kampung Betong Kanowit di Jalan Batu 27 Serian dibuka kelmarin pada jam 6 petang semalam yang menempatkan 18 mangsa setakat ini.

Sementara itu sejumlah 196 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan Kampung Lintang Baru sehingga jam 11.34 pagi semalam.

Manakala di pusat pemindanan SK Tanah Merah, sejumlah 50 orang ditempatkan di situ kerana air juga dipercayai semakin naik.

Kampung Hulu mengalami nasib yang sama dan terdapat tanah runtuh berdekatan Sejijak telah dibersihkan semalam oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian.

Penduduk di Kampung Sentah Siburan terkandas apabila tanah bahagian bukit berhampiran menimbus satu-satunya jalan perhubungan mereka di sini semalam.

Penduduk kampung berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan segera bagi membantu mereka.

Sehingga jam 4 petang semalam pusat pemindahan di Surau Darul Hadhari menempatkan 57 mangsa, di  Dewan Kampung Betong Kanowit (18), Dewan Lintang Baru (180), SK Tanah Merah (50) dan Dewan Masyarakat Serian (48).

Banjir semakin buruk, 5,362 mangsa dipindah

$
0
0

KUCHING: Keadaan banjir di bahagian Serian, Samarahan dan Kuching kian buruk dengan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 5,362 orang setakat jam 6 petang semalam.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) jumlah itu meningkat berbanding jam 12 tengah hari yang merekodkan 3,734 orang.

Jumlah mangsa dipindahkan itu melibatkan 1,470 keluarga yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan di Kuching, Bau, Padawan, Serian dan Kota Samarahan.

Bagaimanapun setakat ini hanya dua pusat pemindahan telah ditutup iaitu Dewan Gereja St Mary Bogag dan Gereja St Paulus, Bau.

Di Kuching, seramai 1,596 orang daripada 440 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan selepas kawasan kediaman mereka terjejas.

Manakala di Bau pula, sebanyak 137 keluarga yang terdiri daripada 596 orang dipindahkan ke pusat pemindahan.

Di daerah Serian dan Kota Samarahan masing-masing mencatat 353 orang daripada 98 keluarga dan 1,144 orang daripada 302 keluarga.

Limpahan air Empangan Bengoh antara punca banjir

$
0
0

TA02489KUCHING: Takungan air yang sudah penuh di Empangan Bengoh disebabkan hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu, antara faktor kampung-kampung di hilirnya dinaiki air.

Menteri Muda Kesihatan Awam dan ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil berkata takungan air di empangan berkenaan sudah mencapai kapasiti maksimum pada Khamis lepas.

“Empangan Bengoh tidak boleh lagi menakung air tambahan daripada hujan lebat sejak tiga hari lalu.

“Jadi terdapat limpahan air dari empangan dan kita buat masa ini tidak dapat mengosongkan empangan untuk mengelak banjir di bahagian hilir Sungai Sarawak Kiri,” katanya di sini, semalam.

Namun, beliau menjelaskan bahawa Empangan Bengoh adalah dibina sebagai kawasan tadahan air untuk membekalkan air kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang yang biasanya akan menjadi sangat rendah semasa musim kemarau pada bulan Julai hingga Oktober.

Dr Jerip berkata demikian bagi menjawab kritikan yang mendakwa beliau tidak bertanggungjawab dengan menyatakan apabila proses penakungan air di Empangan Bengoh selesai, ia akan membekalkan air yang mencukupi bagi seluruh Kuching dan Samarahan walaupun ketika kemarau dan empangan itu juga akan membantu mengurangkan banjir.

Projek Empangan Bengoh dibina pada 2010 dengan kos RM300 juta dan mula menakung air sejak Ogos tahun lepas.

Dengan kekerapan hujan ketika ini, penakungan empangan itu kini sudah mencapai kapasiti maksimum iaitu 80 meter padu.

Pembunuh upahan tewas

$
0
0
SIASAT: Kenderaan suspek yang masih ditahan untuk siasatan.

SIASAT: Kenderaan suspek yang masih ditahan untuk siasatan.

KESAN LAMA: Inilah kesan tembakan yang diplaster di kereta suspek.

KESAN LAMA: Inilah kesan tembakan yang diplaster di kereta suspek.

TERKENA: Kesan tembakan yang dijumpai di bahagian belakang kereta suspek.

TERKENA: Kesan tembakan yang dijumpai di bahagian belakang kereta suspek.

Tembak mati dua pembunuh upahan, polis percaya selesai tujuh kes bunuh.

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Polis yakin bahawa enam kes tembak di negeri ini termasuk satu kes tembak di Penampang, Sabah sejak tahun 2012 lalu selesai selepas berjaya menembak mati dua  pembunuh upahan dalam insiden tembak- menembak di Jalan Sibu-Bintulu By Pass (Jalan Oya Lama) di sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata, JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 20 Februari menerima maklumat bahawa kenderaan diguna dua suspek terbabit iaitu kenderaan pacuan empat roda model Nissan Navara berwarna putih kelihatan di Sarikei.

Katanya, dua pasukan polis telah bergegas ke Sarikei dalam usaha mengesan kenderaan terbabit.

“Pada 21 Februari iaitu awal pagi tadi (semalam) sekitar jam 1.30 pagi semasa pasukan JSJ membuat rondaan pengesanan di Jalan KJD menghala ke Sibu, pasukan kami terserempak kenderaan suspek terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila pasukan polis menghampiri kereta itu, suspek kemudian perasan dan menyedari kehadiran pasukan polis sekali gus memecut lari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Khoo, Ketua JSJ Sibu DSP Yeoh Chun Shyan dan Pegawai Penyiasat Kanan ASP Sylvarius Gopog.

Menurut Dev, pasukan JSJ dengan menaiki dua kereta telah mengejar kereta terbabit ke arah Selangau.

“Kedua-dua kereta polis mengejar kenderaan suspek dan semasa cuba memintas, pemandu kereta terbabit telah bertindak agresif dan melanggar kereta polis.

“Dalam usaha untuk melarikan diri semasa adegan kejar-mengejar itu, kereta suspek akhirnya terbabas. Apabila pasukan polis keluar untuk menghampiri kereta suspek, tiba-tiba kedengaran dan kelihatan cetusan tembakan dari arah dalam kereta terbabit.

