Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Baki NCR penduduk terjejas Empangan Bengoh dijamin pampasan sewajarnya

$
0
0

ELAUN: Manyin menyampaikan replika cek kepada ketua kampung, yang mewakili kampungnya.Turut kelihatan Dr Jerip (dua kiri) dan Austin (kanan).

KUCHING: Penduduk dari empat penempatan semula Bidayuh yang terjejas oleh projek Empangan Bengoh bernilai RM310 juta diberi jaminan bahawa baki tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang telah disukat dan disyorkan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) akan dibayar pampasan sewajarnya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, perkara itu telah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan dan beliau yakin ia akan dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Manyin berkata seperti permohonan bertulis oleh pemilik yang terjejas, Ahli Parlimen Mambong Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, Ahli Dewan Undangan Negeri Bengoh Datuk Dr Jerip Susil dan beliau sendiri akan melakukan yang terbaik bagi memastikan penduduk kampung akan mendapat pampasan daripada baki tanah NCR mereka.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian elaun perpindahan berjumlah RM1.8 juta kepada 152 keluarga dari Kampung Sait, Rejoi, Pain Bojong dan Semban di Skim Penempatan Semula Bengoh di Jalan Padawan dekat sini, semalam.

Manyin memberitahu, bayaran kepada penduduk sebelum ini merupakan pampasan bagi tanah seluas kira-kira 1,300 hektar, yang akan dilitupi air apabila empangan beroperasi.

“Sejumlah kira-kira 8,000 hektar tanah NCR telah diukur dan disahkan dalam perimeter survei dan setakat ini pampasan bagi keluasan 1,300 hektar telah dibayar dan kami berharap kerajaan dapat mengatur baki pampasan secepat mungkin,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan melalukan yang terbaik untuk membantu penduduk kampung termasuk menyediakan mereka dengan infrastruktur asas selain rumah percuma.

Manyin berkata rakyat dari empat kampung berkenaan seharusnya bersyukur terhadap pembinaan empangan terbabit kerana ia mendekatkan lagi mereka dengan bandar dan pembangunan.

“Dalam proses penempatan semula, kerajaan tidak hanya menyediakan elaun perpindahan tetapi juga rumah bagi setiap keluarga dan sebidang tanah untuk aktiviti pertanian,” katanya.

Oleh yang demikian, Manyin memberitahu bahawa bagi 49 lagi keluarga yang berpindah lebih jauh dan bukan ke skim penempatan semula itu, mereka perlu mempertimbangkan semula keputusan itu demi masa depan generasi muda.

Beliau berkata untuk masa depan yang lebih cerah bagi anak-anak mereka dan masyarakat secara keseluruhannya, keluarga yang enggan menerima wang pampasan itu dan skim penempatan semula harus mengikut jejak mereka yang berpindah ke skim penempatan semula.

Pada majlis itu semalam, Manyin menyampaikan replika cek bernilai RM590,000 kepada 59 keluarga dari kampung Kampung Semban, RM296,000 (37 keluarga dari Kampung Sait), RM264,000 (untuk 33 keluarga dari Kampung Pain Bojong) dan RM230,000 (untuk 23 keluarga dari Kampung Rejoi).

Hadir sama pada majlis berkenaan, Dr Jerip, Pemangku Residen Kuching Zamhari Saidi dan Ketua Kaum Bidayuh Bahagian Kuching Temenggung Austin Dimin.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>