SIBU: Ahli Pertubuhan Peladang di negeri ini disaran lebih berinovasi dan kreatif dalam melaksanakan bidang pertanian bagi memastikan hasil yang diperoleh setimpal dengan usaha yang dicurahkan.
Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran berkata, ini sangat penting bagi memastikan golongan petani khususnya di kawasan luar bandar mampu memperoleh pendapatan lumayan.
Katanya bagi menjana pendapatan lebih baik, petani perlu sentiasa berhubung dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan teknik yang digunakan berjaya dilaksanakan.
“Pelaksanaan dua amalan penting tersebut mampu memberi mereka motivasi positif dalam memajukan pertanian yang diceburi sekali gus dapat memasarkan hasil pertanian mereka secara lebih komersial sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jalinan Mesra Peladang di Rumah Jana, Batu Matup Julau semalam.
Menurut Entri, selain berinovasi dan kreatif, komitmen jitu perlu disemai dalam kalangan ahli peladang untuk bersaing dengan usahawan pertanian lain.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli Pertubuhan Peladang agar saling bekerjasama, bukannya mementingkan diri sendiri dalam mencapai kejayaan.
“Kita mahu semua ahli Pertubuhan Peladang terus maju selaras dengan permintaan bahan pertanian yang semakin tinggi dan menjadikan bidang itu sebagai penyumbang utama kepada hasil negara,” ujarnya.
Menyentuh mengenai program berkenaan, Entri memberitahu bahawa ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mendekatkan diri dengan para petani khususnya.
Selain memberi bantuan secara lisan, para petani turut didedahkan dengan teknik-tekni bertani secara profesional.
Dalam pada itu, kira-kira 1,200 penduduk dari sekitar kawasan Julaui menghadiri program berkenaan yang julung kalinya diadakan di kawasan Julau.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Boniface Litis, Residen Bahagian Sibu Dahim Nadot dan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) Anyie Deng.
Pada majlis yang sama Entri yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) turut menyampaikan geran sebanyak RM20,000.