“Tembakan suspek telah terkena cermin belakang salah sebuah kereta polis. Pasukan kami sempat mencari perlindungan dan membalas tembakan serta-merta ke arah kereta terbabit bagi mempertahankan diri dan menghentikan ancaman,” katanya.

Dev memberitahu, polis seterusnya melakukan pemeriksaan taktikal ke atas kenderaan terbabit dan mendapati dua suspek tersungkur serta mati terkena tembakan.

“Mayat mereka masing-masing dijumpai di bahagian tempat duduk penumpang dan bahagian tempat duduk pemandu di bahagian depan kereta. Kemudian kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

“Satu senapang patah dipercayai digunakan untuk menembak ke arah polis telah ditemui berdekatan mayat pemandu kereta. Kami juga ada menemui dua butir peluru hidup dan satu butir kelongsong peluru yang sudah digunakan dipercayai digunakan untuk menembak anggota kami,” jelasnya.

Siasatan lanjut ke atas kereta suspek, Dev berkata terdapat kesan diplaster (ditampal) pada bahagian badan kereta Nissan Navara dipercayai kesan tembakan oleh pengawal peribadi mangsa semasa kejadian tembak mati di sebuah restoran di Jalan Long Bridge, Sibu pada 9 Januari lepas.

Polis juga, jelasnya turut mendapati kereta digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan usaha akan dijalankan untuk mengenal pasti pemilik sebenar kereta itu.

“Pemeriksaan kimia akan mengesahkan perkara ini,” katanya sambil memberitahu bahawa identiti kedua-dua suspek telah dikenal pasti dan disahkan.

Dev mendedahkan suspek ditembak mati itu ialah Joshua Beti Chong, 44, berasal dari Sri Aman dan Awie Ningan, 36, berasal dari Saratok.

“JSJ IPK Sarawak mendedahkan bahawa Joshua pernah ditangkap sebanyak empat kali atas kesalahan di bawah Akta Senjata 1960 dan kes bunuh. Dia pernah dihukum penjara untuk kesalahan di bawah akta tersebut pada tahun 2012. Manakala Awie tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” ujarnya.

Beliau percaya kedua-dua suspek ditembak mati itu adalah pembunuh upahan dan maklumat mendedahkan bahawa kedua-dua suspek telah terlibat dalam enam kes pembunuhan dan satu kes cubaan membunuh sejak 2012.

Katanya kes itu ialah pada 11 Januari 2012 jam 11.15 pagi, seorang lelaki Cina ditembak mati dengan senapang patah di Jalan Brooke Drive, Sibu oleh seorang suspek menaiki sebuah kereta Proton Saga manakala kes kedua berlaku pada 12 Julai 2012 sekitar jam 11 pagi, seorang lelaki Cina telah ditembak mati dengan senapang patah dan seorang lagi cedera di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Lapangan Terbang Kuching oleh suspek dengan menggunakan motosikal.

“Kes ketiga adalah pada 3 November 2012 sekitar jam 12 tengah hari, seorang wanita Cina telah ditembak mati dengan senapang patah di hadapan sebuah kafe di Jalan Pahlawan, Sibu oleh suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga.

“Kes keempat pada 3 Ogos 2013 sekitar jam 10 malam, seorang lelaki Cina telah ditembak mati dengan senapang patah di hadapan sebuah kedai kopi di Penampang, Sabah oleh suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

“Kes kelima pada 18 September 2014 sekitar jam 12 tengah hari, seorang lelaki Cina telah cedera ditembak dengan senapang patah di hadapan sebuah kafe di Jalan Pahlawan, Sibu oleh suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira.

“Kes keenam iaitu pada 3 Julai 2015 sekitar jam 9.40 malam, seorang lelaki Cina telah ditembak mati dengan senapang patah ketika sedang makan di sebuah restoran di Bintulu oleh suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

“Dan kes terbaharu iaitu pada 9 Januari 2016 sekitar jam 11.25 malam, seorang pemuda Cina ditembak mati dengan senapang patah manakala teman wanitanya tercedera, di hadapan sebuah restoran di Jalan Long Bridge, Sibu oleh suspek menaiki sebuah kereta Nissan Navara,” jelasnya.

Dev memberitahu bahawa polis percaya kedua-dua suspek yang mati ditembak ini terlibat dalam enam kes pembunuhan menggunakan senapang patah dan satu kes cubaan membunuh sejak 2012.

“Semua kes ini mempunyai cara yang sama kerana suspek duduk di dalam kereta dan menembak dari dalam kereta menggunakan senapang patah.

“Hanya satu kes sahaja di mana suspek menaiki motosikal dan kebanyakan kes ini berlaku di kafe dan restoran semasa mangsa berada di kafe atau restoran.

“Dengan tertumpasnya dua suspek ini, kita yakin bahawa polis berjaya menyelesaikan tujuh kes tersebut namun siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti indentiti individu yang telah mengupah kedua-dua suspek ini melakukan pembunuhan,” tambahnya.

Kesemua mangsa yang ditembak mati oleh kedua-dua suspek sebelum ini berasal dari Sibu.

Kedua-dua suspek yang yang ditembak mati sudah bekeluarga dan meninggalkan balu serta anak.

Mahdzir bincang isu pendidikan dengan Adenan

$
0
0
SIMBOLIK: Mahdzir (tengah) menjalankan simbolik pelancaran Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Sarawak bersama Fatimah (tiga kanan), Khair (dua kiri), Serina (kiri) dan Rokayah (kanan).

SIMBOLIK: Mahdzir (tengah) menjalankan simbolik pelancaran Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Sarawak bersama Fatimah (tiga kanan), Khair (dua kiri), Serina (kiri) dan Rokayah (kanan).

Sentuh mengenai pemerkasaan bahasa Inggeris, penempatan guru tempatan di Sarawak

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dijadualkan bertemu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem hari ini bagi membincangkan beberapa aspek pendidikan di Sarawak dengan lebih lanjut.

Menurut beliau, perbincangan itu akan menyentuh mengenai pemerkasaan penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan dan berhubung penempatan lebih ramai guru tempatan untuk mengajar di sekolah-sekolah di negeri ini.

“Esok (hari ini) saya ada kesempatan untuk temu janji dengan beliau (Adenan) jadi saya akan berbincang lanjut mengenai perkara berkaitan (pendidikan di Sarawak) dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, Pengarah Institut Aminuddin Baki Serina Sauni dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Rakayah Madon.

