KUCHING: Pendakwaan menyatakan kepada Mahkamah Tinggi bahawa penjual ikan mempunyai niat sehingga menyebabkan kematian dua pelajar perubatan warga Britain dua bulan lalu.
Dalam menyampaikan kenyataan pembukaan, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata, bukti yang dikemukakan kepada mahkamah menunjukkan tertuduh, Zulkipli Abdullah merupakan orang yang menyebabkan kematian kedua-dua lelaki berusia 22 tahun, Aidan Brunger dan Neil Gareth Dalton.
“Dalam perbicaraan ini, pendakwaan bergantung kepada bukti terus, perubatan dan saintifik serta bukti relevan bagi membuktikan tertuduh adalah orang yang menyebabkan kematian dua orang dalam kes ini,” katanya kepada Hakim Datuk Chew Soo Ho.
Zulkipli, 23, dari Kampung Gersik berhadapan dua tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Ogos tahun ini sekitar jam 4.10 hingga 4.15 pagi di Jalan Abell.
Dia telah mengaku tidak bersalah kepada seksyen yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan itu.
Dr Seah Lay Hong, ahli kimia daripada Jabatan Kimia adalah saksi pertama yang memberi kenyataan.
Pada 6 Ogos lalu, pelajar-pelajar itu ditikam sehingga mati di hadapn sebuah hotel bajet.
Sebelum kejadian itu, kedua-dua mangsa dan empat lelaki dilaporkan telah bertikam lidah.
Seramai lima suspek ditangkap tetapi empat daripadanya dilepaskan dan menjadi saksi-saksi utama kes itu.
Insiden itu turut menarik perhatian media antarabangsa.
Peguam bela yang ditugaskan mewakili Zulkipli ialah Anthony Tai.
Perbicaraan diteruskan hari ini dan dijadualkan sehingga 21 November.