Mahdzir berkata, beliau sememangnya menyokong pendirian Adenan dalam membangunkan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris demi melahirkan para pelajar yang fasih dalam pelbagai bahasa serta lebih bersedia menghadapi cabaran global.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, kemahiran untuk menguasai pelbagai bahasa adalah penting,” katanya.

Mengenai usaha menempatkan lebih ramai guru tempatan di negeri ini, dengan nisbah 90:10 iaitu 90 peratus guru ialah anak tempatan manakala 10 peratus lagi berasal dari negeri lain, beliau berkata usaha ke arah itu telah dimulakan.

“Kita telah pun mengadakan temu duga bersama 181 orang dan mereka sudah ditempatkan di sekolah-sekolah serata negeri sejak Februari lalu.

“Kita cuba untuk merekrut lebih ramai daripada pasaran terbuka bagi mereka yang mempunyai kelayakan sewajarnya dan juga daripada pengambilan semasa dalam institusi latihan guru,” katanya.

Mahdzir turut memberitahu dalam ucapannya bahawa kementerian akan terus membantu Sarawak khasnya dalam meningkatkan kemudahan dan prasarana di sekolah-sekolah selari dengan keperluan semasa.

Konvensyen bertemakan ‘Sehati Sejiwa Senada’ itu dihadiri kira-kira 2,500 individu di mana beberapa kertas kerja turut dibentangkan oleh tokoh-tokoh pendidik.

TBC 2016: Dijangka 50,000 orang banjiri Dataran Sibu

$
0
0
DATANG BERAMAI-RAMAI: (Dari kanan) Zahiruddin, Hii, Wong dan Sallehhuddin bersama-sama menunjukkan poster Majlis Sambutan TBC 2016 Peringkat Kebangsaan di Sibu, semalam.

DATANG BERAMAI-RAMAI: (Dari kanan) Zahiruddin, Hii, Wong dan Sallehhuddin bersama-sama menunjukkan poster Majlis Sambutan TBC 2016 Peringkat Kebangsaan di Sibu, semalam.

SIBU: Dijangka 50,000 orang membanjiri Dataran Sibu pada 27 Februari ini sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2016 Peringkat Kebangsaan di sini bermula jam 7 malam.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata acara itu menjadi peristiwa bersejarah buat bandar Sibu dan buat pertama kalinya kedua-dua pemimpin nombor satu dan dua negara serta pemimpin tertinggi negeri berada pada satu majlis.

“Kita berasa amat gembira dan berbesar hati kerana bandar Sibu dipilih menjadi tuan rumah sambutan TBC peringkat kebangsaan tahun ini.

“Lebih bermakna, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu hadir pada majlis itu.

“Saya yakin rakyat pelbagai lapisan masyarakat di sini hadir memenuhi Dataran Sibu kerana ingin melihat pimpinan tertinggi negara tersebut secara lebih dekat.

“Ini membuktikan pemimpin kita merupakan seorang pemimpin prihatin dan sayang kepada semua rakyatnya terutama penduduk negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee, Setiausaha Pengurusan Acara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM) Salehhuddin Md Salleh dan Pegawai Perhubungan Awam KPKM Ahmad Zaharuddin Salim.

Majlis Sambutan TBC 2016 Peringkat Kebangsaan merupakan anjuran KPKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti itu berkata, acara itu menzahirkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sementara itu, Hii berkata pelbagai persembahan dan aktiviti diadakan bagi memeriahkan acara penuh bersejarah itu.

Antaranya perembahan tarian singa daripada Persatuan Tarian Naga dan Singa Kun Sen Keng, persembahan ‘24 Season Drums’, persembahan nyanyian daripada artis Dewi Liana Seriestha, Dayang Nurfaizah, Dr Joanne Yeoh, Jerry Kamit dan ramai lagi.

“Kita juga mengadakan pertunjukan fesyen oleh 10 finalis Miss Malaysia Chinese International Pageant dan orang ramai dihidangkan persempahan bunga api pada jam 11 malam,” katanya.


Kerajaan sentiasa galak wanita realisasi impian

$
0
0

Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak latih wanita, ibu tunggal dengan kursus di WWTC

// Oleh Kepu Sidi //

WANITA BOLEH: Jamilah bersama peserta wanita mengikuti program WWTC@Sarikei, semalam.

WANITA BOLEH: Jamilah bersama peserta wanita mengikuti program WWTC@Sarikei, semalam.

SARIKEI: Kerajaan sentiasa menggalakkan wanita merealisasikan serta memartabatkan penglibatan mereka dalam pelbagai bidang dan kerjaya.

Isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu berkata sejajar dengan matlamat itu, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak mengambil inisiatif melatih wanita dan ibu tunggal dengan menawarkan kursus secara percuma di Wisma Wanita Training Centre (WWTC).

Katanya inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada wanita seluruh negeri ini menimba kemahiran daripada tenaga pengajar yang bertauliah.

“Golongan wanita bukan sahaja berperanan sebagai suri rumah tetapi juga ejen perubahan.

“Kita mesti sedar realiti ini kerana peranan wanita dalam pembangunan amat penting.

“Dalam masyarakat tradisional, peranan kaum wanita terhad kepada peranan pembantu kepada kaum lelaki.

“Ini dapat dilihat daripada jenis tugas mereka lakukan, umpamanya peranan mereka dalam pekerjaan sawah adalah membantu suami seperti menyemai, mengubah dan menuai.

“Begitupun, perubahan masa menuntut kita peka agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.

“Saya percaya kaum wanita mahu menempa kejayaan tersendiri melalui pendekatan lebih tersusun,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Mega WWTC@Sarikei di Dewan Suarah Sarikei semalam.

Program itu disertai lebih 400 orang wanita.

Jamilah turut menggesa golongan wanita berani mengubah pemikiran dalam usaha meningkatkan taraf hidup selain berupaya melahirkan idea kreatif dan bijak mencari peluang.

Beliau berkata status kaum wanita hari ini bertambah baik malah ada sebahagiannya mampu menguasai bidang yang sebelum ini hanya dikuasai lelaki.

“Wanita juga perlu melengkapi diri dengan kemahiran relevan, kreatif dan berpengetahuan lebih kompetitif dalam menyahut cabaran globalisasi.

“Wanita jangan rendah diri ketika menghadapi cabaran sebaliknya menganggap sebagai satu kaedah membentuk ciri kepimpinan yang hebat,” ujarnya.

Tambahnya, perkara utama harus ada pada wanita jika ingin mendahului saingan adalah keazaman, keyakinan dan kemampuan diri, bijak memanfaat segala peluang serta berani mencuba sesuatu perkara baharu serta tidak mudah putus asa.

Pada program dua hari itu peserta diberikan kursus berkaitan jahitan kreatif, spa, urutan, kecantikan dan masakan.

Program anjuran bersama Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Sarikei dan Pusat Khidmat N41 Kuala Rajang.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman, Residen Bahagian Sarikei Dr Anthony Valentine Laiseh dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad.

Tuai rumah berperanan perkukuh perpaduan

$
0
0

Penyatuan penduduk di bawah pentadbiran mereka menyumbang kepada pembangunan luar bandar

// Oleh Edwin Raoh //

SRI AMAN: Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang berkata, tuai rumah memainkan peranan cukup penting dalam menyatukan penduduk di bawah pimpinan mereka.

Menurutnya, penyatuan penduduk di bawah pentadbiran ketua kaum terbabit amat penting bagi menyumbang kepada usaha pembangunan kawasan luar bandar oleh kerajaan.

Jelasnya, kerajaan menyedia pelbagai inisiatif memastikan penduduk terutama di kawasan luar bandar terlibat secara langsung dalam usaha membangunkan penempatan mereka bersama kerajaan, ujarnya.

“Apabila disatukan maka mereka dapat bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan rancangan pembangunan di sini,” kata beliau.

Mong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sivik Santai Minda Rumah Francis Dublin Bitol, Kampung Selanjan Angkong, Sri Aman, kelmarin.

Sementara itu, beliau memohon tuai rumah memujuk kembali penduduk pimpinan mereka yang terjebak dengan hasutan atau dakyah pihak pembangkang sebelum ini.

“Mereka ini perlu dipujuk agar kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana hanya parti ini sahaja yang mampu meneruskan proses pembangunan di kawasan luar bandar.

Mong mengumumkan peruntukan projek Pelan Transformasi Luar Bandar sebanyak RM150,000 masing-masing kepada Rumah Francis, Selanjan Angkong dan Rumah Igoh Atot, Selanjan Jalong.

Peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM8,000 turut diberi kepada JKKK Rumah Francis.

Program terbabit adalah anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sri Aman dengan kerjasama JKKK dan Biro Wanita Rumah Francis Dublin Kampung Selanjan Angkong.

Turut hadir pada majlis itu Wali Kota Majlis Daerah Sri Aman Richard Tawan Sedu, Penyelaras Program daripada Jabatan Penerangan Sri Aman Salleh Imun, para wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Pameran Pengembaraan MATTA akan disertai tiga badan kerajaan

$
0
0
SIDANG MEDIA: (Dari kiri, duduk) Lina, Melissa, Chris dan D. Azizah merakam kenangan bersama barisan ejen pempamer selepas sidang media di Kuching, semalam.

SIDANG MEDIA: (Dari kiri, duduk) Lina, Melissa, Chris dan D. Azizah merakam kenangan bersama barisan ejen pempamer selepas sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Pameran Pengembaraan MATTA bagi siri kelapan tahun ini bakal membawa kelainan dan keistimewaan berbanding tahun sebelum ini dengan menampilkan penyertaan tiga badan kerajaan.

Menurut Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cabang Sarawak Chris Kon, badan kerajaan itu termasuk Kementerian Pelancongan Negeri, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

“Tiga badan kerajaan itu akan menyertai kira-kira 25 ejen pempamer yang lain yang merangkumi 16 ejen pelancongan, enam perbankan dan tiga perhotelan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pameran Pengembaraan MATTA Ke-8 yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Mac depan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Mengekalkan venue pameran sama iaitu di Dewan Promosi Utama II Boulevard Kuching, ia menjangkakan kehadiran seramai 10,000 pengunjung untuk tiga hari penganjuran tersebut.

“Sama seperti tahun sebelum ini pameran ini memberi peluang kepada pengunjung yang membeli pakej pada pameran MATTA untuk merebut peluang bagi cabutan bertuah termasuk penerbangan percuma ke Vietnam,” tambah Chris.

Menurutnya, pameran itu adalah inisiatif tahunan persatuan dalam mempromosi pelancongan selain menggalak pelancongan domestik.

Jelasnya, di samping impak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kejatuhan mata wang negara, persatuan percaya industri pelancongan masih memainkan peranan penting dalam memberi pulangan kepada ekonomi negara.

“Cuma sekarang kita perlu kreatif mempromosi selain menawar harga berpatutan kepada pelanggan supaya pelancongan domestik membantu memulihkan ekonomi negara, amnya dan ekonomi Sarawak, khasnya,” jelasnya.

Selain itu, Chris turut mengumumkan penganjuran Pameran Pengembaraan MATTA yang akan diadakan di bandar raya Miri buat pertama kali pada tahun ini.

Pameran tersebut akan berlangsung di Bintang Megamall, Miri pada 6 hingg 8 Mei 2016 yang mana ia menyasarkan penglibatan kira-kira 15 ejen pelancongan.

Pameran Pengembaraan MATTA menawarkan pakej percutian menarik, penerbangan dan beberapa aktiviti lain dan kemasukan adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Sekretariat MATTA Cabang Sarawak di talian 082-253276 atau 082-233276 atau e-mel ke: secretariat.sarawak@matta.org.my.

Turut hadir ialah bekas Pengerusi MATTA D. Azizah, Pengerusi Pengelola Melissa Liau dan pegawai bertugas pengelola Lina Tsen.

Kerja memadam kebakaran di Kuala Baram diteruskan

$
0
0
SIRAM: Bomba menyiram air untuk memadamkan kebakaran di parit ‘fire break’ sambil dibantu oleh kakitangan Naim.

SIRAM: Bomba menyiram air untuk memadamkan kebakaran di parit ‘fire break’ sambil dibantu oleh kakitangan Naim.

MIRI: Kerja pemadaman kebakaran di kawasan hutan belukar di Kuala Baram terus dilakukan kelmarin (Ahad) bagi mengurangkan kesan pencemaran udara khasnya di kawasan utara Miri.

Ketua Zon 6 Penguasa Kanan Bomba 1 Law Poh Kiong memberitahu, tiupan angin kuat menyebabkan asap cepat merebak ke kawasan lain.

Asap di kawasan parit `fire break’ atau rintangan api ketika kerja pemadaman untuk mengelak api marak ke kawasan lain.

“Pada hari ini, pasukan bomba dan Naim bertindak memadam asap sepanjang parit `fire break’ turut dibantu unit udara,” jelas beliau kelmarin.

Seluas 200 ekar hutan belukar di Kuala Baram termasuk hutan berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP) mengalami kebakaran pada Jumaat lalu.

Kebakaran berjaya dikawal oleh bomba yang melibatkan operasi `water bombing’ menggunakan sebuah helikopter Mi 17 untuk memadam dan mencegah kebakaran daripada marak.

Bomba turut membantu pasukan kakitangan syarikat  Naim untuk memadamkan kebakaran yang merebak ke kawasan tanah milik syarikat tersebut.

Kesihatan penduduk terjejas angkara kebakaran hutan

$
0
0

Orang ramai dinasihati kurangkan aktiviti luar, minum banyak air ekoran Miri kini dilanda musim panas dan kering

// Oleh Mohd Norhadie Sahari //

PADAM KEBAKARAN: Anggota bomba bekerja keras memadamkan kebakaran hutan belukar sejak beberapa hari lalu.

PADAM KEBAKARAN: Anggota bomba bekerja keras memadamkan kebakaran hutan belukar sejak beberapa hari lalu.

MIRI: Jambatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan minum banyak air ekoran Miri dilanda musim panas dan kering ketika ini.

Ketua Zon 6 Penguasa Kanan Bomba 1 Law Poh Kiong memberitahu, kebakaran hutan belukar melibatkan kawasan seluas 300 ekar turut mengancam kesihatan penduduk setempat.

“Kami menasihati penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kebakaran agar mengurangkan aktiviti luar dan minum banyak air ekoran musim panas dan kering serta berjerebu ketika ini,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran hutan belukar di Kuala Baram sejak beberapa hari lalu termasuk menggunakan kaedah ‘water bombing’ dengan sebuah helikopter.

“Setakat ini, keadaan di lokasi masih berasap dan pasukan kami bergerak ke bahagian kepala api untuk kerja-kerja pemadaman dan pengawalan api daripada terus marak,” jelasnya.

Sementara itu, penduduk Permyjaya dan Tudan mengadu keadaan berjerebu dan asap tebal turut menyebabkan kesihatan penduduk terjejas.

“Kami berharap kerajaan lebih bertegas dalam isu keselamatan dan ketenteraman awam kerana kesan pembakaran terbuka itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk,” kata salah seorang penduduk di sini.

Beliau memberitahu, kejadian sedemikian berlaku hampir setiap tahun dan apabila keadaan itu berlaku risiko penduduk diserang penyakit asma, demam dan selsema adalah tinggi.

“Ada di kalangan penduduk di Permyjaya dan sekitarnya mengadu sukar bernafas dan tidur pada sebelah malam disebabkan jerebu dan bau asap,” katanya.

Sehubungan itu, agensi kerajaan berkaitan harus turun padang dan mendakwa individu sengaja melakukan pembakaran terbuka di bawah akta sedia ada.

Penduduk terbabit tidak menolak kemungkinan keadaan cuaca kering dan kemarau ketika ini menyebabkan ada segelintir pekebun kecil membakar belukar untuk kegiatan pertanian.

Banjir di Serian masih teruk berbanding kawasan lain

$
0
0
TINJAU: Riot (kanan) ditemani Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Manusia Mejar (B) Peter Runin melawat kawasan paling teruk terjejas di Tebakang.

TINJAU: Riot (kanan) ditemani Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Manusia Mejar (B) Peter Runin melawat kawasan paling teruk terjejas di Tebakang.

KUCHING: Keadaan banjir di Serian masih lagi teruk berbanding kawasan-kawasan lain di negeri ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata keutamaan harus diberikan kepada mangsa banjir untuk diselamatkan dalam kadar segera.

“Keutamaan kita sekarang ini adalah untuk menyelamatkan banyak nyawa tidak kira di mana sahaja.

“Banyak kawasan kampung yang terjejas teruk dan paras air di kawasan-kawasan ini juga semakin naik,” katanya.

Riot yang juga Ahli Parlimen Serian telah melawat beberapa kampung yang terjejas akibat banjir sejak 21 Februari lepas.

Antaranya Kampung Slabi Entukuh, Kampung Slabi Empurung, Kampung Hulu, Kampung Hilir, Kampung Sorak Melayu, Kampung Tebakang Dayak, Kampung Tebakang Cina dan Kampung Tebakang Melayu.

Beliau juga sempat melawat mangsa di Kampung Simpok, Mundai, Segenam dan Kampung Rimba Padi.

Menurut sumber daripada Jawatankuasa Bencana Pejabat Residen Bahagian Serian, penduduk dari pusat pemindahan di Kampung Slabi Plaman telah dipindahkan ke Gereja Slabi Plaman disebabkan air masuk ke bahagian dalam pusat.

Katanya SK Pangkalan Sorak baharu sahaja mula dibuka sejak 12 tengah hari semalam dengan menempatkan 64 orang.

Selain itu 16 lagi pusat pemindahan lain termasuk Dewan Serba Guna Kampung Sinjok, Balai Bomba Siburan, SK St Peter Simpok, Balai Raya Kampung Lintang Baru, Balai Raya Kampung Betong Kanowit, Surau Rimba Padi, Dewan Masyarakat Serian, Balai Raya Slabi Entukuh, SMK Tebekang, SK Tanah Merah, Balai Raya Kampung Slabi Plaman, Balai Raya Kampung Reteh Mawang, Gereja Kampung Tebakang Bidayuh, Rumah Panjang Kampung Soh, SK Tanah Puteh, Balai Raya Ranchan dan Gereja SIB Kampung Sion Tapah.

Ia melibatkan 31 kampung dalam bahagian Serian dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di seluruh bahagian itu seramai 2,648 orang sehingga berita ini ditulis.

Sementara itu, Pegawai RELA Serian Wali Fathir Mustapha berkata rumah mangsa banjir, Sedek Sani, 42, di Kampung Lintang Baru @ Kampung Panchor Melayu telah dimasuki buaya kelmarin.

Katanya, sumber sahih daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan bahawa kejadian tersebut memang berlaku.

Bagaimanapun, pihak bomba tidak dapat masuk ke dalam rumah disebabkan paras air masih lagi tinggi sehingga paras bahu orang dewasa.

Pihaknya mengesyaki terdapat kemungkinan buaya masih lagi berkeliaran di sekitar kawasan tersebut yang telah dipasang sawar-sawar di setiap pusat pemeriksaan.

Justeru, orang ramai yang tinggal di kawasan kampung dan kawasan berdekatan dinasihati untuk tidak berada di kawasan tersebut kerana terdapat kes mangsa yang dibaham buaya di kawasan itu sebelum ini.

Hamsein kesal mangsa banjir enggan pindah

$
0
0
SUDAH PULANG: Mangsa banjir, Pasar Suom di Kampung Bratan telah pulang ke kediaman masing-masing untuk membersihkan rumah mereka.

SUDAH PULANG: Mangsa banjir, Pasar Suom di Kampung Bratan telah pulang ke kediaman masing-masing untuk membersihkan rumah mereka.

KUCHING: Pegawai Daerah Lundu Hamsein Atar kesal dengan kedegilan sesetengah mangsa banjir dari beberapa kampung di sini yang enggan berpindah ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata mangsa banjir rata-rata enggan dipindahkan ke dewan atau gereja yang terletak di kawasan tinggi sejak gelombang pertama banjir berlaku di daerah itu.

“Pihak berkuasa sukar untuk menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir kerana mereka lebih suka berpindah ke rumah kawan atau rumah saudara masing-masing, jadi kita anggap kejadian banjir di kawasan mereka tidak berapa serius,” katanya semalam.

Sejak Jumaat lepas, Kampung Pasir Tengah, Biawak, Kampung Selampit, Kampung Tokan, Kampung Bokah, Kampung Storm Muda dan Stungkor telah dilanda banjir.

Bahkan jalan utama menghubungkan Lundu ke kawasan bandar dekat Kampung Storm Muda serta Jalan Bau-Lundu ditelenggami air setinggi dua hingga tiga kaki dan amat berbahaya untuk dilalui kenderaan kecil.

Sementara itu mangsa banjir di Kampung Selampit, Tugong Sindip, 59, mengadu kesal kerana tidak ada anggota keselamatan memantau situasi banjir di kampung tersebut.

Katanya sejak gelombang pertama, pihak berkuasa hanya menunggu di pos kawalan yang agak jauh berdekatan jalan utama kampung itu.

“Bantuan makanan seperti roti, mi cawan dan kopi ‘3 in 1’ tidak cukup, sepatutnya dihulurkan bantuan makanan seperti gula, beras dan minyak masak yang lebih diperlukan oleh mangsa banjir,” katanya semalam.

Pada masa yang sama, menurut sumber yang dipercayai Kampung Bitokan mencatat 197 orang di pusat pemindahan diikuti Kampung Selampit (132) di kawasan Lundu.

Kejadian banjir di Kampung Bratan, Jalan Puncak Borneo juga beransur pulih dan penduduk kampung sudah mula pulang ke kediaman masing-masing untuk menjalankan kerja pembersihan

“Sebanyak 43 keluarga dari kampung tersebut dipindahkan ke pusat pemindahan Balai Raya Kampung Bratan-Asah,” tegas Ketua Kaum Kampung Bratan Jafar Rabor.

Di Serian pula dua penduduk yang terjejas dari pusat pemindahan Slabi dihantar ke Hospital Serian kerana sudah hampir melahirkan anak.

Kata jurucakap Jawatankuasa Bencana Pejabat Residen Bahagian Serian, tiga jalan dinaiki air iaitu di Jalan Serian-Sri Aman (Kampung Hulu Serian-Sri Aman) di km 61 dinaiki air setinggi satu kaki setengah.

“Jalan Sri Aman-Serian (SK Serian-Bandar Serian) juga dinaiki air satu kaki setengah.

“Jalan Serian-Tebedu pula terputus di kedua-dua hala dan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan kerana air mencecah ketinggian dua kaki.

Keseluruhan yang ditempatkan di 17 buah pusat pemindahan di Serian meningkat sehingga 2,648 orang setakat berita ini ditulis.


Sekolah terjejas banjir akan dibantu: Mahdzir

$
0
0

Kementerian Pendidikan tinjau sekolah terjejas buat penilaian kerosakan dialami selepas banjir surut

// Oleh Sandy Mark Luna //

TENGGELAM: Mahdzir melihat keadaan padang bola sepak SK St David Bumbok yang tenggelam akibat dilanda banjir di mana hanya bahagian atas tiang gol yang kelihatan.

TENGGELAM: Mahdzir melihat keadaan padang bola sepak SK St David Bumbok yang tenggelam akibat dilanda banjir di mana hanya bahagian atas tiang gol yang kelihatan.

KUCHING: Kementerian Pendidikan akan berusaha membantu sekolah-sekolah yang terjejas dan mengalami kerosakan akibat banjir.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan meninjau sekolah yang terjejas akibat bencana tersebut bagi membuat penilaian mengenai kerosakan dialami apabila banjir surut kelak.

“Lepas banjir, kita akan lihat nilai kerosakan dan akan cuba cari jalan (beri bantuan khas)… kalau kerusi atau meja rosak memang perlu diganti baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) St David Bumbok, di Jalan Batu Kitang di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Menurut Mahdzir, setakat tengah hari semalam, sebanyak 15 sekolah terpaksa ditutup apabila ia dinaiki air, berbanding 11 sekolah pada Ahad.

Ditanya jika sekolah-sekolah berkenaan akan dipindahkan, beliau berkata ia terpulang kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk menentukannya.

Beliau terdahulu mengadakan ‘walkabout’ di SK Rakyat Bolhassan, SK Rakyat Tupong, SJK(C) Stampin dan Sekolah Kebangsaan Menengah (SMK) Sungai Tapang.

Katanya lawatan itu adalah bagi meninjau prasarana sekolah-sekolah yang perlu diperbaiki atau dinaik taraf.

“Saya lawat sekolah-sekolah lama yang perlu diberi perhatian.

“Kebanyakan kelas masih dalam keadaan baik, mungkin bumbung, bilik tandas dan sistem pendawaian yang perlu diperbaiki dan memerlukan peruntukan.

“Kita berjanji untuk melawat keempat-empat sekolah itu memandangkan program ini telah lama dirancang… sebab itu tidak dapat melawat ke kawasan banjir,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai penggunaan teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) untuk membaik pulih sekolah-sekolah yang uzur dan kritikal, beliau memberitahu, sebanyak tujuh sekolah diluluskan untuk mengguna pakai teknologi tersebut.

“Sekarang dalam proses. Mungkin dalam minggu depan kerja-kerja tapak boleh dimulakan,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, kenyataan daripada Jabatan Pendidikan Negeri mendedahkan bahawa sebanyak 18 sekolah ditutup setakat jam 4 petang akibat banjir.

Antara sekolah terjejas adalah SK Batu Kitang, SK Rantau Panjang, SK Buso, SK Tembawang, SK Segong, SK Suba Buan, SK Bokah, SK Selampit, SK Patung, SK Landeh, SK St Augustine, SK St Matthew, SK St Patrick, SJK (C) Chung Hua Siniawan, SJK(C) Chung Hua Kranji, SJK(C) Chung Hua Batu Kitang, SJK(C) Chung Hua Rantau Panjang dan SMK Bau.

Sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara dibuka seperti di SMK Batu Kawa, SK St Peter, SK George, SK Sejijak, SK Siniawan, SK Tanah Merah, SMK Tebakang, SK Endap dan SK Tanah Putih yang menempatkan 571 keluarga.

DAP terus mengamalkan budaya politik kotor

$
0
0

Putar belit kenyataan jelas pamer gaya politiknya yang tidak ikhlas, kelirukan rakyat demi meraih undi

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) terus mengamalkan budaya politik kotor dengan memutar belit setiap kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Negeri Abdullah Saidol berkata, tindakan DAP Sarawak yang diterajui Pengerusinya Chong Chieng Jen memutar belit kenyataan jelas mempamerkan gaya politiknya yang tidak ikhlas serta sering bertujuan mengelirukan rakyat demi meraih undi.

“Ketua Menteri (Adenan) tidak pernah menyebut seluruh sistem pendidikan negeri kita adalah gagal tetapi beliau secara spesifiknya melahirkan kekecewaan dengan kelemahan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita di Sarawak, terutama graduan lepasan universiti.

“Malah beliau juga telah menyuarakan isu ini kepada Menteri Pendidikan (Datuk Seri Mahdzir Khalid) termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Bahkan, sudah banyak kali Adenan menjelaskan di negeri (Sarawak) ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi kedua.

“Tambahan orang pertama yang membangkitkan perkara ini adalah Adenan,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abdullah juga mempersoalkan tindakan Chong yang mempersoalkan kejujuran hasrat Adenan untuk memperkasa penggunaan bahasa Inggeris, khususnya dalam kalangan pelajar di negeri ini.

“Setiap kenyataan putar belit yang dikeluarkan Chong jelas mempamer gaya politik kotornya dengan mendakwa Adenan sebagai pemimpin lemah dan sentiasa mengikut telunjuk UMNO, malah cadangannya agar kita keluar daripada Barisan Nasional (BN) adalah sesuatu yang tidak bijak.

“Saya beranggapan Chong tidak mengikuti segala perkembangan kejayaan yang dicapai Adenan menerusi tuntutan daripada kerajaan persekutuan,” tambahnya.

Dari sudut lain, jelasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, setiap tindak tanduk Chong hanya menggambarkan kedudukannya dan parti itu yang lemah selain kurang berkeyakinan serta hala tuju politik yang bercelaru.

Selain itu, Abdullah turut mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang memutarbelitkan kenyataan Adenan dalam laman Facebooknya yang berbaur hasutan serta membangkitkan kemarahan masyarakat Cina terhadap Adenan.

“Rakyat Sarawak khususnya masyarakat Cina kini seharusnya sedar dan bersedia untuk menerima hakikat DAP adalah parti politik yang sanggup bertindak ekstrem dan kotor dalam mencapai hajat politik mereka.

“Malah ramai dalam kalangan masyarakat Cina sendiri berasa marah dan jijik dengan tayangan video klip ciptaan DAP yang disebar semasa Tahun Baharu Cina (TBC) kerana mempersendakan pemimpin dan mencemar budaya mereka sendiri.

“Bahkan, kita juga melihat dan membaca kenyataan DAP yang memperkecil dan mengutuk rakan politik mereka sendiri dalam Pakatan sehingga berlaku perpecahan antara mereka.

“Ini membuktikan DAP adalah sebuah parti yang tamak, bongkak dan mengamalkan kepimpinan yang mementingkan diri sendiri,” katanya sambil menambah, rakyat Sarawak harus mengambil iktibar dengan cara kepimpinan DAP yang mentadbir Pulau Pinang yang diketuai Ketua Menterinya yang bersifat ‘diktator’.

Dalam hal berkaitan, kata Abdullah DAP juga sanggup menamatkan perkhidmatan beberapa ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) daripada agensi kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau menegaskan, rakyat Sarawak harus bersatu padu menolak budaya politik DAP yang sering membangkitkan perpecahan sekiranya masih mahu mengekalkan keharmonian kaum dan kestabilan politik ke arah membangun negeri tanpa huru-hara.

“Kita mesti memberi isyarat kepada Chong dan rakan seperjuangannya di Semenanjung Malaysia dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bahawa kita sebagai orang Sarawak benci dan jijik dengan budaya politik mereka (DAP),” katanya.

Sekiranya masih terdapat rakyat negeri ini yang tidak sehaluan dengan polisi kerajaan yang memerintah, maka kerajaan BN memerlukan pembangkang yang berkualiti, berhemah dan patriotik selain DAP, tegasnya.

UPP cukup yakin Adenan pilih pasukan kuat hadapi PRN 2016

$
0
0
UNTUK RAKYAT: Wong (tiga kiri) menyampaikan angpau kepada seorang warga emas pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPP Bawang Assan, Pusat Khidmat UPP Sungai Sadit di Sibu, malam kelmarin.

UNTUK RAKYAT: Wong (tiga kiri) menyampaikan angpau kepada seorang warga emas pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPP Bawang Assan, Pusat Khidmat UPP Sungai Sadit di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Parti Rakyat Bersatu (UPP) yakin Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memilih rangkaian pasukan kuat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 ini bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti besar.

Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh berkata UPP tidak mahu mempunyai konflik atau bergaduh dengan mana-mana parti komponen BN lain terutama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Pemilihan calon-calon Cina daripada UPP perlu kita serahkan kepada kebijaksanaan Adenan untuk membuat keputusan. UPP adalah sebahagian daripada pasukannya.

“Calon UPP adalah sebahagian pasukan Adenan demi rakyat Sarawak dan perpaduan masyarakat Cina,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPP Bawang Assan, Pusat Khidmat UPP Sungai Sadit di sini, malam kelmarin.

Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu memberitahu, UPP mempunyai keyakinan penuh kepada Adenan dan menyokong sesiapa sahaja yang beliau pilih sebagai calon.

Menurutnya, dengan karisma dan populariti Adenan semua rakyat Sarawak perlu bersatu teguh di belakang beliau.

Masyarakat Cina perlu memberi beliau mandat lebih besar untuk menjamin pentadbirannya lima tahun akan datang.

“Pada masa sama, masyarakat Cina dari kawasan majoriti Cina perlu memberi sokongan kepada BN pada PRN akan datang. Ini untuk memastikan kaum Cina mempunyai wakil dalam kerajaan BN,” katanya.

Pengerusi Pusat Khidmat UPP Sungai Sadit Kapitan Ting Liang Hui berkata Sungai Sadit menyaksikan pembangunan pesat termasuk infrastruktur asas di bawah Wong sebagai wakil rakyat di situ.

Beliau berharap penduduk di kawasan itu terus menyokong Wong untuk pembangunan berterusan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Jawatankuasa Akses Audit perlu ditubuh di peringkat negeri: Rohani

$
0
0
MESYUARAT: Rohani (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) Bil.1/16 di Kuching, semalam.

MESYUARAT: Rohani (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) Bil.1/16 di Kuching, semalam.

KUCHING: Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) memutuskan agar Jawatankuasa Akses Audit ditubuhkan di peringkat negeri di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jawatankuasa tersebut kini hanya di peringkat kebangsaan dan sudah tiba masanya ia ditubuh di peringkat negeri.

“Buat masa sekarang, segala keperluan dan kemudahan bagi golongan OKU di peringkat negeri diselia rapat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing.

“Namun, kami (MBOKU) telah bermesyuarat dan membuat keputusan agar Jawatankuasa Akses Audit ditubuh secara berperingkat di setiap negeri dalam Malaysia dengan kerjasama rapat  pihak PBT bagi menjalankan kerja penguatkuasaan dan pemantauan ke atas segala keperluan dan kemudahan yang disediakan untuk golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) Bil.1/16 di Bilik Mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, semalam.

Tambah beliau yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jawatankuasa yang akan ditubuhkan itu kelak berperanan dalam menjalankan pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap kemudahan untuk OKU dipatuhi.

“Banyak aspek yang akan dipantau oleh jawatankuasa khas ini, antaranya memastikan kemudahan tandas bersifat mesra OKU, jubin mesra OKU, penyediaan lorong pejalan kaki khas bagi OKU penglihatan, laluan kaki lima mesra kerusi roda, kaunter khas untuk OKU berkerusi roda, ruang parkir kenderaan OKU dan banyak lagi,” katanya.

Katanya Jawatankuasa Akses Audit dipertanggungjawabkan untuk membuat laporan pelaksanaan penguatkuasaan untuk dihantar bagi tujuan penilaian di peringkat kebangsaan.

Kerjasama antara jawatankuasa negeri dan kebangsaan kelak diyakini akan menyediakan akses terus kepada MBOKU agar sebarang tindakan yang akan diambil dapat dijalankan dengan lebih lancar, ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai persiapan dan kemudahan untuk atlet paralimpik bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 pada Julai depan di Sarawak, beliau berkata, persediaan kini berjalan lancar merangkumi aspek penginapan dan penginapan khas untuk para atlet.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Abang Shamshudin Abang Seruji.

Hab Halal Tg Manis tarik syarikat antarabangsa

$
0
0

KUCHING: Hab Halal Tanjung Manis menarik minat beberapa syarikat antarabangsa untuk melabur dalam pelbagai industri di hab halal terbesar dalam rantau ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata beberapa siri promosi telah diadakan bagi memperkenalkan Hab Halal Tanjung Manis di luar negara.

Promosi ini telah berjaya menarik minat beberapa pelabur berskala besar yang mana kini dalam perundingan peringkat akhir dengan kerajaan negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal, Jabatan Ketua Menteri dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

“Pasaran industri halal mencecah nilai tiga trilion dolar Amerika di seluruh dunia dan ini merupakan potensi besar untuk kita pertimbangkan secara serius.

“Dengan potensi yang begitu besar dalam pasaran produk halal global, pelabur tempatan amnya di negeri ini harus memanfaatkan peluang-peluang pelaburan yang sedia ada di Hab Halal Tanjung Manis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Potensi Pelaburan di Hab Halal Tanjung Manis di Dewan Santapan, Bangunan Lama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Tambah Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Hab Halal Tanjung Manis merupakan satu daripada komponen di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Hab halal ini menyediakan peluang bagi industri hiliran dan huluan meliputi industri makanan dan penggunaan yang diperlukan pasaran Malaysia dan global.

Setakat ini katanya, SCORE telah berjaya menarik pelaburan bernilai lebih daripada RM30 bilion manakala Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu menarik pelaburan bernilai lebih RM25 bilion.

Mengulas mengenai seminar itu ia merupakan anjuran bersama Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal (UPUIH), PUSAKA dan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).

Objektifnya adalah untuk memberi penerangan secara menyeluruh berkaitan peluang-peluang pelaburan di SCORE amnya dan di Hab Halal Tanjung Manis khasnya.

Di samping itu seminar ini juga bertujuan memperkasakan usahawan untuk meneroka pasaran industri halal global serta memberi peluang usahawan berkongsi dan menjalinkan kerjasama perniagaan dan jaringan perniagaan global.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan pada seminar ini antaranya, ‘Panduan Umum Tentang Pelaburan di SCORE’, ‘Peluang-peluang Pelaburan di Hab Halal Tanjung Manis’, ‘Pembangunan Kemudahan dan Prasarana dan Penggunaan Tanah di Hab Halal Tanjung Manis’, ‘Insentif Untuk Pelaburan di Hab Halal Tanjung Manis’, ‘Peluang-Peluang Dalam Bidang Pertanian di Sarawak’ dan ‘Potensi Pasaran Nanas di Dunia’ oleh Lembaga Nanas Malaysia.

Viewing all 26859 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>